Rabu, Disember 31, 2008

Salam Tahun Baharu Hijriah 1430 dan Selamat Tahun Baharu Masihi 2009

Tahun baharu 2009 Masihi akan menjengah beberapa detik lagi dan telah 3 hari tahun baharu 1430 Hijriah berlalu. Terlalu cepat rasanya masa berlalu dan usiapun juga semakin meningkat. 2008 ditinggalkan dengan pelbagai rencam perisitiwa, sedih, masam, manis terutama isu-isu yang berkaitan dengan bahasa dan pendidikan. Isu PPSMI yang tak sudah-sudah, isu yuran, keciciran pelajar, disiplin, komitmen guru, PIPP, PTK, perjawatan guru dan entah apa lagi yang bakal muncul pada tahun 2009 ini. Namun dalam kita membuat persediaan menyambut tahun baharu, janganlah kita lupa nasib saudara seagama kita iaitu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berjumlah 1.5 juta orang yang menyambut tahun baharu hijrah dengan darah dan dan bermandi peluru... Mereka diasak dari segenap penjuru, bom dan peluru berpandu serta pelbagai sekatan dan penderitaan. Mereka mengalami kelaparan, kesakitan berpanjangan, pengangguran dan kesusahan yang tidak boleh digambarkan oleh masyarakat dunia khususnya di Malaysia

Dalam perjalanan pulang dari Shah Alam menghantar anakanda Huwaina 2 hari yang lalu, SMS teman-teman bertalu-talu menjengah mengingatkan saya agar tidak lupa membaca doa akhir tahun 1429H dan doa awal tahun 1430H. Rasanya sudah 2 tahun berturut-turut kami membaca doa-doa tersebut di Lebuh Raya Karak dan doa yang dibaca Awang Rajuk sentiasa menyebabkan hati menjadi sebak. Semoga tahun 1430H ini akan bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Semoga kami sekeluarga sentiasa berada di bawah payung rahmat dan hidayah daripada-Nya.

Hati menjadi rawan mengingatkan betapa Rasulullah S.A.W dan para sahabat bersusah-payah berkorban menyeberangi bahang padang pasir, meninggalkan Makkah menuju Madinah dan akhirnya menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama, 1430 tahun yang lalu. Hari ini segala yang ditegakkan oleh Baginda kita biarkan begitu sahaja, darah umat yang dicintai Rasulullah S.A.W kita biarkan tertitis dan tertumpah ke bumi tanpa pembelaan, malah seolah-olah kita tidak berupaya melakukan apa-apa, cuma menjadi penonton yang bisu dan bacul.

Ketika rakyat Palestin sedang bermandi darah, sebahagian rakyat Malaysia berpesta sakan meraikan kedatangan tahun baru Masehi dengan pelbagai macam konsert dan pesta, menari dan minum-minum, berseronok seakan-akan dunia ini mereka yang punya. Mereka tidak mengenal erti persaudaraan Islam, tidak mengenal erti rasa prihatin dan cakna. Bagi mereka ini, dalam kepala mereka ialah-seronok, seronok, seronok dan jangan terkejut jika berita utama esok pagi.... PESTA SEKS DAN KONSERT ROCK MENCEMARKAN SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2009 DI MALAYSIA!!!!!!!

Selamat mewarnai tahun 2009 dan meninggalkan 2008 dengan penuh rasa keinsafan.

Ahad, Disember 21, 2008

Selamatkanlah anak bangsaku di pedalaman ini....

Setiap kali membuka komputer dan melayari internet, sudah pasti blog Profesor Abdullah Hasan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI akan menjadi pilihan utama saya. Membaca posting beliau yang bertajuk "Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan" benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang pendidik yang bertugas mengajarkan Bahasa Melayu di sebuah sekolah biasa di luar bandar.

.... lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Inggeriskah, Melayukah serupa sahaja!” Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’ Untuk membaca petikan penuh, sila klik di sini.

Kata-kata di atas yang terhambur keluar dari mulut seorang pegawai KPM cukup membuatkan hati saya menjadi marah dan luka lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu bahasa, orang Melayu, dan tentang PPSMI. Hina sangatkah anak-anak Melayu di luar bandar sehingga dianggap demikian rupa oleh pegawai tersebut? Perkara seperti ini sering berlaku kepada kami guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pertengahan tahun ini misalnya, seorang pegawai di jabatan yang melawat ke sekolah saya tanpa rasa malu menudingkan jari ke arah guru Bahasa Inggeris di sekolah saya dan menyalahkan guru-guru tersebut kerana kegagalan pelajar-pelajar PMR sekolah saya yang begitu tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Kalaulah subjek Bahasa Inggeris sendiripun tidak boleh dikuasai oleh mereka, apatah pula dengan mata pelajaran Sains dan Matematik yang terpaksa diikuti oleh mereka dalam Bahasa Inggeris. Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan pendapat pegawai KPM tersebut, tetapi kita semua sudah lama maklum tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar Melayu di luar bandar terutama di pantai timur sangat rendah. Kalau nak ditingkatkan penguasaam bahasa Inggeris, kenapa tidak diperkemas dan dipertingkat sahaja segala kelemahan yang terdapat dalam P&P bahasa Inggeris? Inilah yang kita namakan, lain yang sakit, lain pula yang diubati...

Saya melihat puak-puak PPD, JPN dan KPM sendiri sangat pilih kasih terhadap sekolah-sekolah di luar bandar. Dengan penubuhan sekolah-sekolah kluster, elit, premier, sekolah-sekolah luar bandar terus terpinggir sementelahan pula kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris sudah diketahui seantero negara. Saya menyedari dan melihat sendiri kesulitan para guru di sekolah saya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ditambah pula dengan prasarana dan kemudahan yang jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah-sekolah mewah di ibu kota dan sekolah-sekolah elit dan kluster yang dilimpahi dengan pelbagai macam kemudahan. Dan, yang pastinya, setiap kali selesai peperiksaan maka akan mengeluhlah para guru Sains dan Metematik di sekolah saya kerana markah pelajar mereka lebih banyak yang merah daripada yang biru!!! Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku di luar bandar ini"

Tentang PPSMI, setelah 5 kali bersidang mengenai nasib PPSMI, KPM merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain. Berita Harian 17 Disember 2008).

Sudah pasti tuan-tuan dan puan-puan dapat menduga nombor berapa yang akan menjadi pilihan kerajaan. Rasanya tidak guna bermeja bulat, bujur dan beremapt persegi kalau keputusannya masih yang itu-itu juga. Namun, pilihan saya, Pilihan 8: Bagaimana kalau kita hapuskan sahaja PPSMI?

Ya Allah, selamatkanlah sistem pendidikan negara dan nasib bangsa dan bahasaku ini di negaraku nan tercinta ini!!!

Rabu, Disember 17, 2008

Buang bayi, kisah kasut terbang.....

Cuti persekolahan seperti ini seronok juga kerana saya mempunyai banyak masa untuk melakukan kegiatan masa lapang yang saya gemari, melayari internet, meladeni pokok-pokok bunga terutamanya orkid dan kaktus yang telah sekian lama terbiar dan menonton HBO bersama anak-anak. Minda saya tidak perlu memikirkan apa yang nak diajar esok, tidak perlu menyemak tugasan pelajar, menyediakan bahan pengajaran, tidak perlu untuk bangun seawal pagi, menyediakan sarapan untuk anak-anak dan bergegas ke sekolah dan melalui perjalanan ke sekolah yang cukup menjemukan.
Membelek helaian suratkhabar, berita-berita tentang kemalangan, bunuh sana bunuh sini, artis kahwin dan bercerai, buang bayi dan banyak lagi cukup membuatkan hati jadi resah. Belakangan ini, kes buang bayi makin berleluasa di mana-mana saja dan dan yang terbaru, seorang bayi dijumpai masih hidup yang dibuang di dalam lubang tandas awam di Pasar Basah, Lembah Keriang, Changlunn (gambar). Siapakah manusia yang tergamak melakukan perkara terkutuk ini? Melayukah dia? atau Cinakah? India atau Siam, tidak pula diketahui. Yang pasti, makhluk walau bergelar haiwan sekalipun tidak akan memperlakukan sedemikian rupa kepada anak kandungnya. Kes-kes seperti ini menggambarkan suatu petanda yang sangat membimbangkan terhadap keadaan sosial masyarakat kita hari ini. Adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan suatu generasi manusia yang tiada lagi pertimbangan akhlak dan adab, yang sudah ridak punya sekelumit roh keimanan dalam jasad mereka?
Bayi yang tidak berdosa ini kebanyakannya adalah hasil daripada perhubungan luar nikah dilakukan pasangan muda. Tanpa rasa belas kasihan, ibu atau pasangan yang terbabit sanggup membuang bayi ke dalam tong sampah, semak, dan di tepi sungai untuk mengelakkan diri mereka dikesan. Ini antara yang dapat dikesan, bagaimana pula dengan sekian banyak bayi yang dibuang dan akhirnya menjadi mangsa gonggongan anjing liar, hanyut dan hilang di sungai-sungai, tertanam di dalam tanah atau di perbetungan?

Apabila perkara ini dibincangkan, masing-masing saling menyalahkan satu sama lain, ibu bapa, sekolah, masyarakat, kerajaan tanpa cuba mencari jalan penyelesaian. Institusi agama, pendidikan dan semua pihak yang terlibat dalam membentuk akhlak masyarakat (sama ada ibu bapa, sekolah, masjid dan lain-lain) perlu memainkan peranan masing-masing. Setiap hari pula kita dihidangkan dengan pelbagai macam maksiat dan perkara-perkara yang melalaikan terutama melalui televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya. Apabila kita longgar dan lalai dalam aspek agama, kita terlalu mengejar kebendaan dan kejayaan dunia, tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala, manusia menjadi individualistik, agama, nilai dan peradaban dicampak ke tepi maka inilah yang akan berlaku. Marilah kita sama-sama menginsafi perkara ini dan bersama berusaha membaiki dan mengambil langkah menyelesaikannya di mana sahaja kita ada kesempatan dan peluang untuk melakukannya.

Ini pula kisah sensasi dalam sehari dua ini, kisah baling kasut. Sebelah kasut pertama terbang di atas kepala Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq 14 Disember, dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik. Wartawan Iraq, Muntazer Al-Zeidi membalingkan kasutnya kepada Presiden George W Bush pada sidang akhbar di Baghdad pada hari Ahad, lalu, sambil melaung dalam bahasa Arab: “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” Jerit Muntazer Al-Zeidi wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq yang berpangkalan di Kaherah, lalu membaling kasut yang dipakainya. “Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq”.
Bush berjaya mengelak kasut tersebut dengan menundukkan kepalanya dan kasut pertama mengenai bendera-bendera AS dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin, manakala kasut kedua tersasar. “.. saiz no 10” Katanya sambil bergurau, walaupun disahut oleh beberapa orang saja.. dan akhirnya Muntazer segera dihukum oleh pengawal keselamatan dan dibawa keluar dari bilik itu. (Anda boleh lihat juga dalam Youtube..)

Pada saya, tindakan wartawan tersebut terhasil secara spontan kesan daripada gelojak dalam emosi, dan emosi itu lahir dari rasa benci dan kesedihannya terhadap peristiwa dan tekanan yang berlaku di Iraq. Dia melihat rakyat di negaranya tak kira orang tua, wanita dan kanak-kanak mati di depan matanya dek kerana kezaliman tentera Amerika. Begitu jugalah lahirnya rasa dendam kesumat terhadapnya. Apa agaknya yang berlaku kepada wartawan tersebut. Mungkin dia sekarang teruk dibelasah di dalam penjara oleh US Secret Agents dan bakal dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan Iraq sendiri. Bagaimana agaknya kalau perkara seperti itu berlaku kepada pemimpin kita di Malaysia, sudah pasti wartawan tersebut kena ISA gamaknya...

Rabu, Disember 03, 2008

Musim tengkujuh, musim kahwin dan musim berkhatan...

Hujan lebat dan musim tengkujuh yang melanda daerahku ini sering menyebabkan aku bernostalgia mengingat zaman lampau yang cukup manis untuk selalu dikenang dan disebut. Musim banjir merupakan waktu yang sangat kami adik beradik nanti-nantikan. Aduhai sungguh indah zaman zaman kecilku di Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Besut. Hujan yang berhari-hari akan menyebabkan Sungai Jerteh akan melimpah dan menyebabkan jambatan Jerteh lama tenggelam dan jalan ke bandar Jerteh terputus. Seluruh kampungku tenggelam tetapi kami adik-beradik pula bersorak riang. Pelbagai rancangan telah diatur tanpa pengetahuan pa; menahan tauk, menjala ikan, mengail, menauk ikan darat dan sebagainya semuanya kami lakukan mengalahkan budak-budak lelaki. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh. Kadang-kadang apabila terfikir segala kenakalan kami waktu kecil ada banyak baiknya kerana mengajar kami adik-beradik menjadi kuat, sabar, tabah dan penuh jati diri. Pacat, lintah, luka dan darah kami tak takut. Ini cukup berbeza dengan anak-anakku, digigit semutpun, boleh menyebabkan mereka menangis berhari-hari.

Musim tengkujuh begini juga pasti ma akan merebus ubi kayu dan dimakan dengan kelapa muda parut dicampur gula bersama kopi O panas kegemaran pa. Kadang-kadang menu ubi kayu bakar cukup menyelerakan. Musim hujan begini ma pasti akan menanak pulut dan dimakan bersama ikan tambang kering yang dibakar dan baunya yang menusuk-nusuk hidung masih lagi kuingati.

Sesekali berkumpul pasti kami adik-beradik, ading Aming, adik Lah, adik Jam, adik Rah, adik Rabi akan bercerita tentang zaman kecil kami dulu dan kami adik-beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali cerita tersebut diulang. Sering kali cerita-cerita tersebut mengundang gelak dan ketawa kami sekeluarga. Sungguh indah mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan apabila terkenang kembali nostalgia itu.