Selasa, Jun 29, 2010

Terima kasih Tuhanku..

Terima kasih Tuhan, Kau begitu sayang akan aku. Pelbagai nikmat dan pemberian yang Kauberikan kepadaku, tak putus-putus. Terima kasih Tuhan, aku terus mampu dan kuat berdiri. Walau pelbagai dugaan, kedukaan mendatang, aku masih mampu tersenyum dan bangkit pada setiap pagi dengan semangat.

Kepada pencipta makhluk sekalian alam, aku memohon daripada-Mu, tenangilah hati ini, cekalkanlah jiwa ini, murnikanlah setiap detik fikiran akal ini, agar sentiasa diri ini berlapang dada, pada setiap ketentuan qada dan qadar-Mu.


NUR MALAM

Renungi malam ini rasa kesangsian
Aku kini berada di alam yang sunyi
Hanya bertemankan bintang dan bulan
Di malam kelam

Hembusan angin bayu pastikan berlalu
Seiring dosa lalu yang membelengguku
Moga semalam jadi pedoman
Dan pengajaran

Langkah kaki kananku
Menyusuri rumah suci
Bermula episod baru
Dalam ketulusan hati

Bila hati menghadap Tuhan
Baru kusedar ada kelemahan
Terasa kerdil berbanding yang Esa
Terharu, terfikir betapa Agungnya Tuhan.....

Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu
Namun tak berupaya menghadapi api neraka-Mu
Terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku

Inginku ubah cara hidupku yang lalu
Menjadi hamba yang diredhai selalu
Tiada palsu wahai Tuhanku
Allah yang satu

Kuakhiri sujud dengan doa
Semoga dikabulkan hajat
Dijauhkan duka lara
kuharap terimalah taubat...

Isnin, Jun 28, 2010

Kek cokelat Nabila

Hari ni, untuk ke sekian kalinya saya dapat menikmati kek cokelat antara yang paling sedap di dunia sekali lagi, hasil air tangan Nabila, murid kesayangan saya, bekas pelajar tingkatan 6 atas tahun 2009 (dah dapat kek, mesti sayanglah.. haha). Jadi, untuk tujuan mencairkan air liur teman-teman, saya muat naik gambar kek cokelat Nabila untuk tatapan dan renungan semua, sebelum kek yang berbaki 2 keping ini masuk ke perut Si Pipi Bulat.

Bayangkan betapa enaknya kek ini dengan taburan cokelat rice (nasi cokelat?) dan toppingnya yang pekat dan tidak begitu manis. Hmm.... begitu menggiurkan!! Jangan hiraukan rupanya yang comot, yang penting, sedap sungguh. Ini baru kek cokelat Nabila. Dengar cerita donut buatan ibu Nabila juga tidak kurang sedapnya. Mengikut kata Najib Zakaria, jiran Nabila, keenakan donut Mok Lah boleh mengalahkan donut Big Apple dan Dunkin Donut buatan Amerika tu.

Terima kasih Nabila. Selamat melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pentadbiran Muamalat untuk sesi pengajian 2010/2011. Semoga berjaya dan berhasil mendapat ijazah dengan cemerlang, dan kemudiannya bolehlah mentadbirkan muamalat/ jual beli kek cokelat dan donut secara komersial pula. Insya-Allah.


dari rimbun ingatan

Ahad, Jun 20, 2010

Terkandas di Guangzhao!.

Semua rakan serombongan sudah selamat pulang ke tanah air, tapi kami...
masih di sini, di Lapangan Terbang Guangzhao menunggu penerbangan esok.
Lapangan terbang Guangzhao



wajah insan terpilih yang terkandas di Guangzhao hampir 2 hari..


terpaksa pakai baju recycle..

kelaparan...

dan akhirnya, yang terkandas di Beijing dan yang terkandas di Guangzhou bertemu juga..

Sabtu, Jun 19, 2010

Makan-makan di Beijing

Hidangan pertama untuk makan malam saya dan teman-teman sebaik sampai di Beijing.

Pinggan (sebenarnya piring kecil yang kita gunakan untuk kuih) dengan sedikit nasi, sayur-sayuran, ikan, bawang besar dan roti.. barangkali menjadi faktor orang China hidup sihat dan panjang usianya.

Lada besar yang digoreng.

Sup telur (menu wajib yang sampai setiap kali kami sudahpun selesai makan)


Masa makan, makan saja apa-apa yang ada di depan mata.
Maklumlah, hanya 2 kali sehari saja kami dapat menikmati hidangan seperti ini sepanjang di Beijing, iaitu untuk makan tengah hari dan makan malam sahaja. Masa menikmati makanan ni, teringat pula kat adinda Jailami yang pastinya akan kembang pipi dan tekaknya lebih-lebih lagi apabila terpandang si mata sepet gadis yang menghidangkan makanan-makanan ni.
Untuk sarapan pagi iaitu di hotel tempat kami menginap, makanan ini saja yang boleh diambil kerana semuanya tergolong dalam golongan makanan yang tidak dipastikan kehalalannya.


Menu sarapan pagi, sedikit buah-buahan, jagung, keledek.


Tanpa Jus-Mate , tanpa formula Dr Ramzie, tanpa pil pelangsing badan, berat badan saya turun lagi 3 kilo. Kalaulah hari-hari makan seperti ini, alamak tak lama lagilah, muka pun jadi macam keledek.


Dan, selepas beberapa hari, ini saja yang mampu ditelan untuk makan malam terakhir saya di Beijing, roti dan sedikit sayur goreng...




walaupun hidangan dinikmati bersama lenggok gemalai tarian daripada penari wanita yang seksi dan menggiurkan.




dan saya mula teringat nasi dengan ikan singgang masakan mak kita kat kampung..


Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa, sekiranya anda bercadang ke China atau negara-negara yang seumpama dengannya, jangan lupa untuk memberatkan beg pakaian anda dengan serondeng ke (bukan "serunding" ya), roti ke, biskut ke, sambal tumis ikan bilis ke, tuna spread ke, mi segera ke, sardin cap ayam ke, jeruk lada ke, atau apa-apa sahaja yang boleh dan halal dimakan.

Sardin cap ayam terakhir milik Puan Farushee, PPD Kemaman.

Sabtu, Jun 12, 2010

Perjalanan ke Beijing 1

Hari ini, seawal 6.30 pagi saya bertolak dari Hotel Concorde Inn KLIA ke KLIA untuk daftar masuk Penerbangan Southern China Airlines. Mata melilau mencari teman-teman, rupa-rupanya saya terpisah kerana mereka semuanya menggunakan Cathay Airlines ke Hong Kong sedangkan saya menaiki SCA ke Guangzhao dengan mereka yang saya tidak kenali. Pada waktu ini, saya tiba-tiba saja rasa terasing, sedih dan seolah-olah keseorangan menghadapi dunia ini. Hati jadi sedih.

Semasa di balai menunggu buat pertama kalinya bertemu dan berkenalan dengan pensyarah daripada Universiti Pendidikan Indonesia Bandung, Dr Tatat Hartati dan Ibu Effy Mulyasari Kartasurya, daripada UMS, Profesor Madya Dr Naimah Yusof dan Puan Rozi Talin. Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun jam 2.30 petang selepas terbang selama lebih kurang 4 jam.
Di sini saya terpaksa menunggu hampir 3 jam untuk meneruskan penerbangan ke Beijing dan barulah bertemu dengan anggota rombongan yang bertolak dari Pulau Pinang. Oleh sebab tiada ruang untuk solat, saya menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar di tepi kaki lima tanpa menghiraukan pandangan aneh daripada orang-orang di situ. Betullah kata teman, kalau masuk ke tandas di negara ini, jangan lupa membawa botol atau bekas air kerana tandas di sini tidak mempunyai paip air, cuma kertas tisu saja. Namun begitu, jangan bimbang, tandasnya bersih lebih bersih daripada tandas di lapangan terbang negara kita.

Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing hampir jam 8.00 malam, kami terpaksa menunggu hampir 2 jam sementara bas tiba untuk menjemput kami ke Hotel Laurel, yang menjadi tempat penginapan kami, juga tempat berlangsungnya Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu, anjuran Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dan USM.

Rabu, Jun 09, 2010

Cuti sekolah dan makan-makan..

Anak-anak time cuti sekolah ni asyik hendak makan saja. Celik mata pagi fikir tentang makan, tengah hari makan, petang makan, lepas maghrib makan lagi. Nak tidurpun asyik nak makan juga. Jangan bercakap tentang diet dan amalan pemakanan yang sihat dengan mereka, pasti ditolak ke tepi. Apabila dibawa makan di luar, bukannya reti mereka nak memilih masakan tempatan, tetapi masakan barat juga yang menjadi pilihan.

Oh, jauhnya beza anak-anak pascamoden dengan zaman kecilku dulu, membesar di kampung, 3 kali sehari dengan makan ruji nasi, sarapan pagi dengan ikan asin yang dibakar mama, makan tengah hari dengan ikan singgang, budu dan ulam-ulaman dan sesekali dengan sambal Pok Mat Jawa (sampai hari ini inilah menu kegemaran kami adik-beradik), dan makan malamnya dengan menu yang sama. Ikan keli, puyu atau haruan yang dibakar atau digoreng sudah cukup menyelerakan. Kami tidak pernah merungut apatah lagi membebel tentang makanan, apa yang ada di depan mata, telan saja walaupun sedap atau tidak. Jika tidak, jelingan mata arwah papa sudah cukup menyebabkan kami diam seribu bahasa dan menikmati makanan tanpa banyak karenah.

Acan, yang asyik lapar saja...

Tok Imam Hasan ni bukan main kuat makan, untuk sarapan pagi, 3 bungkus nasi berlauk disapunya. Kononnya dialah orang yang paling banyak buat kerja kat rumah ini, dari sapu sampah, angkut sampah ke tempat buang sampah, basuh kereta, siram pokok, dan segala macam kerja lagi, katanyalah...hmmm..

Si Pipi Bulat, Kak Eina bukan main naik lagi badan sejak cuti ni. Kononnya nak diet.. Hmmm...


Menu pilihan Si Bongsu Abu Zar dengan Chicken Chop-nya.

Husin Ali dengan lamb chopnya



Kak Eina Si Pipi Bulat memilih beef steak, katanya sesekali tak apa..


Dan yang pasti, apa saja yang ada di depan mata Hasan, pasti licin...

Untuk minum petang ni, mereka mahu menikmati spaghetti istimewa masakan ibu. Resipinya, biarlah rahsia, tapi kata anak-anak, lebih sedap daripada spaghetti di Pizza Hut.

Selasa, Jun 08, 2010

Jangan menangis...

Saban hari saban ketika berita pembantaian umat Islam di Gaza Palestin cukup meruntun jiwa. Pada saat saudara-saudara seagama kita menderita dibantai Yahudi celaka, ramai antara kita yang masih begitu selesa dan boleh bergembira, langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan, tidak peka malah tidak tahu apa-apa yang berlalu di Gaza. Dan, ada yang berduka bukan kerana kesedihan mengenang nasib bangsa seagama, tetapi menangis dan lara kerana putus cinta. Oh...!!!

Ada banyak teman yang berduka lara belakangan ini. Ada teman yang kematian suami semalam. Takziah buat sahabat Saniah Awang Kecik, guru Bahasa Melayu STPM di SMK Tengku Mahmud Besut, yang kehilangan suami tercinta, Allahyarham Azam yang meninggal dunia di Hospital Jerteh semalam kerana penyakit lelah dan tibi. Kasihan, dalam usia yang masih muda terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri. Ada saudaraku yang telah kehilangan ibunya petang semalam. Ada juga teman yang merintih menyatakan kekosongan hatinya, hidupnya tertekan dengan pelbagai gundah yang kecamuk.

Buat mereka dan juga saya. Tabahkan hati selalu ya. Kita sama-sama doakan agar kita tabah, ujian yang kita terima tidak seteruk ujian yang menimpa saudara kita di sana. Semoga kalian teguh dengan iman. Semoga kalian pasrah dengan ketentuan Ilahi. Semoga kalian rela apa yang terjadi.

Apabila mengenangkan semua ini, terasa begitu kerdil diri aku di sisi Ilahi. Banyaknya dosa yang menggunung, sedangkan terlalu kecil jasa dan pahala yang kulakukan. Setiap orang diuji dengan cabaran yang berlainan. Mohon kita restu keinsafan daripada yang KHALIQ. Jangan putus asa ya, teman. Jangan sedih ya Cikgu Za..

Andai kita tahu, betapa besarnya rahmat Tuhan itu, pasti ramai yang mengucap syukur akan nikmat Tuhan sepanjang masa. Semoga aku diizinkan menjadi insan yang lebih baik daripada yang dulu, bukannya menyimpang jauh daripada-Mu.

Dalam kesibukan menyiapkan tugas menyemak kertas ujian pelajar dan segala macam sendu dan lara yang melanda jiwa sejak dua menjak ini, moga-moga buku Penenang Jiwa tulisan Imam Al-Ghazali mampu memberi sedikit ketenangan dan mengisi rohani dan fitrah...

Andai ku tahu….
Kapan tiba ajalku…
Ku akan memohon Tuhan tolong panjangkan umurku

Andai kutahu…
Kapan tiba masaku…
Ku akan memohon tuhan jangan kau ambil nyawaku…
Aku takut akan semua dosa dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku

Andai kutahu…
Malaikat-Mu kan menjemputku…
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu…
Aku takut akan semua dosa-dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku

Ampuni aku dari segala dosa dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu…
Aku manusia yang takut neraka…
Namun aku juga tak pantas di syurga

Andai kutahu….
Kapan tiba ajalku…
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu…
Aku takut akan semua dosa-dosaku…
Aku takut dosa yangg terus membayangiku…
Ampuni aku dari segala dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu

Aku manusia yang takut neraka…
Namun aku juga tak pantas di syurga
Lagu UNGU

Apabila aku menoleh ke belakang, semuanya hanyalah tinggal kenangan..

biar seketika cuma
ini waktu yang kunanti
nikmat damai
dan sapa bayu

terima kasih Tuhan....






dan bangku itu akan terus kosong...

Jumaat, Jun 04, 2010

Cuti sekolah dan kerja sekolah..

Hari ini sekolah-sekolah di Pantai Timur mula bercuti pertengahan tahun selama dua minggu. Kak Jah yang jual nasi lemak waktu pagi kat warung depan rumah saya awal-awal lagi membising, "Hai, seronoklah orang jadi cikgu, budak-budak cuti sekolah, cikgu pun boleh cuti, tak kerja, gaji masuk juga".

Alahai, senyum saja saya mendengar omelan Kak Jah. Dalam hati terbayang pelbagai perkara yang hendak dilaksanakan sepanjang cuti sekolah ni. Saya sudahpun berjanji dengan pelajar-pelajar 6 atas untuk mengadakan kelas tambahan kepada mereka. Saya juga teringat timbunan kertas jawapan budak-budak yang perlu diselesaikan sebelum akhir minggu ini.

Menanda kertas jawapan pelajar bukan setakat menconteng kertas dengan dakwat merah, atau terus meletakkan markah pada kertas mereka, tetapi harus disemak dengan teliti, harus ada komen dan penerangan. Itu yang paling dikehendaki oleh pelajar-pelajar setiap kali mereka menerima kertas jawapan mereka. Kadang-kadang seronok juga mereka apabila melihat kertas putih mereka sudah berubah menjadi hampir merah kerana terlalu banyak kesalahan yang dilakukan.

Barulah mereka tahu sebab kesalahan mereka dan memudahkan mereka untuk membuat pembetulan. Selitkan juga kata-kata semangat atau komen yang membina. Mahu 5 batang pen merah habis ni untuk menyemak kertas pelajar-pelajar ni. Teringat juga keadaan kelas 6 bawah yang masih lagi tidak sempurna kelas mereka. Sebelum cuti baru-baru ni mereka menumpang di makmal sains. Kasihan, bayangkan sepanjang hari mereka duduk di atas bangku makmal tanpa penyandar dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang. Kalau kita yang dah tua ni, mahu tak lenguh belikat. Jauhnya beza prasarana yang disediakan di sekolah luar bandar dan sekolah berasrama penuh atau SBT.Kami bercadang untuk datang ke sekolah menghabiskan masa satu atau dua hari mengubah suasana kelas mereka dari begini,
menjadi paling kurang seperti kelas Cikgu Jimie ini;
Dan, nampaknya cuti sekolah ini saya tetap pergi sekolah.

Khamis, Jun 03, 2010

Selamat pencenlah...

Habis sudah kisah anak beruk dan anak kera yang dijadikan pantun oleh cikgu-cikgu Putra melalui FB beberapa hari ni. Mulia hati rupanya kawan-kawan saya kat Putra ni. Kelemahan orang jangan disebut, jangan dibalas. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas baik. Biarlah apa saja yang pernah dikatakan oleh guru tua itu kepada kami, kepada saya, tetapi sampai waktu, kami akhirkan tempoh perkhidmatannya dengan sambutan yang paling baik dan harapnya memberi kesan kepada perasaan guru itu. Dari hadiah yang hampir satu lori, back drop, van ikan Cikgu Wan yang dihias indah, saya cipta puisi lagi (walaupun tulis dalam keadaan tidak ikhlas), sekurang-kurangnya, taklah disebut-sebut orang luar, orang-orang kat Putra tak pandai menghargai. Selamat bersara, walaupun banyak atau sedikit budi yang dicurahkan, akan kami kenang juga.

Terima kasih semua, terima kasih juga untuk saya.. tapi satu lagi acara pencen bulan depan, ke mana saya nak lari? huhu..