Ahad, Disember 25, 2011

Suroboyo 20 - 24 Disember 2011

Yang sempat terakam sepanjang perjalanan ke Suroboyo...
Tempat pertama yang ditujui sebaik-baik sahaja sampai di Surabaya ialah rumah makan Sari Nusantara


Menginap di Hotel Al-Quds, terletak berdekatan dengan kawasan Sunan Ampel
Air Terjun Coban Rondo
Legenda Coban Rondo


Kawasan Lumpur Lapindo


Benteng bertingkat yang dibina untuk menyekat limpahan lumpur Lapindo

Menyelongkar kedai buku terpakai...
Masjid Sunan Ampel

Penginapan di Malang

Memetik epal di ladang epal Malang




Berbeca mengelilingi kawasan Sunan  Ampel












Sabtu, Disember 24, 2011

Seminar dan Lawatan Kerja ke SMA Negeri 1 dan 6 Surabaya..

21 Disember 2011 -  Mngikuti Bengkel Penulisan Makalah Akademik, anjuran Universitas Negeri Surabaya, Indonesia dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia.
22 Disember 2011 - Mengikuti lawatan kerja ke SMA Negeri 1 dan 6, sekolah berprestasi tinggi Indonesia.




 Membaca sepanduk ini teringat saya kepada gurauan Tuan Yusof, Pegawai Bahasa JPN Selangor yang menukarkannya kepada "Datang Berkarya, Pulang Berkeluarga"

Bergambar kenang-kenangan dengan guru-guru SMA1 Surabaya
Persembahan puisdra daripada siswa SMA1

Terpegun kami melihat penghayatan pelajar-pelajar ini ketika melontarkan pembacaan puisi Indonesia dengan penuh perasan. Menurut guru mereka, mereka mempraktikkan Model Kuantum dalam proses P&P mata pelajaran bahasa Indonesia. Melalui model ini, amalan pengajaran memikat dan mengesankan akan mampu meningkatkan minat siswa mereka mempelajari bahasa kebangsaan. Pegangan guru mereka ialah, bawalah dunia mereka ke dunia kita, hantarkan dunia kita ke dunia mereka. 

Bergambar dengan Kepala Sekolah SMA6

Bangunan Pejabat Gabenor  yang terletak bersebelahan SMA6 Surabaya, dijadikan sebagai "world heritage"

Bangunan Pejabat Gabenor yang terletak bersebelahan dengan SMA6 Surabaya








Rabu, Disember 21, 2011

Kembali ke teratak hamba!

Setelah 13 hari meninggalkan teratak yang terjepit di antara rumah agam ini,
saya mengharapkan daunan kan kekal hijau,
anggerik kan kekal mekar,
biarpun kesturi hilang harum,
mawar tak berkuntum,
saya tetap suka!

Saya tetap rindu akan laman dan teratak ini -
 tempat berbagi cinta, duka, kenangan, tangis dan tawa yang tidak pernah pudar...

Rabu, Disember 07, 2011

Selamat pagi Kuala Lumpur!

Setelah malam pekat berakhir, dihadiahkan-Nya pagi kepada kita. Selamat pagi Kuala Lumpur. Ohhh, Kuala Lumpur!
Nyenyak betul budak-budak kampung, Husin Ali dan Abu Zar tidur malam tadi bertemankan cahaya daripada menara berkembar itu...

Isnin, Disember 05, 2011

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Hatyai Disember 2011

3 Disember 2011:
Dari Yala ke Hatyai, perjalanan memakan masa selama 2 jam. Kami berhenti untuk menikmati sarapan di Chana, daerah Songkhla. Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Yang Berkesan dan Memikat, anjuran yayasan Kebajikan Islam Yala diadakan di Hotel Daiichi, Hatyai Songkhla Thailand. Hotel ini dipilih oleh Ayahanda Tuan Haji Abdul Rahman Tupa kerana memenuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam mereka.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari iaitu  pada 3 dan 4 Disember ini dihadiri oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru bahasa Melayu dari Sekolah Haji Harun dan beberapa buah sekolah di Yala. Keperluan terhadap pengetahuan dan kemahiran menghasilkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang memikat dan menyenangkan timbul apabila pihak pengurusan menerima sungutan daripada guru-guru tentang sikap pelajar yang tidak berminat untuk mempelajari bahasa Melayu di sekolah. Mereka menganggap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu membosankan dan tidak menarik sedangkan mereka perlu lulus bahasa Melayu untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh sekolah. Untuk menjaga kepentingan bahasa Melayu daripada terus luput hilang ditelan zaman, sekolah-sekolah agama swasta yang dikendalikan oleh badan-badan kebajikan ini telah menetapkan bahasa melayu sebagai syarat lulus untuk sekolah mereka. 


Bahasa Melayu digunakan hanya dalam pengajaran mata pelajaran agama, sedangkan dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran akademik, bahasa Thai digunakan sepenuhnya. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Selatan Thai adalah untuk membolehkan mereka memahami kitab-kitab agama yang banyak ditulis dalam bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Thai dalam kehidupan mereka telah menyebabkan mereka semakin hilang kosa kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Thai mendominasi kehidupan masyarakat Melayu di Selatan Thailand ini. Generasi muda lebih petah bercakap dalam bahasa Thai dengan rakan-rakan. Perkara ini membimbangkan generasi tua apabila semakin ramai anak muda yang tidak lagi dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.


Nama-nama kampung dan bandar dalam kosa kata Melayu semakin banyak yang berubah, antaranya nama Wilayah Yala misalnya berasal dari nama Jala, Narathiwat sebenarnya daripada nama Menara, Pattani daripada Petani, Songkhla daripada Senggora dan banyak lagi. Masjid Kru Se misalnya, berasal daripada perkataan Melayu iaitu  Masjid Keresek. Proses asimilasi ini berlaku tanpa sedar dan mereka bimbang suatu waktu nanti bahasa Melayu di Wilayah Islam Melayu ini semakin pupus dan tidak digunakan lagi.

Bengkel yang berakhir pada petang 4 Disember diakhiri dengan pembentangan oleh peserta-peserta kursus. Mereka  telah membentangkan dapatan tentang hasil yang diperoleh oleh mereka, antaranya, mereka gembira kerana didedahkan dengan kepelbagaian teknik, pendekatan dalam mengajarkan bahasa Melayu dengan baik, menarik dan memikat. Mereka juga dapat memahami sistem bahasa Melayu dengan lebih terperinci terutama dalam sistem ejaan, kosa kata dan tatabahasa bahasa Melayu. Mereka juga berharap agar bengkel yang seumpamanya akan dilaksanakan lagi pada masa yang akan datang. 

Semoga dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat membantu guru-guru mereka dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang menarik, berkesan dan memikat.  Akhir kata, rakaman penghargaan dan terima kasih yang banyak saya ucapkan kepada Tuan Haji Razi Bensulong, Presiden Yayasan Pendidikan Islam Yala yang juga Pengarah Sekolah Thamavityamulniti (Sekolah-sekolah Haji Harun Yala), Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengelola Sekolah-sekolah Haji Harun dan Ustaz Soleh Mayaraini, Mudir Maahad Lil-banat yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala yang meraikan kami dengan cukup baik dan hangat. Terima kasih juga atas sambutan dan penerimaan guru-guru   yang cukup baik terhadap kami. Budi baik tuan puan semua kami tak lupa.

Semoga segala kerja buat kita akan diberikan ganjaran dan diberkati Allah S.W.T.









Jumaat, Disember 02, 2011

Sepetang di Pattani dan Yala, Thailand

Ahh, awalnya mahu sahaja saya menolak permintaan Tuan Haji Razi Bensulong, Pengerusi Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala untuk mengendalikan Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat kepada guru-guru yang mengajarkan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah agama Wilayah dan Pattani, Thailand pada 3 dan 4 Disember ini, lebih-lebih apabila memikirkan jadual kerja yang agak padat dengan Bahagian Kompetensi KPM dan Jabatan Pelajaran Terengganu.

Tetapi setelah menyelidiki dan menyusun jadual perjalanan kerja, keluarga dan perkara-perkara lain, permintaan tersebut tertunailah juga. Tambah pula sekarang ialah musim cuti sekolah dan juga, AR pun ada!‎

Dari LCCT Sepang kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai. Di Hatyai, kami dijemput sendiri oleh Tuan Razi Bensulong, Pengerusi Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala, juga Pengarah rangkaian sekolah Haji Haron dan Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengurus Sekolah-sekolah Haji Haron.

Pada awalnya, berat ju
ga untuk memenuhi hasrat mereka untuk membawa kami ke Pattani dan Yala, bimbang faktor keselamatan dan jarak perjalanan yang agak jauh dari Hatyai, iaitu lebih kurang 150 kilometer.

Melihat kesungguhan mereka untuk membawa kami mengenali wilayah Islam kebanggaan mereka, sekolah dan beberapa institusi di sana, kami mengikut sahaja. Sepanjang jalan terdapat beberapa sekatan jalan raya oleh pihak tentera Thailand.



Antara tempat yang sempat dilawati ialah Masjid Kerusek (Krue Se Mosque/ Masjid Sultan Muzaffar Syah) yang terletak di wilayah Pattani, selatan Thailand, masjid bersejarah dan penuh tragis.
Masjid ini dibina dalam abad ke-16 pada zaman kegemilangan pemerintahan kerajaan Melayu-Pattani sebelum ditakluk oleh penjajah Thailand yang kebanyakan rakyatnya beragama Buddha selepas abad ke-18.


Satu peristiwa pembunuhan 34 orang Islam yang terkepung di dalam masjid ini telah berlaku pada 28 April 2004 . Mereka yang kebanyakannya remaja belasan tahun yang bersenjatakan parang dan pisau, telah dibedil dengan tembakan gas pemedih mata, roket dan senjata automatik.
Semua yang bersembunyi di dalam masjid ini mati ditembak dan antara 113 orang yang terkorban setelah melancarkan serangan ke atas 15 buah balai polis dan pos keselamatan di wilayah Pattani, Yala dan Songkhla. Kesan tembakan masih lagi boleh dilihat pada dinding sekitar masjid ini.
Tuan Haji Razi sedang menunjukkan kesan peluru yang masih boleh dilihat pada papan tanda masjid.


Ini ialah kawasan pengajian pondok di salah sebuah perkampungan di wilayah Pattani. Sistem pengajian pondok di Thailand masih lagi mendapat sambutan dan dihormati oleh orang-orang Islam di selatan Thailand untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu agama.

Pusat pengajian pondok di Thailand sering disalahertikan sebagai pusat militan Islam dan penyebaran fahaman anti-Thailand. Bahasa Melayu dialek Kelantan dan bahasa Arab menjadi bahasa pengantar untuk pembelajaran di sini.

Bekas pelajar saya yang bertugas di Konsulat Malaysia di Songkhla, Tuan Nizam agak terkejut apabila diberitahu bahawa kami telah dibawa dan berjaya sampai ke kawasan ini. Katanya, tindakan kami agak bahaya kerana kami mungkin terdedah dengan peluru sesat dan bom. Alhamdulillah, kami selamatpun!
Sebelum menjelang malam, syukur kerana kami sempat menjengah kawasan kampus Maahad Albiksat Addiniah Yala dan Maahad Alirsyad Lilbanat, yang lebih dikenali sebagai Sekolah Haji Haron.

Maahad-maahad ini terletak di tengah-tengah bandar Yala yang menawarkan kelas-kelas pengajian akademik dan agama dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 dan Kuliah Syeikh Daud Al-Fattani. Jumlah murid ialah 8000 orang dan bilangan tenaga pengajar pula ialah 600 orang. Lebih kurang 100 orang guru mengajarkan Bahasa Melayu dan kebanyakan mereka tidak mendapat pendidikan formal dalam bahasa Melayu.


Masjid Jamek Wilayah Pattani...

Kami juga dibawa oleh Tuan Haji Abdul Rahman Tupa dan Tuan Razi melawat ke hospital swasta milik orang Islam Yala yang telah berjaya diambil alih daripada pengusaha berbangsa Cina sebelum ini. Hospital ini menjadi lambang kejayaan ekonomi masyarakat Islam di selatan Thailand.
Hospital swasta milik orang Islam Yala, terletak di tengah-tengah bandar iaitu di Siroros, Yala.

Dan, nampaknya malam ini kami bermalam di Yala, dan seawal pagi esok akan berangkat ke Hatyai, tempat berlangsungnya Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat.
Semoga dipermudah segala urusan. Amin...

Khamis, Disember 01, 2011

Cuti dan kerja...

Nampaknya bulan November dan Disember tahun ini tidak banyak masa untuk kuhabiskan di teratak anjung tak berseri ini. Siapa kata kerja guru itu mudah, apabila cuti habiskan masa bercuti, sampai masa dapat gaji. Ini ungkapan klise Makcik Senah kepada saya semasa menyinggahi warung pisang gorengnya.

Sama ada cuti atau tidak, tugas guru sama sahaja.
Ada yang masih bertugas di sekolah menjalankan kelas bimbingan peperiksaan untuk anak-anak,
ada guru yang bermukim di pejabat sekolah untuk menyediakan buku pengurusan, jadual guru, perancangan strategik, menguruskan buku-buku teks,
ada guru yang bertugas mengawasi peperiksaan SPM dan STPM,
ada yang memeriksa kertas peperiksaan dalaman dan awam,
menganalisis keputusan peperiksaan,
menyiapkan fail pengurusan panitia mata pelajaran,
ada guru yang dipanggil untuk menghadiri kursus, mesyuarat, seminar dan pelbagai program peningkatan profesional keguruan,
dan macam-macam lagilah!

Ahh.. memang banyaklah kerja guru!

Ohh.. ini jadual saya;
14 - 19 November - Bengkel kerja analisis data kompetensi di Avillion Admiral Cove, Port Dickson
22 - 23 November
- kelas bimbingan terakhir untuk kertas Bahasa Melayu 2 STPM saya
28 - 29 November - membimbing guru-guru penempatan baharu Terengganu tahun 2011 tentang pengajaran yang berkesan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan
29 November - 2 Disember - menyiapkan tugas-tugas penyediaan dokumen kompetensi Kementerian Pelajaran di Seri Chempaka Service Suites Cheras Kuala Lumpur
2 - 5 Disember - Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Guru-guru Selatan Thai di Hatyai, Songkhla Thailand
5 - 9 Disember - menyiapkan modul pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi Kementerian Pelajaran Malaysia
13 - 14 Disember - kelas terakhir Bahasa Melayu Kertas 1 STPM
20 - 24 Disember - Lawatan PPBMM ke Surabaya
29 Disember - Mesyuarat Pengurusan Sekolah/ Mesyuarat Guru Sesi Persekolahan 2012
1 Januari - sesi persekolahan 2012 pun bermula.

Semoga dalam selang tugas,
kita dapat mencari rahmat Allah,
menjana ilham dan berinspirasi,
meneroka makna kehidupan,
memupuk kasih yang terungkai,
membina kekuatan,
untuk mendepani kehidupan
dan kerjaya yang lebih mencabar pada tahun-tahun mendatang
. Amin!

Selasa, November 01, 2011

Cerita tentang PROSPEK...

Salam buat semua. Hari ini saya sedikit rajin. Sudah lama saya ingin mengemaskinikan blog saya, tetapi saya rasa sangat malas dan tidak bersemangat. Cikgu apa ni...

Saya ingin sekali menulis sesuatu yang santai, yang tidak memberatkan fikiran dan pemikiran. Oleh itu, apa kata saya bercerita tentang PROSPEK yang akan menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dikatakan menjadi penyebab kepada sekian ramai penjawat awam tidak dapat naik pangkat kerana gagal PTK. Rasa-rasanya isu ini tidaklah terlalu berat untuk kita baca. Wah!

Kata Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2011 (dibaca sebagai Belanjawan 2011), “Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan dan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.” Jadi, PTK sudah dimansuhkan dan digantikan pula dengan PROSPEK yang akan menjadi kaedah baharu untuk menilai kecekapan dan kompetensi penjawat awam, termasuklah guru.

Saya sedikit bernasib baik kerana diberi kesempatan untuk turut sama menyumbangkan idea dalam membangunkan sistem penilaian baharu ini, terutama untuk warga pendidik dan setakat ini telah terlibat dalam 3 fasa PROSPEK iaitu fasa pengkonsepsian, fasa perealisasian dan fasa rintis.

KONSEP PROSPEK:
Berbeza dengan PTK yang mengutamakan penilaian berbentuk peperiksaan, PROSPEK menekankan pendekatan pembangunan kompetensi dan potensi secara lebih menyeluruh. PROSPEK diharapkan dapat menilai kompetensi dan potensi pegawai dalam melaksanakan tugas semasa dan ketika menghadiri program pembangunan. Elemen pembangunan bertujuan untuk membangunkan kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang jawatan pada gred yang lebih tinggi.

Baca lagi ya... Kalau kurang faham, buat-buatlah faham..

OBJEKTIF PROSPEK:
1. Menilai kompetensi dan mengenal pasti potensi pegawai;
2. Membangunkan kompetensi dan potensi pegawai untuk ke jawatan pada gred yang lebih tinggi;
3. Meningkatkan pembangunan diri dan peluang kemajuan kerjaya pegawai; dan
4. Melahirkan pegawai berprestasi tinggi.

Terdapat 2 komponen dalam PROSPEK, iaitu:
1. Penilaian Khas Kompetensi (PKK)
2. Program Pembangunan Potensi (PBP)

Komponen Penilaian Khas (PKK)

1. PKK dilaksanakan untuk mengenal pasti pegawai-pegawai yang berkompetensi dan berpotensi serta dilgunakan sebagai satu mekanisme untuk memilih pegawai yang layak untuk mengikuti PBP. (Catatan: PKK ini ibarat PTK-lah, mesti lulus untuk kenaikan gred)

2. PKK dilaksanakan melalui penilaian oleh panel dengan menggunakan Borang PKK berdasarkan kepada dimensi
  • Pengetahuan dan kemahiran,
  • Sahsiah dan tingkah laku,
  • Potensi,
  • Kreativiti dan inovasi
Program Pembangunan Potensi (PBP)
Program ini bertujuan untuk membangunkan kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang gred jawatan lebih tinggi. Pemilihan PBP dipilih daripada pegawai yang kompeten dan berpotensi setelah melalui proses PKK. Jumlah pegawai yang mengikuti PBP adalah sama dengan jumlah kekosongan jawatan, dan pegawai yang mencapai tahap yang ditetapkan akan dipertimbangkan untuk menyandang jawatan di gred lebih tinggi.

Komponen dalam PBP:
1. Pusat Pembangunan Potensi (Potential Development Centre - PDC)
2, Pembangunan Profesional Berterusan (Continous Professional Development - CPD)
3. Latihan Berasaskan Kompetensi (Competency Based Training - CBT)
4. Program pembangunan kompetensi sedia ada (diubah suai)

Pelaksanaan PROSPEK bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional

Kalau masih belum jemu, bacalah lagi...

Dalam usaha untuk merealisasikan PROSPEK, KPM telah mengadakan 2 persidangan dan beberapa resolusi telah dicapai iaitu;
1. Kaedah peperiksaan tidak sesuai digunakan untuk menilai kompetensi, dan penilaian hendaklah dilaksanakan secara objektif, telus, holistik dan berterusan serta memberikan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan prestasi
2. Pengupayaan kepada organisasi untuk melaksanakan penilaian kompetensi berdasarkan job based and work place;

Resolusi ini menuntut suatu transformasi penilaian kompetensi daripada sistem penilaian yang , berpusat kepada sistem penilaian yang holistik di tempat kerja. Beberapa kaedah penilaian telah dicadangkan, antaranya ialah:
1. Semakan evidens
2. Temu bual
3. Pencerapan
4. Pemerhatian

Jadi, ini bermakna, guru perlu menyediakan dokumen sebagai bahan bukti terhadap apa-apa sahaja tugas yang dilaksanakan daripada proses perancangan, pelaksanaan dan hasil kerja . Dalam proses penilaian, pihak pusat (BPPK) akan menetapkan tempoh penilaian. Fleksibiliti diberi kepada organisasi untuk melaksanakan penilaian dalam tempoh yang sesuai.

Proses penilaian boleh dijalankan di mana-mana sahaja dalam organisasi berkenaan di lokasi tempat kerja (work place) seperti pejabat, bilik darjah, makmal, bengkel, dewan dan padang. Penilaian begini lebih autentik kerana kompetensi penjawat awam dinilai berdasarkan kerja sebenar di tempat kerja.

Penilaian juga dibuat terhadap kepelbagaian sumber evidens. Evidens yang dimaksudkan boleh berupa respons, catatan, penulisan (dokumen), artifak, persekitaran dan hasil daripada kerja calon yang boleh dijadikan bukti untuk menilai tahap kompetensi calon.

Seperti yang selalu disebut-sebut oleh Encik Najib, KPSU BPPK, "one size does not fit all", satu kaedah penilaian tidak semestinya sesuai untuk semua. Sudah pasti PROSPEK yang bakal diperkenalkan pada 2012 ini akan menerima pelbagai respons daripada para penjawat awam. Tunggu dan nantikan kedatangannya!

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada bahan taklimat Rintis yang dibekalkan oleh BPPK kepada jurulatih utama Rintis di pusat-pusat rintis seluruh negara).

Sabtu, Julai 02, 2011

Bulan Julai datang lagi...

Pejam celik pejam celik, bulan Julai datang lagi. Apabila masuk sahaja bulan Julai ni, debarnya lain macam. Maklumlah, bulan Julai ini bulan kelahiran. Bukan berdebar kerana pertambahan umur, tetapi kerana selalunya, setiap tahun belakangan ini, bulan Julai seolah-olah menjadi sedikit sadis. Tuntutan pekerjaan, bengkel sana bengkel sini, kem elit, tutorial, star dan pelbagai jenis lagi menyebabkan diri terasa berkejar-kejar dan dikejar dengan masa. Ingin rasanya menjadi seperti guru yang lain, mengajar dengan senang-lenang di sekolah tanpa perlu berfikir banyak tentang tugas luar dan pada masa yang sama perlu memikirkan tentang kelas-kelas yang tertinggal yang perlu diganti. Ahh.. saya jadi cemburu dengan mereka.

Tetapi begitulah kehidupan, masing-masing kita ada bahagian dan ada bahagianya. Semoga ada rezeki, kemudahan, rahmat dan cinta Tuhan untuk kita semua.

Selamat menempuh bulan Julai, semoga semuanya selamat...

Wahai Tuhan, jauh sudah
lelah kaki melangkah
aku hilang tanpa arah
rindu hati sinar-Mu

Wahai Tuhan, aku lemah
hilang terlumur noda
hapuskanlah terangilah
jiwa di hitam jalanku

Ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya Engkau
Sang Maha Pengampun Dosa

Ya Rabbi, izinkanlah
aku kembali pada-Mu
meski mungkin takkan sempurna
aku sebagai hamba-Mu

Ampunkanlah aku
terimalah taubatku
sesungguhnya Engkau
Sang Maha Pengampun Dosa

Berilkanlah aku
kesempatan waktu
aku ingin kembali
kembali...

Dan meski aku tak layak
sujud pada-Mu
dan sungguh tak layak
aku...

Taubat- Opick