Rabu, April 03, 2013

Masa untuk berehat daripada FB!


Ya, saya nyahaktifkan akaun Facebook saya untuk beberapa ketika untuk memberi ruang kepada pemerhati-pemerhati FB saya berlapang dada dan melakukan kerja mereka yang lebih penting dengan baik daripada menyibukkan diri meneliti dan mentafsir status FB saya. 

FB hanyalah satu daripada medan untuk saya berkongsi pengalaman, kegembiraan dan pengamatan tentang sesuatu perkara dengan teman-teman. Berkongsi hobi dan kesukaan. Jikalau status-status FB saya disiasat seolah-olah saya telah melakukan pengkhianatan besar terhadap negara, untuk apa saya berlama-lama dengan FB lagi. Jika status saya tentang bunga, tentang bulan, dan kadang-kadang tentang hati dianggap mempunyai provokasi dan unsur politik, maka suatu kebodohan besarlah orang-orang itu...

Rupa-rupanya menjadi kesalahan apabila saya menulis status-status FB seperti ini:

"Pemimpin negara berucap dalam bahasa Inggeris dalam situasi rasmi...."
"Oh, sudah lama saya tidak memandang bulan!"
"Kubuka jendela Jumaat, dan kulihat hijau. Indah!"
"Apa salah adik saya?"
"Berita-berita TV3 tidak membina minda bangsa merdeka!"

Saya tidak kesal jika saya disiasat kerana saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai pendidik, jika saya meninggalkan kelas PdP, jika ada anak orang yang patah kerana pukulan saya, atau saya didapati tidak memeriksa tugasan pelajar atau ponteng kerja. Saya akur. Tetapi jika saya disiasat dan dibincangkan oleh pengurusan pendidikan daerah dan negeri  hanya kerana beberapa status FB saya yang kurang menyenangkan mereka, maka saya sangat kesal dan sebal. Dan, yang tambah menjadikan saya marah ialah dakwaan mereka dibuat atas dasar "dengar cakap orang" sahaja. Mereka bukan rakan-rakan FB sayapun!

Nampaknya kita akan jadi generasi "pok ko angguk" sajalah...

Maaf, saya mempunyai terlalu banyak urusan dan kerja yang lebih penting demi memajukan pendidikan anak-anak murid saya. Saya hanya guru biasa, bukan siapa-siapapun!

Isnin, April 01, 2013

Bengkel Pemantapan PdP Bahasa Melayu, Yala 23 - 25 Mac 2013

Dipetik daripada blog Dari Nurani Mayaraini Yala
http://zaree-muhamad.blogspot.com

PUISI SEBEKAS CINTA
membawa arca cinta
pada bahasa pada bangsa tercinta
berbanggalah...
kalau cinta itu melebihi besarnya gunung
melintasi semudera rasa
melewati jalur masa
tak lentur dek hentam
tak hancur dek ribut kencang
tak lapuk dek zaman

kalian adalah pahlawan

berdiri gagah di tugu usang
agar bahasa bertugu gagah sakti berpaksi
jangan biarkan tangan hantu
meroboh lagu syahdu nyanyian warisan

kalian adalah guru bahasa..

berucaplah dalam bahasa terindah
berantau pulaukan sistem bahasa 
menebar sistem pembentukan dan morfologi
halus bahasa celik peribahasa
dilembutkan dengan sastera indah manja mempesona
mendalami, menggali
cangkul dan uli
menyingkapi budaya bahasa sampai ke akar umbi

inilah tugasmu guru bahasa

mengembang minda memupuk jati peribadi

jangan! jangan bertapak di tapak lama

melangkahlah dengan jangkauan bijak
andai mau menjadi burung
jangan pula menjadi ayam berpanjangan

Wangi bahasa

Kita hidu harumnya
semerbak dengan nafas dalam
berona di teratak hati
Kita kunyah aksaranya
ke lubuk makna
memijar bahtera jiwa

Aroma bahasa

Kita selami indahnya
meluas seantero dunia
segar pesona bait kata

Haruman bahasa 

Kita pukul gendang dan tabuh
biar alun bergema
merata- rata
ke laut.. ke langit.. ke angkasa.. ke hutan belantara
menjulang martabat
menyuluh dada gelap
melayari bahtera kehormat

dideklamasikan oleh Ustaz Soleh Wandeng pada Seminar Pembelajaran Bahasa Yang Memikat, 23-3-2013 Parview Hotel, Jala Thailand


Tuan  Haji Soleh Wandeng, Mudir Maahad al-Irsyad lil-Banat, Yala, Timbalan yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala membuka majlis dengan bacaan puisi tulisan beliau...

Acara perasmian Bengkel Pemantapan Pengajaran Bahasa Melayu, Yala Mac 2013  oleh Tuan Tsavi Soadsoang,  Setiausaha Badan Pentadbiran Kerajaan Wilayah Selatan Thailand (So-O-Bo-To)










Penerangan tentang sistem bahasa Melayu, perbezaan sistem tulisan jawi dan rumi. Turut sama ialah Dr Hasan, yang  berkhidmat di Arab Saudi, Pengerusi Yayasan Sains dan Teknologi.




Cikgu Zainul Abidin bin Ariffin mengendalikan bengkel pembinaan bahan bantu belajar


Cikgu Atikah Hamzah





Anakanda Lokman, anak yatim piatu yang dibawa oleh salah seorang peserta, menjadi  peserta paling aktif dan betul-betul mengaplikasikan PdP yang aktif dan menyenangkan!