Selasa, Ogos 22, 2017

Panduan untuk ibu bapa...

Perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa yang anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan UPSR, PT3, SPM dll:

1. Jangan benarkan anak-anak menggunakan hp sehinggalah anak-anak selesai menduduki peperiksaan. Simpan hp anak-anak. Jika tiada hp lagi baik. Hp menghilangkan tumpuan untuk belajar, juga penyebab kelalaian dan membuang masa.
2. Pastikan anak-anak solat lima waktu dan seboleh mungkin berjamaahlah dengan mereka sekurang-kurangnya pada waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.
3. Suruhlah anak-anak membaca al-Quran sekurang-kurangnya antara waktu Maghrib dan Isyak.
4. Kawal pergaulan anak-anak. Jangan dibiarkan anak-anak keluar rumah selepas waktu persekolahan terutama pada waktu petang atau malam. Berkawan di sekolah sudah cukup.
5. Jangan benarkan anak-anak menonton tv terutama pada waktu malam. Malam ialah waktu untuk mengulang kaji pelajaran. Ibu bapa juga kenalah berkorban untuk tidak menonton tv.
6. Suruh anak-anak tidur awal. Tidur lewat menyebabkan anak-anak akan mengantuk di dalam kelas.

Ini saja pesan saya hari ini. Terima kasih.

Ahad, Ogos 20, 2017

Kosa kata baharu!

Tanda pagar #cikguzacomel telah menjadi sohor kini terutama apabila setiap kali hantaran yang dibuat olehnya mendapat perhatian ramai. Hantaran beliau di FB tentang iklan acah sesuatu barangan telah menyebabkan agen pesan hantar yang dilantik untuk mengedarkan makanan cekut itu tidak menang tangan untuk melayani tempahan daripada warga siber.
Faham tak?
Hashtag = Tanda pagar
Fingers Food = Makanan cekut
Trending = Sohor kini
Teaser = Iklan acah
Posting = Hantaran
Dropship = Pesan hantar

Cara yang telah dilaksanakan untuk membentuk istilah-istilah di atas, DBP telah menggunakan proses pinjam terjemah iaitu terjemahan langsung dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sedia ada dalam bahasa Melayu.

Dah pakar yang tentukan, kita terima sajalah walaupun ada yang tidak bersetuju.

#kosakatabaharu

Ahad, Ogos 13, 2017

Kenapa mengantuk di kelas?

Ada atau tidak pelajar di dalam kelas ini yang keluar malam?
14 daripada 16 orang pelajar mengangkat tangan. 4 orang tidak hadir.
Berapa orangkah yang ibu bapa pelajar di dalam kelas ini yang tidak kisah anaknya keluar malam dan tidak endah pukul berapa anak-anaknya pulang?
12 orang mengangkat tangan.
Apa yang awak semua buat di luar rumah pada waktu malam?
Kebanyakannya menyatakan bahawa mereka keluar untuk minum-minum di kedai dengan kawan atau sesekali berlumba motosikal di jalanan.
Pukul berapa pulang?
Pukul 12 malam dan kadang-kadang pukul 1 atau 2 pagi.
Ibu bapa tak marah?
Tidak.
Allahu. Sedihnya.
Sekarang tahulah saya antara sebab mereka selalu tertidur di dalam kelas.
Wahai ibu bapa, tolong pantau anak-anak. Jangan dibiarkan mereka keluar rumah pada waktu malam. Malam ialah waktu untuk belajar, berehat dan bersama-sama ahli keluarga. Cukuplah mereka berkawan di sekolah sahaja!
Buat peraturan semasa anak-anak masih kecil lagi, jika sudah menjadi buluh sukar untuk dilentur lagi.

Khamis, Ogos 10, 2017

Jari besor!

Kepada pemilik jari besor dan lebar, tolong semak dulu ejaan dalam mesej anda sebelum klik butang hantar. Terkejut saya, tau!
Petang Jumaat ni jadi ke nak mati?
Haaaa?
Ehh, sorry. Typo. Jari besor. 
Jadi ke nak mari petang Jumaat ni?
Jawab saya:
Kalau nak pergi nanti saya bagi tahi.
Ehhh... sorry. Typo. Jari besor.
Nanti saya bagi tahu ya!

#jaribesor