Ahad, April 06, 2008



Sudah Lama Tak 'Up-date' blog nih...
Salam. Kerja yang bertimbun menyebabkan saya tak punya ruang untuk mengemaskinikan blog saya ni. Melangkah saja kaki ke bilik guru selepas seminggu berada di luar daerah, pelbagai arahan, pertanyaan, tugasan yang terpaksa difikirkan. "Cikgu, mana soalan Bahasa Melayu Tingkatan 4 untuk TOV?", tanya Puan N. "Cikgu, cikgu kena pergi ke tempat perhimpunan, ada pertemuan mentor-mentee pelajar2 SPM", "Cikgu, mana kertas kerja untuk Latihan Dalam Perkhidmatan?, cikgu kena hantar segera ke PPD", "Cikgu, kita nak bertanding Forum Remaja minggu depan, tolong sediakan teks ya" "Cikgu, mana tugasan yang cikgu tinggalkan untuk kami minggu lepas, saya masih belum dapat lagi", "Akak, PPD telefon minta analisis TOV STPM segera".. Aduh.. bisa pecah kepalaku, kalau tidak ditangani dengan baik, boleh jadi stress ni.

Mungkin ramai yang mengalami situasi seperti ini, lalu kubelek ruang siber mencari maklumat tentang stress. Stress ialah tiNdak balas fizikal, emosi, dan mental kepada sebarang bentuk perubahan. Semua manusia tanpa mengira latar belakang mengalami stress. Stress tidak semestinya sesuatu yang negatif. Adakalanya stress boleh menjadi faktor motivasi kepada seseorang dalam mengembangkan potensi dirinya. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, stress yang keterlaluan mampu mengakibatkan tekanan perasaan dan menjejaskan kesihatan. Harapnya stress yang kualami ini tidak akan menjejaskan mental dan kesihatanku.

Stress boleh terjadi kerana pelbagai faktor penyebab, antaranya akibat daripada rasa kekecewaan terhadap keterbatasan diri seperti mengalami kecacatan dan kurang keyakinan, masalah keluarga seperti keluarga berantakan dan masalah kewangan, faktor komuniti dan rakanrakan sejawat tidak membantu ketika anda memerlukan.

Dalam dunia pekerjaan, stress terjadi disebabkan oleh objektif dan struktur organisasi yang kurang jelas, perkembangan kerjaya, status dan gaji yang tidak memuaskan, peranan yang berkonflik, tugas yang membosankan dan tidak mampu menonjolkan bakat. Perkara-perkara ini berupaya memberikan tekanan yang besar terutamanya kepada individu yang tahu potensi diri terhadap bidang kerjanya.

Memiliki kerja yang terlalu banyak atau terlalu sedikit, waktu kerja yang tidak anjal dan terlalu panjang, kurang sokongan daripada rakan sekerja atau pegawai atasan, konflik interpersonal dan konflik antara tuntutan kerja dan rumahtangga juga antara perkara yang berupaya mendatangkan tekanan atau stress sekiranya tidak dapat dibendung dengan baik.

LANGKAH MENGATASI
Banyak langkah yang boleh dipraktikkan dalam menangani stress di tempat kerja antaranya meningkatkan sokongan sosial di tempat kerja melalui jalinan tali persahabatan sesama rakan sekerja. Menerusi jalinan itu, sikap percaya-mempercayai akan terbina dengan harapan agar segala permasalahan dapat dikongsi bersama.

Selain itu, senantiasa mempraktikkan pemikiran yang rasional dan positif. Pemikiran, kepercayaan atau perasaan yang negatif dan tidak rasional acapkali menyebabkan salah faham, justeru jangan biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan anda. Pastikan tafsiran anda tentang sesuatu situasi sepadan dengan fakta. Anda juga seharusnya menggantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif dengan keterangan yang lebih munasabah.

Komunikasi secara berkesan juga penting dalam mengatasi masalah stress. Jadilah pendengar yang baik dan berkomunikasi secara asertif dengan sentiasa menghormati pandangan yang diberikan oleh orang lain walaupun anda kurang bersetuju dengannya. Anda harus bijak meluahkan pendapat secara jelas, tepat, dan tegas dengan menggunakan fakta yang tidak disulami dengan perasaan.

Kritikan boleh memotivasikan dan mematikan semangat seseorang pekerja. Sungguhpun begitu, kritikan yang diterima jika dapat ditangani dengan baik mampu memotivasikan anda. Apabila dikritik, anda digalakkan bertenang. Sekiranya kritikan berbentuk membina dan benar, terimalah kritikan itu seadanya beserta dengan langkah-langkah yang sewajarnya dalam menangani butiran kritikan tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya kritikan itu mengandungi butiran yang tidak benar dan menyinggung perasaan anda, dapatkan maklumat dari mana butiran kritikan itu diperoleh dan anda bertanggungjawab membetulkan tanggapan yang salah tersebut daripada terus membelenggu dan menjejaskan prestasi kerja anda.

Apabila stress, seseorang itu berkecenderungan untuk berasa marah. Justeru, bagi menangani stress, anda perlu mengetahui cara menangani kemarahan anda dengan berkesan. Akui bahawa anda sedang berada di dalam keadaan marah dan cuba berhenti daripada marah. Bertenang dan tarik nafas panjang dalam kiraan sepuluh sambil mengucap. Rancang fikiran anda dengan mengenal pasti punca kemarahan tersebut dan dalam pada masa itu, cuba mendengar penjelasan orang lain dengan fikiran yang waras. Adalah sangat ditegah untuk anda memperkatakan sesuatu perkara yang akan menyakiti hati orang lain atas niat menghukum.

Gunakan daya tindak yang berkesan iaitu dengan beredar ke tempat lain jika anda masih lagi tidak dapat mengawal kemarahan anda. Anda juga boleh berbincang dengan individu yang dipercayai jika tidak mampu mengendalikan kemarahan anda. Sekurang-kurangnya kemarahan tersebut dapat diredakan. Namun, walau apa sekalipun, anda seharusnya membiasakan diri sentiasa bersedia memaafkan dengan berpegang kepada prinsip bahawasanya setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

Pengurusan masa yang bijak juga merupakan antara langkah yang dapat mengatasi masalah stress. Anda perlu akui bahawasanya setiap manusia dibekalkan dengan 24 jam sehari. Justeru, pengurusan masa mengikut kepentingan dan keperluan menerusi cara menyenaraikan kepentingan dan keperluan itu mengikut pengkelasan ‘perlu dilaksanakan segera’ sehingga ‘pelaksanaan tidak segera’ sangat digalakkan atau dalam erti kata lain, deligasikan tugas dan kepentingan anda secara berkesan.

Selain daripada langkah-langkah di atas, amalan hidup secara sihat menerusi senaman dan amalan pemakanan dan diet yang seimbang turut membantu mengurangkan stress. Amalan hidup sihat seperti tidak merokok dan minum minuman beralkohol bukan sahaja dapat menghindarkan diri daripada penyakit malahan juga dapat memenuhi tuntutan agama yang melarang umatnya daripada memudaratkan diri sendiri. Penuhi hidup anda dengan aktiviti bermakna seperti perjumpaan dengan rakan-rakan, beriadah bersama keluarga, dan lain-lain. Semoga rencana yang saya petik daripada laman web Yayasan Dakwah Islamiah ini dapat membantu kita mengurangkan tekanan akibat stress. Jumpa lagi

9 ulasan:

Fenrisar berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Abibi berkata...

Sabarlah cikgu, ini semua dugaan. Tapi tanganilah stress dengan bijaksana yee!!!

Abibi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
din berkata...

Kakza.. rajin2lah datang pejabat sekolah nih!!!

din berkata...

Kakza.. rajin2lah datang pejabat sekolah nih!!!

Ditaur berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Wireless berkata...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Wireless, I hope you enjoy. The address is http://wireless-brasil.blogspot.com. A hug.

Akinol berkata...

See Please Here

hussien berkata...

Semoga Za terus memberi sumbangan pemikiran dari berbagai sudut pandang.