Jumaat, Oktober 16, 2009
Cikgu Vs Datin....
Malam tadi, selepas tahlil mingguan keluarga kami , ma menunjukkan majalah Mingguan Wanita yang dibawa oleh Che Su Jah untuk kami baca. Patutlah beria-ia sangat Che Su membawanya untuk kami, rupanya ada gambar dan rencana tentang kejayaan anaknya dalam majalah itu. Sudah bergelar Datin rupanya dua pupu kami yang juga rakan sepermainanku, Datin Asparila Yaakub, seorang usahawan yang berjaya, mampu melancong ke serata dunia sehinggakan untuk mendapatkan rawatan SPA sahaja dia sanggup ke Bali. Rakan taulannya bukan lagi orang biasa, orang kampung seperti kami tetapi para Datuk dan para Datin, ahli korporat dan usahawan yang kaya raya.
Ahh.... jauhnya beza kehidupannya sekarang dengan kami adik-beradik walaupun pencapaian akademik kami lebih jauh mengatasinya. Sudah lama juga aku tidak bertemu dengannya. Kalaupun dia pulang ke kampung, siapalah kami untuknya datang menjenguk bertanya khabar kerana kami bukanlah siapa-siapa dan tidak punya apa-apa, cuma sebuah gelaran yang akan kami bawa sampai mati iaitu "Cikgu Za", "Ustazah Jailami", dan "Ustazah Milah". Kami adik-beradik masih kekal di kampung ini, meneruskan hari-hari kami dalam mendidik anak-anak bangsa di daerah ini agar mereka terus menjadi "manusia". Kami juga kaya dan mewah dengan bekas murid-murid, dari penoreh getah, kuli, tukang sapu, cikgu, kerani, lawyer, majistret, peguam, doktor hinggalah kepada ahli korporat. Semoga sahabatku, rakan sepermainanku, rakan sepersekolahanku Datin Asparila Yaakub dan suaminya, Datuk Mohd Azmi Ibrahim akan terus dimurahkan rezeki yang berlimpah ruah dan diberkati hidup mereka sekeluarga. Kami bangga juga kerana kerana sekurang-kurangnya ada juga kenalan kami dari kalangan ahli korporat.
Untuk ibuku, ma tercinta, berbanggalah dengan anak-anakmu ini kerana walaupun kami tidak kaya, tidak mampu melimpahimu dengan wang dan emas berlian berjuta dan tidak mampu membawamu melancong ke serata dunia, namun anak-anakmu ini mampu menjengukmu saban hari dan ketika terutama setelah pa telah tiada meninggalkan kita selamanya. Dan yang pastinya, bingkisan untuk ayahanda tercinta akan terus kami berikan, tahlil keluarga akan tiada hentinya selagi hayat kami masih ada. Kami adik-beradik akan terus bersamamu susah mahupun senang.
Dan adik-adikku, Adik Lah dan Adik Aming, walaupun kehidupan kita sederhana dan tidak kaya, berbanggalah dan bersyukurlah dengan profesion kita, diri kita dan kurnia-Nya kepada kita. Semoga kita semua akan berjaya dalam lapangan yang kita ceburi dan mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya sentiasa.
Doaku, "Ya Allah, ya Rahman, ya zal jalal li wal ikram. Dengan kebenaran al-Quran-Mu yang mulia, dengan kemuliaan nabi-Mu yang tercinta, dengan kebesaran nama-nama-Mu yang tersedia ada, pohon kiranya kami para guru sentiasa terpelihara, terpelihara tutur bicara dan kata-kata, terpelihara tingkah laku dan budi bahasa, terpelihara dari sifat malas dan lemah bekerja, terpelihara niat dan kelakuan yang berdosa, terpelihara daripada termakan dan terminum yang bukan milik kita....."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
hu hu hu..nampaknya sampai ke tualah hidup saya menoreh getah. Bilalah pak andak saya boleh dapat gelaran 'datuk'. Alahai pak andak.. mak andeh kepingin jugak gelaran mak datin.
Yang benar,
Mak Andeh Moden
baru dapat talian internet di rumah yang pak andeh curi dari jiran sebelah.
Saya tahu benar Mak Andeh Moden memang kedekut tahap gaba, asyik curi line internet jiran sebelah je. Apa barang!
Catat Ulasan