Selasa, Julai 06, 2010

Bertambah lagi usiaku!!!

Saya dilahirkan pada hari Isnin 3 Rabiulawal 1385 dan ini bermakna, usia saya lebih tua setahun berbanding dengan kalendar Masihi. Ramai yang bertanya, hari ini sambutan ulang tahun kelahiran saya yang ke berapa? Tak kisahlah, 25 ke, 35, ke, 52 ke, yang penting, hari ini bertambah setahun lagi usia saya , dan jangka hayat saya untuk menikmati sisa-sisa hidup di dunia ini semakin pendek.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua teman, saudara-mara, pelajar-pelajar saya baru dan lama yang mengirimkan ucapan sama ada lewat FB, SMS atau e-mel. Kebanyakannya mendoakan perkara yang sama, iaitu semoga panjang umur, semoga murah rezeki, mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah. Dan sudah pasti tak ada orang yang mendoakan kita agar cepat-cepat mati. Takkanlah pula kan?

Masa saya kecil-kecil dulu rasa-rasanya tak pernah pun saya diraikan dengan sambutan hari jadi hatta semasa menuntut di universiti pun, tiada langsung perkataan sambutan hari jadi dalam kamus hidup saya. Apabila usia sudah menginjak dewasa, sudah bekerja, barulah mendengar perkataan hari jadi ni, hadiah hari jadi dan kek hari jadi. Mungkin dah ada duit sendiri kot...

Untuk anak-anak atau siapa sahaja, sambutan hari jadi atau ulang tahun itu tidak penting. Tetapi, yang penting ialah kita jadikanlah sambutan hari jadi, atau sambutan hari ulang tahun perkahwinan sebagai hari untuk kita lebih menghargai insan di sekeliling kita, sama ada isteri kita, suami, anak-anak, ibu, bapa, rakan dan sebagainya. Biarpun tiada hadiah yang bernilai sejuta, atau menerima beg tangan Louis Vuitton seperti Siti Nurhaliza yang bernilai RM40,000, bersyukurlah. Tetapi, kalaulah dapat sebuah kereta pun jadilah ya... (ada unsur materialistik dalam ayat ini)

Tetapi pada setiap hari jadi kita, jika sambutan hari jadi kita diingati, dan kita diraikan pula oleh suami, anak-anak, sanak saudara serta rakan-rakan, itu sudah merupakan suatu hadiah yang sangat indah dan tidak ternilai.

Diraikan teman sejawat, terima kasih Teacher Suzi Azianti!!

Semoga hari ulang tahun kelahiranku kali ini menjadi titik tolak dan pendorong untuk aku menjadi insan lebih baik, seorang isteri yang lebih bertanggungjawab, seorang ibu yang mampu berperanan dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang baik dan berguna.

“Ya Allah! Kau panjangkanlah usiaku agar aku boleh menjadi isteri yang baik dan taat, seorang ibu yang boleh mendidik dan membesarkan anak-anakku menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, agar aku dapat berbakti kepada ibu dan keluargaku, dan yang penting, semoga aku dapat bertaubat dan mengumpulkan amalan-amalan yang baik buat bekalan pada hari itu nanti. Amin!!!

4 ulasan:

Unknown berkata...

Amin..bak kata pepatah.."A year older, a year wiser.."

Semoga cikgu sentiasa dirahmati..Insya Allah..=)

health-beauty-slimming berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
health-beauty-slimming berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
health-beauty-slimming berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.