Isnin, Ogos 02, 2010

Jom beli tanah di Cameron Highland!!!

Entah berapa puluh kami sekeluarga ke Cameron Highlands. Kali ini kami pergi lagi, kebetulan pula terlibat dengan sedikit tugas rasmi. Kali ini semangat bertambah-tambah kerana teringat janji dengan bonda untuk membawanya ke sana. Bonda selalu menyebut-nyebut bahawa dia tidak pernah sampai ke tanah tinggi tersebut. Kasihan bonda, teringat arwah pa...


Pemergian kami yang agak kerap ke sana sering menjadi bahan usikan teman-teman bahawa kami mempunyai ladang sayur dan bunga di sana agaknya. Memang pun, pemergian kami ke sana sejak dulu lagi hanya untuk "membeli tanah" di sana. Dan Cameron Highlands juga menjadikan hubungan rapat kami dengan beberapa orang pengusaha kebun bunga dan sayur hingga ada antara mereka yang kerap juga bertandang ke rumah kami.
Ada banyak tarikan yang menyebabkan saya suka ke sana. Saya masih ingat lagi semasa lebuh raya Gua Musang ke Cameron Highlands belum siap, kami terpaksa menghabiskan perjalanan selama 8 hingga jam untuk ke sana melalui Kuala Kangsar dan Tapah. Tarikannya? Pohon-pohon bunga yang segar, kaktus, orkid, strawberi dan yang pastinya jagung mutiara yang segar sentiasa menggamit dan memanggil-manggil kami. Kebetulan pula berkongsi minat yang sama dengan AR.



Strawberi yang manis untuk sarapan bersama susu segar dan emping jagung bermadu.. fuhh!!

Hanya Si Bongsu yang sentiasa mengikut kami sedangkan abang-abang tidak lagi berminat untuk ke sana. Jemu kata mereka, CH hanya ada pokok-pokok, hutan dan sayur-sayuran.

Sarapan pagi yang berkhasiat

Dan, setiap kali bangun pagi, udara segar yang kami hirup dan pemandangan yang menyejukkan di luar jendela bilik penginapan kami begitu mengujakan...



Di sini, di Cameron Highlands, banyak mengajar saya untuk belajar menghargai insan yang sentiasa di sisi saya, susah dan senang, AR. CH mengembalikan cinta dan sayang saya...




dan kaktus-kaktus yang gebu dan sihat di sini memberi suntikan peransang kepada kami untuk menyegarkan kaktus-kaktus di rumah kami yang makin layu dan tidak bermaya...



Dan yang paling penting, kedatangan kami ke Cameron Highlands adalah untuk mencari tanah. Hah, Cikgu Za jangan kau perasan kaya pulak ya.. bukan hartanah ya, tetapi tanah untuk menanam pokok daa... semua kelengkapan untuk menguruskan kebun kaktus kami seperti tanah, baja, lumut kami dapatkannya di CH.

Cameron Highlands, kami akan datang lagi.

2 ulasan:

Mawar Desa berkata...

Suspen je Cikgu Za ni, saya inghat beli tanah utk bina banglo kat Cameron Highlands, rope2nya beli soil utk menanam pokok bunga. Lawa juga Cikgu XZa ni ya. Apapun tahniah cikgu.

Akula berkata...

memori terindah di cameron highland sentiasa menggamit hati