Rabu, Disember 07, 2011

Selamat pagi Kuala Lumpur!

Setelah malam pekat berakhir, dihadiahkan-Nya pagi kepada kita. Selamat pagi Kuala Lumpur. Ohhh, Kuala Lumpur!
Nyenyak betul budak-budak kampung, Husin Ali dan Abu Zar tidur malam tadi bertemankan cahaya daripada menara berkembar itu...

Jumaat, Disember 02, 2011

Sepetang di Pattani dan Yala, Thailand

Ahh, awalnya mahu sahaja saya menolak permintaan Tuan Haji Razi Bensulong, Pengerusi Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala untuk mengendalikan Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat kepada guru-guru yang mengajarkan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah agama Wilayah dan Pattani, Thailand pada 3 dan 4 Disember ini, lebih-lebih apabila memikirkan jadual kerja yang agak padat dengan Bahagian Kompetensi KPM dan Jabatan Pelajaran Terengganu.

Tetapi setelah menyelidiki dan menyusun jadual perjalanan kerja, keluarga dan perkara-perkara lain, permintaan tersebut tertunailah juga. Tambah pula sekarang ialah musim cuti sekolah dan juga, AR pun ada!‎

Dari LCCT Sepang kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai. Di Hatyai, kami dijemput sendiri oleh Tuan Razi Bensulong, Pengerusi Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala, juga Pengarah rangkaian sekolah Haji Haron dan Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengurus Sekolah-sekolah Haji Haron.

Pada awalnya, berat ju
ga untuk memenuhi hasrat mereka untuk membawa kami ke Pattani dan Yala, bimbang faktor keselamatan dan jarak perjalanan yang agak jauh dari Hatyai, iaitu lebih kurang 150 kilometer.

Melihat kesungguhan mereka untuk membawa kami mengenali wilayah Islam kebanggaan mereka, sekolah dan beberapa institusi di sana, kami mengikut sahaja. Sepanjang jalan terdapat beberapa sekatan jalan raya oleh pihak tentera Thailand.
Antara tempat yang sempat dilawati ialah Masjid Kerusek (Krue Se Mosque/ Masjid Sultan Muzaffar Syah) yang terletak di wilayah Pattani, selatan Thailand, masjid bersejarah dan penuh tragis.
Masjid ini dibina dalam abad ke-16 pada zaman kegemilangan pemerintahan kerajaan Melayu-Pattani sebelum ditakluk oleh penjajah Thailand yang kebanyakan rakyatnya beragama Buddha selepas abad ke-18.

Satu peristiwa pembunuhan 34 orang Islam yang terkepung di dalam masjid ini telah berlaku pada 28 April 2004 . Mereka yang kebanyakannya remaja belasan tahun yang bersenjatakan parang dan pisau, telah dibedil dengan tembakan gas pemedih mata, roket dan senjata automatik.
Semua yang bersembunyi di dalam masjid ini mati ditembak dan antara 113 orang yang terkorban setelah melancarkan serangan ke atas 15 buah balai polis dan pos keselamatan di wilayah Pattani, Yala dan Songkhla. Kesan tembakan masih lagi boleh dilihat pada dinding sekitar masjid ini.
Tuan Haji Razi sedang menunjukkan kesan peluru yang masih boleh dilihat pada papan tanda masjid.


Ini ialah kawasan pengajian pondok di salah sebuah perkampungan di wilayah Pattani. Sistem pengajian pondok di Thailand masih lagi mendapat sambutan dan dihormati oleh orang-orang Islam di selatan Thailand untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu agama.

Pusat pengajian pondok di Thailand sering disalahertikan sebagai pusat militan Islam dan penyebaran fahaman anti-Thailand. Bahasa Melayu dialek Kelantan dan bahasa Arab menjadi bahasa pengantar untuk pembelajaran di sini.


Bekas pelajar saya yang bertugas di Konsulat Malaysia di Songkhla, Tuan Nizam agak terkejut apabila diberitahu bahawa kami telah dibawa dan berjaya sampai ke kawasan ini. Katanya, tindakan kami agak bahaya kerana kami mungkin terdedah dengan peluru sesat dan bom. Alhamdulillah, kami selamatpun!
Sebelum menjelang malam, syukur kerana kami sempat menjengah kawasan kampus Maahad Albiksat Addiniah Yala dan Maahad Alirsyad Lilbanat, yang lebih dikenali sebagai Sekolah Haji Haron.
Maahad-maahad ini terletak di tengah-tengah bandar Yala yang menawarkan kelas-kelas pengajian akademik dan agama dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 dan Kuliah Syeikh Daud Al-Fattani. Jumlah murid ialah 8000 orang dan bilangan tenaga pengajar pula ialah 600 orang. Lebih kurang 100 orang guru mengajarkan Bahasa Melayu dan kebanyakan mereka tidak mendapat pendidikan formal dalam bahasa Melayu.

Masjid Jamek Wilayah Pattani...

Kami juga dibawa oleh Tuan Haji Abdul Rahman Tupa dan Tuan Razi melawat ke hospital swasta milik orang Islam Yala yang telah berjaya diambil alih daripada pengusaha berbangsa Cina sebelum ini. Hospital ini menjadi lambang kejayaan ekonomi masyarakat Islam di selatan Thailand.
Hospital swasta milik orang Islam Yala, terletak di tengah-tengah bandar iaitu di Siroros, Yala.

Dan, nampaknya malam ini kami bermalam di Yala, dan seawal pagi esok akan berangkat ke Hatyai, tempat berlangsungnya Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat.
Semoga dipermudah segala urusan. Amin...

Khamis, Disember 01, 2011

Cuti dan kerja...

Nampaknya bulan November dan Disember tahun ini tidak banyak masa untuk kuhabiskan di teratak anjung tak berseri ini. Siapa kata kerja guru itu mudah, apabila cuti habiskan masa bercuti, sampai masa dapat gaji. Ini ungkapan klise Makcik Senah kepada saya semasa menyinggahi warung pisang gorengnya.

Sama ada cuti atau tidak, tugas guru sama sahaja.
Ada yang masih bertugas di sekolah menjalankan kelas bimbingan peperiksaan untuk anak-anak,
ada guru yang bermukim di pejabat sekolah untuk menyediakan buku pengurusan, jadual guru, perancangan strategik, menguruskan buku-buku teks,
ada guru yang bertugas mengawasi peperiksaan SPM dan STPM,
ada yang memeriksa kertas peperiksaan dalaman dan awam,
menganalisis keputusan peperiksaan,
menyiapkan fail pengurusan panitia mata pelajaran,
ada guru yang dipanggil untuk menghadiri kursus, mesyuarat, seminar dan pelbagai program peningkatan profesional keguruan,
dan macam-macam lagilah!

Ahh.. memang banyaklah kerja guru!

Ohh.. ini jadual saya;
14 - 19 November - Bengkel kerja analisis data kompetensi di Avillion Admiral Cove, Port Dickson
22 - 23 November
- kelas bimbingan terakhir untuk kertas Bahasa Melayu 2 STPM saya
28 - 29 November - membimbing guru-guru penempatan baharu Terengganu tahun 2011 tentang pengajaran yang berkesan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan
29 November - 2 Disember - menyiapkan tugas-tugas penyediaan dokumen kompetensi Kementerian Pelajaran di Seri Chempaka Service Suites Cheras Kuala Lumpur
2 - 5 Disember - Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Guru-guru Selatan Thai di Hatyai, Songkhla Thailand
5 - 9 Disember - menyiapkan modul pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi Kementerian Pelajaran Malaysia
13 - 14 Disember - kelas terakhir Bahasa Melayu Kertas 1 STPM
20 - 24 Disember - Lawatan PPBMM ke Surabaya
29 Disember - Mesyuarat Pengurusan Sekolah/ Mesyuarat Guru Sesi Persekolahan 2012
1 Januari - sesi persekolahan 2012 pun bermula.

Semoga dalam selang tugas,
kita dapat mencari rahmat Allah,
menjana ilham dan berinspirasi,
meneroka makna kehidupan,
memupuk kasih yang terungkai,
membina kekuatan,
untuk mendepani kehidupan
dan kerjaya yang lebih mencabar pada tahun-tahun mendatang
. Amin!

Pautan semusim

Related Posts with Thumbnails