Ahad, Mac 17, 2013

Lagu rindu-rindu...


Puisi untuk anak-anak Putra yang telah saya tinggalkan...

Lagu Rindu-rindu

Pagi-pagi lagi
mereka datang
tanpa buku dan jadual waktu
yang diheret cuma wajah lesu
dan kasut penuh debu
dan lebih sering
menyanyikan lagu rindu-rindu.

Tapi kami masih mampu
menyambut mereka
di pintu sekolah
sambil mengemaskan
rambut kusut
mengikat  tali kasut
menunjukkan tempat duduk
mengingatkan jadual waktu
sesekali membetulkan lirik lagu
lalu kami bernyanyi sama-sama
lagu rindu-rindu.

Wajah lesu dan kusam ini
adalah nyawa kami
yang perlu kami jaga
adalah maruah kami
yang akan kami junjung
adalah masa depan
yang tetap kami cerahkan.

Walau dengan kusam baju, lusuh seluar
semangat lesu, mata layu
walau tidak mengenal abjad dan angka
tidak mengerti hidup untuk apa
mereka tetap menyimpan cahaya
dalam lubuk hati yang dalam
untuk harapan masa depan.

Ibu bapa mereka tidak selalu berfikir
tentang resah kami
mengatur nasib anak-anak ini
setelah menghantar anak di pintu sekolah
mereka juga melonggokkan harapan
di meja tugas kami
agar anak mereka
berbudi mulia, pandai mengira,
membaca dan lulus periksa
supaya nanti punya kerja
dan menjadi kaya.
Semua itu tugasmu guru, kata mereka
kerana mereka tak punya masa
dan tidak tahu apa-apa.

Kami dihambat pihak atasan
menjanjikan segugus markah A dan sekian GPS
sedangkan sebilangan mereka
hanya mampu mengenal suku kata
dan masih tak dapat mengeja.

Jangan berbicara tentang SBT,
tentang pengantarabangsaan pendidikan
NKRA dan harapan muluk-muluk.
Bagi kami
cukuplah mereka tahu menghargai
orang yang menyuapkan nasi
membuat kira-kira dan mengenal abc
walau hasilnya nanti
mereka tak punya pekerjaan tinggi
dan hanya jadi penoreh
nelayan atau petani.

Inilah anak-anak kami
yang akan kami gilap
menjadi intan
walau dengan payah
dan tak pernah diendah.

Biarlah kami di sini
bergelumang dengan kusam wajah
bergelut membetulkan keras lidah
sambil mengajarkan kira-kira dan cara mengeja
menjernihkan pandangan mereka
melihat dunia yang penuh warna
untuk digenggam dengan ghairah.

Lalu kami pun mekarkan senyuman
pada setiap pagi
menyambut mereka di pintu
dan bersama menyanyikan
lagu rindu-rindu.


Fariza Nurbaya Muhammad
SMK Putra, Jerteh
Utusan Malaysia 21 Mei 2012

Tiada ulasan: