Rabu, April 03, 2013

Masa untuk berehat daripada FB!


Ya, saya nyahaktifkan akaun Facebook saya untuk beberapa ketika untuk memberi ruang kepada pemerhati-pemerhati FB saya berlapang dada dan melakukan kerja mereka yang lebih penting dengan baik daripada menyibukkan diri meneliti dan mentafsir status FB saya. 

FB hanyalah satu daripada medan untuk saya berkongsi pengalaman, kegembiraan dan pengamatan tentang sesuatu perkara dengan teman-teman. Berkongsi hobi dan kesukaan. Jikalau status-status FB saya disiasat seolah-olah saya telah melakukan pengkhianatan besar terhadap negara, untuk apa saya berlama-lama dengan FB lagi. Jika status saya tentang bunga, tentang bulan, dan kadang-kadang tentang hati dianggap mempunyai provokasi dan unsur politik, maka suatu kebodohan besarlah orang-orang itu...

Rupa-rupanya menjadi kesalahan apabila saya menulis status-status FB seperti ini:

"Pemimpin negara berucap dalam bahasa Inggeris dalam situasi rasmi...."
"Oh, sudah lama saya tidak memandang bulan!"
"Kubuka jendela Jumaat, dan kulihat hijau. Indah!"
"Apa salah adik saya?"
"Berita-berita TV3 tidak membina minda bangsa merdeka!"

Saya tidak kesal jika saya disiasat kerana saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai pendidik, jika saya meninggalkan kelas PdP, jika ada anak orang yang patah kerana pukulan saya, atau saya didapati tidak memeriksa tugasan pelajar atau ponteng kerja. Saya akur. Tetapi jika saya disiasat dan dibincangkan oleh pengurusan pendidikan daerah dan negeri  hanya kerana beberapa status FB saya yang kurang menyenangkan mereka, maka saya sangat kesal dan sebal. Dan, yang tambah menjadikan saya marah ialah dakwaan mereka dibuat atas dasar "dengar cakap orang" sahaja. Mereka bukan rakan-rakan FB sayapun!

Nampaknya kita akan jadi generasi "pok ko angguk" sajalah...

Maaf, saya mempunyai terlalu banyak urusan dan kerja yang lebih penting demi memajukan pendidikan anak-anak murid saya. Saya hanya guru biasa, bukan siapa-siapapun!

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sikap manusia yang memang tak ada kerja cari kerja.....

Unknown berkata...

Follow back ya... :)