Pemikiran yang Hebat - Suka bercakap tentang idea
Pemikiran yang sederhana - Suka bercakap tentang peristiwa
Pemikiran yang lemah - Suka bercakap tentang orang lain
Pemikiran yang sempit - Suka bercakap tentang diri mereka/ diri sendiri
Saya bukan ingin bercakap tentang pemikiran, tetapi ingin memperkatakan sesuatu yang simple dan santai sahaja iaitu perihal nama. Nama yang saya maksudkan di sini bukanlah nama tempat atau nama yang melambangkan kemasyhuran tetapi nama panggilan manusia yang tertera pada kad pengenalan kita.
Kita mengenal seseorang melalui nama mereka. Ada nama-nama yang biasa dan lazim yang dipilih orang seperti Abdullah, Muhammad, Kasim, Yusof, Daud, Awang, Kalsom, Fatimah, Salmah, Hasmah, dan Maimunah. Namun begitu, nama-nama Islam dan membawa makna yang baik akan menjadi pilihan utama. Menurut sebuah hadis dari Rasulullah SAW, nama yang baik diberikan kepada anak-anak dari kaum muslimin ialah nama para nabi. Yang lebih afdhal (utama) dan disukai oleh Allah SWT ialah Abdullah dan Abdur Rahman. Nama yang paling tepat ialah Harith dan Hammam. Nama yang paling buruk pula ialah Harb (perang) dan Murrah (pahit). Oleh itu, menjadi kewajipan bagi ibu bapa untuk memberikan nama yang baik kepada anak-anaknya. Pada dasarnya, memberikan nama yang baik kepada anak-anak bukanlah wajib hukumnya. Namun, jika ditinjau dari segi kesan dan akibat yang timbul daripadanya, maka hukumnya akan beralih menjadi wajib secara sendirinya. Pilihlah nama yang dianjurkan oleh Islam atau sekurang-kurangnya nama yang membawa maksud yang baik.
Di sekeliling kita, terdapat banyak nama yang unik dan jarang didengar. Seingat saya, semasa di sekolah rendah dahulu ada rakan-rakan yang bernama Bulat dan Pek. Mengikut cerita adinda Jay, ada rakannya yang bernama Yumi Jubageli (cerita ini telah diceritakannya kepadaku 30 tahun yang lalu tapi masih kekal dalam ingatan... harapnya cerita ini benar, bukan rekaannya semata-mata). Ada rakan-rakan saya dahulu ayah mereka lebih gemar menamakan anak mereka dengan nama bintang filem pada masa itu seperti Latifah, Norkumalasari, Saadiah dan Normadiah. Kerana polis tersilap tulis dan pengaruh dialek, nama Zaitun boleh berubah menjadi Zaitong, atau Razali menjadi Razalaik. Ada juga teman-teman yang memiliki nama perempuan sedangkan mereka lelaki, contohnya Rohani, Fariza dan Norizan.
Sebagai guru, biasanya pelajar yang mempunyai nama yang unik akan lebih mudah diingati. Kadang-kadang saya lebih mengingati nama bapa mereka berbanding dengan nama mereka. Contohnya, nama Sarnua, Remali, Raizizon akan lebih mudah diingati dan kekal dalam ingatan dalam jangka masa yang lama. Ketika bertugas di luar daerah minggu lepas, saya berkenalan dengan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Kota Bahru, Puan Norani namanya. Beliau sangat peramah dan mempunyai banyak cerita yang menarik dan lucu. Sepanjang 1 jam lebih perjalanan dari Morib ke KLIA, kami tak henti-henti ketawa mendengar cerita beliau tentang keunikan nama suaminya. Menurut Puan Norani, nama suaminya dipilih daripada nama yang terdapat di dalam sebuah hikayat Jawa. Kerana keunikan nama tersebut, suami beliau pernah dihantar berkhidmat sebagai pengetua di salah sebuah estet di pedalaman Pahang. Bil rumah mereka juga lebih tinggi berbanding dengan rumah-rumah lain semata-mata kerana syarikat air menyangkakan rumah tersebut milik kilang membuat air batu. Yang lebih melucukan, di dalam senarai nama buku telefon, nama suaminya terkelompok bersama-sama dengan nama bangsa India seperti Jaya Kumar, Jayarama. Namun begitu, sangkaan Puan Norani bahawa hanya suaminya sahaja pemilik mutlak nama tersebut meleset kerana nama JAYAMARA rupanya juga dimiliki oleh beberapa orang Melayu yang lain!!!!
1 ulasan:
Saya sangat tertarik dengan cerita tentang keunikan nama ini.Saya juga pernah mendengar cerita seorang lelaki yang bernama 'Jantan Anuar Jah'.Mungkin polis tersilap dengar.Saya juga pernah terkejut pada hari pertama mengajar di SKKB11 ada murid yang bernama serupa dengan saya.Setelah diselidiki rupanya anak kepada teman lama di SMKB.Jadi sekarang SKKB11 mempunyai 2 SAIFULTERA. Satu dengan WAN dan satu lagi tiada.
Catat Ulasan