Ahad, Februari 15, 2009

Sains Dan Matematik Tidak Semestinya Diajar Dalam Bahasa Inggeris!!!


KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Subjek Matematik dan Sains boleh diajar dalam mana-mana bahasa dan tidak semestinya hanya dalam bahasa Inggeris, kata Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini.

Beliau berkata kedua-dua subjek itu boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa kerana tujuan utama ialah untuk mempelajari subjek tersebut dan bukan bahasa Inggeris. “Anda boleh buat (belajar Sains dan Matematik) dalam bahasa Melayu agak baik, anda boleh buat dalam bahasa Cina juga sangat baik, anda boleh buat dengan baik dalam bahasa Jerman, tidak ada istimewanya mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa tertentu,” katanya kepada pemberita selepas memberikan Syarahan mengenai ‘Mencari Kejayaan’ pada Siri Syarahan Anugerah Merdeka di sini.

Katanya ramai yang memperoleh pengetahuan malah dalam bahasa Melayu dan Matematik sebagai satu bahasa simbolik yang boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa. “Pada 1974, kita mengambil masuk pelajar Melayu di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya. Kini graduan Pusat Asasi Sains merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan dan mereka mempelajarinya semua dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, bahasa bukanlah isunya,” katanya.

Ungku Aziz berkata juga bahasa Melayu boleh menjadi alat untuk memastikan pencapaian perpaduan nasional. “Anda hanya boleh mempunyai perpaduan nasional jika setiap orang boleh memahami seseorang dalam satu bahasa. Jika orang ramai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil tetapi mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan ini kita tidak boleh ada perpaduan nasional,” kata beliau.

Beliau juga berkata sistem pelajaran negara tidak mempromosikan pemikiran kreatif dan selagi sistem mengamalkan pilihan pelbagai dalam peperiksaan, orang ramai tidak akan kreatif. “Sekurang-kurangnya anda mesti mempunyai satu subjek mengenai pemikiran sama ada pemikiran kreatif atau pemikiran sisian pada peringkat sekolah sehingga pengajian tinggi,” kata beliau.

Syarahan ini adalah siri ketiga daripada enam siri Syarahan Anugerah Merdeka untuk 2008/2009 yang dianjurkan bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell....BERNAMA

Catatan saya...
Sehingga hari ini saya tetap mengagumi ketokohan dan pemikiran Ungku Aziz. Saya masih terbayang-bayang kelibatnya semasa berjoging sekitar kampus ketika saya menuntut di Universiti Malaya [pada tahun 1985/ 1988 dulu) dan bergerak di dalam kampus dengan Volvo 740-nya. Pada ketika itu, di bawah pimpinan beliau sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya berada pada kedudukan antara sepuluh universiti terbaik dunia. Semua mahasiswa belajar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua fakulti dan jurusan tidak kira pelajar perubatan, undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya. Pada masa yang sama, kami juga mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik walaupun kadang-kadang terkebil-kebil dan terkial-kial menterjemah karya-karya bahasa Inggeris klasik tentang Josseline de Jong. Masih terbayang senyum sinis Si Awang Rajuk apabila melihat saya yang sering menjadi punca kemarahan dan sindiran Profesor Abu Hasan Sham kerana terjemahan yang merapu dan "tertinggal" kelas hampir maghribnya.. Ahhh... manisnya bila terkenang waktu itu....

4 ulasan:

ali allah ditta berkata...

Beginilah dasar pendidikan yang kita alami bila pembuat dasar tak tau apa yang dia buat. Mereka politikan dasar pendidikan untuk memenuhi selera mereka. Tapi,pernahkah mereka ini merasai apa yang mereka buat?

Anak pinak dan kaum kerabat mereka dihantar ke luar negeri untuk belajar. Cuba tanya Najib anaknya belajar di mana sekarang? Sek Tengku Kursiah,Sek Men Setapak?. Kalau itulah hakikatnya saya tabik besar kpd.Rosmah & Najib.

Terfikirkah Hishammuddin kenapa ramai murid-murid yang ambil UPSR tahun lalu yang sememangnya sudah diduga akan mendapat gred F dalam Sains dan Maths tiba-tiba dapat gred C?

Kalau Hishammuddin nak tau sekolah-sekolah mana boleh saya senaraikan.

Soal kenapa ranking universiti2 tempatan merosot,itu kena tanya UMNO.

Apakah tidaknya cikgu,kalau cikgu-cikgu dipaksa sign surat akuanjanji supaya taat kepada gomen UMNO....what can you expect? Apatah lagi bila semua professor & tanaga pengajar IPT tersebut diarah tandatangani akuanjanji. Dlm. ertikata lain bila kita tanda tangani akuanjanji ini kita dah jadi hamba kepada kelibat2 UMNO & pemimpin2 yang buta tuli itu.

Universiti sepatutnya ada otonominya. Di situ tempat mahasiswa mencambah fikiran dan bertukar-tukar idea. Tetapi bila minda mereka dibendung,pergerakan mereka diawasi,lantik canselor2 & profesor kangkong yang dok kowtow kepada pemimpin2 UMNO yang buta tuli...lingkoplah IPT kita.

Patut sekolah & IPT terbuka kepada semua bukan khas untuk menteri2 gomen,UMNO & BN. KPM kononnya takut kalau pembangkang masuk habis minda pelajar menjadi korup. Itu UMNO dok buat mesyuarat cawangan kat dewan sekolah dan bila Menteri mai menteri asyik dok cakap pasai kebaikkan gomen buat. Bukankah itu propoganda politik murahan BN/UMNO?

Mereka patut open dan hadapi isu ini dengan berani bukan setakat meraung dengan mengkhunas keris dalam majlis pok amai-amai AGM UMNO setahun sekali itu. Tapi mereka tak berani...kecut teloq kata orang tanjong!

Ungku Aziz adalah seorang yang open minded. Saya ingat pada tahun 1969 bila kami terperangkap di DTC setelah membuat demonstrasi bantahan kerana soal bahasa,Ungku Aziz datang sendiri dan memujuk supaya berunding. How down to earth can he be? Reasoningnya penuh dengan logik dan memberi hujjah yang begitu bernas. Berbanding dengan canselor sekarang yang terkurung dalam bilik air-con 24 jam bersama-sama setiausaha sulit mereka. Bila berlaku sesuatu,telefon polis mai cekup.

Lets hope for a brighter Malaysia in years to come.

cheers.

Tanpa Nama berkata...

Jadi apa lorongan yang tinggal dan kebetulan PAS memberikan pentasnya dan saya meminjam pentas itu.

Kalau Parti KeADILan Rakyat (PKR) memberikan pentasnya saya akan pinjam juga.

Kalau Umno memberikan pentasnya juga saya akan gunakan itu.

Saya tidak mahu BAHASA SAYA ITU diKUNCUPKAN, diNAZAKKAN dan diKUBURKAN - A. Samad Said.

ali allah ditta berkata...

Baca ulasan PPSMI oleh Nik Safiah A.Karim dalam blog berikut...

http://cikguazrin.blogspot.com/2009/02/prof-datuk-nik-safiah-karim-srikandi.html

Tanpa Nama berkata...

Prof. Datuk Nik Safiah Karim - Srikandi Bangsa

Malam tadi, jam 10.10 hingga 10.55, Yang Berbahagia Profesor Datuk Nik Safiah Abdul Karim menyampaikan ceramah beliau berhubung dengan Pengajaran-Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Dataran Hamas, Pejabat Pas Kawasan Jasin, Melaka. Walaupun terpaksa menahan kesejukan kerana hujan namun lebih 1000 orang yang hadir tidak berganjak mendengar kupasan yang cukup akademik, bersemangat lagi menarik daripada tokoh bahasa Melayu tersohor di rantau ini.

Tulisan saya kali ini memuatkan sebahagian daripada isi kandungan ucapan beliau. Setiap butir kalimatnya sangat bermakna, tegas serta sopan. Inilah kekuatan guruku.

Katanya, "Lama-lama bangsa Melayu tidak akan ada bahasanya di dunia ini."

Tiga sebab penting mengapa saya menentang dasar PPSMI ini.

i. Dasar ini tidak adil.

Dasar ini tidak adil kerana menganaktirikan golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar. Orang yang menyokong dasar ini adalah mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka tidak peduli orang di luar bandar yang miskin, tidak mampu menghantar anak tuisyen, malah ada yang tidak tahu ada guru tuisyen yang boleh mengajar anak-anak mereka. Dasar ini hanya mengntungkan segolongan kecil orang di bandar manakala yang rugi adalah orang luar bandar. Di mana keadila? Mengapa kita mesti menyokong dasar yang tidak adil ini?

ii. Dasar ini tiada alasan kukuh untuk dilaksanakan.

Kajian Unesco menyatakan ilmu dasar seperi sains dan matematik lebih baik diajar dalam bahasa ibundanya. Hal ini lebih disedari oleh masyarakat Cina. Mereka menolak dasar ini dan tetap mengajar murid mereka dalam bahasa Cina. Kejayaan Jepun, Korea, China, Perancis dan Jerman kerana semua negara itu mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda. Di Indonesi, tiga tahun pertama persekolahan, murid diajar dalam bahasa ibunda sama ada Jawa Sunda, Makasar dan sebagainya. Hanya tahun keempat, murid diajar bahasa Indonesia. Mengapa kita tidak belajar daripada kejayaan orang lain?

iii. Dasar ini tidak betul.

Ia terbit daripada kerisauan pemimpin yang anak-anak kita tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka tidak risau anak-anak tidak tahu berbahasa Arab atau membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. Mereka nak bawa ilmu dari luar, berniaga dan seumpamanya. Anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negara bertahun-tahun, apabila pulang ke tanah air menghadapi masalah bertutur bahasa Melayu. Tetapi mereka menyalahkan bahasa Melayu sebab anak-anak mereka tidak tahu berbahasa Melayu. Mereka adalah seperti doktor yang tersalah memberi ubat untuk mengubati penyakit yang lain.

Kita perlu sedar bahawa bukan bahasa Inggeris sahaja bahasa antarabangsa malah bahasa-bahasa Arab, Sepanyol, Mandarin juga adalah bahasa antarabangsa.

Persoalan ahli-ahli bahasa ialah, mengapa hanya sains dan matematik mesti diajar dalam bahasa Inggeris? Jika anak-anak belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu pun mereka tidak faham dan cemerlang, apatah lagi bahasa Inggeris.

Jika ingin tingkatkan bahasa Inggeris, baikilah apa sahaja kelemahan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut. Jangan usik bahasa Melayu. Guru-guru era pasca merdeka, khususnya yang belajar sains dan matematik dilatih dalam bahasa Melayu tetapi dikehendaki mengajar dalam bahasa Inggeris. Adilkah mereka yang berkursus bahasa Inggeris tiga bulan dipaksa melaksanakan tugas sedemikian? Sebab itu, adalah sangat zalim memaksa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Anak-anak tidak mendapat ajaran yang sempurna kerana guru tidak terlatih dalam bahasa Inggeris. Amat zalim apabila anak-anak dipaksa bercakap dan menguasai konsep matematik dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak faham. Mereka yang mempertahankan dasar ini berdosa kepada anak-anak, ibu bapa, guru serta bangsa Melayu keseluruhannya kerana ia adalah dasar yang salah.