16 Mei datang lagi. Tahun ini entah kali keberapa saya menyambut hari guru. Sedar tak sedar tahun ini sudah 22 tahun saya berkhidmat sebagai guru. Rutin sambutan tetap sama dari dulu hingga sekarang. Ada ucapan, ada nyanyian lagu guru, ikrar, ada anugerah guru yang entah apa-apa, persembahan pelajar, main-main, makan-makan, kemudian dapat pulang awal.
Tahun ini acaranya tetap sama, cuma dalam beberapa tahun belakangan ini, sambutan hari guru di sekolah ini dimeriahkan oleh bekas pelajar yang mengambil kesempatan berkunjung ke sekolah beramai-ramai pada hari guru. Meriah betul sekolah dengan kedatangan mereka. Mereka datang dengan membawa pelbagai jenis makanan. Saya paling suka makanan Thai Somtam yang disediakan oleh Asyila dan rakan-rakannya. Tahun ini, bekas pejajar STPM 2009 berarak masuk dengan membawa pulut semangat dengan bunga telur dan nasi kunyit yang dihias indah. Wan Khalifa pula sanggup mengambil cuti dari tugasnya semata-mata untuk menghiburkan guru-guru dengan dikir baratnya. Sesuatu yang rasanya tidak berlaku di sekolah lain. Hmm.. siapakah guru itu yang telah berjaya membudayakan amalan ini?? Hmm...
Bersyukurlah kerana saya terus diberi kesempatan untuk merayakan sambutan hari guru lagi tahun ini. Dan bersyukurlah kerana kita diberi peluang berkhidmat di kampung halaman sendiri, tidak seperti sebahagian besar guru lain yang terpaksa meninggalkan keluarga kerana menabur bakti di pedalaman terpencil Sabah dan Sarawak, atau terpaksa bangun seawal 3 pagi untuk menaiki bot dan kereta api ke sekolah di hulu Gua Musang. Ohh..
Bersyukurlah kerana walaupun saya hanyalah guru biasa di sebuah sekolah biasa, yang pelajar-pelajarnya hanyalah anak orang biasa, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang sesuatu yang hasilnya agak luar biasa. Saya bersyukur kerana dapat membantu anak-anak di kampung ini keluar dari desa ini, membina kejayaan di puncak menara. Walaupun hanyalah seorang guru bahasa Melayu yang sering dianggap tidak berprestij seperti guru Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya saya telah berjaya menegaskan hukum dan peraturan nahu bahasa Melayu dalam penulisan dan lisan mereka. Saya sedarkan mereka tentang amalan kesantunan berbahasa yang telah mula lari dari amalan dan pengucapan mereka, dan yang penting, saya dapat menimbulkan dan menyematkan rasa bangga akan bahasa ibunda kita dalam jiwa anak-anak ini, dan menebarkan amanat bahawa bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa ilmu!!
Selamat hari guru buat semua rakan seperjuangan. Pasti saban tahun akan wujud getar rasa dalam jiwa ini setiap kali menyanyikan bait-bait lirik lagu guru dan setiap kali tangan didepa tika ikrar guru dibaca...
amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... ohh!!!
Buat rakan-rakan guru, tekadkan semangat,
tabahkan hati,
perjuangan kita belum selesai!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan