Sabtu, Julai 24, 2010

Menziarahi Cikgu Rashid

Pagi ini, saya dan AR berkesempatan menziarahi Cikgu Haji Rashid Mohamad, Guru Besar SK Keluang Besut yang terlantar sakit di rumahnya di Kampong Raja sudah lebih 7 bulan. Beliau menderita barah otak. Mungkin ramai yang mengenali beliau kerana sepanjang perkhidmatannya, sebagai Penyelia Peperiksaan di PPD Besut dan Guru Besar di beberapa buah sekolah rendah di daerah ini, beliau terkenal dengan komitmen yang tinggi terhadap tugas.

Mengalir air mata saya apabila melihat susuk tubuh Cikgu Rashid yang lemah dan tidak berdaya terbaring kaku di atas katil. Terbayang dalam fikiran saya begitu jauh sekali keadaannya sekarang dengan yang dahulu kerana Cikgu Rashid seorang yang aktif, lincah dan sentiasa berperawakan kemas dan bergaya. Bertambah sedih apabila melihat dan membayangkan betapa tabah isterinya, Cikgu Fauziah Mohd Yusof dalam menguruskan beliau. Beliau akan bangun seawal 4 pagi untuk memastikan sepeninggalan beliau ke sekolah, suaminya berada dalam keadaan bersih, membantu Cikgu Rasyid menyempurnakan solat Subuh, memberinya makanan dan ubat-ubatan dan barulah beliau akan turun ke sekolah. Pada waktu rehat, beliau akan mengambil kesempatan untuk pulang sekejap ke rumah untuk menyalin napkin suaminya. Sedihnya, terfikir di dalam hati, mampukah aku menjadi sepertinya, tabah, sabar, setia dan penuh dengan rasa cinta. Ohhh...

Saya sedikit sedih dan kesal mendengar cerita tentang manusia yang tidak memahami masalah dan kesulitan orang lain. Bukan untuk sama-sama bersimpati tetapi dalam keadaan rakan yang ditimpa musibah, dia masih berfikir dan bercakap tentang peraturan-peraturan yang dicipta manusia tanpa memikirkan kebajikan dan perasaan orang.

Sabarlah Kak Zi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga apa-apa sahaja dugaan dan cabaran, kita semua akan dapat menempuhnya dengan kuat dan cekal. Saya kagum dan cemburu akan Kak Zi. Mampukah saya menjadi seperti Kak Zi jika ditimpa dugaan seperti ini?

Tazkirah untuk diri sendiri:

Kita memohon kebijaksanaan, dan Tuhan memberikan kita berbagai-bagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.

Kita memohon kemakmuran, dan Tuhan memberikan kita akal dan tenaga untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.

Kita memohon cinta, dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai.

Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati, dan Tuhan memberikan kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

dan, begitulah cara Tuhan membimbing kita.. dan masihkah kita tidak bersyukur atas segala kurnia dan rahmat-Nya? (pertanyaan untuk diri sendiri agar lebih bermuhasabah diri)

4 ulasan:

Guru berkata...

semoga Cikgu Rasyid dan isterinya, Allah beri kekuatan dan ketabahan serta kasih yang tidak luntur

ameen

terbaru dari saya : tidak pandai saya mengait kata?

Cikgu Za berkata...

Terima kasih cikgu. Hari ini kita sihat, entah2 esok Tuhan ingin menduga kita pula. Moga kita diberi kekuatan menempuh apa jua cabaran dalam hidup.

Unknown berkata...

Hurm..peringatan untuk saya jugak..=)..terima kasih kerana berkongsi kata2 yg penuh makna tu cikgu..dan smoga Allah akan ringankan segala penderitaan yg dialami oleh rakan cikgu tu..

isroz berkata...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Moga Allah berikan kekuatan kepada kita semua untuk menempuhi hidup ini.