Ahad, September 05, 2010

Tauke babi pun boleh jual kandang!

Teruk benar tajuk entri saya kali ini. Entah dari mana saya mendapat idea untuk mencipta perumpamaan moden ini. Rasanya perumpamaan ini ada kaitan dengan sikap sesetengah daripada kita yang terpaksa bergolok bergadai menjelang hari raya, sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memastikan hari raya disambut dengan luar biasa dan nampak serba baru. Tidak hairanlah setiap kali menjelang hari raya tauke-tauke kedai perabot untung berganda-ganda. Maklumlah, apabila menjelang hari lebaran, mulalah semuanya nak ditukar baharu hingga tilam dan kuali pun hendak ditukar baharu.

Kalau setiap kali hari raya semua benda nak kena tukar baru, mana boleh jadi, kan? Dan apabila terlalu banyak duit yang terpaksa kita keluarkan, timbullah perumpamaan di atas; "tauke babi pun boleh jual kandang". Kalau kedengaran agak kasar dan tidak senonoh, maafkanlah saya. Ada juga peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan "babi" di dalamnya walaupun tidak banyak, antaranya ialah "babi merasa gulai (bermaksud menyimpan rahsia yang telah diketahui umum),

Saya bukan ingin bercerita tentang babi, bukan juga ingin bercerita tentang perabot baharu yang saya beli kerana saya tidak membuat penambahan perabot tahun ini. Cukuplah dengan mana yang ada, selagi boleh digunakan, gunakanlah. Kenapa mesti kena tukar? Yang penting rumah kita bersih dan sedap mata memandang. Malu juga jika tetamu datang berkunjung, rumah kita bersepah tak berhias. Tambah malu apabila ada teman yang menjalankan perniagaan hiasan dalaman pernah menyuarakan rungutan tentang guru-guru di daerah ini yang saling berlumba membina rumah yang besar hingga melebihi setengah juta tetapi rumah mereka bersepah, kotor dan tidak terurus. Malu juga saya sebagai guru.

Syukurlah, walaupun kami sekeluarga hanya tinggal di sebuah rumah kayu kampung, sedapat mungkin saya sentiasa memastikan teratak kami sebuah mahligai yang selesa diduduki. Untuk hari raya tahun ni saya cuma akan alihkan kedudukan beberapa perabot saja, dan membuang habuk dan debu serta menambahkan sedikit jambangan bunga saja. Tahun lepas kami baru saja mengecat rumah kayu kampung kami ni. Hari raya bagi saya cukuplah kalau saya dapat melihat sedikit perubahan suasana baru di dalam rumah.

Tahun ni saya ingin "menginggeriskan" suasana ruang dalaman rumah kami. Walaupun saya sangat tidak bersetuju dengan gagasan PPSMI yang baru sahaja dimansuhkan itu (?), tetapi dalam hal hiasan dalaman, saya cukup terpikat dengan gaya desa Inggeris ini. Jadi, beberapa pasu kecil berbunga ros kecil, bingkai gambar dan jambangan bunga yang saya beli di SSF rasanya boleh menjadikan ruang tamu saya kelihatan agak Inggeris.

Sejambak bunga dan tembikar yang saya gantung pada dinding diharapkan dapat menjadikan rumah saya agak berbau Inggeris walaupun tidak sepenuhnya.

Dalam aspek menyediakan persekitaran yang bersih dan indah, Rasulullah saw sendiri suka umatnya supaya menjaga kebersihan dan menghias rumah sebagai sebahagian daripada syiar agama sebagaimana sabda baginda,
إن الله طيب يحب طيب نظيف يحب النظافة كريم يحب الكرم جواد يحب الجود
فنظفوا أفنيتكم ولا تشبهوا باليهود
yang maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia suka akan kebaikan. Dia bersih suka kepada kebersihan. Dia mulia dan suka akan kemuliaan. Dia juga pemurah, dan suka akan kemurahan. Oleh hal yang demikian itu, bersihkanlah rumahmu, jangan kamu menyerupai rumah orang-orang Yahudi”.

Namun, Islam melarang kita berlebih-lebihan dalam menghias serta ingin menunjuk-nunjuk, seperti menggunakan pinggan mangkuk daripada emas, perak atau koleksi kristal yang ribuan ringgit harganya. Syukurlah kerana rumah saya tidak begitu, dan tetamu yang mempunyai anak yang lasak tidak perlu risau semasa berada di rumah saya kerana saya tidak mempunyai koleksi seperti itu. Saya juga bersyukur kerana anak-anak saya dari kecil lagi sudah dididik untuk tahu menghargai kebersihan rumah dan menjaga peralatan dengan baik.

Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Semoga kita masih diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan untuk tahun yang berikutnya. Amin. Salam Aidilfitri 1431H. Maaf zahir dan batin

daripada


Tiada ulasan: