Khamis, September 05, 2013

Budi dan bahasa..

Catatan bahasa
5 September 2013


"Assalamualaikum. Awak Cikgu Fariza Nurbaya kan? Saya Encik XXY, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Zimbabwe. Awak Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah, kan? Saya mahu senarai Guru Cemerlang Bahasa Melayu Daerah Zimbabwe ini segera melalui e-mel", kata sang pegawai itu dengan suara yang sedikit angkuh.

"Waalaikumsalam. Ya, saya Cikgu Fariza. Maaf ya tuan, saya sedang minum pagi. Bolehkah saya e-melkan maklumat tersebut selepas saya minum nanti?", jawab saya.

"Saya mahu maklumat itu segera, sekarang juga!" kata sang pegawai sebelum meletakkan telefon.

Sebagai guru bahasa, saya selalu menyedarkan anak-anak murid saya tentang perlunya kita menggunakan bahasa dengan santun dan berhemah. Saya mengimpikan pegawai tersebut akan berkata seperti ini:


"Assalamualaikum. Puan Cikgu Fariza Nurbaya kan? Saya XXY, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Zimbabwe. Puan Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah, kan? Saya memerlukan senarai Guru Cemerlang Bahasa Melayu Daerah Zimbabwe ini. Jika tiada halangan pada pihak puan, saya pohon puan menghantarnya melalui e-mel. Kalau boleh sesegera yang boleh."

Jika ungkapan di atas lahir daripada mulut pegawai itu, rasa-rasanya tidak sampai 5 minit saya akan terus berbuat seperti yang dikehendaki. Oleh sebab saya guru yang 'sedikit nakal' dan sangat mementingkan kehalusan dan kesantunan berbahasa, maka maklumat tersebut saya e-melkan seminggu selepas itu. Lalalalala!!!


1 ulasan:

Unknown berkata...

Padan muka ye..