Hujan lebat dan musim tengkujuh yang melanda daerahku ini sering menyebabkan aku bernostalgia mengingat zaman lampau yang cukup manis untuk selalu dikenang dan disebut. Musim banjir merupakan waktu yang sangat kami adik beradik nanti-nantikan. Aduhai sungguh indah zaman zaman kecilku di Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Besut. Hujan yang berhari-hari akan menyebabkan Sungai Jerteh akan melimpah dan menyebabkan jambatan Jerteh lama tenggelam dan jalan ke bandar Jerteh terputus. Seluruh kampungku tenggelam tetapi kami adik-beradik pula bersorak riang. Pelbagai rancangan telah diatur tanpa pengetahuan pa; menahan tauk, menjala ikan, mengail, menauk ikan darat dan sebagainya semuanya kami lakukan mengalahkan budak-budak lelaki. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh. Kadang-kadang apabila terfikir segala kenakalan kami waktu kecil ada banyak baiknya kerana mengajar kami adik-beradik menjadi kuat, sabar, tabah dan penuh jati diri. Pacat, lintah, luka dan darah kami tak takut. Ini cukup berbeza dengan anak-anakku, digigit semutpun, boleh menyebabkan mereka menangis berhari-hari.
Musim tengkujuh begini juga pasti ma akan merebus ubi kayu dan dimakan dengan kelapa muda parut dicampur gula bersama kopi O panas kegemaran pa. Kadang-kadang menu ubi kayu bakar cukup menyelerakan. Musim hujan begini ma pasti akan menanak pulut dan dimakan bersama ikan tambang kering yang dibakar dan baunya yang menusuk-nusuk hidung masih lagi kuingati.
Sesekali berkumpul pasti kami adik-beradik, ading Aming, adik Lah, adik Jam, adik Rah, adik Rabi akan bercerita tentang zaman kecil kami dulu dan kami adik-beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali cerita tersebut diulang. Sering kali cerita-cerita tersebut mengundang gelak dan ketawa kami sekeluarga. Sungguh indah mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan apabila terkenang kembali nostalgia itu.
1 ulasan:
Memangnya nostalgia zaman kecik2 dulu cukup menyeronokkan.Walaupun masam dulu, sekarang sudah jadi manis belaka. Adinda teringat semasa umur dinda 10-11 tahun dulu..arwah pa menitipkan kami (adinda dan kanda jay) seekor lembu setiap orang. Kami 'bertanding', lembu siapa yang paling gemuk. Paling mencabar tatkala lembu lari ke kaki Bukit Puteri, sampai waktu maghrib baru kami dapat jumpa sang lembu. Nasib baik kami tidak dikejar hantu atau ikut cerita orang tua..kononnya ada puteri yang menjaga di situ.
Catat Ulasan