Ahad, Disember 21, 2008

Selamatkanlah anak bangsaku di pedalaman ini....

Setiap kali membuka komputer dan melayari internet, sudah pasti blog Profesor Abdullah Hasan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI akan menjadi pilihan utama saya. Membaca posting beliau yang bertajuk "Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan" benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang pendidik yang bertugas mengajarkan Bahasa Melayu di sebuah sekolah biasa di luar bandar.

.... lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Inggeriskah, Melayukah serupa sahaja!” Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’ Untuk membaca petikan penuh, sila klik di sini.

Kata-kata di atas yang terhambur keluar dari mulut seorang pegawai KPM cukup membuatkan hati saya menjadi marah dan luka lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu bahasa, orang Melayu, dan tentang PPSMI. Hina sangatkah anak-anak Melayu di luar bandar sehingga dianggap demikian rupa oleh pegawai tersebut? Perkara seperti ini sering berlaku kepada kami guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pertengahan tahun ini misalnya, seorang pegawai di jabatan yang melawat ke sekolah saya tanpa rasa malu menudingkan jari ke arah guru Bahasa Inggeris di sekolah saya dan menyalahkan guru-guru tersebut kerana kegagalan pelajar-pelajar PMR sekolah saya yang begitu tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Kalaulah subjek Bahasa Inggeris sendiripun tidak boleh dikuasai oleh mereka, apatah pula dengan mata pelajaran Sains dan Matematik yang terpaksa diikuti oleh mereka dalam Bahasa Inggeris. Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan pendapat pegawai KPM tersebut, tetapi kita semua sudah lama maklum tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar Melayu di luar bandar terutama di pantai timur sangat rendah. Kalau nak ditingkatkan penguasaam bahasa Inggeris, kenapa tidak diperkemas dan dipertingkat sahaja segala kelemahan yang terdapat dalam P&P bahasa Inggeris? Inilah yang kita namakan, lain yang sakit, lain pula yang diubati...

Saya melihat puak-puak PPD, JPN dan KPM sendiri sangat pilih kasih terhadap sekolah-sekolah di luar bandar. Dengan penubuhan sekolah-sekolah kluster, elit, premier, sekolah-sekolah luar bandar terus terpinggir sementelahan pula kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris sudah diketahui seantero negara. Saya menyedari dan melihat sendiri kesulitan para guru di sekolah saya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ditambah pula dengan prasarana dan kemudahan yang jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah-sekolah mewah di ibu kota dan sekolah-sekolah elit dan kluster yang dilimpahi dengan pelbagai macam kemudahan. Dan, yang pastinya, setiap kali selesai peperiksaan maka akan mengeluhlah para guru Sains dan Metematik di sekolah saya kerana markah pelajar mereka lebih banyak yang merah daripada yang biru!!! Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku di luar bandar ini"

Tentang PPSMI, setelah 5 kali bersidang mengenai nasib PPSMI, KPM merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain. Berita Harian 17 Disember 2008).

Sudah pasti tuan-tuan dan puan-puan dapat menduga nombor berapa yang akan menjadi pilihan kerajaan. Rasanya tidak guna bermeja bulat, bujur dan beremapt persegi kalau keputusannya masih yang itu-itu juga. Namun, pilihan saya, Pilihan 8: Bagaimana kalau kita hapuskan sahaja PPSMI?

Ya Allah, selamatkanlah sistem pendidikan negara dan nasib bangsa dan bahasaku ini di negaraku nan tercinta ini!!!

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya rasa kerajaan tetap meneruskan program ppsmi kerana ini ilham bekas pm, dr.m. bila dato seri najib naik jadi pm, dia akan terukan apa yg dilakukan oleh dr.m ..saya rasa anggap saja..mungkin x betul. saya pun guru yg mengajar science year, 2, 5,6

Fariza Nurbaya berkata...

Saudara,
Prinsip pembelajaran menyatakan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya diajar dalam bahasa yang difahami oleh murid-murid, atau dengan kata lain, murid tidak dapat belajar dengan berkesan dalam bahasa yang mereka tidak kuasai. Seharusnya PPSMI dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih sahaja.

Saudara Sir, selamat meneruskan PPSMI dan semoga murid-murid yang dihasilkan oleh saudara betul-betul akan menjadi murid terbilang. Semoga elaun dan gaji yang diterima digunakan dengan betul agar tidak disoal kemudian hari. Tahniah....

Tanpa Nama berkata...

Mahathir telah buat kesilapan paling besar dalam karier politiknya. Tiada pun teori yang menyebutkan bahawa kaedah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan anak-anak akan berjaya menguasai BI dengan baik.

Mahathir pun pernah mengalami kegagalan demi kegagalan dalam pengajiannya ketika belajar di King Edward VII Medical College di Singapura dahulu. Ketika itu, hampir kesemua matapelajarannya diajar di dalam bahasa Inggeris. Mengapakah Mahathir tidak mengambil iktibar dalam hal ini?

Apabila Mahathir dan para pejuang bahasa bersetuju menubuhkan UKM untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita mendapati ramai doktor, teknorat, jurutera yang berjaya mendapatkan ijazah tanpa sebarang sebarang masalah pun.

Malah, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka juga baik. Angkasawan Dr Syekh Muzaffar berjaya dilahirkan melalui pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Dan, beliau juga tiada masalah berbahasa Inggeris.

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuh untuk martabatkan bahasa Melayu dalamsemua bidang. Jutaaan ringgit digunakan untuk mereka cipta istilah Sanin & Math tapi usaha itu sekarang semuanya dah masuk longkang.

PPSMI ini dilaksanakan semata-mata Mahathir mahu memperkayakan kroni-kroninya serta egonya. Bila ada PPSMI semua buku teks terpaksa ditukar. Cuba saudara survey tengok siapakah ampunya pemilik penerbit2 buku teks Sains & Math ini yang dulunya dimonopoli oleh DBP? Kalau tak salah saya hampir 100% semuanya kroni Mahathir. Dan saudara fikir tengok banyak mana yang terlibat? bukan million tapi billion. Kalau dapat 5% fikir sajalah berapa million yang dikaut oleh proxy-proxy Mahathir?

Tambah lagi keputusan UPSR baru ini semuanya dikawal. Apakah bendanya bila murid-murid yang sememangnya TIDAK akan lulus dalam Sains & Math tiba-tiba memperolehi pangkat B dan C sedangkan matapelajaran lain semuanya dapat E dan F?

Kau fikir2 sendirilah...............

Tanpa Nama berkata...

Martabatkan bahasa melayu. Ungkapan ini pastinya akan saya semat kemas di benak dan sanubari. Tidak akan sama sekali ditolak bahasa ibunda sendiri, apatah lagi menjatuhkannya. Keghairahanku dan sanjungan tinggi terhadap bahasa melayu tidak akan pudar.

Isu PPSMI membuatkan saya berfikir banyak kali. Serba salah. Antara memajukan bangsa dan bahasa. Mana satu yang lebih penting? Memperjuangkan anak bangsa sendiri iaitu bangsa melayu atau pun memperjuangkan bahasa melayu?

Kata rakanku; mengapa banyak berfikir. Sudah jelas kata pepatah, bahasa jiwa bangsa! Hapuskan saja PPSMI. Namun makin ligat saya berfikir. Bukankah perkataan bahasa dalam pepatah itu bermaksud berbahasa? atau beradab?

Sedih juga bahasa melayu tidak diperjuangkan dalam arus pendidikan nasional apabila diwujudkan PPSMI. Tetapi pandangan peribadi saya melihat PPSMI sebagai madah memajukan bangsa melayu bersaing dengan kaum yang lain.

Mengapa saya bersikap seolah-olah meminggirkan bahasa melayu? Segalanya bermula dengan pengalaman! Ketika dibangku sekolah, penguasaan bahasa inggeris saya agak lemah tetapi masih berupaya untuk memasuki IPTA. Bermula di IPTA, mimpi ngeri mendapatkan ilmu dan meneruskan pengajian makin memuncak. Jurang antara kaum melayu dan kaum lain semakin menjarak.

Kebanyakkan buku rujukan dan maklumat di internet menggunakan bahasa antarabangsa. Penguasaan bahasa inggeris yang lemah membuatkan saya tidak 'hebat' berbanding ketika menelaah sewaktu di sekolah menengah. Keputusan SPM saya yang sarat dengan huruf A (kecuali subjek bahasa inggeris) masih tidak dapat menempatkan saya di kalangan pelajar terbaik di fakulti kejuruteraan.

Penyelesaian untuk bangsa melayu lemah kemahiran berbahasa inggeris; teruskan sahaja PPSMI yang memudahkan pelajar melayu mendapatkan maklumat dan memahami isi ilmiah ketika berada di menara gading kelak,

Atau perbanyakkan maklumat berbahasa melayu, tidak membenarkan buku rujukan bahasa asing digunakan di institusi pengajian tinggi, segala pengajaran dalam bahasa melayu dan kuatkuasakan undang-undang sebagaimana P&P berbahasa melayu dijalankan diperingkat sekolah. Mungkinkah berlaku pada era globalisasi ini?

P/s- saya pernah diberi sebuah buku rujukan berkaitan subjek kejuruteraan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Sungguh mudah difahami, malah terus melekat dengan cepat tetapi apabila diberi buku rujukan yang asal(berbahasa inggeris) berulang kali saya cuba memahaminya, bantuan kamus juga seolah-olah tidak berguna!

oleh: bakal_guru

Tanpa Nama berkata...

Bahasa Jiwa Bangsa
Cuba pn hajah tengok tv, kalau orang bukan Melayu mereka akan cuba juga bercakap bahasa Melayu walaupun kedengaran agak pelat. Tapi, apa pula cakap orang Melayu..mereka lebih suka bertutur bahasa rojak. Sedihnya rasa hati.
Pemimpin Melayu pun lebih fasih cakap omputeh dari bahasa Melayu sendiri. Malu beb..agaknya.