Ahad, Januari 03, 2010

Aku bekerja bukan kerana dia tetapi kerana DIA!!

Hari pertama persekolahan sesi pengajian 2010 bermula dengan hujan lebat sepanjang hari yang kemudiannya menyebabkan air hujan membanjiri kaki-kaki lima sekolah. Hasrat ke kantin terbantut kerana terpaksa mengharung air dan selamatlah dietku dan tidak banyak dosa kerana membebel masakan yang paling tidak enak di kantin sekolahku.

Hari ini saya melangkah kaki ke kawasan sekolah dengan fikiran positif dan seboleh mungkin tidak mahu berprasangka dan bersifat pesimis. Azam baru untuk sesi persekolahan 2010 ini banyak sekali, antaranya, menepati masa masuk kelas, datang seawal mungkin ke sekolah, menulis buku persediaan mengajar yang cantik, kemas, kreatif, bermaklumat dan terancang.

Oleh sebab tugas pengurusan projek tingkatan 6 telah diserahkan kepada Guru Penolong Kanan Tingkatan 6 selaras dengan penstrukturan semula tingkatan 6, ini bermakna saya boleh memberikan tumpuan yang lebih kepada pengurusan panitia saya. Semoga GPK Tingkatan 6 yang dilantik dan mengambil alih tugas yang telah saya jalankan selama 7 tahun akan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik, komited dan cemerlang. Tugas yang diamanahkan ini bukan sekadar tugas untuk kenaikan gred dan pangkat tetapi satu tanggungjawab yang mesti dipikul dengan penuh dedikasi.

Usaha mengekalkan kecemerlangan bukanlah suatu perkara yang mudah. Kita sudah berjaya membina asas yang kukuh dan satu pasukan STPM yang kuat di sekolah ini sehingga mampu menjadi "benchmark" kepada sekolah-sekolah lain pada peringkat pengajian prauniversiti di daerah dan negeri ini. Tersilap langkah dan alpa dengan momokan kejayaan yang lepas boleh menyebabkan kita jatuh terjerumus dengan mudah.

Walaupun dalam seminggu dua ini berlaku sedikit titik hitam dalam menjalani kehidupan sebagai guru, perkara tersebut tidaklah menjadi kudis gatal bagiku sehingga membantutkan semangat untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk anak-anak didikku di desa ini. Aku berharap agar dekad baru 2010 ini bermula dengan baik. Semoga tahun ini dapat memberikan aku kepuasan dan berusaha meningkatkan diri serta mendapat keredhaan-Nya.

Tuhan, berikanlah aku kekuatan untukku memandang dunia ini dengan penuh senyuman!!! Aku bekerja bukan kerana dia tetapi kerana DIA...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah diucapkan kepada cikgu. Penuh semangat dan keazaman dalam menempuh tahun 2010. Persetankan segala 'musuh' yang datang. Komitedlah kita terhadap tugas kita.Semoga tahun ini dapat memberikan kepuasan dan keredaan-Nya. Ya Allah, perkenankanlah doa hambamu ini...jadikanlah dia bekerja kerana DIA bukan kerana dia.......