Rabu, Mac 10, 2010

Kota Medan 3 - 6 Mac 2010


Pesan Awang, kalau ke Kota Medan tidak sah kalau tidak menjenguk Danau Toba. Kalau boleh, pergilah bersama rakan-rakan. Entahlah, beginilah kalau perjalanan kami kali ini yang diuruskan sendiri tanpa ejen pelancongan seperti perjalanan kami ke beberapa tempat di Indonesia sebelum ini. Semuanya terpaksa kami lakukan sendiri dan mengikut adinda Jailami, "terpaksa menumpang laki orang". Hasrat ke Danau Toba terpaksa dilupakan kerana masalah keselamatan kami dan tiada pengiring lelaki (dibaca sebagai pengawal peribadi). Berwisata bersama Adinda Jailami yang sangat obses tentang makanan memang agak menyiksakan (maaf ya dinda kerana menggunakan perkataan ini). Semua makanan dan minuman yang dipandangnya sering dikaitkannya dengan sesuatu yang meloyakan seperti tikus, katak, ular dan macam-macam lagi.

Lupakan saja keinginan saya untuk mencicipi keenakan masakan Medan dan Minang yang disebut ramai orang seperti ayam penyek, ayam pop, minuman alpukat coklat, minuman terung belanda dan banyak lagi. Memanglah begini sikap adindaku yang seorang ini. Dari kecil lagi, semua makanan yang hendak dimakannya akan diusul semua perkara. Jika kuih Onde-onde atau Puteri Mandi yang dibeli di kedai, begitu panjang soal siasatnya, bagaimana penjual kuih ni, bersih ke pengotor, bagaimana kuku dan tangannya, pinggang periuk yang digunakan oleh penjual bersih atau tidak dan macam-macam lagi. Semasa menjenguknya ketika dia masih menuntut di UKM 25 tahun dahulu, sering buah tangan yang kubawa yang berupa buah-buahan yang dibeli di Jalan Petaling, Kuala Lumpur tidak disentuhnya langsung kerana mempertikaikan jenis air semburan yang digunakan oleh penjual buah untuk menyegarkan buah-buahan tersebut.

Akhirnya, sepanjang 3 hari di Medan, hanya sepinggan nasi putih berlauk ikan kering (yang dalam fikirannya ialah katak kering, sepinggan kecil tempe goreng (dalam fikirannya ulat) dan sambal udang sahaja yang sempat saya jamah, dan segelas jus alpukat (rasanya daripada buah avocado). Tambahan pula SMS nakal daripada adinda Milah tentang makanan di Indonesia menyebabkan dia lebih cerewet. Akhirnya, biskut Munchy's dan epal yang dibawa dari rumah tak mampu dimamah dan ditelan lagi!!. Hasilnya, sepanjang berada di Medan, berat badan turun 2 kg tanpa perlu menelan Jus Mate-5 atau mana-mana ubat pelangsing badan!!!.

Namun begitu, pengalaman menaiki beca bermotor dalam hiruk-pikuk kota Medan cukup mengujakan walaupun agak letih dilambung-lambung. Membeli-belah di Pasar Ikan menemukan kami dengan sebegitu ramai orang sekampung yang rupa-rupanya sering ke Medan semata-mata untuk menempah pakaian. Kaya-raya juga orang Besut ni. Dengan membayar 350000 Rupiah sehari (lebih kurang RM95.00), kami menyewa sebuah teksi yang membawa kami ke seluruh kota Medan mencari buah tangan (hanya kek lapis, beberapa helai kain batik dan beberapa pasang telekung) untuk dibawa pulang. Sempatlah juga menjengah Istana Maimun, Masjid Raya dan beberapa tempat beli-belah lain. Namun, hasrat untuk melihat suasana sekolah di Medan tidak tertunai kerana sepanjang perjalanan kami, kami tidak ternampak sebuah sekolahpun, cuma sebuah kolej perubatan sahaja. Mungkin di sana mereka mengamalkan masyarakat tanpa sekolah, deschooling atau home-schooling!

Pesanan buat teman-teman, jika ingin melancong ke negara orang, gunakanlah khidmat ejen pelancongan kerana perjalanan kita dapat diuruskan dengan sempurna. Pastikan tempat makan disahkan halal dan kalau boleh pilihlah kedai makan yang besar-besar.

Tiada ulasan: