Ahad, Februari 28, 2010

Dalam debar..

Apabila berita tentang keputusan STPM 2009 akan diumumkan pada hari Khamis 25 Februari 2010 sampai ke telinga, aku mula tidak senang duduk, berdebar, resah dan pelbagai perasaan bercampur aduk. Pada tarikh yang sama juga pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pula akan mengadakan proses pemantauan dan pencerapan pengajaran dan pemelajaran Guru Cemerlang. Puas memujuk dan merayu Encik Roslan dari JNJK Terengganu agar menunda tarikh tersebut kepada minggu berikutnya tapi tidak dilayan kerana menurutnya pihak JNJK mempunyai kekangan masa dan terpaksa menyelesaikan proses tersebut secepat mungkin. Apa sajalah.... Terima kasih kepada pengetua kerana membatalkan pertemuannya dengan Tuan Pengarah hari itu semata-mata untuk berada di belakangku dan menyokongkusemasa proses pemantauan ini. Dalam keadaan kami yang sering bertekak, bermasam muka dan kadang-kadang sampai aku menangis berhari-hari, sayang juga dia akan aku. Mesti Cikgu Ramli bangga kenyataan aku ini!!

Ramai yang tidak faham sebab dan musabab aku ingin menjadi orang pertama yang menerima keputusan pelajar-pelajarku ini. Mereka tidak tahu bahawa anak-anakku ini bukan seperti pelajar-pelajar sekolah elit, kluster dan ternama. Mereka anak desa yang rata-ratanya miskin dan ketinggalan. Mereka masuk ke tingkatan 6 dengan kelayakan paling minimum dan bergantung sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Keputusan sekolah dalam peperiksaan awam yang lain sering mengecewakan pihak sekolah. Mana mungkin sekolah ini mampu bersaing dengan sekolah-sekolah terbaik daerah yang pemilihan pelajarnya dipilih dan disaring dengan ketat. Namun begitu, berkat kesungguhan dan komitmen guru-guru, sudah 2 tahun berturut-turut sekolah ini berada dalam kelompok 3 sekolah terbaik negeri dan menjadi sekolah harian terbaik negeri. Sudah sekian ramai anak-anak desa ini dapat melangkahkan kaki ke puncak menara. Tahun ini tahun penentuan. Kegagalan mengekalkan peratus lulus 100% ingin sangat dilihat oleh ramai orang yang kemudiannya sudah pasti akan mempertikaikan kewibawaanku sebagai GC. Ada beberapa nama pelajar yang pencapaiannya merisaukan aku.

Tepat jam 8 pagi sudah terjongol Ketua Jemaah Nazir Negeri dan Nazir Encik Roslan di depan pejabat sekolah. Selepas berbasa basi lebih kurang, aku meminta keizinan mereka untuk membawa pelajar ke makmal komputer. Nasib baik malam tadi sempat juga aku menyediakan bahan p&p tentang Variasi Bahasa (bahasa formal dan tak formal, penggunaan bahasa rojak, slanga dsb) Tepat 9.00 pagi mereka sampai ke makmal komputer dan aku mulakan p&p pagi itu dengan tayangan video lagu "Kantoi" nyanyian Zee Avi sebagai set induksi. Bla..bla..bla... hentam sajalah apa saja kaedah dan pendekatan, teknik dan strategi. Yang penting, objektif p&p tercapai. Mataku sesekali menjeling sms dan panggilan masuk yang bertalu-talu ke telefon bimbitku. Ahhh.... lambatnya masa berlalu!.

Selepas selesai proses pencerapan yang berlangsung selama 80 minit, pihak JNJK menyemak dokumen dan mengadakan perbincangan dan soal jawab. Bla..bla..bla... NKRA, Linus, MBIMBM, KIA2M, program-program peningkatan profesionalisme, bla..bla.., sumbangan kepada sekolah, bahagian, kemahiran TMK dan macam-macam lagi. Tapi, yang paling seronok apabila ditanya tentang MBIMBM. Apa lagi, sudah lama saya tidak bersetuju dengan PPSMI dan terus-terang saya katakan bahawa PPSMI MEMANG SAH bercanggah dengan dasar bahasa dan akta bahasa. Tengok sajalah apa yang jadi kepada pelajar-pelajar di sekolahku. Untuk menulis dan membaca dalam bahasa sendiri pun mereka tidak mampu, apatah lagi apabila dipaksa belajar dalam bahasa yang mereka langsung tidak fahami (ayat ini mengandungi kesalahan struktur ayat pasif.. jangan ikut)

Selesai proses ini, semasa meraikan tetamu-tetamu ini minum, barulah berani membaca SMS yang masuk. SMS daripada Cikgu Azaha cukup membuatkan aku lega selepas dihimpit diasak dengan soalan-soalan maut Ketua Nazir tadi. “Kak Za, subjek Kak Za jadi penyelamat. Kita kekal 100% kerana pencapaian BM 100%”. Fuhhh… satu bab selesai. Maknanya Nor Hamida, pelajar yang kubimbangi telah lulus. SMS kedua daripada Puan Hafizah, GPK1 SMKA Durian Guling, “Tahniah Fariza, apa yang awak buat ni sampai BM awak 43 orang dapat A daripada 52 orang pelajar?”.. Biar betul?? Alhamdulillah, syukur, berbaloi juga usaha terakhirku mengadakan kelas bimbingan pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan baru-baru ini. Walaupun begitu, Yusazmi, pelajar harapanku tidak mampu mencapai 4A , hanya 3A dan 2B+.

Sebelum tetamu beredar, pengetua berbisik, “Kita kekal sebagai sekolah harian terbaik, terima kasih kerana mung banyak menolong”. Syukur.. inilah hadiah yang sangat bernilai, melebihi hadiah intan berlian. (tapi, kalau dapat intan berlian pun bagus juga.. dah tak dapat inilah ayatnya!!)

4 ulasan:

Guru berkata...

tahniah..

kagum dengan cikgu za

Mawar Maizza berkata...

tahniah cikgu. putra kekal lagi sebagai sekolah harian terbaik ye.. itulah hasil berkat kesungguhan dan kecekalan seorang insan yang sangat berhati mulia.. cikgu fariza nurbaya. cikgu idola saya..

TAHNIAH sekali lagi cikgu..

tt berkata...

Aku sediah dan terharu sehingga menitis air mata pabila membaca 'dalam debar'.Sesungguhnya, itulah pengirbanan seorang guru. Lebih berdebar dari calon itu sendiri. Apatah lagi bila digelar GC.. seolah-olah apa sahaja beban terletaj dibahu. Syabas!

Tanpa Nama berkata...

Tahniah STPM SMK PUTRA terutama subjek Bahasa Melayu. Anda telah membuktikan bahawa semememangnya anak-anak hulu juga boleh maju ke depan, berlari macam orang lain.. Biarlah apa pun kejayaan ini pasti kerana Dia. Kalau pun bukan pasti juga dari Dia.