Rabu, Februari 24, 2010

Saya menangis membaca cerita ini..

"Abah nak makan bubur, saya suapkan abah, ya? " Aku bertanya.

Abah hanya menggelengkan kepala. Abah yang dari tadi asyik mengadu panas dek cuaca terik yang kian membahang. Kaki kanannya yang lumpuh akibat serangan strok semakin membengkak. Abah kini terlantar di atas katil. Abah yang dulu lincah ke sana sini sungguhpun usia yang menjangkau tua, akhirnya tersadai di dalam rumah.

"Aaabah, ….nak, bbuangg air besssar" Dengan payahnya abah memberitahuku.

Aku menurunkan kedua-dua kaki abah ke lantai. Menegakkan tulang belakangnya. Mengambil tangannya lalu menyentuh bahuku. Aku angkat dengan sekuat hati aku, lalu aku dudukkan di atas kerusi roda.

Aku menolak kerusi roda hingga ke bilik air. Aku turunkan semula kedua-dua kakinya. Dengan sehendak daya tenaga lemahnya, abah mengaduh kesakitan. Abah aku dudukkan di atas kerusi khas untuk menyelesaikan hajatnya.

"Nanti, kalau sudah, abah panggil saya ya" Aku memberi isyarat.

Sepuluh minit berlalu.

"Aaabahhh ttttak booooleh beraaaak" Jawab abah kepada aku.

"Okie, takpe" Jawab aku. Ringkas.

Aku angkat semula tubuh abah yang kurus ke atas kerusi roda. Kemudian, aku bawa semula ke atas katil. Dan, aku baringkan semula abah. Selang sepuluh minit kemudian, abah memberitahuku semula. Abah mahu membuang air besar. Percubaan kali kedua.

Tetapi masih gagal. Aku angkat semula abah ke atas kerusi roda. Dan, aku bawa ke atas katil semula.

Aku mengemas apa yang patut. Mengemop lantai. Menyapu dan mengelap dapur rumah adik aku. Memanaskan bubur kanji. Hari ini giliran aku dan suri menjaga abah.

Abah memanggil aku semula. Abah mahu buang air besar lagi. Aku turunkan kakinya kembali. Dan, aku angkat semula ke atas kerusi. Lalu aku bawa ke bilik air.

"Takpe, abah cuba lagi. Kalau sudah habis, bagitau" Jawab aku.

"Sudah ke bah?" Tanyaku selepas beberapa minit.

"Ttttak mau juuggga" Abah menjawab.

Tiba-tiba air mata abah bergenang. Aku terpaku.

"Abbbah susaahkan kammmu, kennnapa tttak bolllleh jugak niii" Air mata laju mengalir dari anak mata, sambil tersedu-sedu. Hiba.

Aku cepat beralih ke belakang abah. Mata aku sudah berair. Menahan tangis. Aku hiba dan pilu melihat abahku lemah dan uzur sebegitu.

"Miiiiinta maaaaf, sussahkan kamu nnni" Abah terus laju mengalirkan air mata.

"Tak apa bah, ingat lagi tak masa saya sakit setahun dulu?" aku menjawab.

"Siapa yang bawak saya pergi berubat? Abah dan mak" Aku menambah.

Aku menyeka air mataku dengan cepat. Aku tahankan sebak dan sebu di hati. Aku ambilkan gayung, dan aku curahkan air sambil menggosok rambut abah. Aku sapu dan gosok belakang badan abah sambil menguatkan air paip. Air mata aku semakin laju. Aku ambilkan syampu badan dan aku lumurkan ke seluruh badan abah. Aku bilas semula dan kemudian lapkan seluruh badan abah.

Bbbbesaarr pahala kkkamuuu jaga aaaabbbbah“ Abah berteriak kuat sambil mengeluh hiba.

Aku buat-buat tidak dengar. Aku jadi malu mendengarnya. Air mata aku mencurah seperti rintik hujan.

*** cerita ini saya petik daripada blog Cikgu Jimie. Air mataku menitis deras dan hiba mengenangkan pemergian arwah pa yang yang begitu mudah dan cepat dan kami adik-beradik tidak berkesempatan untuk berbakti untuknya dalam hayat-hayat terakhirnya sebagai mana yang dialami oleh Cikgu Jimie. Berbaktilah kepada ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada.

2 ulasan:

saleeh rahamad berkata...

Saya sempat menjaga abah saya semasa dia uzur. Sama keadaannya dengan cerita ini. Emak saya juga terlantar 11 tahun sebelum meninggal... dan sempat juga buat bakti yang sangat kerdil. Kini kedua-duanya sudah meninggal. Saya dapat rasakan susahnya menjaga orang tua tetapi itulah antara detik bahagia saya yang sudah hilang.

Fariza Nurbaya berkata...

Alhamdulillah, insya-Allah, besar ganjaran yang akan tuan peroleh. Saya masih punya ibu yang mula uzur setelah ditinggalkan secara mengejut oleh arwah ayahanda. Dalam segar dan sihat ayah meninggal dan selepas kematiannya saya sedar bahawa terlalu banyak yang tidak sempat saya lunaskan semasa hidupnya. Dan sekarang, seboleh mungkin akan saya curahkan bakti untuk ibu yang satu ini...