Selasa, April 27, 2010

Program Memartabatkan BM (MBM) KPM-BPG di IPG Kampus Sultan Mizan


Unit Bahasa, Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru sedang melaksanakan siri kursus Bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Melayu MBM) melalui Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI) bersama-sama IPG Kampus Sultan MIzan, Besut. Sebanyak 8 siri kursus akan dan telah dilaksanakan, dan hingga kini 4 siri kursus telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan guru-guru terplih dari negeri Terengganu dan Kelantan.

Hari ini, 27 April hingga 30 April 2010 bermula siri kursus yang memfokuskan e-pemelajaran dan e-kamus bagi meningkatkan ilmu dalam kalangan guru mata pelajaran Bahasa Melayu terutama dalam usaha memerkasakan bahasa Melayu menghadapi dunia tanpa sempadan ini. Untuk sekolah rendah pula, kursus yang sedang berlangsung dalam tempoh yang sama ialah Strategi Pengajaran Penulisan Berkesan.

Semoga program ini berjaya mencapai matlamat ke arah memartabatkan Bahasa Melayu sesuai dengan tugas, fungsi dan status sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Guru bahasa Melayu perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mereka agar tidak terus ketinggalan. Guru perlu menjadi suri teladan kepada pelajar dalam penggunaan bahasa yang baik dan tepat.

Apalah guna punya perahu,
Perahu tua muatan sarat;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Tersipu-sipu di meja mesyuarat.

Apalah guna punya perahu,
Tersadai berbulan di tepi parit;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai perawan sering berpingit.

Apalah guna punya perahu,
Layarnya reput sukar dinaikkan;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai rumput kering di jalanan.

Apalah guna punya perahu,
Tersadai di tebing dimakan hari;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Hidup terasing di negeri sendiri.

1 ulasan:

shameel Iskandar berkata...

Malang nasib bahasa Melayu.
Tersadar kaku
Terkulai layu

Mana Ketuanan Melayu
Mana Hidup Melayu
Ke mana hilangnya slogan itu.


Salam kenal dari saya cikgu

Cikgu Iskandar