Jumaat, September 10, 2010

Salam Aidilfitri 1431H..

Salam lebaran buat semua. Oh, cepatnya Ramadan berlalu. Rasanya baru beberapa hari saya bangun awal pagi bersekang mata menyediakan juadah sahur untuk anak-anak, dan rasanya tak lama sangat saya anak-beranak tergesa-gesa selepas waktu Maghrib ke Masjid Nasirudin Shah, Kampung Raja untuk menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan. Cepatnya... seperti kata teman,

singkat sungguh aku disinggahi waktu
tak sempat menghimpunkan amal
atau membasuh dosa
di wajah yang kumal...

(Mohamad Saleeh Rahamad)

Saya memohon ampun, maaf atas segala silap dan salah saya terhadap sesiapa sahaja yang mengenali saya, terhadap suami saya, bonda, anak-anak, adik-adik, sanak saudara, rakan-rakan, pelajar-pelajar dan semua orang yang pernah berhubungan dengan saya. Dalam hidup ini, saya sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik tetapi saya hanya manusia biasa. Sudah pasti ada tindak-tanduk saya yang mungkin menyebabkan ada hati yang terluka, ada rasa yang tersentuh terutama orang-orang yang rapat dalam hidup dan hati saya.

Saya sudah berusaha untuk menjadi insan yang paling baik, ibu yang bertanggungjawab, isteri yang penyayang, anak yang solehah, teman yang prihatin, guru yang dedikasi, dan segala yang baik-baik. Saya mohon maaf semua, ampunkanlah segala silap dan segala kealpaan, lahir dan batin, tersurat dan tersirat. Ya Tuhanku, ampunkanlah segala dosaku, berikanlah aku petunjuk dan hidayat agar aku dapat memilih jalan yang terbaik untukku.

Jemputlah bertandang ke teratak kami yang sentiasa terbuka untuk semua. Untuk anak-anak, jagalah adab-adab ketika bertandang ke rumah saudara-mara dan rakan taulan.
Salam lebaran, minal aidil wal faizin buat semua daripada

3 ulasan:

Ahmad Nawawi Yaakob berkata...

salam kamaafan pada syawal yang mulia

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.