Khamis, April 07, 2011

Tengok Lat!

Dalam sela-sela antara tugas rasmi dan tugas peribadi sepanjang 2 hari di Kuala Lumpur, saya tidak menolak jemputan oleh bekas pelajar AR untuk memijak Istana Budaya pada 4 April 2011, menonton teater muzikal Lat Budak Kampung dan duduk sebaris dengan tetamu VIP pada malam itu. Saya sudah lama tidak menonton drama pentas atau teater atau yang seumpama dengannya.


Pada masa saya kecil dulu arwah pa selalu membawa saya menonton drama pentas dan selepas berpuluh-puluh tahun berlalu, baru sekarang saya berkesempatan untuk menontonnya. Saya bukanlah pengkaji sastera atau peminat teater yang mahir untuk menilai teater ini dari sudut sastera dan nilai seninya.


Saya dan adik-adik membesar bersama kartun Lat, antaranya Keluarga Si Mamat, Kampung Boy, Mak Som dan lain-lain. Apabila diberi peluang melihat teater ini, saya betul-betul menontonnya sekadar untuk berhibur dan melihat bagaimana perjalanan hidup kartunis tersohor negara dipentaskan. Itu saja. Saya menonton Lat bukan kerana saya meminati pelakon Awie yang membawakan watak Lat ketika dewasa. Saya langsung tidak meminati Awie, menonton lakonannya sebagai Dato' Lat hanya mengingatkan saya kepada cerita Hantu Kak Limah Balik Kampung saja. Ce cerita.. ce cerita...


Saya seronok melihat lakonan dan gelagat kanak-kanak lelaki yang melakonkan watak Lat sewaktu kecil, dan juga watak Francis, rakan karib Lat. Saya juga suka melihat lakonan Jalil Hamid sebagai ayah Lat, dan persekitaran kerja Lat sebagai wartawan jenayah di NST. Cerita Lat ketika dewasa agak membosankan saya.


Terima kasih Tengku Suzana, wartawan hiburan Kosmo dan produser BB Alexandra yang sabar melayan karenah dua orang guru tua ini. Saya sayang awak berdua!

Tiada ulasan: