121212
Sungguh indah tarikh ini. Hari terakhir saya menyumbangkan khidmat bakti untuk anak-anak di lembah Darau ini. Hari ini ialah hari terakhir peperiksaan STPM untuk tahun 2012, peperiksaan terakhir untuk sistem terminal. Kertas terakhir iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 akan dihadapi oleh pelajar-pelajar saya. Semoga kejayaan cemerlang menjadi milik mereka.Ya, 10 tahun di sini mengenalkan saya dengan pelbagai ragam manusia - murid, ibu bapa, pentadbir dan rakan sejawat. Dalam luang menunggu anak-anak menduduki peperiksaan terakhir yang berlangsung selama 2 jam ini, terimbau kembali nostalgia tahun-tahun yang berlalu dan generasi anak-anak yang telah dibimbing.
Setiap tahun beginilah rutinku selama satu dekad ini. Hari ini saya lepaskan mereka, keluarlah dari alam persekolahan ini dengan pengakhiran yang indah dan bermakna. Telah saya ajarkan mereka agar mencintai ilmu dan buku, telah saya didik mereka agar mencintai bahasa dan telah saya ingatkan mereka agar sentiasa menyantuni tutur kata dengan sebaik-baik bahasa.
Hari ini, anak-anak didikku ini akan meninggalkan zaman persekolahan mereka setelah mengharungi dunia pengajian selama 13 tahun. Pelajar datang dan pergi, dan kali ini saya juga akan pergi. Tak selamanya saya di sini. Saya juga perlu berhijrah. Juga untuk mengubat rasa hati.
Saya jadi kuat di sini, disokong pelajar-pelajar dan teman-teman. Siapa yang tidak bangga jika saban tahun ada sahaja kata-kata ibu bapa yang menyapa telinga saya, "Cikgu Za, kami hantar anak-anak kami ke sekolah ini kerana Cikgu Za yang mengajar di sini", "Cikgu, saya ibu kepada si polan bin si polan, yang telah cikgu didik sampai berjaya. Terima kasih, Cikgu Za" Kata-kata ini terus menjadi penguat semangat. Dan kata-kata itu akan tetap kekal dalam ingat.
Saya sudah semakin tua. Sudah hampir sesuku abad menabur khidmat di beberapa buah sekolah. Silih berganti wajah anak-anak saban tahun yang sudah terdidik. Ke manapun pergi, pasti akan kedengaranlah suara-suara yang memanggilku "cikgu" di mana-mana. Ramai teman sejawat yang sama-sama berkhidmat 20 tahun yang lalu sudahpun menamatkan perkhidmatan kerana pencen dan sudah ada yang pulang ke negeri abadi. Sampai masa saya juga akan mengikut jejak mereka. Dalam doa, moga segala tugas yang telah ditunaikan akan menjadi ibadat sepanjang waktu, menjadi amal jariah yang berkekalan. Amin.
Selamat menamatkan sistem persekolahan di sekolah menengah dengan manis, bergaya dan berjaya. Kemudian, keluarlah dari daerah ini untuk terus menuntut dan menggali ilmu dan mematangkan pemikiran. Dan sampai masa, kembalilah ke desa ini dan saya pasti akan sentiasa ada, jika dipanjangkan umur dan ingatan, akan menunggu dengan senyuman. Semoga kita bertemu lagi, dan sama-sama kita nyanyikan lagu rindu-rindu!
Kelas Bahasa Melayu terakhir... |
Usai peperiksaan kertas terakhir.. |
Macam artislah pulak! |
Untuk anak-anak STPM 2012, Afiqah yang rajin, Mimi yang tabah, Normadia Manaf yang tekal, Izzati si mata bulat, Fatin Insyirah si anak burung, Fatimah Zuhra, Siti Fatimah, Masbah, Dini, Raja, Isramirna, Saziela, Nasuha, Fatihah, Badrul, al-Hafiz, Normi, Wan Hafiz, Maulana, Hidayah, Rosmawati, Shafiza dan lain-lain yang tidak tersebut namanya tapi tetap saya ingat,
juga buat teman-teman sejawat, Cikgu Azhar, Teacher Fauziah Adam, Teacher Zawiah, Cikgu Rosnani, Cikgu Siti Meriam, Hajah Zaidon, Cikgu Da Zaharah, Cikgu Siti Zunaida, Cikgu Yusnaidi, Cikgu Yusnizah, Ustazah Alani, Ustazah Zuriati, Cikgu Rozita, Cikgu Salida, Cikgu Suriani, Cikgu Najihah, Cikgu Hasan, Cikgu Hamdan, Cikgu Nazli, Cikgu Norzawawi, teacher Suzi Azianti, Cikgu Nasarudin yang nakal dan guru-guru lain yang tak tersebut namanya tetapi tetap saya kenang,
pengurusan sekolah, Puan Nor Hamidah, Ustaz Mazlan, Ustazah Noriah, Puan Pengetua, guru-guru kanan mata pelajaran,
kenang-kenangkanlah saya dalam doa dan dalam ingatan kalian.
Sedekahkanlah al-Fatihah jika saya sudah tiada lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan