Khamis, Oktober 10, 2013

Kereta mewah...

Dalam satu sesi motivasi dengan pelajar-pelajar tingkatan 6, saya bertanya kepada mereka soalan ini, "Dalam masa 5 tahun lagi, cuba bayangkan apakah kenderaan yang akan kamu miliki?" 

Rata-rata jawapan mereka ialah BMW, Audi, Lamborghini, Mercedes,  Porshe dan pelbagai jenis kereta mewah yang lain. Tiada seorangpun yang menyebut kereta Proton Saga, Myvi, Viva hatta Toyota Vios, ataupun sekadar motor kapcai.

"Cuba intai dan jenguk kereta guru-guru kamu di tempat letak kereta di bawah tu. Ada berapa buah Ferrari dan Porshe yang kamu nampak?  Ada berapa buah Lamorghini yang dipakai oleh guru-guru kamu? Sedangkan sebahagian besar daripada mereka sudah berkhidmat lebih daripada 20 tahun."


Lalu saya memberikan contoh pelajar saya yang telah berjaya. Dr Safra misalnya. Tujuh lapan tahun yang lalu, beliau begitu tekun belajar, tidak pernah ponteng kelas, hormat guru, 10A+ SPM, 4.00 matrikulasi, mengikuti kursus perubatan di UMS, dan kemudian bertugas sebagai doktor di hospital kerajaan, sekarang memandu Toyota Vios dengan penuh rasa syukur dan bangga. 

Kata saya, cuba bandingkan pencapaiannya dengan anda semua - kerap tidak hadir sekolah, keputusan peperiksaan Penggal 1 dan Penggal 2 bawah 2.00 dan sebahagiannya masih gagal, mengeja pun masih salah, pengetahuan am tiada kerana kurang membaca, tetapi masih bercita-cita mahu menjadi kaya. 

Anda boleh memiliki kereta impian anda jika kita punya ibu bapa yang kaya raya, atau setidak-tidaknya punya bapa seorang menteri.

Mari kita buat sesuatu dalam masa yang tersisa ini untuk mengubah masa depan.  Jangan asyik dibuai mimpi, leka dan masih bermalas-malas.  Saya masih lagi yakin dan optimis kita mampu mengubah asal saja kita berusaha terutama pada saat akhir menjelangnya peperiksaan ini. 

Kalau tak pandai sikitpun tak apa, asal kaya budi bahasa,  baik tingkah laku,  umat yang taat.

Saya teringat kereta impian Kak Eina - Hammer. Saya hairan bagaimana kereta yang seperti kereta kebal ini menjadi impian Kak Eina.  Setelah beberapa bulan menjadi peguam, Kak Eina hanya mampu memiliki kereta Saga FLX, bukan Hammer yang menjadi impiannya!



Tiada ulasan: