Selasa, Disember 14, 2010

Cepatnya nak habis cuti sekolah!

Cuti sekolah rupa-rupanya dah pun nak berakhir. Anak-anak sibuk bertanya ke mana tempat untuk bercuti. Alahai, bercuti kat rumah sajalah jawabnya mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah ini, membantu ibu abah membersihkan laman, membetulkan bacaan al-Quran, membaca buku, dan lain-lain (maksud lain-lain: main FB, tengok CD, permainan komputer, menghadap TV).

Yang pastinya, waktu cuti sekolah, guru pun turut cuti sekolah juga. Namun begitu, saya tetap juga datang ke sekolah tetapi pada masa mana yang saya suka. Saya tak perlu lagi tergopoh-gapah dan termengah-mengah setiap pagi untuk memastikan saya sampai terlebih dahulu sebelum pengetua saya sampai ke sekolah (isk.. sepatutnya saya sampai sebelum jam 7.30 pagi sebelum waktu kelas P&P bermula!). Saya juga tidak perlu memandu dalam keadaan tertekan kerana terpaksa memandu di belakang pemandu-pemandu lembap seperti siput sedut di jalanan yang bergerak selaju 40km/j. Huh!

Saya tahu walaupun cuti, tidak semua guru dapat bercuti sepenuhnya. Cuti sekolah bukanlah untuk cikgu sebenarnya. Cikgu menumpang saja. Ramai cikgu yang tetap datang ke sekolah, menyiapkan pelbagai tugas terutama guru-guru yang terlibat dengan pengurusan sekolah. Sebahagian besar daripada mereka juga menghabiskan masa cuti mereka dengan bertugas menjadi pengawas peperiksaan-peperiksaan awam SPM dan STPM. Ada yang mengikuti pelbagai kursus peningkatan profesionalisme, mengendalikan bengkel-bengkel dan kursus, membina item dan modul, menjadi pemeriksa kertas dan pelbagai tugas yang tidak semua orang tahu.

Saya kagum akan kesanggupan teman-teman guru yang sanggup dan penuh dedikasi menjadi pengawas-pengawas peperiksaan, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sepanjang 22 tahun menjadi guru. Saya tahu bukan material yang dikejar oleh mereka kerana semua orang maklum bahawa bayaran yang diperoleh bukanlah besar sangat. Tetapi atas dasar komitmen dan tanggungjawab mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka tahu pada masa yang sama rakan-rakan guru sedang bersenang-lenang di rumah atau melawat dan melancong bersama-sama keluarga. Err.. adakah saya juga termasuk dalam kategori guru ini Oh, tidak!, Saya masih lagi guru yang baik rasanya, masih menjenguk sekolah walaupun bukan setiap hari, bertanya khabar murid-murid saya yang sedang bertungkus-lumus membuat persiapan peperiksaan. Dan saya masih sempat lagi mengadakan bengkel teknik menjawab peperiksaan kepada mereka. Kira guru yang baik jugalah saya ni.. masuk bakul sesekali seronok juga ya.

Seperti kanak-kanak riang, saya sebenarnya suka sangat apabila tiba musim cuti atau pada cuti hujung minggu kerana saya dapat melakukan perkara-perkara yang jarang saya dapat lakukan dengan baik dan sempurna, antaranya ialah memasak, meladeni dan membelek pepohon kaktus dan orkid saya di laman agave-grusonii yang makin layu dan tidak begitu sihat itu.

Saya suka sekali apabila dapat mengemas dan menghias anjung tak berseri saya ini. Saya seronok sangat kerana dapat menonton filem bersama anak-anak, dan saya juga mempunyai masa yang lebih untuk membersihkan sesawang pada blog saya yang lebih bersawang daripada syiling di teratak saya!!



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,

moga tulisan k'za jadi inspirasi pada rakan guru. menjadikan keringat n beban sebagai kepuasan diri n bekal akhirat.
kudos pd k'za.

noraz berkata...

Betul tu. tak ramai guru yang sanggup dan sabar utk menjaga dan mengawasi pepriksaan yang berlangsung bukannya sekejap, ada yang memakan masa 3 jam. bayangkan 3 jam dnegan berdiri, tidak boleh bebrbuat perkara lain. tahniah cikgu2. bukan kewangan jadi sandaran. terima kasih kerana membantu kerajaan dalam melaksanakan sistem pendidikan negara yang berkesan.

noraz berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
a kl citizen berkata...

tahun ini, saya menjadi pengawas untuk PMR, alhamdulillah. Terlepas dari mengawas semasa cuti panjang...

tak kiralah bagaimana kita menghabiskan cuti, yang penting masa kerja kita kerja....