Jumaat, Mac 23, 2012

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Kali Ke-2 Muang, Yala

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Kali Ke-2 (17 hingga 19 Mac 2012) ini dijalankan di Muang Yala, sambungan daripada bengkel pertama yang di Hatyai Disember tahun lepas. Kali ini, penganjuran kursus dan bengkel ini mendapat sokongan daripada Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thai atas inisiatif Persatuan Sekolah-sekolah Agama Swasta Selatan Thai,  Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala dan pengurusan sekolah Haji Harun.

Secara ringkas, perkembangan Bahasa Melayu di Selatan Thailand berlangsung dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Guru-guru mereka menyatakan kebimbangan tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang semakin tidak diminati oleh murid-murid. Kedudukan Bahasa Melayu di Wilayah Melayu Selatan Thai ini boleh diibaratkan bagai "telur di hujung tanduk", dan jika tiada usaha untuk memartabatkannya, tidak mustahil Bahasa Melayu akan mengalami kepupusan.

Bahasa Melayu di Wilayah Selatan Thai hanya dipelajari di sekolah-sekolah agama swasta dan pondok. Murid-murid mereka belajar bahasa Melayu secara formal dari sekolah rendah lagi dengan peruntukan masa selama 8 masa seminggu. Selepas mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah agama, Bahasa Melayu terus dipelajari di samping digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajian agama. Jika mereka memilih ke sekolah kerajaan, mereka tidak akan berpeluang belajar bahasa Melayu secara formal lagi.

Di 5 wilayah Islam Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan dua buah wilayah lagi, terdapat lebih 60 buah sekolah agama swasta dengan bilangan pelajar menjangkau hampir 100 ribu. Setiap sekolah mempunyai bilangan murid yang sangat ramai, Sekolah agama yang paling terkenal di Yala, Sekolah Haji Harun sahaja mempunyai lebih 6000 orang murid, Sekolah Darul Syifa’ di Narathiwat pula melebihi 4000 orang.

Nasib bahasa Melayu menjadi semakin malang apabila tidak lagi menjadi bahasa ibunda kerana kecenderungan ibu bapa bertutur dalam bahasa Thai dengan anak-anak mereka di rumah. Generasi tua dan pemimpin Melayu tempatan cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana jika tidak diambil sebarang langkah dalam meningkatkan mutu pengajaran bahasa Melayu, bahasa Melayu akan semakin terpinggir dan gagal dipertahankan di wilayah Melayu Islam ini.

Untuk memastikan bahasa Melayu terus terpelihara, pihak pengurusan sekolah-sekolah agama swasta ini telah meletakkan syarat kelulusan bahasa Melayu sebagai syarat lulus sekolah-sekolah agama tersebut. Bahasa Melayu hanya digunakan untuk mengajarkan subjek-subjek agama, manakala untuk subjek-subjek akademik, mereka mengajar dengan menggunakan bahasa Siam sebagai syarat untuk mendapatkan bantuan penuh kerajaan Thailand. Maka, lidah anak-anak Melayu Thailand lebih fasih bertutur dalam bahasa Siam berbanding bahasa sendiri, dan jikapun mereka menggunakan bahasa Melayu, dalam sebaris ayat yang mengandungi 10 patah kata, kata daripada bahasa Melayu hanyalah 2 atau 3 patah sahaja lagi.

Acara perasmian
Bengkel selama 3 hari ini telah dihadiri oleh lebih kurang 200 orang guru yang mewakili setiap sekolah di 5 Wilayah Selatan Thailand. Pengisian program ialah ceramah tentang sejarah perkembangan Bahasa Melayu, kepelbagaian teknik dan kaedah dalam pengajaran bahasa, bengkel dan forum. Peserta-peserta juga diberi peluang untuk mempraktikkan kaedah pengajaran bahasa yang memikat dan menyeronokkan melalui pelbagai aktiviti, antaranya aktiviti permainan bahasa, main peranan, lakonan dan penghayatan unsur Sastera. Untuk bengkel kali ini, saya dan AR telah dibantu oleh Cikgu Atikah Hamzah, guru Bahasa Melayu yang berpengalaman dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, Besut. Beliau ialah bekas pelajar saya semasa saya mengajar di SMK Tengku Mahmud, 20 tahun yang lalu.
Bersama-sama Cikgu Atikah Hamzah

Saya merakamkan rasa gembira dan bangga atas kepercayaan Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thai memberikan mandat kepada kami untuk berkongsi pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kepada guru-guru mereka dari segi teori dan praktis. Semoga dengan sedikit ilmu yang kami sampaikan dapat dimanfaatkan oleh guru-guru mereka untuk menarik minat generasi muda mempelajari bahasa Melayu, bahasa ibunda mereka dengan bersungguh-sungguh.
Antara peserta bengkel
Aktiviti perbengkelan


Ehem.. ehem.. Ustaz Soleh!






Permainan bahasa
Bergambar kenangan dengan Tuan Tsavi Soadsong, Setiausaha Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand.


Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Soleh, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam, Yala, Tuan Haji Razi Bensulong, Pengarah Sekolah Haji Harun, Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengelola Sekolah Haji Harun, guru-guru dan semua insan baik berbudi mulia yang saya kenali di Yala. Semoga kita akan bertemu lagi dalam satu luang dan ruang yang lain. Insya-Allah.





Mereka bukan calang-calang orang. Mereka ialah tok-tok guru pondok yang turut menyertai bengkel pengajaran bahasa..


Posing le!

Kenderaan yang akan membawa kami ke Petani pula...

Selamat tinggal  Yala, selamat tinggal saudara-saudara segama sebangsa yang baru dikenali tetapi terasa sangat akrab dan rapat...





Tiada ulasan: