Saya, AR, Cikgu Atikah Hamzah, suami dan anak disambut mereka bertiga di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, pekan Rantau Panjang. Ada 2 orang lagi bersama-sama mereka, Mudir Haji Kamarudin dan seorang lagi teman beliau. Teruja juga Cikgu Atikah untuk menggunakan pasport antarabangsanya untuk pertama kali. Cikgu Atikah ialah bekas pelajar saya yang pernah berguru dengan saya 20 tahun yang lalu, dan hingga hari ini terus mengingati dan menjenguk saya. Beliau, suaminya Fauzi dan anak-anak sudah seperti keluarga saya yang sangat rapat, sahabat terbaik yang sentiasa ada dan sedia menghulurkan bantuan, lebih-lebih lagi apabila kami terpaksa meninggalkan anak-anak kerana tugas rasmi di luar daerah.
Perjalanan dari sempadan Sungai Golok ke Yala sejauh 200 kilometer dan memakan masa perjalanan selama 3 jam. Dalam perjalanan kami singgah untuk menikmati makan tengah hari di Pekan Yi-Ngo. Di celah deretan rumah kedai di pekan tersebut pasti akan terdapat tentera-tentera Thailand berbaju hijau. Kata Ustaz Soleh, bumi Pattani ini mendapat julukan sebagai "Bumi Hijau" kerana ramainya jumlah askar berbaju hijau di kawasan tersebut.
Hidangan pertama untuk tengah hari sudah pasti kami dihidangkan dengan menu wajib masakan Thailand iaitu tom yam dan kerabu mangga. Kedai makanan mereka sangat bersih, dan kami dilayan gadis-gadis cantik yang berpakaian menutup aurat.
Sepanjang perjalanan banyak juga tempat yang sempat kami singgahi, antaranya ialah Masjid Wadi Husain. Saya dimaklumkan bahawa masjid ini telah berusia lebih 300 tahun. Masjid yang terletak di Teluk Manok, Yi-Ngo ini dibuat sepenuhnya menggunakan kayu cengal dan beratap genting Senggora. Tidak ada paku yang digunakan.
Sepanjang jalan ke Yala, rasa-rasanya terdapat lebih 30 sekatan tentera yang terpaksa ditempuhi. Entahlah, walaupun ramai teman yang bimbang akan perjalanan kami, kami terasa selamat bersama-sama dengan mereka. Perjalanan kami lancar dengan sistem jalan raya yang sangat baik. Kami singgah juga di sebuah maahad yang saya lupa namanya. Bangunan sekolahnya besar dan dimaklumkan bahawa kos untuk pembinaan sekolah ini dibiayai oleh Kerajaan Riyadh.
Kami sampai di bandar Yala lebih kurang jam 4 petang dan sudah pasti tempat pertama yang kami tujui ialah Kedai Laila, kedai yang menjual pulut mangga paling sedap yang pernah saya rasa! Ini kunjungan kali kedua saya, AR dan kali pertama bagi Atikah dan Fauzi.
Malam di Yala, sejuk dan dingin bandar terbersih di Asia ini. Esok tugas besar menunggu. Rabbi yassir wala tu'assir ya Karim, permudahkanlah, lancarkanlah segala tugas kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan