11. 30 pagi:
Ke Bangkok dengan kereta api? Terkejut teman-teman apabila diberitahu tentang hasrat kami ini. Ya, kami bakal menempuh perjalanan sejauh lebih 1300 km dari Sungai Golok, Wilayah Narathiwat ke Bangkok yang memakan masa hampir 23 jam. Ada 2 jadual perjalanan sehari sahaja kereta api ke Bangkok, iaitu pada pukul 11.30 pagi dan pukul 2.30 petang. Tiket perjalanan kami untuk 4 orang sudah ditempah 2 hari lebih awal dengan bantuan Ustaz Lokman Golok. Tiket kelas pertama sudah habis terjual, dan yang ada hanyalah tiket kelas ke-2 dan ke-3. Harga tiket untuk tempat duduk bahagian bawah ialah THB 917 dan bahagian atas ialah THB847 baht seorang. Pesan Ustaz Soleh Wandeng, kalau mahu membeli tiket ke Bangkok, pilihlah kereta api ekspress yang disebut dalam bahasa Thai sebagai Rot Duan.
Awal-awal lagi kami telah diingatkan oleh Ayahanda Haji Abdul Rahman Tupa dan Ustaz Soleh Muhamad Raini (Yala) agar membawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kerana makanan yang dijual di atas kereta api tidak kita tahu halal dan haramnya. Bekalan mi segera telah kami bawa daripada rumah. Ustaz Lokman membekalkan kami dengan 4 bungkus nasi beriani ayam, roti Gardenia, kaya dan satu dozen air mineral. Beliau juga membelikan kami simkad Thailand untuk memudahkan kami dihubungi. Oh, kami selalu saja dipertemukan dengan insan-insan baik berhati mulia. Ustaz Lokman ialah bekas pelajar Sekolah Haji Harun Yala, pernah berguru dengan Ustaz Soleh dan sekarang bertugas sebagai guru agama di salah sebuah sekolah kerajaan di Pekan Golok itu.
|
Perjalanan yang sepatutnya bermula jam 11.30 pagi waktu Thailand telah tertunda lebih sejam. Tanggapan pertama kami ketika melangkah naik ke gerabak kelas 2 itu agak negatif dan tidaklah dapat kami bayangkan bagaimanalah nanti kami terpaksa menghabiskan berpuluh-puluh jam di atas kereta api ini. . Tidak ramai penumpang di dalam gerabak ini dan jumlahnya semakin bertambah setiap kali berhenti di stesen. Kebanyakan mereka ialah pelancong daripada Eropah. Kami menempah 2 tempat duduk berkerusi dan 2 katil. Pada mulanya kami tidak tahu bahawa tempat tidur yang terletak pada bahagian atas itu hanya akan dibuka pada waktu menjelang malam. Keadaan di dalam kereta api agak panas dan alat pendingin hawa pula kurang berfungsi dan banyak bergantung pada kipas angin.
Kereta api melepasi bandar Hadyai lebih kurang pukul 5 petang. Setiap kali berhenti di mana-mana stesen para penjual akan berjaja di dalam kereta api itu dan kami hanya membeli buah-buahan. Sepanjang perjalanan sebelum menjelangnya malam, saya dan AR menghabiskan masa dengan membaca dan sesekali menjenguk FB. Si Bongsu Abu Zar dan Husin Ali banyak menghabiskan masa dengan bergurau, tidur, bermain permainan komputer, mendengar muzik dan sesekali mencatat. Tidak ada banyak masalah untuk berwuduk dan menggunakan bilik air di dalam kereta api ini. Untuk menunaikan solat, terpaksalah bersolat sambil duduk. Tidak ada apa-apa lagi pemandangan di luar jendela yang dapat kami lihat pada waktu malam. Tidur sajalah.
Pagi menjelma. Solat subuh.
Sepanjang perjalanan, apa yang kami nampak hanyalah suasana kampung dan kawasan bendang padi yang saujana mata memandang. Cantik. Anugerah Tuhan.
Tuhan, Kauberkatilah jalan dan perjalanan kami. Amin.
1 ulasan:
Assalamualaikum cikgu, saya pn suwaizah dr kuching tapi org kelantan.saya berhasrat nak buat lwtn sekolah ke golok.sy tgk ada beberapa nama yg cikgu mention dr golok.mcm mn sy nsk menghubungi mrk? Boleh kah cikgu menjadi org tghnya?
Saya boleh dihubungi di nmbr 0138042003.harap dpt balasan drp cikgu
Catat Ulasan