Setahun Sudah Berlalu..... 23 Jun 2006 tetap kekal dalam ingatan.
Titipan kata daripada adinda Hamilah.....
ayahanda, engkau selalu dekat di hati kami
terasa masih tercium bau wangianmu seribu bunga dari souq azzahra'
selangkah kami ke rumah Allah di sana,
engkau menitipkan pesan itu"anakanda, carikan pa minyak wangi seribu bunga dari celah kedai yang termasyhur insya-Allah ada di sana"
.......aahhhhh, rindu sungguh aku padamu
terasa benar engkau di hati kami
yang sentiasa mengalir dalam aliran jiwa kami...
daripada anakmu yang lenja, 5 jun 2007
Isnin, Jun 11, 2007
Sabtu, Jun 02, 2007
Selamat Hari Guru Buat Semua Pendidik di Seluruh Malaysia, juga buat guru-guruku. Sesungguhnya engkaulah cikgu yang pertama kali menebas rumpai kejahilan huruf dan angka, membersihkan parit alpa dan anak-anak sungai kedaifan di pinggir sedar, dengan tolak campur dan darab bahagi, maka terbangunlah teratak akal bijak dari ranting-ranting mimpi dan akar-akar harap – walau kecil dan kerdil, kau susun kemas menjadi dinding takwa dan tiang iman rumah amalku.
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG, TERIMA KASIH CIKGU!Masihku ingat pesan ayahku,
Adil jangan memilih kasih,
benar jangan memilih kawan,
baik jangan mencari laba,
elok jangan mengambil muka,
sayang jangan mengharap upah,
budi jangan mengharap puji.
Bila ke darat mencari ibarat,
bila ke laut mencari yang patut,
bila ke tengah tidak berhelah,
bila ke tepi mencari yang berbudi,
bila ke hulu mencari yang tahu,
bila ke hilir mencari yang mahir.
Apalah tanda batang durian,
buahnya berduri sedap dimakan,
apalah tanda guru budiman,
ke tengah ke tepi rela berkorban.
Ayah, sudah 11 purnama kaumeninggalkan kami, segala pesanmu masih kekal dalam ingatan, tetap segar dalam sanubari. Al-Fatihah.
Rabu, Februari 28, 2007
PEMBUDAYAAN UCAPAN TERIMA KASIH
Amat sukar bagi anak-anak kita hari ini untuk mengungkapkan ucapan “terima kasih” kepada seseorang sehinggakan ada kalanya perlu diajar atau diingatkan terlebih dahulu kepada anak-anak untuk berbuat demikian. Amalan yang baik ini mencerminkan keluhuran budi dan kecemerlangan jiwa. Keluhuran budi dan kecemerlangan jiwa pula menandakan kebersihan rohani dan minda seseorang.
Sebegitu banyak amalan dan budi pekerti yang baik tidak dapat menandingi pengucapan yang jujur dan tutur kata yang manis. Oleh sebab itulah, ramai manusia yang binasa bukan kerana amalannya tetapi disebabkan tutur katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada seseorang menandakan betapa kita menghargai apa yang telah dilakukan oleh orang itu kepada kita. Kesannya, bukan kerana penghargaan yang diterima tetapi nilai yang terkandung dalam ucapan terima kasih itu. Ucapan terima kasih mempunyai banyak pengertian yang tersembunyi yang jarang-jarang kita sedari, yang jarang-jarang kita jengahi.
Islam memberi penekanan yang berat terhadap apa yang dipertuturkan dan bagaimana cara pertuturan itu disampaikan. Hal ini kerana, tiap-tiap butir pertuturan yang terkeluar dari mulut seseorang, tidak kira siapa yang menuturkannya, akan membuktikan sepanjang mana akal fikirannya dan ketinggian darjah budi pekertinya. Tidak kira apa bangsa dan agama seseorang, di negara mana orang itu berada, cara pertuturan akan menentukan tahap pengetahuan dan adab susila orang itu.
Ucapan bertatasusila seperti ‘terima kasih’ dituturkan oleh semua bangsa di dunia dari dulu hingalah sekarang. Yang berbeza ialah bunyi ucapan itu sahaja. Kalau orang Melayu mengungkapkan kata-kata ‘terima kasih’, orang Arab pula menyebutnya sebagai ‘syukran jazilan’, manakala orang Cina menyebutkan ‘xie xie nin’ (sebut sebagai sie-sie nin). Apa yang penting ialah, walau apapun bunyinya, kita mestilah mengucapkan ucapan itu dengan niat yang ikhlas dan jujur, melambangkan keluhuran akal budi serta pekerti yang mulia.
Dalam konteks dunia pendidikan, amalan berterima kasih dalam pengucapan yang sempurna dan berakhlak merupakan budaya murni yang wajar menjadi pakaian lidah para pelajar.
Tidaklah menjadi sesuatu yang sukar dilakukan oleh seseorang pelajar apabila mengucapkan terima kasih kepada guru dengan hati yang tulus ikhlas serta disulami dengan senyuman yang manis. Ucapan terima kasih yang ikhlas selalunya terpancar melalui sinar mata yang bening, air muka yang tenang dan ceria serta senyuman penghias bibir. Sesungguhnya tidak ada hadiah yang paling bermakna bagi seseorang guru atau seorang ibu atau bapa sekiranya pelajar atau anaknya mengungkapkan kata-kata ‘terima kasih cikgu”, atau ‘terima kasih bapa” setelah mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka. Berapa keratkah daripada anak-anak pelajar yang mengucapkan kata-kata keramat ini kepada guru atau ibu bapa sekalian?
Amalan berterima kasih ini mungkin agak sukar dipraktikkan di rumah atau di sekolah jika tidak menjadi kebiasaan. Walau bagaimanapun, tidaklah janggal jika kita dapat memulakannya hari ini. Ibu bapa para pelajar mungkin akan berasa sedikit ganjil jika para pelajar mengucapkan ucapan terima kasih kepada mereka tanpa sebab. Tetapi, percayalah, mereka akan bangga jika pelajar-pelajar semua tiba-tiba memberi ucapan “ terima kasih dan tinggal dulu ayah, ibu” apabila meninggalkan rumah untuk ke sekolah esok, atau “terima kasih ayah, terima kasih ibu kerana mendidik, mengasuh dan menjaga saya dari kecil sehinggalah saya besar”. Anak-anak sekalian mungkin tidak dapat melihat rasa bangga mereka, tetapi yakinlah bahawa ucapan terima kasih yang anda ucapkan itu akan memberikan ketenangan di jiwa mereka. Hal ini kerana, ucapan terima kasih seorang anak itu itu tidak mungkin dapat diluahkan jika anak itu tidak memiliki budi pekerti yang luhur dan terpuji. Hanya mereka yang berakhlak mulia sahaja dapat mengucapkan tutur kata yang baik dan mulia itu.
Jangan berat mulut untuk mengucapkan lafaz “terima kasih”.

Selasa, Disember 19, 2006
Sukulens spesis Echeveria lilacina
Masih kuat terpahat dalam ingatan.
Sampai bila-bila.
SUCCULENTS (Crassulaceae)
SUCCULENTS (Crassulaceae)
Kaktus ialah salah satu daripada tumbuhan yang termasuk dalam keluarga sukulens (succulence). Terdapat lebih 2 500 spesies kaktus , iaitu satu perempat daripada jumlah tumbuhan sukulens di dunia ini. Secara kasar, terdapat lebih 10 000 jenis sukulens di serata dunia dan dapat dikelompokkan kepada 6 keluarga besar iaitu Asclepiadaceae, Asphodeliceae, Cactaceae, Crassulaceae, Euphorbiaceae dan Mesembryabthemaceae. Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang kaktus dan sukulens dengan rakan-rakan sekalian.
Selasa, Julai 04, 2006
TAHNIAH kepada pelajar-pelajar STPM SMK Putra tahun 2005 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA seluruh Malaysia. Semoga kejayaan kalian menjadi perangsang kepada anak-anak di Lembah Darau ini untuk turut mencipta kecemerlangan. ROSMAIZA, HAFIZAM, NOR AIDA DAN AMIER AZWAN DI UPSI, JADILAH GURU YANG DEDIKASI DAN KOMITED. KEPADA ASFARINA, LIYANA, YUSOF, NORASIAH (UIVERSITI MALAYA), WALAU DI MANA KITA BERADA, KITA MESTI KEKALKAN KECEMERLANGAN DAN JANGAN LUPA AKAR KITA. JUGA KEPADA NORAINI IBRAHIM (UUM), SITI FATIMAH (UUM), SITI KHATIJAH (UPM), SURIANI (UMS), WAN NOR IZAH (UKM), YUSHAFIZA (UNIMAS) DAN NUZULAZWAN DI USM.
Sabtu, Julai 01, 2006
23 JUN 2006 , ayahanda tercinta, HAJI MUHAMMAD BIN ABDULLAH kembali ke rahmatullah pada pukul 5.45 pagi subuh hari Jumaat. Arwah ayahanda telah terjatuh selepas mesyuarat terakhir pada malam tadi. Semoga roh ayahanda dicucurkan rahmat dan termasuk dalam para solihin dan orang-orang yang dicintai oleh Allah SWT. Kehilangan ayahanda sangat dirasai kami sekeluarga. Semoga ibunda tercinta tabah menghadapi dunia ini tanpa tiada lagi pa di sisi. Al-Fatihah.
Sabtu, Jun 17, 2006
Madinatul Munawaarah..

Kesempatan untuk mengunjungi bandar Rasulullah S.A.W, kota bercahaya al-Madinah Munawwarah akhirnya tercapai juga setelah kami akhirnya terpilih menjadi tetamunya pada musim haji yang lepas. Bandar Madinah seolah-olah tersenyum menyambut kami. Madinah, sebuah bandar bersejarah menjadi impian setiap muslim untuk mengunjunginya. Setiap inci buminya mempunyai sejarah, lalu dipilih oleh Allah S.W.T sebagai tempat perpindahan dan persemadian Rasul-Nya, serta para sahabat, juga menjadi tempat tadahan wahyu. Sesungguhnya kota ini mempunyai banyak keistimewannya. Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. telah menjadikan Madinah sebagai tanah haram dan berdoa untuk keberkatan ahli-ahlinya.
Cuaca yang dingin, bandarnya yang aman menyejukkan hati.. bandar yang menjadi tempat bersemadinya kekasih Allah ini tetap akan aman dan tenang sampai bila-bila.. Aku akan datang lagi!! Tunggu...
Jumaat, Jun 16, 2006
Tragedi asrama runtuh di Mekah
MEKAH 7 Januari, 4 jemaah haji kita maut -- 76 disahkan terkorban dalam tragedi asrama runtuh di Mekah. Empat jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini disahkan terkorban dalam kejadian hotel runtuh di Jalan Jundaria kawasan Al Ghazzah dekat Masjidilharam di sini Khamis lepas. Kesemua jemaah yang berasal dari Sabah itu dikenal pasti sebagai Norma Abu, 47, dari Kampung Sapagaya, Jalan Silam, Lahad Datu dan Simin Suliman, 64, dari Kampung Lohan 1, Peti Surat 467, Wakil Pos Ranau, Ranau.Dua yang lain ialah pasangan suami isteri Panan Awang Saman, 65, dan isterinya Dayang Damit @ Sadiyah Ghani, 63, dari Kampung Pimping, Membakut.
``Mayat mereka dijumpai setelah kami melakukan pemeriksaan di rumah mayat, Mina Muaissim,'' katanya kepada media Malaysia di sini mengenai perkembangan terkini kejadian itu.
Beliau berkata mereka dikenal pasti melalui gelang tangan pengenalan yang dipakai oleh semua jemaah haji Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Operasi Perubatan Tabung Haji Dr. Shuhaimi Ismail berkata, waris mereka sedang dihubungi oleh Konsulat Haji Malaysia Jeddah.
Katanya, usaha juga sedang dilakukan oleh Muasasah Asia Tenggara, yang turut bertanggungjawab terhadap jemaah Malaysia, untuk mengebumikan mayat mereka yang terkorban itu di tanah perkuburan Mina Muaissim, setelah waris masing-masing dimaklumkan.
Dua lagi jemaah haji dari Sabah - Rusli binti Awang, 48, yang mengalami calar-calar di badan dan adiknya, Jamil, 42, yang patah kaki kanan dan luka di dagu dimasukkan ke Hospital King Faisal, selepas kejadian itu Khamis lepas.
Semasa kejadian ini berlaku, tempat kejadian tidaklah jauh dari hotel tempatku menginap, lebih kurang 400 meter sahaja. Apabila diajak teman-teman untuk meninjau tempat kejadian, apatah lagi, persis wartawan, aku terus bergegas ke tempat tersebut siap dengan membawa kamera dan sibuk membuat ulasan selari dan menghantar sistem pesanan ringkas kepada rakan-rakan lain.
Awang Rajuk hampir pengsan mencariku.... Ampun kerana menyebabkan Awang risau...
Berguru kepalang ajar!!
KELUARGA GURU!!Selamat menyambut
Hari Guru 2006___________________
Berburu ke padang dasar,
dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi…
Pantun ini popular dan menjadi bacaan wajib semasa sambutan Hari Guru. Pantun empat kerat di atas mempunyai kekuatan tersendiri, selain menampilkan suggestie bunyi atau paralelisma-carmen, efek pada asonansi dan aliterasi juga diutamakan. Dua aspek yang saling kait-mengait, iaitu kebiasaan penggunaan bunyi dan kebiasaan penggunaan lambang-lambang, menjadikan pantun tersebut sering menyegarkan cuping telinga pendengar dan melunakkan suara si pengucap. Cuma, apa yang ingin diperjelaskan di sini bukan aspek bunyi atau perlambangan, tetapi kekuatan diksinya. Satu perkataan yang begitu menarik dan sangat dominan dalam pantun di atas ialah ‘ kepalang ‘
Ramai yang tidak kekok menyebutnya malah kadang-kala begitu enak mengucapkannya. Tetapi tidak ramai yang mengetahui makna yang terkandung di dalam kata tersebut. Apakah makna ‘ kepalang ‘? Berdasarkan Kamus Dewan terbitan terbaru, perkataan ‘ kepalang ‘ membawa makna sedikit atau tidak memadai, tidak berapa atau tidak cukup. Dalam konteks pantun di atas, berguru kepalang ajar membawa maksud berguru tidak cukup ajar ataupun menutut ilmu yang tidak memadai. Dalam konteks budaya kita, maksud secara umumnya ialah seseorang yang tidak cukup menerima ilmu daripada gurunya ataupun secara tepatnya pelajar yang tidak menamatkan pengajiannya. Maka seseorang pelajar yang pergi menuntut ilmu apabila tidak dapat menamatkan pengajiannya ataupun menimba ilmu separuh jalan sudah tentulah tidak akan mencapai matlamatnya ibarat bunga yang separuh kembang, bunga yang tidak kembang sepenuhnya…
Makkatul Mukarramah, kekal dalam ingatan!

Tempat yang sentiasa dalam ingatan, Makkatul mukarramah.. terus terpahat dalam ingatan. Di sini, angin tak bertiup panas tanda air dari langit akan turun. Mekah, tidak akan ada satu tempatpun di dunia ini yang dapat menandinginya. Walau panas, tapi sejuk, sungguh dingin walaupun panas, ramai penghuninya namun damai terasa. Terbayang satu dunia mengerumuninya. Namun kita tak pernah sedetik berasa diabai dan terabai. Hati kita umpama salju, sejuk, sabar walau ditolak dan dihimpit. Malah kita terasa diri semakin hampir dengan-Nya. Manusia mana yang tidak rindu pada-Nya. Ya Allah, ya zal jalali wal ikram.7:13 AM
Rabu, Jun 14, 2006
Salam dunia blog!!

Asalamualaikum dan salam sejahtera.
Salam pertemuan dalam dunia blog dan blogger. Sebagai suatu permulaan, blog ini saya akan saya gunakan sebagai media untuk menyalurkan suara hati, rasa hati, pengalaman-pengalaman saya dalam bidang pendidikan dan juga berkongsi minat dalam bidang landskap dan penanaman kaktus dengan rakan-rakan sekalian. Blog ini hanyalah catatan peribadi saya, tidak berkaitan dengan sesiapa. Semuanya hanya nukilan dan suara hati seorang perempuan yang kadang-kadang dilanda rindu, cinta dan kasih sayang yang tak pernah padam.
Langgan:
Ulasan (Atom)