Jumaat, Januari 15, 2010

Penjual Ubat dan Ular...

Sudah bertahun-tahun lamanya aku tidak ke Pasar Tani Kuala Besut. Pasar Tani Kuala Besut adalah antara pasar tani yang menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Jumaat, bukan sahaja golongan marhaen, tetapi juga ahli korporat, profesional dan siapa saja. Pasar tani ini sememangnya mempunyai banyak kenangan pahit dan manis. Di pasar tani inilah Awang pernah menyelami perit dan pedih Sang Peraih bagi mendapatkan sesuap nasi menyara keluarga dan sukarnya mencari duit sesen dua. Di sini juga Awang mengetahui betapa sesetengah daripada kita terlalu mementingkan darjat, taraf dan status serta suka memandang rendah kepada orang lain.

Bukan tidak sudi berkunjung ke sini tetapi cuaca panas dan orang yang berasak-asak sering membuatkan aku sakit kepala, mata menjadi gatal dan merah dan sudah tentu agak merimaskan. Hari ini, entah mimpi apa, mungkin untuk memenuhi keinginan si bongsu yang inginkan kasut bola terpaksalah juga menapak di tengah panas terik mencari kasut bundle si bongsu itu.

Dalam sekian banyak jualan, suara kuat dari pembesar suara penjual ubat betul-betul mampu menarik aku dan Awang turut sama mendengar "khutbah" si penjual ubat dengan ular-ularnya. Apakah perkara yang menyebabkan aku dan sekian ramai pengunjung pasar tani ini untuk mengerumuni si penjual ubat ini?? Kerana kekacakannya?? atau kerana kemujaraban barang-barang jualannya?? TIDAK!! Penjual ubat ini mempunyai daya pengucapan yang baik dan menarik, ada intonasi, kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah. Ada unsur lelucon dan santai. Penggunaan retoriknya tepat dan tidak menjemukan. Alat yang digunakan untuk memancing pembeli juga tidak mempunyai kaitan langsung dengan barangan yang dijualnya.

Apakah kaitannya ular sawa, tedung yang dibawanya dengan minyak gosok, minyak gamat atau serbuk kayu sugi?? Ular-ular ini hanya digunakan untuk menarik orang membeli ubat-ubatan yang dijualnya. Ya.. hanya alat, tetapi mampu mengekalkan minat dan menarik si pendengar. Bagi guru, elok juga cara penjual ubat ini kita jadikan sebagai pedoman bahawa dalam P&P betapa perlunya alat dan bahan untuk menarik minat pelajar dan mengekalkan tumpuan pelajar. Ada sesuatu yang aku dapat belajar hari ini.
Ada sesuatu yang menyentuh jiwa apabila si penjual ubat menyatakan bahawa, dia menjual ubat mencari rezeki yang halal, mencari rezeki membesarkan anak-anak. Dia tidak melakukan sesuatu yang haram dan salah. Dia tidak merompak duit rakyat, merasuah atau mencuri enjin kapal terbang. Kalau dia mahu duit segera, dia boleh saja meragut atau menyamun. Katanya, kalau nak kaya, belajarlah bersungguh-sungguh, jangan jadi penjual ubat sepertinya. Mataku memerah....

4 ulasan:

Guru berkata...

assalammualaikum

ucapan dari insan yang mengenal dirinya sendiri..kita doakan yang terbaik untuk beliau dan keluarga

set induksi kalau berani nak bawak ular... bagus gak...
tapi, pastinya anak murid tak nak belajar, asyik nak tengok ular

Guru berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
saleeh rahamad berkata...

cikgu fariza,sekarang dah jadi guru cemerlang ke. kenapa tak join tulis cerpen untuk projek cikgu azizul. saya terlibat jaengan dia dah tiga buku kami buat. dulu kita belajar sekarang ngajar pulak.

Fariza Nurbaya berkata...

Salam Tuan Saleeh,
hasrat hati memanglah nak join tulis cerpen utk projek penerbitan buku guru cemerlang cikgu azizul tapi apabila membaca cerpen2 tulisan rakan2 dalam terima kasih tuhan nampak macam streotype je jalan ceritanya.. jadi, sampai sekarang masih terfikir2 tajuk yang sesuai, nampak real dan nampak tidak terlalu membanggakan diri (alasan... hehehhe, sebenarnya tak reti sgt) Tuan ada apa2 cadangan??