Rabu, Januari 26, 2011

Akhirnya kaupergi jua...

Ketika menatap wajahnya yang tenang buat kali terakhir malam tadi, dan sempat juga mengucup dahinya yang sejuk, melihat sekujur tubuhnya yang kaku, hati jadi sebak dan sedih yang teramat. Beginilah perasaanku dan adik-adik tatkala menziarahi insan istimewa yang mengajar kami kalamullah semasa zaman kecil. Insan istimewa ini sudah tiada lagi, pergi buat selama-lamanya setelah terlantar sekian lama menghidap penyakit paru-paru berair. Wahai Tuhan, Kautempatkanlah guru al-Quran kami ini dalam golongan orang yang beriman. Tidak mampu kami membalas segala jasa mengajarkan ilmu-ilmu al-Quran kepada kami.

Apabila mati seorang anak Adam, akan terhapuslah segala amalannya kecuali 3 perkara, harta yang disedekahkannya, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapanya. Al-Fatihah buat guru al-Quran kami, Mok Su Jah!

2 ulasan:

Hamilah berkata...

Kekanda Za,
Memang sedih sangat apabila mendapat perkhabaran tentang perginya Tok Guru kita Mak Su Jah, teringat2 pula kenangan zaman kecil dulu ketika kita berlari dan jatuh mengejar tempat mengaji dan mengejar giliran mengaji. Siapa sampai dulu boleh balik dulu. Wajah Mak Su nampak amat tenang - cahaya orang beriman.

Fariza Nurbaya berkata...

Memang sedih dan jadi sebak. Kita mengaji dulu sampai berjam-jam, tak seperti budak2 hari ni. mengaji sekejap sudah minta diajar. Kita dulu selagi tak dipanggil arwah Mok Su Jah, selagi itulah kita akan terus mengaji. Heee... tapi masih sempat orang itu mencucuk telinga si Rusdi itu dengan penunjuk buluh sehingga bernanah. Yang manakah satu Rusdi, mesti sudah tua gamaknya dia le ni!