Selasa, Oktober 26, 2010

Ho Chi Minh, aku datang!

Perjalanan Ho Chi Minh...
22 - 24 Oktober 2010

Dengan perjalanan yang hanya memakan masa sejam setengah dari Kuala Lumpur, saya dan ahli rombongan tiba di Bandar Ho Chi Minh tepat jam 4 petang selepas mengalami perjalanan tertunda hampir sejam setengah di LCCT. Bandar Ho Chi Minh menyambut kami dengan senyum. Senyum? Kami kelaparan sampai tak boleh senyum, dan sebenarnya tidak susah untuk mendapatkan makanan halal di sini.

Restoran makan halal, tidak jauh dari hotel tempat menginap...
Melawat Muzium Perang
Bersama-sama Cikgu Hajah Hasniah Abas
Muzium Perang



Puan Masuri Ismail, dari Sektor Pengurusan Akademik, JPNT Terengganu

Kekanda Nor Khatimah Ismail




Hasil kreativiti mangsa Perang Vietnam


Pasar Binhtay

Motorsikal menguasai jalan raya di Ho Chi Minh
Tidak sah jika ke Vietnam jika tidak melawat Terowong Chu Chi dan melihat seniri muslihat dan strategik peperangan tentera Vietnam dalam mengalahkan tentera Amerika.

Chu Chi Tunnel


Menikmati ubi rebus di dalam kawasan Chu Chi Tunnel


Mana mahu cari wayar elektrik yang bersimpang-siur seperti ini!



Terowong Chu Chi

Inilah lubang tikus yang dimasuki oleh tentera Vietnam ketika melarikan diri daripada buruan tentera Amerika
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri pengalaman merangkak di dalam terowong Chu Chi, laluan bawah tanah. terowong ini dibina oleh Viet Kong dan memainkan peranan penting semasa Perang Vietnam.




Jumaat, Oktober 01, 2010

Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ke-8 2010

Persidangan Kebangsaaan Guru Cemerlang Kali Ke-8 telah berlangsung pada 27 - 30 September 2010 di Akademi Kenegaraan, Biro Tatanegara Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. 10 orang GC Terengganu telah terpilih mewakili MGC Terengganu pada persidangan tersebut, termasuklah saya.

Persidangan yang dihadiri oleh 300 orang Guru Cemerlang seluruh Malaysia ini dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti serta Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri. Sebanyak 28 kertas kerja telah dibentangkan, termasuk sesi perkongsian pengalaman bersama Encik Azizul Rahman bin Abd. Rahman, Guru Cemerlang Gred Khas C yang bersara pada 28 September.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Tan Sri Mohd. Sidek bin Haji Hassan dan disempurnakan penutupannya oleh wakil rasmi KPPM, Yang Berbahagia, Dr. Haili bin Dolhan, Rektor IPGM. Pada persidangan ini juga menemukan saya dengan beberapa orang bekas pelajar saya termasuklah Timbalan Pengarah BTN, Norzilam dan Norul Hisham Safri. Tahun depan, insya-Allah jika diberi luang, saya akan hadir lagi walaupun tidak banyak kertas kerja yang dibentangkan dapat membantu saya dalam meningkatkan amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran kerana suasana, iklim dan murid yang berbeza keupayaan. Jika ada ruang, tahun depan saya akan menyiapkan kertas kerja lebih awal dan saya akan memastikan kertas kerja saya tidak akan dibakulsampahkan awal-awal lagi!!!Bersama-sama Guru-guru Cemerlang Johor dan YDP MGCM,Tn Hj Rodzli Hashim (YDP Kedah)

Jumaat, September 24, 2010

Soalan Ramalan Ujian Pemahaman PTK Bilangan 2/2010


Selamat menduduki Ujian Pemahaman Bertulis PTK Bil 2/ 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung esok 25 September 2010. Semoga anda semua akan beroleh kejayaan yang cemerlang untuk tujuan kenaikan gred jawatan dan gaji. Jawablah mengikut format dan teknik yang betul. Setiap soalan, pastikan jawapan anda terdapat perkara-perkara berikut:
1. Pendahuluan beserta takrifan frasa penting
2. Isi - 3 isi beserta huraian fakta, analisis, sintesis atau penilaian
3. Setiap isi mestilah mengandungi kesimpulan kecil.
4. Rumusan keseluruhan.

Saya mencadangkan anda menjawab tidak lebih daripada 5 perenggan, iaitu 1 perenggan pendahuluan, 3 perenggan isi, dan 1 perenggan rumusan. Pastikan tulisan anda boleh dibaca dan tidak memeningkan kepala pemeriksa nanti. Jangan terlalu teruja untuk menulis sepanjang mungkin, kerana jawapan yang panjang tidak semestinya menepati kehendak soalan.

Untuk membantu mengurangkan ketegangan dan kerisauan teman-teman, di bawah saya perturunkan tajuk penting yang perlu diketahui oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran sama ada yang akan menduduki ujian PTK pada tahap TK4, TK5 atau TK6.

Untuk komponen kompetensi generik, cubalah tuan-tuan dan puan-puan mengintai dan membelek tajuk-tajuk berikut:

Tajuk-tajuk untuk Bahagian A (3 soalan dikemukakan, pilih satu dan jawab satu soalan)
1. Etika Perkhidmatan Awam
2. Etika Profesion Keguruan
3. Standard Guru Malaysia
4. Pelan Integriti Nasional
5. Tonggak 12
6. Rukun Negara
7. Piagam Pelanggan
8. Tadbir Urus Terbaik
9. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
10.Protokol dan Etiket Majlis Rasmi.
11. Sistem Saraan Malaysia
12. Perintah Am Bab B (Elaun-elaun dan kemudahan dalam perkhidmatan)
13. Arahan Perbendaharaan (Elaun-elaun dan kemudahan)
14. Peraturan-peraturan Pegawai Awam
15. Bab C- cuti
16. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
17. Bab F - Perubatan
18. Penilaian Prestasi Perkhidmatan (LNPT, PTK)
19. Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan yang berkaitan.

Ahhh... baca semua sekalilah! Ini bukan soalan ramalan namanya. Ini namanya tajuk dalam sukatan PTK le!

Jumaat, September 10, 2010

Salam Aidilfitri 1431H..

Salam lebaran buat semua. Oh, cepatnya Ramadan berlalu. Rasanya baru beberapa hari saya bangun awal pagi bersekang mata menyediakan juadah sahur untuk anak-anak, dan rasanya tak lama sangat saya anak-beranak tergesa-gesa selepas waktu Maghrib ke Masjid Nasirudin Shah, Kampung Raja untuk menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan. Cepatnya... seperti kata teman,

singkat sungguh aku disinggahi waktu
tak sempat menghimpunkan amal
atau membasuh dosa
di wajah yang kumal...

(Mohamad Saleeh Rahamad)

Saya memohon ampun, maaf atas segala silap dan salah saya terhadap sesiapa sahaja yang mengenali saya, terhadap suami saya, bonda, anak-anak, adik-adik, sanak saudara, rakan-rakan, pelajar-pelajar dan semua orang yang pernah berhubungan dengan saya. Dalam hidup ini, saya sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik tetapi saya hanya manusia biasa. Sudah pasti ada tindak-tanduk saya yang mungkin menyebabkan ada hati yang terluka, ada rasa yang tersentuh terutama orang-orang yang rapat dalam hidup dan hati saya.

Saya sudah berusaha untuk menjadi insan yang paling baik, ibu yang bertanggungjawab, isteri yang penyayang, anak yang solehah, teman yang prihatin, guru yang dedikasi, dan segala yang baik-baik. Saya mohon maaf semua, ampunkanlah segala silap dan segala kealpaan, lahir dan batin, tersurat dan tersirat. Ya Tuhanku, ampunkanlah segala dosaku, berikanlah aku petunjuk dan hidayat agar aku dapat memilih jalan yang terbaik untukku.

Jemputlah bertandang ke teratak kami yang sentiasa terbuka untuk semua. Untuk anak-anak, jagalah adab-adab ketika bertandang ke rumah saudara-mara dan rakan taulan.
Salam lebaran, minal aidil wal faizin buat semua daripada

Ahad, September 05, 2010

Tauke babi pun boleh jual kandang!

Teruk benar tajuk entri saya kali ini. Entah dari mana saya mendapat idea untuk mencipta perumpamaan moden ini. Rasanya perumpamaan ini ada kaitan dengan sikap sesetengah daripada kita yang terpaksa bergolok bergadai menjelang hari raya, sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memastikan hari raya disambut dengan luar biasa dan nampak serba baru. Tidak hairanlah setiap kali menjelang hari raya tauke-tauke kedai perabot untung berganda-ganda. Maklumlah, apabila menjelang hari lebaran, mulalah semuanya nak ditukar baharu hingga tilam dan kuali pun hendak ditukar baharu.

Kalau setiap kali hari raya semua benda nak kena tukar baru, mana boleh jadi, kan? Dan apabila terlalu banyak duit yang terpaksa kita keluarkan, timbullah perumpamaan di atas; "tauke babi pun boleh jual kandang". Kalau kedengaran agak kasar dan tidak senonoh, maafkanlah saya. Ada juga peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan "babi" di dalamnya walaupun tidak banyak, antaranya ialah "babi merasa gulai (bermaksud menyimpan rahsia yang telah diketahui umum),

Saya bukan ingin bercerita tentang babi, bukan juga ingin bercerita tentang perabot baharu yang saya beli kerana saya tidak membuat penambahan perabot tahun ini. Cukuplah dengan mana yang ada, selagi boleh digunakan, gunakanlah. Kenapa mesti kena tukar? Yang penting rumah kita bersih dan sedap mata memandang. Malu juga jika tetamu datang berkunjung, rumah kita bersepah tak berhias. Tambah malu apabila ada teman yang menjalankan perniagaan hiasan dalaman pernah menyuarakan rungutan tentang guru-guru di daerah ini yang saling berlumba membina rumah yang besar hingga melebihi setengah juta tetapi rumah mereka bersepah, kotor dan tidak terurus. Malu juga saya sebagai guru.

Syukurlah, walaupun kami sekeluarga hanya tinggal di sebuah rumah kayu kampung, sedapat mungkin saya sentiasa memastikan teratak kami sebuah mahligai yang selesa diduduki. Untuk hari raya tahun ni saya cuma akan alihkan kedudukan beberapa perabot saja, dan membuang habuk dan debu serta menambahkan sedikit jambangan bunga saja. Tahun lepas kami baru saja mengecat rumah kayu kampung kami ni. Hari raya bagi saya cukuplah kalau saya dapat melihat sedikit perubahan suasana baru di dalam rumah.

Tahun ni saya ingin "menginggeriskan" suasana ruang dalaman rumah kami. Walaupun saya sangat tidak bersetuju dengan gagasan PPSMI yang baru sahaja dimansuhkan itu (?), tetapi dalam hal hiasan dalaman, saya cukup terpikat dengan gaya desa Inggeris ini. Jadi, beberapa pasu kecil berbunga ros kecil, bingkai gambar dan jambangan bunga yang saya beli di SSF rasanya boleh menjadikan ruang tamu saya kelihatan agak Inggeris.

Sejambak bunga dan tembikar yang saya gantung pada dinding diharapkan dapat menjadikan rumah saya agak berbau Inggeris walaupun tidak sepenuhnya.

Dalam aspek menyediakan persekitaran yang bersih dan indah, Rasulullah saw sendiri suka umatnya supaya menjaga kebersihan dan menghias rumah sebagai sebahagian daripada syiar agama sebagaimana sabda baginda,
إن الله طيب يحب طيب نظيف يحب النظافة كريم يحب الكرم جواد يحب الجود
فنظفوا أفنيتكم ولا تشبهوا باليهود
yang maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia suka akan kebaikan. Dia bersih suka kepada kebersihan. Dia mulia dan suka akan kemuliaan. Dia juga pemurah, dan suka akan kemurahan. Oleh hal yang demikian itu, bersihkanlah rumahmu, jangan kamu menyerupai rumah orang-orang Yahudi”.

Namun, Islam melarang kita berlebih-lebihan dalam menghias serta ingin menunjuk-nunjuk, seperti menggunakan pinggan mangkuk daripada emas, perak atau koleksi kristal yang ribuan ringgit harganya. Syukurlah kerana rumah saya tidak begitu, dan tetamu yang mempunyai anak yang lasak tidak perlu risau semasa berada di rumah saya kerana saya tidak mempunyai koleksi seperti itu. Saya juga bersyukur kerana anak-anak saya dari kecil lagi sudah dididik untuk tahu menghargai kebersihan rumah dan menjaga peralatan dengan baik.

Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Semoga kita masih diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan untuk tahun yang berikutnya. Amin. Salam Aidilfitri 1431H. Maaf zahir dan batin

daripada


Jumaat, September 03, 2010

Masa untuk mengemas rumah

Alamak, cepatnya masa berlalu. Lagi 5 atau 6 hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lupakan tentang PTK, lupakan tentang kertas peperiksaan pelajar yang perlu disemak, lupakan sejenak kisah sekolah, kisah cinta dan pelbagai perkara lagi, sekarang sudah sampai masanya rumahku yang berdebu ini ingin mendapat sentuhan kasih sayang daripada tuannya.

Hari ni saya bertekad hendak mula mengemas rumah sebersih-bersihnya. Banyak juga ruang yang perlu dibereskan ni. Ruang tamu, ruang dapur, ruang belajar, ruang keluarga, bilik air.. ohh!! Itu belum masuk lagi bab laman rumah kami yang mula penuh dengan kemuncup tu. Nak susun pasu-pasu lagi. Ah.. kat bawah tu kerja AR dan anak-anak jantan kami le.

Nampaknya, saya kena mulakan dengan ruang dapur. Maklumlah, inilah tempat yang menjadi kegemaran kami sekeluarga, walaupun bukan untuk memasak, tetapi menjadi tempat kami anak-beranak berkongsi cerita.Sebagai perempuan, saya menghabiskan banyak masa saya di sini. Cikgu Za, jangan kau perasan kau rajin sangat memasak ya. Ohh.. dapur tempat saya memanaskan makanan yang dibeli di kedai kot. Puan-puan, pastikan setiap barang disusun dengan kemas dan mudah dicapai. Letakkanlah barang-barang yang jarang digunakan di ruang yang paling atas, manakala barang yang sering digunakan, letakkanlah di tempat yang senang dicapai.

Selepas selesai mengemas, barulah saya sedar bahawa rupa-rupanya kabinet dapur rumah saya dipenuhi dengan barangan Tupperware, yang sebahagian besar telah dikumpul hampir berbelas-belas tahun. Menyesal pulak beli barangan plastik ini banyak-banyak tapi gunanya tidak. Jika dihitung-hitung, harganya sampai mencecah ribuan ringgit juga ni. Jadi, mulai hari ni, saya berazam tidak akan menghabiskan duit membeli barangan Tupperware lagi. Saya tidak akan tergoda lagi dengan rayuan si penjual Tupperware ataupun terpesona akan katalognya lagi!! Cukuplah dengan mana yang ada.
Dan sekarang, walaupun tidak lagi membeli barangan Tupperware, koleksi saya semakin bertambah apabila barangan ini dijadikan sebagai cenderamata dan dihadiahkan oleh rakan-rakan juga sebagai cenderamata daripada sekolah-sekolah yang menjemput saya mengendalikan bengkel teknik menjawab soalan.
Ruang dapur telah selesai dikemas. Bilik air pun kena kemaskan juga. Rak tempat saya menyimpan tuala dan barangan dandan diri ni nampak kemas dan teratur sebelum tuala-tuala ni digunakan oleh anak-anak hingga berhelai-helai setiap hari. Dan yang pastinya, shower gel dan syampu yang tersusun ini boleh dihabiskan dalam masa seminggu saja oleh anak-anakku. Ohh...Sekarang, masa untuk saya berehat. Selepas ini ruang mana lagi ya yang saya perlu kemaskan?

Rabu, September 01, 2010

Buka puasa@Ramadan 1431H

Sesekali berbuka puasa di luar seronok juga terutama bagi anak-anak. Tahun ini tidak banyak yang kami habiskan untuk berbuka di luar sama ada secara buffet di hotel-hotel atau berbuka secara pakej seperti tahun-tahun sudah. Nampak macam orang kaya, sedangkan untuk berbuka, sekadar 2-3 biji kurma, sedikit minuman dan sedikit kuih sudah pun mencukupi. Anak-anak pula lebih suka berbuka dengan nasi. Jadi, tahun ni, alhamdulillah, kami berbuka puasa di rumah dengan menikmati masakan air tangan sendiri rasanya lebih berkhasiat dan terjamin kebersihannya. Namun, sesekali menjengah juga bazar Ramadhan, itupun untuk membeli kuih-kuih yang rasanya tak berbaloi untuk saya memasaknya sendiri.

Tetapi, jika ke Kota Bharu elok juga kalau ingin mencuba masakan di Kafe Lazzeez Hotel Raudhah kerana harga makanannya tidaklah mahal, sedap, dan terjamin halal. Harga makanan dibuat secara pakej iaitu sama ada untuk 2-3 orang, 2-5 dan sebagainya.

Udang goreng mentega memang sedap, kenalah cuba atau buat sendiri saja. Resepinya mudah:

RESEPI UDANG GORENG MENTEGA:
Bahan-bahan:
udang besar

Bahan A:
Mentega secukupnya
1 butir telur
Sedikit susu cair
Sedikit susu pekat
* Kacau sebati kesemuanya

Bahan B
1 batang serai
4 tangkai cili padi
Daun kari secukupnya
* Dihiris halus dan digoreng dengan sedikit minyak

Cara-cara:
1. Panaskan minyak yang telah dimasukkan mentega dan goreng bahan A yang telah dikacau sebati di dalam satu bekas tadi.
2. Cara memasukkan ke dalam kuali berisi minyak tadi adalah dengan menuang perlahan-lahan dan terus dikacau sehingga kekuningan. Angkat dan gaul bersama udang yang telah digoreng serta Bahan B yang telah digoreng ketika masih panas.
3. Hias dan hidang mengikut cita rasa anda.

Selamat meneruskan ibadat puasa Ramadhan 1431H. Semoga dapat melaksanakannya dengan baik dan terbaik.

Selasa, Ogos 31, 2010

Selamat menulis esei tugasan individu PTK

Musim menulis esei bagi memenuhi penilaian pemahaman PTK sesi 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DGA34, DGA38, DG48, DG52, DG54 dan kumpulan AKS 26 datang lagi. Soalan esei boleh dimuat turun melalui laman web BPPK mulai 20 Ogos 2010 atau klik sahaja di sini. Tempoh penyediaan esei ialah satu (1) bulan, dan calon dikehendaki menjawab hanya satu (1) soalan daripada 6 soalan. Wajaran untuk kertas tugasan individu ialah 50% daripada markah kompetensi fungsional. 50% markah lagi daripada markah penilaian pemahaman bertulis yang akan diduduki di pusat-pusat peperiksaan pada 25 September nanti.

Penilaian PTK dibuat berdasarkan TK seseorang pegawai mengikut gred dan jawatan.
•TK 4 : Tahap Kecekapan Analisis - bagi gred AKS 26, DGA34, dan DG48.
•TK 5 : Tahap Kecekapan Sintesis - bagi gred DG52
•TK 6 : Tahap Kecekapan Penilaian - bagi gred DG54
•TK 4A : Tahap Kecekapan Analisis-Sintesis (antara analisis dan sintesis, tapi lebih kepada sintesis) - bagi gred DGA38.
(Penjawat gred DGA38 adalah Guru Besar Cemerlang)

Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh mendapatkan panduan dan tips-tips PTK daripada blog Pena Bonda.

Sebagai panduan umum, saya perturunkan beberapa panduan asas dalam penyediaan tugasan individu. Bukan bertujuan untuk menunjuk pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman, dan pernah menjadi calon yang menduduki kursus PTK TK4 pada tahun 2004 kemudian menduduki ujian pemahaman TK5 Bil 1/2010. Kalau boleh saya mahu rakan-rakan guru sekalian lulus dengan baik dalam Penilaian Pemahaman PTK, sebaik-baiknya mendapat keputusan Aras Cemerlang IV yang membolehkan tuan-tuan dan puan-puan mendapat anjakan gaji yang walaupun tidaklah banyak tetapi hampir menjangkau RM600 sebulan. Namun begitu, bersyukurlah jika mendapat Aras III kerana sekurang-kurangnya telah melayakkan diri tuan-tuan dan puan-puan untuk naik ke gred jawatan yang lebih tinggi. Janganlah pula keputusan PTK anda berada pada tahap I dan II pula. Nampak sangat kita tidak kompetens.

Langkah-langkah yang perlu anda ambil:
1. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan agar tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’.
2. Pilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan.
3. Rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

Kandungan Tugasan Individu:
1. Ringkasan eksekutif
2. Pengenalan
3. Definisi konsep
4. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi
5. Penutup
6. Rujukan
7. Lampiran

Ringkasan Eksekutif (lebih kurang sinopsis) mestilah ditulis dalam satu halaman diikuti oleh pendahuluan. Ringkasan eksekutif ialah gambaran awal perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam esei. Selepas pendahuluan, jangan lupa membuat interpretasi frasa dan konsep-konsep penting yang terdapat dalam soalan. Untuk bahagian pendahuluan dan tafsiran frasa, seelok-eloknya ditulis tidak melebihi 3 halaman.

Untuk bahagian ISI pula, anda digalakkan untuk menulis 5 isi. Satu isi sebaik-baiknya dihuraikan dalam 3 halaman yang merangkumi fakta, huraian/ analisis/ contoh dan kesimpulan kecil. Kesimpulan kecil ialah rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

Bilangan muka surat bagi tugasan individu mengikut gred anda iaitu;
DG54 dan DG52 : 20 - 25 halaman
DG48 : 15 - 20 halaman

Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 DG48:

1.Gaya penulisan dan pengolahan setiap isi mesti mengikut format analisis.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-saya telah menggubal pelan tindakan...
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


Dalam setiap huraian isi, bagi menggambarkan tahap analisis, saya mencadangkan tuan-tuan dan puan-puan membuat huraian dengan memasukkan unsur-unsur perbandingan, perbezaan, pembuktian hasil, dan cerakin. Contoh:
-saya mendapati berlaku perubahan sikap dalam kalangan pelajar saya.. (impak)
-Hal ini membuktikan bahawa... (pembuktian)

-Jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar sebelum program ini dilaksanakan, saya mendapati bahawa .... (perbezaan)

5.Pastikan kesimpulan kecil ditulis bagi setiap isi. Kesimpulan kecil seharusnya ditulis dalam satu perenggan (6-7 ayat) dan pengakhiran bagi setiap kesimpulan kecil perlu dikaitkan dengan kehendak soalan.

6. Rumusan atau penutup jangan ditulis melebihi 2 muka surat.

7. Senarai bibliografi cukuplah sekadar satu halaman sahaja, jangan sampai 5 hingga 6 halaman pula, nampak sangat direka-reka.

8. Janganlah memasukkan lampiran yang kurang berkaitan dengan tajuk esei anda, contohnya bahan-bahan P&P daripada buku ulang kaji peperiksaan yang difotokopi semata-mata untuk menjadikan esei anda tebal. Ada juga yang melampirkan gambar-gambar peribadi dan pemandangan tempat bertugas yang rasanya tidak berkaitan langsung dengan isi esei.

Akhir kata, selamat menulis esei. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan menjadi panduan kepada kita dalam melaksanakan tugas seharian yang lebih baik, berkualiti dan cemerlang. Bersambung.. kelemahan-kelemahan dalam penulisan esei PTK.

Khamis, Ogos 26, 2010

16 Ramadan

Pejam celik pejam celik sudah 16 Ramadan hari ini. Hari ini semua yang berada di sekelilingku membosankan. Tugas memeriksa kertas jawapan pelajar 6 atas dalam peperiksaan percubaan yang baru selesai juga membosankan. Terasa darah asyik mendidih saja ni. Saya bosan, letih.. saya sudah letih perasaan. Sampai bila?

Isnin, Ogos 02, 2010

Jom beli tanah di Cameron Highland!!!

Entah berapa puluh kami sekeluarga ke Cameron Highlands. Kali ini kami pergi lagi, kebetulan pula terlibat dengan sedikit tugas rasmi. Kali ini semangat bertambah-tambah kerana teringat janji dengan bonda untuk membawanya ke sana. Bonda selalu menyebut-nyebut bahawa dia tidak pernah sampai ke tanah tinggi tersebut. Kasihan bonda, teringat arwah pa...


Pemergian kami yang agak kerap ke sana sering menjadi bahan usikan teman-teman bahawa kami mempunyai ladang sayur dan bunga di sana agaknya. Memang pun, pemergian kami ke sana sejak dulu lagi hanya untuk "membeli tanah" di sana. Dan Cameron Highlands juga menjadikan hubungan rapat kami dengan beberapa orang pengusaha kebun bunga dan sayur hingga ada antara mereka yang kerap juga bertandang ke rumah kami.
Ada banyak tarikan yang menyebabkan saya suka ke sana. Saya masih ingat lagi semasa lebuh raya Gua Musang ke Cameron Highlands belum siap, kami terpaksa menghabiskan perjalanan selama 8 hingga jam untuk ke sana melalui Kuala Kangsar dan Tapah. Tarikannya? Pohon-pohon bunga yang segar, kaktus, orkid, strawberi dan yang pastinya jagung mutiara yang segar sentiasa menggamit dan memanggil-manggil kami. Kebetulan pula berkongsi minat yang sama dengan AR.



Strawberi yang manis untuk sarapan bersama susu segar dan emping jagung bermadu.. fuhh!!

Hanya Si Bongsu yang sentiasa mengikut kami sedangkan abang-abang tidak lagi berminat untuk ke sana. Jemu kata mereka, CH hanya ada pokok-pokok, hutan dan sayur-sayuran.

Sarapan pagi yang berkhasiat

Dan, setiap kali bangun pagi, udara segar yang kami hirup dan pemandangan yang menyejukkan di luar jendela bilik penginapan kami begitu mengujakan...



Di sini, di Cameron Highlands, banyak mengajar saya untuk belajar menghargai insan yang sentiasa di sisi saya, susah dan senang, AR. CH mengembalikan cinta dan sayang saya...




dan kaktus-kaktus yang gebu dan sihat di sini memberi suntikan peransang kepada kami untuk menyegarkan kaktus-kaktus di rumah kami yang makin layu dan tidak bermaya...



Dan yang paling penting, kedatangan kami ke Cameron Highlands adalah untuk mencari tanah. Hah, Cikgu Za jangan kau perasan kaya pulak ya.. bukan hartanah ya, tetapi tanah untuk menanam pokok daa... semua kelengkapan untuk menguruskan kebun kaktus kami seperti tanah, baja, lumut kami dapatkannya di CH.

Cameron Highlands, kami akan datang lagi.

Sabtu, Julai 24, 2010

Menziarahi Cikgu Rashid

Pagi ini, saya dan AR berkesempatan menziarahi Cikgu Haji Rashid Mohamad, Guru Besar SK Keluang Besut yang terlantar sakit di rumahnya di Kampong Raja sudah lebih 7 bulan. Beliau menderita barah otak. Mungkin ramai yang mengenali beliau kerana sepanjang perkhidmatannya, sebagai Penyelia Peperiksaan di PPD Besut dan Guru Besar di beberapa buah sekolah rendah di daerah ini, beliau terkenal dengan komitmen yang tinggi terhadap tugas.

Mengalir air mata saya apabila melihat susuk tubuh Cikgu Rashid yang lemah dan tidak berdaya terbaring kaku di atas katil. Terbayang dalam fikiran saya begitu jauh sekali keadaannya sekarang dengan yang dahulu kerana Cikgu Rashid seorang yang aktif, lincah dan sentiasa berperawakan kemas dan bergaya. Bertambah sedih apabila melihat dan membayangkan betapa tabah isterinya, Cikgu Fauziah Mohd Yusof dalam menguruskan beliau. Beliau akan bangun seawal 4 pagi untuk memastikan sepeninggalan beliau ke sekolah, suaminya berada dalam keadaan bersih, membantu Cikgu Rasyid menyempurnakan solat Subuh, memberinya makanan dan ubat-ubatan dan barulah beliau akan turun ke sekolah. Pada waktu rehat, beliau akan mengambil kesempatan untuk pulang sekejap ke rumah untuk menyalin napkin suaminya. Sedihnya, terfikir di dalam hati, mampukah aku menjadi sepertinya, tabah, sabar, setia dan penuh dengan rasa cinta. Ohhh...

Saya sedikit sedih dan kesal mendengar cerita tentang manusia yang tidak memahami masalah dan kesulitan orang lain. Bukan untuk sama-sama bersimpati tetapi dalam keadaan rakan yang ditimpa musibah, dia masih berfikir dan bercakap tentang peraturan-peraturan yang dicipta manusia tanpa memikirkan kebajikan dan perasaan orang.

Sabarlah Kak Zi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga apa-apa sahaja dugaan dan cabaran, kita semua akan dapat menempuhnya dengan kuat dan cekal. Saya kagum dan cemburu akan Kak Zi. Mampukah saya menjadi seperti Kak Zi jika ditimpa dugaan seperti ini?

Tazkirah untuk diri sendiri:

Kita memohon kebijaksanaan, dan Tuhan memberikan kita berbagai-bagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.

Kita memohon kemakmuran, dan Tuhan memberikan kita akal dan tenaga untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.

Kita memohon cinta, dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai.

Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati, dan Tuhan memberikan kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

dan, begitulah cara Tuhan membimbing kita.. dan masihkah kita tidak bersyukur atas segala kurnia dan rahmat-Nya? (pertanyaan untuk diri sendiri agar lebih bermuhasabah diri)

Selasa, Julai 20, 2010

Rahsia Bulan Julai

Bulan Julai ialah bulan kelahiran saya, juga bulan kelahiran beberapa orang yang rapat dengan saya. Di bawah ini ialah dapatan yang saya temui daripada sumber internet tentang ciri-ciri manusia yang dilahirkan pada bulan ini. Dapatan ini bukanlah fakta, dan tidak boleh saya anggap sebagai auta kerana sebahagian besar daripadanya agak menepati ciri-ciri yang ada pada saya terutamanya ciri-ciri pada nombor ....

Orang yang lahir pada bulan Julai ialah orang yang;
1. sangat seronok didampingi
2. banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki,
3. agak pendiam kecuali dirangsang,
4. ada harga dan maruah diri,
5. tidak suka menyusahkan orang lain tetapi tidak marah apabila disusahkan (betul kot, sebab seboleh mungkin saya tidak mahu menyusahkan orang lain, tetapi bersedia untuk bersusah payah untuk orang lain)
6. mudah dipujuk dan bercakap lurus,
7. sangat menjaga hati orang lain,

8. sangat peramah,
9. emosi sangat mendalam tetapi mudah terluka hatinya,

10. berjiwa sentimental dan perindu, (saya ni jiwang juga rasanya walaupun sudah hampir senja sebab suka mendengar lagu-lagu sentimental, menonton filem cinta)
11. jarang berdendam,
12. mudah memaafkan tetapi sukar melupakan,

13. tidak suka benda remeh-temeh,
14. membimbing cara fizikal dan mental,
15. seorang pencinta yang hebat, sangat peka, dan penyayang,
16. memberi layanan yang serupa kepada semua orang,
17. tinggi daya simpati,

18. pemerhatian yang tajam,
19. suka menilai orang lain melalui pemerhatian,
20. mudah dan rajin belajar,
21. suka muhasabah diri,
22. suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama,
23. suka mendiamkan diri, suka duduk di rumah,
(ye la, banyak kerja yang mesti diselesaikan di rumah, nak layan pokok, nak kemas rumah. Rumah saya ialah istana saya, walaupun rumah saya hanyalah sebuah gobok kecil)
24. suka tunggu kawan tetapi tidak cari kawan,
25. tidak agresif kecuali terpaksa,
26. lemah dari segi kesihatan perut,
27. mudah gemuk kalau tidak kawal diet, (betul, makan sikit naik berkilo-kilo)
28. minta disayangi,
29. mudah terluka hati tetapi lambat pulih,
30. terlalu mengambil berat,
31. rajin dalam membuat kerja.

32. murah hati, terutama kepada orang yang disayangi. (kalau kita sayang dan cinta akan seseorang kita seronok memberi , seolah-olah kita ada bersama-samanya sentiasa)

Semua ciri yang positif tu rasanya milik saya, tapi entahlah, mungkin saya saja yang perasan..
Selamat hari jadi kepada semua yang lahir pada bulan Julai, sama ada yang dekat, atau orang yang jauh itu!!

Selasa, Julai 06, 2010

Bertambah lagi usiaku!!!

Saya dilahirkan pada hari Isnin 3 Rabiulawal 1385 dan ini bermakna, usia saya lebih tua setahun berbanding dengan kalendar Masihi. Ramai yang bertanya, hari ini sambutan ulang tahun kelahiran saya yang ke berapa? Tak kisahlah, 25 ke, 35, ke, 52 ke, yang penting, hari ini bertambah setahun lagi usia saya , dan jangka hayat saya untuk menikmati sisa-sisa hidup di dunia ini semakin pendek.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua teman, saudara-mara, pelajar-pelajar saya baru dan lama yang mengirimkan ucapan sama ada lewat FB, SMS atau e-mel. Kebanyakannya mendoakan perkara yang sama, iaitu semoga panjang umur, semoga murah rezeki, mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah. Dan sudah pasti tak ada orang yang mendoakan kita agar cepat-cepat mati. Takkanlah pula kan?

Masa saya kecil-kecil dulu rasa-rasanya tak pernah pun saya diraikan dengan sambutan hari jadi hatta semasa menuntut di universiti pun, tiada langsung perkataan sambutan hari jadi dalam kamus hidup saya. Apabila usia sudah menginjak dewasa, sudah bekerja, barulah mendengar perkataan hari jadi ni, hadiah hari jadi dan kek hari jadi. Mungkin dah ada duit sendiri kot...

Untuk anak-anak atau siapa sahaja, sambutan hari jadi atau ulang tahun itu tidak penting. Tetapi, yang penting ialah kita jadikanlah sambutan hari jadi, atau sambutan hari ulang tahun perkahwinan sebagai hari untuk kita lebih menghargai insan di sekeliling kita, sama ada isteri kita, suami, anak-anak, ibu, bapa, rakan dan sebagainya. Biarpun tiada hadiah yang bernilai sejuta, atau menerima beg tangan Louis Vuitton seperti Siti Nurhaliza yang bernilai RM40,000, bersyukurlah. Tetapi, kalaulah dapat sebuah kereta pun jadilah ya... (ada unsur materialistik dalam ayat ini)

Tetapi pada setiap hari jadi kita, jika sambutan hari jadi kita diingati, dan kita diraikan pula oleh suami, anak-anak, sanak saudara serta rakan-rakan, itu sudah merupakan suatu hadiah yang sangat indah dan tidak ternilai.

Diraikan teman sejawat, terima kasih Teacher Suzi Azianti!!

Semoga hari ulang tahun kelahiranku kali ini menjadi titik tolak dan pendorong untuk aku menjadi insan lebih baik, seorang isteri yang lebih bertanggungjawab, seorang ibu yang mampu berperanan dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang baik dan berguna.

“Ya Allah! Kau panjangkanlah usiaku agar aku boleh menjadi isteri yang baik dan taat, seorang ibu yang boleh mendidik dan membesarkan anak-anakku menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, agar aku dapat berbakti kepada ibu dan keluargaku, dan yang penting, semoga aku dapat bertaubat dan mengumpulkan amalan-amalan yang baik buat bekalan pada hari itu nanti. Amin!!!

Sabtu, Julai 03, 2010

Saya dan Norhuda

Dikutip daripada blog isrozaidi.com
Terima kasih Isrozaidi...

Cikgu Fariza Nurbaya dan Norhuda

Do you have a teacher who always teach you? The person that teach academic knowledge and the meaning of life? Please do not let the relationship between you and your teachers stop just after school. This relationship must always remain…

I think Huda should dedicate this poem to her former teacher, Cikgu Fariza Nurbaya…

I’m happy that you’re my teacher;
I enjoy each lesson you teach.
As my role model you inspire me
To dream and to work and to reach.

With your kindness you get my attention;
Every day you are planting a seed
Of curiosity and motivation
To know and to grow and succeed.

You help me fulfill my potential;
I’m thankful for all that you’ve done.
I admire you each day, and I just want to say,
As a teacher, you’re number one!

Dan, inilah Huda, peguam yang petah berbicara, periang, dan peramah. Setelah 10 tahun berlalu, hubungan baik saya dan Huda terus berlangsung dengan baik, kini bukan saja sebagai guru tetapi sebagai sahabat, sebagai penasihat, sebagai kaunselor terutama kisah-kisah cinta antara dia dan KH..

Khamis, Julai 01, 2010

Kecewa dan sedih...


Tiada kata-kata, hanya ini yang dapat saya gambarkan. Hanya ini...

1. Fred Hechinger,Presiden New York Times pernah menulis tentang kejayaan dan kejatuhan sekolah ;

“Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap. Saya pernah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan. Dan, YANG MENYEDIHKAN, ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak. Dalam setiap kes, jatuh bangun sesebuah sekolah ialah kualiti pengetuanya."
2. Bennis (1989);
"Leaders do not command excellence. They build excellence. To reach excellence, you must first be a leader of good character. Excellence starts with leaders of good and strong character who engage in the entire of leadership. And the first process is being a person of honourable character."
3. Lao Tzu, Tao, Te Ching;
"True leaders inspire people to do great things, and when the work is done, their people proudly say, we did this ourselves."
Dan...
saya takut menunggu saat itu kerana saya sudah melihat petanda-petandanya.. Ohh!!