Sabtu, Mac 24, 2012

Catatan hari ke-3 Muang, Yala

18 Mac 2012

Agenda hari ini bermula dengan memenuhi undangan untuk bersarapan di kediaman rasmi Tuan Thavi Soadsong, Setiausaha badan Pentadbiran Selatan Thailand. Untuk masuk ke kediaman beliau, kami terpaksa melalui beberapa kawalan keselamatan yang ketat dengan tentera bersenjata. Perbincangan tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dibincangkan dalam bahasa Thailand dan Ayahanda Abdul Rahman Tupa bertindak sebagai jurubahasa. 


Pintu masuk ke Pusat Pentadbiran Selatan Thailand

Kediaman rasmi Setiausaha Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand

Perbincangan tentang keperluan Bahasa Melayu disebarluaskan dan digunakan dalam pelbagai urusan termasuk untuk urusan ekonomi



Hidangan nasi dagang, rasanya sama dengan nasi dagang Kelantan





Setelah selesai kunjungan dan bersarapan, kami dibawa ke Dewan Matta untuk menyambung tugas mengendalikan kursus pengajaran Bahasa Melayu yang Memikat. Saya gembira dan sangat teruja!

Sebaik sahaja sampai di Dewan Matta yang terletak di dalam kawasan kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wan Mohammad Noor, ada merak kayangan menyambut kedatangan kami.




Bengkel bermula pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 4 petang. Ada acara perasmian hari ini yang disempurnakan oleh Tuan Thavi Soadsong sendiri. Petang ini ke mana pula ya...
Kerabu mangga kesukaan saya, menu wajib untuk makan tengah hari...

Ruang dalam kediaman Mantan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wan Mohammad Noor yang dipanggil sebagai Baeno (Abang Nor) oleh masyarakat setempat.


Malamnya, kami penuhi dengan menziarahi 3 buah rumah, rumah Tuan Haji Soleh Wandeng, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam, Yala dan dihidangi dengan buah-buahan tempatan dari kebun Ustaz Soleh.


Di rumah Tuan Haji Abdul Rahman Tupa pula, pukut mangga Laila menunggu tetapi mana lagi mahu diisi. Perut sudah penuh!

Pulut mangga dari Kedai Laila





Dan, akhirnya, rumah Tuan Haji Razi, Pengarah Yayasan Kebajikan Islam Yala, juga Mudir Sekolah Haji Harun. 

Tuan Haji Razi Bensulong dan isteri






Yala, saya suka!

Catatan Perjalanan dan Ziarah Jala - Petani - Nara
17 Mac 2012

Selesai tugas hari pertama mengendalikan bengkel pengajaran Bahasa Melayu untuk guru-guru di sini. Ya, kami antara insan bertuah. Allah hadirkan insan baik-baik di sekeliling kita.  Kami bertemu dengan insan-insan berbudi di sini. Yala, suatu tempat yang indah, bersih dan orangnya baik-baik. 


Bangunan Yayasan Matta, Yala, tempat berlangsungnya bengkel pengajaran Bahasa Melayu

Bersama-sama Cikgu Atikah Hamzah..


Cikgu Atikah dan suami, Encik Fauzi
Guru-guru Maahad Al-Irsyad lil-Banat, Yala

Jika ingin menikmati masakan Thailand yang enak, jangan lupa ke Jalan Siroros, depan jam besar. Ada deretan kedai makan bersetentang dengan Masjid Jamek Yala. Terdapat pelbagai jenis makanan di situ, semuanya sedap, bersih dan menyelerakan. harganya juga murah.
Kuechad...

Nasi ayam

Masjid Jamek Yala
Pusat Pengajian Radio Masyarakat Yala, alat penyampaian maklumat paling penting kepada masyarakat Islam Melayu setempat.

Stesen Radio Masyarakat Yala, terletak di bahagian atas masjid. Juruhebahnya menggunakan bahasa Melayu standard yang sangat baik.




Sedang diwawancara oleh Tuan Haji Soleh Wanden, Timbalan YDP Majlis Agama Islam Yala di stesen radio Yala dalam rancangan Hadiah Terbaik. Juga diberi kesempatan menjawab panggilan telefon daripada pendengar. Rancangan ini dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu standard termasuk juga bahasa yang digunakan oleh pemanggil.
Frekuensi radio ini boleh didengari hingga ke Golok.


Dan, selepas bersiaran di radio, kami dihidangi dengan pisang salai yang sedap ini.






Selesai agenda 17 Mac.  Esok cerita lain menunggu...

Jumaat, Mac 23, 2012

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Kali Ke-2 Muang, Yala

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Kali Ke-2 (17 hingga 19 Mac 2012) ini dijalankan di Muang Yala, sambungan daripada bengkel pertama yang di Hatyai Disember tahun lepas. Kali ini, penganjuran kursus dan bengkel ini mendapat sokongan daripada Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thai atas inisiatif Persatuan Sekolah-sekolah Agama Swasta Selatan Thai,  Yayasan Badan Kebajikan Islam Yala dan pengurusan sekolah Haji Harun.

Secara ringkas, perkembangan Bahasa Melayu di Selatan Thailand berlangsung dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Guru-guru mereka menyatakan kebimbangan tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang semakin tidak diminati oleh murid-murid. Kedudukan Bahasa Melayu di Wilayah Melayu Selatan Thai ini boleh diibaratkan bagai "telur di hujung tanduk", dan jika tiada usaha untuk memartabatkannya, tidak mustahil Bahasa Melayu akan mengalami kepupusan.

Bahasa Melayu di Wilayah Selatan Thai hanya dipelajari di sekolah-sekolah agama swasta dan pondok. Murid-murid mereka belajar bahasa Melayu secara formal dari sekolah rendah lagi dengan peruntukan masa selama 8 masa seminggu. Selepas mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah agama, Bahasa Melayu terus dipelajari di samping digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajian agama. Jika mereka memilih ke sekolah kerajaan, mereka tidak akan berpeluang belajar bahasa Melayu secara formal lagi.

Di 5 wilayah Islam Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan dua buah wilayah lagi, terdapat lebih 60 buah sekolah agama swasta dengan bilangan pelajar menjangkau hampir 100 ribu. Setiap sekolah mempunyai bilangan murid yang sangat ramai, Sekolah agama yang paling terkenal di Yala, Sekolah Haji Harun sahaja mempunyai lebih 6000 orang murid, Sekolah Darul Syifa’ di Narathiwat pula melebihi 4000 orang.

Nasib bahasa Melayu menjadi semakin malang apabila tidak lagi menjadi bahasa ibunda kerana kecenderungan ibu bapa bertutur dalam bahasa Thai dengan anak-anak mereka di rumah. Generasi tua dan pemimpin Melayu tempatan cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana jika tidak diambil sebarang langkah dalam meningkatkan mutu pengajaran bahasa Melayu, bahasa Melayu akan semakin terpinggir dan gagal dipertahankan di wilayah Melayu Islam ini.

Untuk memastikan bahasa Melayu terus terpelihara, pihak pengurusan sekolah-sekolah agama swasta ini telah meletakkan syarat kelulusan bahasa Melayu sebagai syarat lulus sekolah-sekolah agama tersebut. Bahasa Melayu hanya digunakan untuk mengajarkan subjek-subjek agama, manakala untuk subjek-subjek akademik, mereka mengajar dengan menggunakan bahasa Siam sebagai syarat untuk mendapatkan bantuan penuh kerajaan Thailand. Maka, lidah anak-anak Melayu Thailand lebih fasih bertutur dalam bahasa Siam berbanding bahasa sendiri, dan jikapun mereka menggunakan bahasa Melayu, dalam sebaris ayat yang mengandungi 10 patah kata, kata daripada bahasa Melayu hanyalah 2 atau 3 patah sahaja lagi.

Acara perasmian
Bengkel selama 3 hari ini telah dihadiri oleh lebih kurang 200 orang guru yang mewakili setiap sekolah di 5 Wilayah Selatan Thailand. Pengisian program ialah ceramah tentang sejarah perkembangan Bahasa Melayu, kepelbagaian teknik dan kaedah dalam pengajaran bahasa, bengkel dan forum. Peserta-peserta juga diberi peluang untuk mempraktikkan kaedah pengajaran bahasa yang memikat dan menyeronokkan melalui pelbagai aktiviti, antaranya aktiviti permainan bahasa, main peranan, lakonan dan penghayatan unsur Sastera. Untuk bengkel kali ini, saya dan AR telah dibantu oleh Cikgu Atikah Hamzah, guru Bahasa Melayu yang berpengalaman dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, Besut. Beliau ialah bekas pelajar saya semasa saya mengajar di SMK Tengku Mahmud, 20 tahun yang lalu.
Bersama-sama Cikgu Atikah Hamzah

Saya merakamkan rasa gembira dan bangga atas kepercayaan Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thai memberikan mandat kepada kami untuk berkongsi pengalaman pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kepada guru-guru mereka dari segi teori dan praktis. Semoga dengan sedikit ilmu yang kami sampaikan dapat dimanfaatkan oleh guru-guru mereka untuk menarik minat generasi muda mempelajari bahasa Melayu, bahasa ibunda mereka dengan bersungguh-sungguh.
Antara peserta bengkel
Aktiviti perbengkelan


Ehem.. ehem.. Ustaz Soleh!






Permainan bahasa
Bergambar kenangan dengan Tuan Tsavi Soadsong, Setiausaha Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand.


Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Soleh, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam, Yala, Tuan Haji Razi Bensulong, Pengarah Sekolah Haji Harun, Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengelola Sekolah Haji Harun, guru-guru dan semua insan baik berbudi mulia yang saya kenali di Yala. Semoga kita akan bertemu lagi dalam satu luang dan ruang yang lain. Insya-Allah.





Mereka bukan calang-calang orang. Mereka ialah tok-tok guru pondok yang turut menyertai bengkel pengajaran bahasa..


Posing le!

Kenderaan yang akan membawa kami ke Petani pula...

Selamat tinggal  Yala, selamat tinggal saudara-saudara segama sebangsa yang baru dikenali tetapi terasa sangat akrab dan rapat...





Khamis, Mac 22, 2012

Perjalanan Yala

Saya sangat berbesar hati dan tidak keberatan untuk memenuhi sekali lagi undangan Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengerusi Sekolah-sekolah Haji Harun, Tuan Haji Razi Bensulong, Pengarah Sekolah dan Ustaz Haji Soleh Wandeng, Mudir Sekolah Agama Lilbanat, Yala untuk mengendalikan Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat untuk kali yang kedua di Yala pada 17 Mac hingga 19 Mac 2012. Saya sangat gembira kerana berkesempatan untuk bertemu lagi dengan insan-insan yang baik dan sungguh berbudi ini. Kali ini penyertaan guru tidak hanya terhad kepada guru-guru Sekolah Haji Harun sahaja, tetapi juga akan disertai oleh guru-guru dari 50 buah sekolah agama swasta yang bernaung di bawah Persatuan Sekolah-sekolah Agama Selatan Thailand. Yang menariknya juga ialah bengkel ini mendapat restu dan biaya daripada Badan Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand. Pemimpin-pemimpin Thailand mula menyedari kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi paling sesuai untuk dijadikan lingua franca negara-negara Asean sebagai mana Gagasan Komuniti ASEAN 2015 dan kehadiran kami sangat dialu-alukan oleh mereka.

Saya, AR, Cikgu Atikah Hamzah, suami dan anak disambut mereka bertiga di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, pekan Rantau Panjang. Ada 2 orang lagi bersama-sama mereka, Mudir Haji Kamarudin dan seorang lagi teman beliau. Teruja juga Cikgu Atikah untuk menggunakan pasport antarabangsanya untuk pertama kali. Cikgu Atikah ialah bekas pelajar saya yang pernah berguru dengan saya 20 tahun yang lalu, dan hingga hari ini terus mengingati dan menjenguk saya. Beliau, suaminya Fauzi dan anak-anak sudah seperti keluarga saya yang sangat rapat, sahabat terbaik yang sentiasa ada dan sedia menghulurkan bantuan, lebih-lebih lagi apabila kami terpaksa meninggalkan anak-anak kerana tugas rasmi di luar daerah.

Perjalanan dari sempadan Sungai Golok ke Yala sejauh 200 kilometer dan memakan masa perjalanan selama 3 jam. Dalam perjalanan kami singgah untuk menikmati makan tengah hari di Pekan Yi-Ngo. Di celah deretan rumah kedai di pekan tersebut pasti akan terdapat tentera-tentera Thailand berbaju hijau. Kata Ustaz Soleh, bumi Pattani ini mendapat julukan sebagai "Bumi Hijau" kerana ramainya jumlah askar berbaju hijau di kawasan tersebut.
Hidangan pertama untuk tengah hari sudah pasti kami dihidangkan dengan menu wajib masakan Thailand iaitu tom  yam dan kerabu mangga. Kedai makanan mereka sangat bersih, dan kami dilayan gadis-gadis cantik yang berpakaian menutup aurat.
Sepanjang perjalanan banyak juga tempat yang sempat kami singgahi, antaranya ialah Masjid Wadi Husain. Saya dimaklumkan bahawa masjid ini telah berusia lebih 300 tahun. Masjid yang terletak di Teluk Manok, Yi-Ngo ini dibuat sepenuhnya menggunakan kayu cengal dan beratap genting Senggora. Tidak ada paku yang digunakan.


Sepanjang jalan ke Yala, rasa-rasanya terdapat lebih 30 sekatan tentera yang terpaksa ditempuhi. Entahlah, walaupun ramai teman yang bimbang akan perjalanan kami, kami terasa selamat bersama-sama dengan mereka. Perjalanan kami lancar dengan sistem jalan raya yang sangat baik. Kami singgah juga di sebuah maahad yang saya lupa namanya. Bangunan sekolahnya besar dan dimaklumkan bahawa kos untuk pembinaan sekolah ini dibiayai oleh Kerajaan Riyadh.

Kami sampai di bandar Yala lebih kurang jam 4 petang dan sudah pasti tempat pertama yang kami tujui ialah Kedai Laila, kedai yang menjual pulut mangga paling sedap yang pernah saya rasa! Ini kunjungan kali kedua saya, AR dan kali pertama bagi Atikah dan Fauzi.


Malam di Yala, sejuk dan dingin bandar terbersih di Asia ini. Esok tugas besar menunggu. Rabbi yassir wala tu'assir ya Karim, permudahkanlah, lancarkanlah segala tugas kami.



Khamis, Mac 01, 2012

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana...

Puisi-puisi Sapardi Djoko Damono sering menyentuh hati saya.

aku ingin mencintaimu dengan sederhana
dengan kata yang tak sempat diucapkan
kayu kepada api yang menjadikanya abu
aku ingin mencintaimu dengan sederhana
dengan isyarat yang tak sempat disampaikan
awan kepada hujan yang menjadikannya tiada

Sapardi Djoko Damono, (1989)

Lagu dari puisi Sapardi Djoko Damono dalam filem Cinta Dalam Sepotong Roti

Ahad, Januari 01, 2012

Selamat pagi 2012..

Apa yang bakal kauhidangkan sepanjang tahun ini?

Semoga semuanya dengan permulaan yang cantik,
yang terancang dengan cantik,
yang berjalan dengan cantik,
dan moga berakhir dengan cantik
seperti taman ini..
moga kekal cantik
Yaa... anugerah-Nya..
Senyum dan syukur!