Menu pilihan Si Bongsu Abu Zar dengan Chicken Chop-nya.
Rabu, Jun 09, 2010
Cuti sekolah dan makan-makan..
Menu pilihan Si Bongsu Abu Zar dengan Chicken Chop-nya.
Selasa, Jun 08, 2010
Jangan menangis...
Ada banyak teman yang berduka lara belakangan ini. Ada teman yang kematian suami semalam. Takziah buat sahabat Saniah Awang Kecik, guru Bahasa Melayu STPM di SMK Tengku Mahmud Besut, yang kehilangan suami tercinta, Allahyarham Azam yang meninggal dunia di Hospital Jerteh semalam kerana penyakit lelah dan tibi. Kasihan, dalam usia yang masih muda terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri. Ada saudaraku yang telah kehilangan ibunya petang semalam. Ada juga teman yang merintih menyatakan kekosongan hatinya, hidupnya tertekan dengan pelbagai gundah yang kecamuk.
Buat mereka dan juga saya. Tabahkan hati selalu ya. Kita sama-sama doakan agar kita tabah, ujian yang kita terima tidak seteruk ujian yang menimpa saudara kita di sana. Semoga kalian teguh dengan iman. Semoga kalian pasrah dengan ketentuan Ilahi. Semoga kalian rela apa yang terjadi.
Apabila mengenangkan semua ini, terasa begitu kerdil diri aku di sisi Ilahi. Banyaknya dosa yang menggunung, sedangkan terlalu kecil jasa dan pahala yang kulakukan. Setiap orang diuji dengan cabaran yang berlainan. Mohon kita restu keinsafan daripada yang KHALIQ. Jangan putus asa ya, teman. Jangan sedih ya Cikgu Za..
Andai kita tahu, betapa besarnya rahmat Tuhan itu, pasti ramai yang mengucap syukur akan nikmat Tuhan sepanjang masa. Semoga aku diizinkan menjadi insan yang lebih baik daripada yang dulu, bukannya menyimpang jauh daripada-Mu.
Dalam kesibukan menyiapkan tugas menyemak kertas ujian pelajar dan segala macam sendu dan lara yang melanda jiwa sejak dua menjak ini, moga-moga buku Penenang Jiwa tulisan Imam Al-Ghazali mampu memberi sedikit ketenangan dan mengisi rohani dan fitrah...
Kapan tiba ajalku…
Ku akan memohon Tuhan tolong panjangkan umurku
Andai kutahu…
Kapan tiba masaku…
Ku akan memohon tuhan jangan kau ambil nyawaku…
Aku takut akan semua dosa dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku
Andai kutahu…
Malaikat-Mu kan menjemputku…
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu…
Aku takut akan semua dosa-dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku
Ampuni aku dari segala dosa dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu…
Aku manusia yang takut neraka…
Namun aku juga tak pantas di syurga
Andai kutahu….
Kapan tiba ajalku…
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu…
Aku takut akan semua dosa-dosaku…
Aku takut dosa yangg terus membayangiku…
Ampuni aku dari segala dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu
Aku manusia yang takut neraka…
Namun aku juga tak pantas di syurga
Jumaat, Jun 04, 2010
Cuti sekolah dan kerja sekolah..
Alahai, senyum saja saya mendengar omelan Kak Jah. Dalam hati terbayang pelbagai perkara yang hendak dilaksanakan sepanjang cuti sekolah ni. Saya sudahpun berjanji dengan pelajar-pelajar 6 atas untuk mengadakan kelas tambahan kepada mereka. Saya juga teringat timbunan kertas jawapan budak-budak yang perlu diselesaikan sebelum akhir minggu ini.
Barulah mereka tahu sebab kesalahan mereka dan memudahkan mereka untuk membuat pembetulan. Selitkan juga kata-kata semangat atau komen yang membina. Mahu 5 batang pen merah habis ni untuk menyemak kertas pelajar-pelajar ni. Teringat juga keadaan kelas 6 bawah yang masih lagi tidak sempurna kelas mereka. Sebelum cuti baru-baru ni mereka menumpang di makmal sains. Kasihan, bayangkan sepanjang hari mereka duduk di atas bangku makmal tanpa penyandar dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang. Kalau kita yang dah tua ni, mahu tak lenguh belikat. Jauhnya beza prasarana yang disediakan di sekolah luar bandar dan sekolah berasrama penuh atau SBT.
Kami bercadang untuk datang ke sekolah menghabiskan masa satu atau dua hari mengubah suasana kelas mereka dari begini,
menjadi paling kurang seperti kelas Cikgu Jimie ini;
Dan, nampaknya cuti sekolah ini saya tetap pergi sekolah.
Khamis, Jun 03, 2010
Selamat pencenlah...
Terima kasih semua, terima kasih juga untuk saya.. tapi satu lagi acara pencen bulan depan, ke mana saya nak lari? huhu..
Sabtu, Mei 29, 2010
Mengecewakan...
Semua guru, lebih-lebih lagi yang bergelar Guru Cemerlang perlu bersedia untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kecekapan. Kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Besut khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan ketrampilan GC daerah Besut hari ini nampaknya kurang mendapat sambutan dengan pelbagai alasan yang remeh-temeh. Daripada ahli 55 orang, yang hadir hanyalah 20 orang, suatu jumlah yang amat memalukan dan menggambarkan komitmen yang sangat rendah dalam kalangan GC. Apabila saya diberi mandat oleh PPD untuk mengendalikan program ini, dan apabila melihat keadaan ini, saya berasa sungguh sedih dan jengkel!!
Mana mungkin GC berupaya mengembangkan potensi diri mereka jika tidak menghadiri pertemuan-pertemuan profesional dan majlis peningkatan ilmu yang telah dirancang. Guru Cemerlang tidak boleh bergerak secara bersendirian. Guru Cemerlang memerlukan pasukan dan bekerja secara sepasukan. Kerja secara sepasukan akan membuahkan hasil kerja yang lebih bermutu berbanding bekerja sendirian. Semangat untuk bekerja tidak mudah luntur kerana sering mendapat dorongan daripada rakan-rakan GC yang lain.
Kalau ditanya, "Banggakah cikgu mendapat gelaran GC?", Jawapan saya, "Pasti!!". Saya antara GC lantikan awal yang dipilih melalui proses pemantauan dan penilaian yang bertapis-tapis. Dicerap beberapa kali oleh Jemaah Nazir, memerlukan sokongan daripada rakan sejawat, dinilai juga oleh pelajar, disemak segala dokumen dan pelbagai prosedur yang mendebarkan. Saya bukan GC yang dilantik oleh sang pengetua dengan hanya satu soalan, "Cikgu, nak naik gred tak?. Kalau nak naik gred, nah, isi borang GC ni! Tak ada pemantauan Jemaah Nazir, tak ada markah rakan sejawat. Isi borang dan isilah markah berapa saja yang cikgu mahu. Saya akan tandatangan saja!!" Saya bukan GC yang dilantik secara begini!!! Namun begitu, tidak semua GC mempunyai sikap seperti ini. Yang penting mereka mestilah sentiasa belajar, saya juga sentiasa belajar. (Hmmm.. mesti dah kena bantai ni..)
Saya bangga menjadi Guru Cemerlang kerana dengan tugas saya, saya sentiasa bersedia dan menyediakan diri untuk sentiasa nampak cemerlang, dan dapat mencemerlangkan organisasi tempat saya bertugas. Ohh... hiba pula rasa hati. Mengapa ya, semua perkara yang saya fikir belakangan ini seperti mahu membuatkan saya menangis terharu, menangis hiba. Arghh, beginilah jadinya apabila menjadi seorang yang begitu melankolik!! Huhuhu...
Aku ingin terbang!!

Dalam mencari kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan adalah tidak terlalu lewat untuk kita terus belajar. Tidak terlambat bagi kita belajar untuk cinta, belajar untuk menghargai, belajar untuk memaafi dan belajar untuk mensyukuri. Insya-Allah kebahagiaan itu ada di mana-mana. Kita yang perlu mencari dan merasai. Berikan aku itu, berikan aku kekuatan. Aku perlu kuat. Bukan senang untuk menjadi kuat, dan aku perlu kuat untuk menjadi senang. Oh Tuhan, sudah banyak yang Kau beri dan sudah banyak yang aku mungkiri!! Ampun...
Ahad, Mei 16, 2010
Hari ni hari guru. Terima kasih anak-anak..
Selamat hari guru buat semua rakan seperjuangan. Pasti saban tahun akan wujud getar rasa dalam jiwa ini setiap kali menyanyikan bait-bait lirik lagu guru dan setiap kali tangan didepa tika ikrar guru dibaca...
Buat rakan-rakan guru, tekadkan semangat,
tabahkan hati,
perjuangan kita belum selesai!!
Sabtu, Mei 15, 2010
Guru Pembina Negara Bangsa
Selasa, April 27, 2010
Program Memartabatkan BM (MBM) KPM-BPG di IPG Kampus Sultan Mizan
Unit Bahasa, Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru sedang melaksanakan siri kursus Bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Melayu MBM) melalui Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI) bersama-sama IPG Kampus Sultan MIzan, Besut. Sebanyak 8 siri kursus akan dan telah dilaksanakan, dan hingga kini 4 siri kursus telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan guru-guru terplih dari negeri Terengganu dan Kelantan.
Hari ini, 27 April hingga 30 April 2010 bermula siri kursus yang memfokuskan e-pemelajaran dan e-kamus bagi meningkatkan ilmu dalam kalangan guru mata pelajaran Bahasa Melayu terutama dalam usaha memerkasakan bahasa Melayu menghadapi dunia tanpa sempadan ini. Untuk sekolah rendah pula, kursus yang sedang berlangsung dalam tempoh yang sama ialah Strategi Pengajaran Penulisan Berkesan.
Semoga program ini berjaya mencapai matlamat ke arah memartabatkan Bahasa Melayu sesuai dengan tugas, fungsi dan status sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Guru bahasa Melayu perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mereka agar tidak terus ketinggalan. Guru perlu menjadi suri teladan kepada pelajar dalam penggunaan bahasa yang baik dan tepat.
Perahu tua muatan sarat;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Tersipu-sipu di meja mesyuarat.
Apalah guna punya perahu,
Tersadai berbulan di tepi parit;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai perawan sering berpingit.
Apalah guna punya perahu,
Layarnya reput sukar dinaikkan;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai rumput kering di jalanan.
Apalah guna punya perahu,
Tersadai di tebing dimakan hari;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Hidup terasing di negeri sendiri.
Rabu, April 07, 2010
Cinta Kolesterol
Untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat, elakkan makan makanan-makanan berikut:
1. Daging merah (sekali seminggu tidak mengapa)
2. Daging yang diproses
3. Daging organ dan bahagian dalam seperti hati dan limpa.
4. Kulit ayam atau itik.
5. Makanan bergoreng dan kuah berlemak seperti nasi lemak.
6. Produk tenusu yang tinggi lemak.
7. Kurangkan gula putih bertapis dan makanan berproses.
8. Buangkan penggoncang garam.
9 Minyak masak dan majerin, dan produk komersial yang mengandungi asid lemak trans (lemak berhidrogen dan separa berhidrogen).
10.Elakkan ikan masin, jeruk, belacan dan kicap komersial.
11.Makanan yang hangus kerana memanggangnya atau menggoreng pada suhu yang tinggi.
12. Hadkan makanan yang mengandungi bahan pengawet, pewarna tiruan dan perisa.
Bolehlah makan makanan-makanan berikut:
1. Daging putih daripada ayam atau itik.
2. Ikan terutama sekali yang mengandungi lemak EPA (tiga kali seminggu seperti salmon, tuna, tenggiri, sardin dan hering).
3. Produk tenusu berlemak rendah.
4. Buah-buahan beraneka warna yang kaya dengan antioksidan daripada flavonoid dan karotenoid, vitamin B dan gentian (serat).
5. Sayur-sayuran beraneka warna yang kaya dengan beta karotena, vitamnin C, E dan B, gentian tinggi dan flavonoid.
6. Kacang dal dan kacang-kacang lain.
7. Majerin - pilih majerin lembut mono tak tepu yang bebas daripada asid lemak trans. Banyak gunakan minyak zaitun.
8. Bijirin, kacang-kacang dan legum.
9. Pasta
10.Bakar atau panggang makanan bukan menggorengnya.
11.Pilih karbohidrat kompleks seperti beras perang, capati, roti gandum asli, bijirin oats dan jagung.
12. Banyakkan makan bawang putih, bawang-bawang lain, halia dan kulat.
13.Minum lapan gelas air bersih atau air mineral setiap hari (saya minum 4 liter air putih setiap hari..huhuhu)
SELAMAT MENJAGA DISPLIN PEMAKANAN ANDA!!!!!
Catatan: sehari selepas entri ini ditulis, Awang masuk hospital kerana serangan jantung.
Selasa, April 06, 2010
Sekolah di perbukitan
Mencari Cinta Phalaenopsis...












