Jumaat, Januari 15, 2010

Penjual Ubat dan Ular...

Sudah bertahun-tahun lamanya aku tidak ke Pasar Tani Kuala Besut. Pasar Tani Kuala Besut adalah antara pasar tani yang menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Jumaat, bukan sahaja golongan marhaen, tetapi juga ahli korporat, profesional dan siapa saja. Pasar tani ini sememangnya mempunyai banyak kenangan pahit dan manis. Di pasar tani inilah Awang pernah menyelami perit dan pedih Sang Peraih bagi mendapatkan sesuap nasi menyara keluarga dan sukarnya mencari duit sesen dua. Di sini juga Awang mengetahui betapa sesetengah daripada kita terlalu mementingkan darjat, taraf dan status serta suka memandang rendah kepada orang lain.

Bukan tidak sudi berkunjung ke sini tetapi cuaca panas dan orang yang berasak-asak sering membuatkan aku sakit kepala, mata menjadi gatal dan merah dan sudah tentu agak merimaskan. Hari ini, entah mimpi apa, mungkin untuk memenuhi keinginan si bongsu yang inginkan kasut bola terpaksalah juga menapak di tengah panas terik mencari kasut bundle si bongsu itu.

Dalam sekian banyak jualan, suara kuat dari pembesar suara penjual ubat betul-betul mampu menarik aku dan Awang turut sama mendengar "khutbah" si penjual ubat dengan ular-ularnya. Apakah perkara yang menyebabkan aku dan sekian ramai pengunjung pasar tani ini untuk mengerumuni si penjual ubat ini?? Kerana kekacakannya?? atau kerana kemujaraban barang-barang jualannya?? TIDAK!! Penjual ubat ini mempunyai daya pengucapan yang baik dan menarik, ada intonasi, kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah. Ada unsur lelucon dan santai. Penggunaan retoriknya tepat dan tidak menjemukan. Alat yang digunakan untuk memancing pembeli juga tidak mempunyai kaitan langsung dengan barangan yang dijualnya.

Apakah kaitannya ular sawa, tedung yang dibawanya dengan minyak gosok, minyak gamat atau serbuk kayu sugi?? Ular-ular ini hanya digunakan untuk menarik orang membeli ubat-ubatan yang dijualnya. Ya.. hanya alat, tetapi mampu mengekalkan minat dan menarik si pendengar. Bagi guru, elok juga cara penjual ubat ini kita jadikan sebagai pedoman bahawa dalam P&P betapa perlunya alat dan bahan untuk menarik minat pelajar dan mengekalkan tumpuan pelajar. Ada sesuatu yang aku dapat belajar hari ini.
Ada sesuatu yang menyentuh jiwa apabila si penjual ubat menyatakan bahawa, dia menjual ubat mencari rezeki yang halal, mencari rezeki membesarkan anak-anak. Dia tidak melakukan sesuatu yang haram dan salah. Dia tidak merompak duit rakyat, merasuah atau mencuri enjin kapal terbang. Kalau dia mahu duit segera, dia boleh saja meragut atau menyamun. Katanya, kalau nak kaya, belajarlah bersungguh-sungguh, jangan jadi penjual ubat sepertinya. Mataku memerah....

Ahad, Januari 10, 2010

Aku manusia biasa..

Aku hanyalah guru biasa. Dalam kuat dan tabah, sesekali menjengah juga rasa letih, sebal dan sesekali menangis hiba. Kadang kala apabila rasional dan kewarasan goyah, rasa amarah menyelubungi diri terutama apabila kehendak dan keinginan tidak difahami oleh sang ketua. Namun, untuk apa bersengketa kerana yang ruginya siapa. Atas dasar keharmonian, biarlah, tiada ruginya kita mengalah. Sudah pasti sedikit pujuk Awang hati bisa jadi sejuk. Minggu ini jiwa kembali tenang dan kembali asal. Untuk apa beremosi yang entah apa-apa.. hidup perlu diteruskan.

Anak-anak di desa ini memerlukan guru yang kuat dan tabah, bukan guru yang cengeng, sayu dan layu. Untuk memandaikan mereka bukan suatu jalan yang mudah. Cabarannya banyak sekali. Masalah dan halangan bukan lagi suatu yang membebankan kerana telah lama dapat kutempuh. Melihat wajah anak-anak di depanku ini membakar semangat dan jiwa untuk memberikan yang terbaik buat mereka. Pesan teman untukku, "jadilah guru yang baik bukan baik jadi guru!!" Titipan amanat arwah ayahanda, jadilah guru yang mursyid nabi, orang yang memberikan petunjuk (irsyad) tetap terpahat di sanubari.

Jumaat, Januari 08, 2010

Boleh ke Buku Persediaan Mengajar dihias berlebih-lebihan??

Saya tertarik dengan beberapa pendapat teman yang dilayangkan lewat e-mel tentang penyediaan Buku Persediaan mengajar yang dihias secara berlebih-lebihan sebagai mana entri sebelum ini. Pada saya, yang paling penting dalam BPM ialah penyediaannya memenuhi item yang dikehendaki oleh Jabatan Pelajaran. Ada juga yang memuji dan ada yang mencemuh saya kerana memaparkan contoh-contoh penulisan buku persediaan mengajar yang dianggap oleh mereka melampau-lampau dan membazirkan masa guru, guru tidak perlu membuang masa yang banyak untuk itu. Rasanya dalam sehari saya hanya menghabiskan masa 10 hingga 15 minit sahaja daripada waktu tidak mengajar (free period) untuk menyiapkan buku persediaan mengajar saya, bukan berjam-jam!!

(Ini contoh BPM saya tahun 2009, sekadar menggunakan sedikit kertas warna untuk tanda kelas)

Saya cukup sedih dengan cemuhan seperti ini kerana pada masa saya dan rakan-rakan sedang bertungkus-lumus menyediakan BPM dan Bahan Bantu Mengajar, terdapat segelintir guru yang lebih senang menghabiskan masa senggang mereka dengan berbual kosong, bercakap tentang bisnes, menghembuskan kepulan-kepulan asap rokok dan pada masa yang sama mencebirkan bibir ke arah kami seolah-olah kami melakukan perkara yang tidak berfaedah. Kata mereka, daripada menghabiskan masa menulis BPM, lebih baik mereka menyediakan perkara lain yang memberi faedah kepada pelajar. Ahhh... mereka sendiri tidakpun berbuat apa-apa!!

Untuk jalan selamat, bertanyalah pengetua atau guru besar sekolah masing-masing sama ada anda dibenarkan menggunakan kertas berwarna dalam BPM. Memanglah, BPM ialah dokumen rasmi yang mesti dibawa bersama semasa guru berada di dalam kelas untuk melaksanakan proses P&P.

Saya tertarik dengan e-mel yang dikirim oleh seorang sahabat (maaf Min, moga dengan izin) dan rasanya ada baiknya pendapat beliau tentang perkara ini saya paparkan di sini.
____________________________________________________________

Salam,
Saya bukan orang yang arif berkenaan isu yang dibincang namun saya terpanggil untuk berkongsi. Bukan bertujuan membuktikan pegangan saya betul dan tepat namun sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman agar kita mampu berada dalam keadaan selesa dan yakin dengan apa yang kita buat. Pemikiran dan pandangan kita pasti berbeza namun di pihak manapun kita asalkan masih di landasan-Nya syukur alhamdulilah.

Alhamdulilah Allah buka peluang untuk saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan pertama kalinya saya diperkenalkan dengan subjek Undang-undang Pendidikan. Insya-Allah mereka yang melanjutkan pendidikan di Universiti Malaya pasti mengenali Prof. Madya Dr. Tie Fatt He. He was my supervisor during my master degree and even he was my academic referee for my PhD. Terlalu banyak perkara yang selalu saya ambil remeh telah di hi-lite kan semasa kelas undang2 pendidikan. Saya tidak peka dengan hak-hak dan etika saya sebagai guru. Hak guru mungkin sama dengan hak penjawat awam lain tetapi etika seorang guru berbeza. Contoh mudah penjawat awam boleh 'clubbing', berpakaian terlalu seksi e.g. berseluar pendek bagi guru wanita, mengandung tanpa suami(bagi non muslim) dan sebagainya tapi etika seorang guru tidak mengizinkannya. Those who are interested in further discussion about teacher's etiquette should consult PM Dr. Tie, I'm not d expert!!!

Hak-hak seorang murid untuk diberi ilmu, dijaga keselamatan oleh guru, hak pelajar sebagai manusia yang mesti dihormati antara perkara yang saya pandang ringan. Satu kesalahan yang hanya saya sedar dari kelas ini adalah, saya sering menulis 'lemah, perlu lebih berusaha' pada buku rekod kemajuan pelajar. Menurut PM Dr. Tie, jalan selamat sebagai guru kalau ingin sedarkan pelajar yang lemah don write it but say it! why? because anything that is written can be proven in court but if it only verbally..U can deny it... samalah lah juga Buku Rekod Mengajar (BRM)...a wrtten thing, an absolutely black n white evidence! sebenarnya terlalu banyak lagi perkara yang boleh saya kongsi dari kelas tersebut, tapi keterbatasan saya menyebabkan saya lupa apa yang telah saya belajar.

Namun apa yang ingin saya kongsikan dan tegaskan adalah BRM adalah dokumen rasmi. Dokumen rasmi yang diguna pakai sebagai bahan bukti pengajaran. Menulis/merekod BRM adalah perkara wajib setiap guru! HATTA PENGETUA SEKALIPUN!!!! so tidak perlu berdalih, tulis apa yang sepatutnya ditulis maka kita akan yakin dan selesa kita berada di pihak yang benar dan sebaliknya bagi mereka yang enggan. Pemikiran dan pandangan kita pasti berbeza seperti beberapa orang buta yang mendefinisikan seekor gajah. Ada merumuskan gajah binatang berkulit kasar bila berpeluang menyentuh badan gajah, ada menyifatkan gajah berbentuk tiang kerana hanya memegang kaki gajah dan sebagainya. Pada pandangan saya yang serba terbatas akal dan pemikiran asalkan BRM ditulis apa yang sepatutnya, maka bagaimana menghias atau memandangnya terserah. Kita manusia punya banyak kelemahan. Ada yang mampu berbelanja tetapi kekurangan idea kreatif, ada yang kreatif tetapi kekurangan masa, ada yang terlebih masa senggang tetapi kelu dan bisu pabila bersembang, akhirnya hanya mampu serba serbi akan menghasilkan BRM seperti yang di paparkan dalam entri cikgu Fariza.. Pada yang kurang mampu berkarya terserahlah, asalkan yang wajib telah lunas!...

Sebagai penutup saya petik kata-kata dari blogger idola saya Prof. Muhd Kamil Ibrahim;

"Lebih penting bagi saya, biar kita bergaya dalam dunia kita sendiri. Usah terlampau memikirkan apa kata orang, apa orang kata pada kita dan selalulah memerhatikan kejayaan yang dicapai oleh orang lain. Jangan kondem, jangan kutuk, jangan alahai dia tu…., jangan musnahkan hidup orang, jangan dengki-khianat, busuk hati dan pelbagai lagi terutamanya kepada rakan sendiri.

Marilah kita bergembira dengan hidup kita. Berdoalah – Ya Allah jadikan kami orang yang berjaya dunia dan akhirat"

Ameen

Best regards,
RUSMIN YUNUS
500 W Prospect Rd, Apt. 22-J,
Fort Collins, 80526 Colorado

____________________________
Terima kasih Min atas perkongsian ini.. Semoga boleh menjadi panduan kepada kita semua..

Dan ini pula dari sahabat saya, Puan Shahidah Hashim:

Saya setuju, kita buat macam tu masa kita ada masa senggang, kalau sibuk sangat kita buat simple je dan itu bergantung pada masa kita. Apa yang diorang dengki sangat tu, BPM tu kan penting sebagai SKT kita, lantak diaoranglah nak kata apa2 pun. Yang penting hati kita puas dan kita seronok buat kerja tu. Jadi, jadi ada semangatlah nak tulis buku rekod sebab nak hiasnya cantik2. Teruskanlah usaha guru2 sekalian, insya-Allah akan wujud anugerah khas nanti....tunggu.....
_________________________________________

Wah, berkobar-kobar semangat sahabat kita ni!. Cuma, apabila ditanya rakan-rakan tentang rasional penggunaan kertas warna dalam BPM, jawab saya, sekadar mencari keseronokan dalam melakukan rutin, agar tidak jemu dalam melakukan kerja yang sama berpuluh-puluh tahun apalah salahnya selagi tidak membebankan dan mengabaikan tugas-tugas wajib yang lain. Rasanya ini lebih baik daripada sesetengah guru yang bukan sahaja tidak menulis BPM mereka, malah buku persediaan mengajar mereka boleh hilang lesap begitu sahaja!! Tepuk dada tanya selera... Entahlah, tiba-tiba saya terasa ingin sekali menjadi seorang pengetua (Pengetua pun kena tulis buku persediaan mengajar juga!!!)

Selasa, Januari 05, 2010

Alahai, buku persediaan mengajar!!

Setiap kali sesi persekolahan dibuka, semua guru akan sibuk (bagi yang sibuk le!!) dan berusaha untuk melengkapkan segala maklumat dalam buku persediaan mengajar yang baru dan merancang bentuk dan format penulisan buku rekod yang menarik dan kreatif. Satu daripada tugas wajib guru di sekolah selain daripada masuk ke kelas untuk melaksanakan proses pengajaran ialah menyediakan buku persediaan mengajar atau dengan perkataan lain, disebut juga sebagai buku rekod pengajaran. Sesetengah dari guru terutama yang telah mengajar lebih daripada 20 tahun, penyediaan buku ini kadang-kadang jadi menjemukan.(Inilah buku persediaan mengajar saya tahun 2010 yang akan saya kelek sepanjang hari saya di sekolah dan sehingga entri ini ditulis, buku ini masih lagi kosong kerana saya masih memikirkan konsep yang ingin saya terapkan di dalam buku ini.. bergaya Inggeriskah?? atau kontemporarikah?? atau tradisionalkah???)

Buku rekod pengajaran merupakan perancangan prapengajaran seseorang guru sebelum masuk ke kelas dan buku rancangan mengajar yang baik seharusnya mampu menjadi panduan kepada guru dalam melaksanakan pengajaran yang berkesan dan terancang. Saya tidak suka menggunakan istilah "buku rekod mengajar" kerana kalau dilihat kepada maksud rekod, ini bermakna buku ini hendaklah ditulis seusai proses p&p berlangsung. Di Terengganu, inilah buku yang disediakan untuk guru-guru di negeri ini.

(Ini buku rancangan mengajar saya tahun 2009.. siap ditampal dengan kuntuman bunga lagi agar nampak ceria) (Hmmm... memang tahun 2009 tahun penuh dengan bunga) (Jadual Waktu juga ada bunga)(Bunga lagi..!!!)
Penulisan buku rekod mengajar ini tidak boleh dipandang enteng oleh guru kerana termaktub dalam Surat Pekeliling Iktisas Bil. 3/1999. Tidak seperti zaman dulu-dulu, kini penulisan buku persediaan mengajar dipermudah dan guru-guru hanya perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) sahaja. Buku Rekod Pengajaran dan Pembelajaran boleh disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa.
(Saya suka buku persediaan mengajar Ustazah Alani yang kemas dan cantik ini.. beliau memanfaatkan kemudahan ICT dengan baik.. dan tulisan jawinya juga cantik, secantik tuannya!)(Saya juga suka melihat tulisan Madam Fauziah Adam dalam buku persediaan mengajarnya.. tulisannya juga cantik dan teratur) (Ini pula buku Rekod Hajah Roslina Ismail yang suka akan warna-warna terang)

Buku persediaan mengajar juga boleh ditulis dengan tangan atau dicetak dengan komputer.(Cantik juga tulisan cikgu ni.. hehehe.. ada unsur bangga diri dalam ayat ini!!!)

Buku rekod pengajaran merupakan satu dokumen rasmi dan seharusnya diuruskan dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Bahan-bahan lain yang berkaitan dengan penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian dijaga dengan baik dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Ini bermakna jika guru gagal menyiapkan buku ringkasan mengajar, tindakan denda dan tatatertib boleh dikenakan terhadap mereka. Buku persediaan mengajar juga boleh menjadi bukti sama ada guru mengajar mengikut sukatan ataupun tidak.(Saya paling seronok apabila ada cuti umum...)

Menurut Pekeliling 256 Kementerian Pendidikan, Buku Rekod Mengajar perlu ditulis dengan ringkas dan tidak berbelit-belit. Guru-guru tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menuliskan buku rekod ini. Hal ini demikian kerana guru sudah terbeban dengan pelbagai tugas lain seperti menyemak buku latihan pelajar, menguruskan proses pengujian dan penilaian dan juga tugas-tugas perkeranian. Janganlah pula, kerana mahu kelihatan kreatif dan inovatif, buku persediaan guru ditampal dengan manik-manik kristal atau renda pula!!!
(Contoh penulisan buku persediaan mengajar yang ringkas tetapi lengkap semua item yang dikehendaki seperti tajuk, objektif/ hasil pembelajaran, aktiviti dan penilaian)

Apabila disebut tentang buku rekod ni timbullah pelbagai tanggapan dan persepsi dalam kalangan guru, ada yang positif dan ada juga yang negatif. Penyediaan buku rekod mengajar ini ada kalanya menjadi beban bagi sesetengah guru sehingga ada sesetengah kes, ada guru yang sampai setahun buku persediaan mengajarnya masih lagi kosong tidak bertulis. Dan, yang lebih parah lagi, ada juga kes guru yang buku persediaan mengajarnya boleh hilang dan lesap begitu saja dan menyusahkan para pentadbir untuk membuat penilaian prestasi tahunan terutama pada akhir tahun.
(Emmm... ringkas sangat rasanya ni...)

Saya cukup benci dan menyampah dengan ayat ".. saya tak punya banyak masa untuk menulis buku persediaan mengajar seperti ini.." Habis?? Masa senggangmu adakah digunakan sepenuhnya untuk tujuan P&P?? Rasanya, daripada menghabiskan masa berbual-bual kosong, bercakap tentang bisness yang tak sudah-sudah, lebih baik kita gunakan masa luang tersebut dengan sesuatu yang memberi manfaat, bukan saja untuk kita, tetapi juga untuk orang lain agar nanti duit gaji yang kita gunakan untuk memberi makan untuk anak-anak betul-betul berkat dari sumber rezeki yang halal.

Walau apapun alasan.. kita kena sediakan juga buku persediaan mengajar. Dan, harap-harap pihak pentadbir terfikir untuk menganugerahkan sijil penghargaan untuk guru-guru yang mampu menyediakan buku-buku persediaan mengajar yang cantik, kreatif dan penuh panduan ini. Dah lama dahhh saya menunggu!!!

Ahad, Januari 03, 2010

Aku bekerja bukan kerana dia tetapi kerana DIA!!

Hari pertama persekolahan sesi pengajian 2010 bermula dengan hujan lebat sepanjang hari yang kemudiannya menyebabkan air hujan membanjiri kaki-kaki lima sekolah. Hasrat ke kantin terbantut kerana terpaksa mengharung air dan selamatlah dietku dan tidak banyak dosa kerana membebel masakan yang paling tidak enak di kantin sekolahku.

Hari ini saya melangkah kaki ke kawasan sekolah dengan fikiran positif dan seboleh mungkin tidak mahu berprasangka dan bersifat pesimis. Azam baru untuk sesi persekolahan 2010 ini banyak sekali, antaranya, menepati masa masuk kelas, datang seawal mungkin ke sekolah, menulis buku persediaan mengajar yang cantik, kemas, kreatif, bermaklumat dan terancang.

Oleh sebab tugas pengurusan projek tingkatan 6 telah diserahkan kepada Guru Penolong Kanan Tingkatan 6 selaras dengan penstrukturan semula tingkatan 6, ini bermakna saya boleh memberikan tumpuan yang lebih kepada pengurusan panitia saya. Semoga GPK Tingkatan 6 yang dilantik dan mengambil alih tugas yang telah saya jalankan selama 7 tahun akan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik, komited dan cemerlang. Tugas yang diamanahkan ini bukan sekadar tugas untuk kenaikan gred dan pangkat tetapi satu tanggungjawab yang mesti dipikul dengan penuh dedikasi.

Usaha mengekalkan kecemerlangan bukanlah suatu perkara yang mudah. Kita sudah berjaya membina asas yang kukuh dan satu pasukan STPM yang kuat di sekolah ini sehingga mampu menjadi "benchmark" kepada sekolah-sekolah lain pada peringkat pengajian prauniversiti di daerah dan negeri ini. Tersilap langkah dan alpa dengan momokan kejayaan yang lepas boleh menyebabkan kita jatuh terjerumus dengan mudah.

Walaupun dalam seminggu dua ini berlaku sedikit titik hitam dalam menjalani kehidupan sebagai guru, perkara tersebut tidaklah menjadi kudis gatal bagiku sehingga membantutkan semangat untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk anak-anak didikku di desa ini. Aku berharap agar dekad baru 2010 ini bermula dengan baik. Semoga tahun ini dapat memberikan aku kepuasan dan berusaha meningkatkan diri serta mendapat keredhaan-Nya.

Tuhan, berikanlah aku kekuatan untukku memandang dunia ini dengan penuh senyuman!!! Aku bekerja bukan kerana dia tetapi kerana DIA...

Selasa, Disember 29, 2009

Kisah seorang guru..

Inilah kisah saya pada tahun 1993 yang masih kekal dalam ingatan.

———————————————————————-
Ada seorang guru wanita di sekolah saya. Ada kisah yang meruntun jiwa tentangnya.

Cikgu Siti yang saya kenali memang serius ketika mengajar. Kerap juga dia bercanda dengan kami. Ada masanya, dia akan beri kami duit seringgit kalau dapat jawab kuiz cepu emas yang melucukan. Dulu saya kurang minat dan mahir Bahasa Malaysia tapi kian lama kian mantap.

Saya pernah nampak dia hulur wang RM1 kepada Arifin, kawan sekelas saya yang selalu tak bawa wang ke sekolah. “Makan nasi ya, jangan beli keropok”, ujarnya. Banyak kali juga. Arifin anak yatim. Ibunya meninggal tahun lepas kerana penyakit TB. Walaupun pakaiannya tidak kemas dan sesekali bau hapak, cikgu Siti selalu dakap dan usap rambut Arifin. Kadang-kadang saya nampak dia beri nasihat kepada Arifn supaya jaga kebersihan pakaian dan tubuh badan.

Pagi itu Cikgu Siti masuk ke kelas macam biasa. Tiba-tiba, Arifin muntah. Kami semua panik dan tak kurang juga yang menekup mulut dan hidung. Saya lihat Arifin macam nak pitam. Muka pucatnya menzahirkan dia sakit. Cikgu Siti terus dukung tubuh kurus Arifin dan keluar kelas. Agaknya ke bilik sakit, kami mendesus. Sebelum keluar, sempat cikgu pesan sambung latihan tatabahasa semalam. Kami akur.

Selepas setengah jam, Cikgu pun balik ke kelas. Saya lihat tudung cikgu basah dan ada kesan warna. Bau muntah masih ada. Rupanya di bilik sakit Arifn muntah lagi. Cigu Siti guru PBSM. Tentu dia dah beri rawatan yang berkaitan. Tapi, muka Cikgu tetap manis. Dia senyum. Tak ada pun suara mengomel tudung maniknya berbau busuk. Sesekali dia mengibas-ngibas tudungnya yang lembab supaya cepat kering, andaian ku.

Sesekali bila teringat kepada Cikgu Siti, saya rasa sangat terharu kerana khabarnya Arifin kini seorang business man yang berjaya. Dia tidak lagi memakai sepatu yang koyak seperti ke sekolah suatu masa dulu. Bajunya berjenama. Rambutnya yang dulu tidak bersikat kini disisir rapi.

————————————————————————-
Ketika kami berjumpa (reunion) setahun lepas, saya masih ingat ucapannya di hadapan pentas.

“Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur memberi saya makan ketika saya lapar sepiring nasi. Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur mendakap mesra tubuh saya yang kurus dengan penuh kasih sayang dan meminta saya memanggilnya ibu.”

“Saya tidak akan lupa raut seorang guru yang memberi saya harta sebesar dunia (ilmu) dan malah membelikan saya sebatang pensel untuk saya tulis. Kecilnya saya yang kehilangan kasih sayang ibu, tetapi besar saya dianugerah Tuhan pula seorang guru.”

Kami mendengar sambil terdiam. Saya pasti sangat-sangat orang yang dimaksudkannya itu.

“Sewaktu saya tidak pengsan kerana gastrik, seorang guru yang selayaknya ibu telah merawat saya dengan penuh kasih sayang dan ambil berat. Dengan kereta buruknya, dia menghantar saya pulang. Saya masih ingat bunyi decit keretanya ketika terlanggar lopak di jalan.”

“Hari ini saya berdiri sebagai seorang usahawan berjaya. Seorang yang berkelulusan master dari universiti tempatan. Berkereta mewah, bergaji besar. Malah, pen yang kutulis juga beratus harganya.”

“Tapi, aku tak pernah lupa kepada bunyi decit kereta buruk cikgu Siti. Aku tak pernah lupa pada bau hanyir muntah yang kulambak di atas pakaiannya. Aku tak pernah lupa dakapan erat cikgu menenangkan aku ketika aku menangis teringat arwah ibu semasa mendapat keputusan UPSR 4A ketika itu.”

Suara Arifn tertahan-tahan. Sesekali ada juga basah kelopak matanya. Ujarnya lagi….

“Andai suatu hari nanti jika kita bertemu lagi, cikgu…. Akan kulafaz terima kasih sebesar dunia.”

Saya tidak dapat menahan air mata mengenang besarnya pengorbanan seorang guru biasa bernama Cikgu Siti Nazura. Demikian pengaruh beliau kepada anak didiknya.

* Saya kini seorang jurutera kanan sebuah syarikat binaan terkemuka di Selangor. Terima kasih, cikgu!

Daripada Muhtar Suhaili As-Sarawaki

Jumaat, Disember 25, 2009

Keputusan PMR 2009 dan kambing hitam...

24 Disember- keputusan PMR diumumkan. Tahniah diucapkan kepada sekolah-sekolah yang berjaya mendapat sekian banyak dan sekian ramai 8A. Bercakap tentang keputusan PMR ni taklah begitu seronok sangat lebih-lebih lagi apabila mengenangkan keputusan sekolahku. Keputusannya biasa-biasa sahaja dan sama seperti tahun yang sudah-sudah. Keputusan yang tipikal bagi sebuah sekolah kampung yang rata-rata dipenuhi oleh anak petani, penoreh getah, buruh, yang ibu bapa mereka menyerahkan 100% kepercayaan terhadap sekolah dan guru-gurunya. Mereka ke sekolah tanpa motivasi dan semangat dan sebahagian daripada mereka masih belum menguasai kemahiran 2M.

Di sini juga, jarang ada ibu bapa yang datang untuk bertanya khabar hal pelajaran anak-anak mereka. Saya sedar tentang kegigihan dan ketekunan guru-guru di sekolah saya dalam memandaikan pelajar-pelajar ini. Saya juga sedar ada sebahagian daripada guru yang mungkin sudah putus semangat, sekadar melaksanakan tugas-tugas wajib sahaja. Yang lebih parah terdapat juga guru yang kurang komited dengan tugas mereka dan berada dalam zon selesa dan tidak berbuat apa-apa.

Saya tidak mahu bercakap tentang peperiksaan PMR kerana mungkin saya tidak banyak terlibat secara khusus dalam program kecemerlangan PMR di sekolah kecuali penyelarasan di peringkat panitia di bawah seliaan saya sahaja. Mungkin saya tidak mampu menjadi suri teladan kepada guru-guru di sekolah saya kerana apa yang saya usahakan untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran kepakaran saya tidak dijadikan penduan dan contoh oleh guru-guru. Mungkin juga saya lemah dalam pengurusan panitia di sekolah saya. Tahun 2010 mungkin menjadi tahun yang semakin mencabar kerana banyak perkara yang perlu saya lakukan. Saya perlu bekerja lebih kuat tapi mampukah saya lakukan semuanya tanpa sokongan daripada guru-guru lain??

Saya sedar bahawa kedudukan saya sering dijadikan "kambing hitam" untuk menutup kelemahan-kelemahan yang berlaku dalam organisasi. Orang sering melihat saya sebagai SMK Putra dan SMK Putra sebagai saya. Seorang rakan yang bertugas di JPN menanyakan saya tentang keputusan PMR sekolah dan apabila diberikan jawapan bahawa keputusannya tidak begitu memberangsangkan, kata beliau kepada saya.. "Nampaknya sebagai GC, anda perlu bekerja dengan lebih kuat.." Apa saja kejayaan atau kemerosotan akan dikaitkan dengan saya. Ahh.... ke mana perginya orang lain?? Mampukah saya bekerja seorang diri??? Masih belum kuatkah lagi saya bekerja???

Masih saya ingat lagi, seorang guru tua di sekolah saya pernah mengherdik saya, "Bukankah mung (kamu)ini Guru Cemerlang. Mung sepatutnya mengajar budak-budak yang masih belum pandai membaca kat sekolah ni sehingga mereka menjadi pandai. Setakat mengajar di tingkatan 6, semua orang boleh mengajar" Terkedu juga saya mendengarnya, lalu saya menjawab, "Cikgu, kalau boleh semua kelas di sekolah ini, biarlah saya yang ajar. Kalau cikgu rasa mengajar di tingkatan 6 itu mudah, cikgu ambil alihlah kelas saya, biar saya mengajar kelas-kelas cikgu tu. Tapi ingat, saya mahu cikgu buat lebih baik daripada saya dan keputusan peperiksaannya mestilah lebih cemerlang daripada saya". Guru tua itu terdiam dan sampai sekarang dia tidak lagi menegur saya.

Dalam saya berhempas-pulas menyediakan bahan P&P dan menggunakan semua ruang untuk memastikan kejayaan pelajar-pelajar, ramai rakan masih mampu menghabiskan masa mereka dengan bersantai, bergelak-gelak, menghabiskan masa yang panjang di kantin sambil menghembuskan asap rokok .. dan sampai masanya saya juga akan dipersalahkan. Jawapan mereka senang sahaja.. kita sudah ada GURU CEMERLANG yang grednya setaraf Pegawai Pelajaran dan setaraf dengan pegawai kanan kementerian!!!!! Ah.. saya juga yang kena!!

Keputusan PMR sesebuah sekolah sama ada cemerlang atau merosot mengingatkan saya kepada kata-kata FRED HECHINGER - Presiden New York Times: "Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap. Saya pernah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan, dan yang menyedihkan, ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak. Dalam setiap kes, jatuh bangun sesebuah sekolah bergantung pada kualiti pengetuanya.."

Ahhhh... ke mana mahu dibawanya sekolahku ini!!! Hati menjadi semakin hiba dan sayu... Tuhan, berikan aku kekuatan..

Ahad, Disember 20, 2009

Nak buka sekolah dah!!!

Cuti akhir tahun tinggal tak sampai 2 minggu lagi. Rasanya baru saja kita bercuti, sekarang sekolah sudahpun hendak dibuka. Tapi, bagi pelajar-pelajar yang baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM dan STPM sudah tentulah berdebar-debar kerana kertas-kertas jawapan mereka sedang diperiksa dan dinilai sekarang. 10 Disember baru-baru ini, selesailah sudah peperiksaan STPM pelajar-pelajarku.

Syukur kerana kelas bimbingan peperiksaan kali terakhir untuk kertas terakhir iaitu Kertas 1 Bahasa Melayu STPM (910/1)yang saya buat selama 3 jam pada pagi hingga tengah hari pada hari tersebut cukup berbaloi kerana hampir daripada 60 soalan yang keluar, 80% soalan telahpun kami bincang dan kupas secara terperinci. Seronok juga mengadakan kelas pada "minit-minit terakhir" ini kerana pelajar-pelajar nampaknya memberikan sepenuh tumpuan dan komitmen. Semua pelajar hadir dan kelas berakhir dengan jamuan nasi bungkus, solat Zuhur berjamaah dan solat hajat. Mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan tenang dan yakin. Insya-Allah, semua pelajar mampu mendapat A nanti.

Semoga berjaya anak-anakku. Masa depanmu terletak di tanganmu. Siapakah anda 2, 3, 5 tahun atau 10 tahun akan datang terletak atas usaha anda sekarang. Semoga kejayaan manis akan anda cicipi nanti kerana manisnya kejayaan itu tidak datang dengan mudah, manisnya kejayaan itu datang daripada akar yang pahit.

Dalam seminggu dua ini saya ingin kosongkan ingatan dan fikiran tentang sekolah dan kerja.. entahlah!!! Ada sesuatu yang membuatkan saya bengang, sebal, kesal dan sedih....

Jumaat, November 20, 2009

5A UPSR

Keputusan peperiksaan UPSR telahpun diumumkan semalam. Tahniah kepada anak-anak yang berjaya mendapat 5A. Tahniah juga kepada ibu bapa yang pasti lebih seronok dan melompat-lompat keriangan dengan keputusan anak-anak mereka. Tahniah juga kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang berjaya mengekalkan kecemerlangan apabila muncul negeri terbaik buat tahun kesembilan berturut-turut. Senyuman mereka dalam sehari dua ini mungkin sampai ke telinga gamaknya. Para guru besar sekolah pula sibuk membuat perbandingan dan menguar-uarkan pencapaian 5A sekolah masing-masing.... mungkin pencapaian 5A ini menjadi lambang kejayaan mereka sebagai pengurus pendidikan yang cemerlang.

Menurut Tuan Haji Ariffin Embong, Pengarah Pelajaran Negeri, peningkatan keputusan negeri ini dalam peperiksaan tersebut (peningkatan sebanyak 1% berbanding tahun lalu) turut dibantu oleh penggunaan buku elektronik (e-Book) yang dibekalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini. Hmmmmm..... Daripada 23,944 calon, sebanyak 3,664 orang murid mendapat 5A (15.3%).... Bukannya tidak bangga dnegan pencapaian UPSR negeri tercinta ini, tetapi bagaimana gamaknya pula nasib 20280 orang murid lain yang tidak mendapat 5A, dan bagaimanalah pula nasib murid-murid yang langsung tidak mendapat satu pun A ya... Dan yang pastinya sebahagian besar daripada mereka (yang mendapat 5D dan 5E) akan memenuhi kerusi-kerusi di kelas tingkatan 1 sekolahku.

Bagi ibu bapa yang keputusan peperiksaan anak mereka tidak memberangsangkan, monyoklah wajah mereka seolah-olah anak-anak mereka tiada lagi masa depan, seolah-olah keputusan UPSR inilah sahaja yang akan menentukan kejayaan anak-anak mereka.

Berita tentang kejayaan-kejayaan ini memanglah menyebabkan saya seronok tetapi saya juga tidak seronok mengenangkan anak-anak yang kecundang dan nasib sekian banyak anak-anak yang masih tidak mampu menguasai kemahiran 2M di peringkat sekolah rendah dan kemudiannya jika tidak diuruskan dengan baik akan terus kecundang di peringkat menengah. Ahh... dunia di hadapan anak-anak ini masih terlalu panjang dan berliku dan besarnya peranan guru untuk menangani dan menjayakan pembentukan modal insan ini. Dengan pencapaian 5A ini juga membolehkan mereka menyambungkan pelajaran di sekolah-sekolah terbaik, sekolah berprestasi tinggi, elit dan premier.

Namun begitu, bagi anak-anak yang tidak berjaya mencapai keputusan seperti yang diidam-idamkan, usahlah bimbang. Jalan di hadapan sana masih lagi panjang. Saya tertarik dengan satu dapatan yang saya petik daripada Facebook Puan Ainon Mohd. Kajian-kajian oleh pakar-pakar psikologi pendidikan di UK, US dan Malaysia semuanya, ya semuanya mendapati bahawa tiada korelasi antara pencapaian akademik di sekolah rendah dengan pencapaian akademik di universiti. Malah pencapaian akademik di sekolah menengah pun tiada korelasi dengan pencapaian akademik di universiti.

Dalam kajian lain, didapati tiada korelasi antara pencapaian akademik di universiti dengan pendapatan selepas keluar dari universiti.

Suatu penemuan yang menarik: Individu-individu yang sangat cemerlang dalam dunia profesional mempunyai rekod peperiksaan sekolah menengah yang ekstrem, yakni ada subjek mereka dapat A, ada subjek dapat D, E ataupun F.

Marilah kita sama-sama fikirkan... dunia di hadapan anda masih jauh dan berliku-liku..

(Tahniah buat keponakan-keponakanku Eisya dan Awa yang mendapat 5A, dan Hariz Eilman yang mendapat 4A 1B, semoga kajayaan gemilang akan terus menyusul pada masa depan. Amin!)

Sabtu, November 07, 2009

Musim hujan dan peperiksaan

Musim tengkujuh datang lagi. Seperti biasa, sekolahku turut sama dilanda banjir yang menyebabkan perjalanan peperiksaan MUET-2 yang berlangsung hari ini agak terganggu. Sebagai peringatan buat pelajar-pelajarku yang akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini khususnya, dan SPM amnya, buatlah persiapan untuk menghadapi peperiksaan pada musim banjir ini dengan baik dan memastikan anda dapat hadir dan menjawab soalan dengan sempurna. Maklum sajalah, kedudukan sekolah kita yang mudah dilanda banjir, pelbagai perkara dan musibah boleh berlaku. Terima kasih saya ucapkan kepada YB ADUN Hulu Besut, Tuan Haji Nawi dan isteri, Puan Hajah Noriah atas kesudian anda berdua menumpangkan beberapa orang pelajar STPM semalam di rumah YB. Budi baik anda berdua takkan kami lupakan dan semoga sentiasa mendapat rahmat dan berkat daripada-Nya.

Pesanan buat anak-anakku terutama yang tinggal di kawasan rendah dan jauh dari sekolah, jika terdapat tanda-tanda banjir akan berlaku lagi, diharapkan pelajar-pelajar mengambil tindakan segera dengan;

1. bergerak segera ke rumah rakan-rakan/ sekolah
2. bawa keperluan untuk peperiksaan seperti slip peperiksaan, kad pengenalan, buku-buku rujukan, pakaian seragam sekolah, alat-alat keperluan peribadi, ubat-ubatan dan sedikit makanan.
3. Hubungi saya atau guru-guru yang tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah.

Insya-Allah, saya akan usahakan untuk menyediakan bilik penginapan sementara di sekolah untuk kegunaan pada waktu-waktu terdesak.

Selamat menghadapi peperiksaan dengan tenang. Walau apa jua rintangan yang dihadapi, ingatlah, tiada jalan mudah untuk menggapai kecemerlangan.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Cikgu Vs Datin....


Malam tadi, selepas tahlil mingguan keluarga kami , ma menunjukkan majalah Mingguan Wanita yang dibawa oleh Che Su Jah untuk kami baca. Patutlah beria-ia sangat Che Su membawanya untuk kami, rupanya ada gambar dan rencana tentang kejayaan anaknya dalam majalah itu. Sudah bergelar Datin rupanya dua pupu kami yang juga rakan sepermainanku, Datin Asparila Yaakub, seorang usahawan yang berjaya, mampu melancong ke serata dunia sehinggakan untuk mendapatkan rawatan SPA sahaja dia sanggup ke Bali. Rakan taulannya bukan lagi orang biasa, orang kampung seperti kami tetapi para Datuk dan para Datin, ahli korporat dan usahawan yang kaya raya.

Ahh.... jauhnya beza kehidupannya sekarang dengan kami adik-beradik walaupun pencapaian akademik kami lebih jauh mengatasinya. Sudah lama juga aku tidak bertemu dengannya. Kalaupun dia pulang ke kampung, siapalah kami untuknya datang menjenguk bertanya khabar kerana kami bukanlah siapa-siapa dan tidak punya apa-apa, cuma sebuah gelaran yang akan kami bawa sampai mati iaitu "Cikgu Za", "Ustazah Jailami", dan "Ustazah Milah". Kami adik-beradik masih kekal di kampung ini, meneruskan hari-hari kami dalam mendidik anak-anak bangsa di daerah ini agar mereka terus menjadi "manusia". Kami juga kaya dan mewah dengan bekas murid-murid, dari penoreh getah, kuli, tukang sapu, cikgu, kerani, lawyer, majistret, peguam, doktor hinggalah kepada ahli korporat. Semoga sahabatku, rakan sepermainanku, rakan sepersekolahanku Datin Asparila Yaakub dan suaminya, Datuk Mohd Azmi Ibrahim akan terus dimurahkan rezeki yang berlimpah ruah dan diberkati hidup mereka sekeluarga. Kami bangga juga kerana kerana sekurang-kurangnya ada juga kenalan kami dari kalangan ahli korporat.

Untuk ibuku, ma tercinta, berbanggalah dengan anak-anakmu ini kerana walaupun kami tidak kaya, tidak mampu melimpahimu dengan wang dan emas berlian berjuta dan tidak mampu membawamu melancong ke serata dunia, namun anak-anakmu ini mampu menjengukmu saban hari dan ketika terutama setelah pa telah tiada meninggalkan kita selamanya. Dan yang pastinya, bingkisan untuk ayahanda tercinta akan terus kami berikan, tahlil keluarga akan tiada hentinya selagi hayat kami masih ada. Kami adik-beradik akan terus bersamamu susah mahupun senang.

Dan adik-adikku, Adik Lah dan Adik Aming, walaupun kehidupan kita sederhana dan tidak kaya, berbanggalah dan bersyukurlah dengan profesion kita, diri kita dan kurnia-Nya kepada kita. Semoga kita semua akan berjaya dalam lapangan yang kita ceburi dan mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya sentiasa.

Doaku, "Ya Allah, ya Rahman, ya zal jalal li wal ikram. Dengan kebenaran al-Quran-Mu yang mulia, dengan kemuliaan nabi-Mu yang tercinta, dengan kebesaran nama-nama-Mu yang tersedia ada, pohon kiranya kami para guru sentiasa terpelihara, terpelihara tutur bicara dan kata-kata, terpelihara tingkah laku dan budi bahasa, terpelihara dari sifat malas dan lemah bekerja, terpelihara niat dan kelakuan yang berdosa, terpelihara daripada termakan dan terminum yang bukan milik kita....."

Ahad, September 20, 2009

Selamat Kembali Kepada Fitrah!!! Salam Aidilfitri 1430H

Salam lebaran untuk semua.
Maaf dipinta atas segala silap dan salah terutama buat yang tercinta Awang Rajuk, anak-anak tersayang, bonda tercinta, bonda mentua, adik-adik, rakan-rakan sejawat di SMK Putra, pelajar-pelajar prauniversiti SMK Putra, bekas-bekas pelajar, sahabat dan taulan jauh dan dekat. Mohon dimaafkan segala khilaf dan silap yang menyebabkan ada hati yang terguris dan tersentuh. Maaf..

Jumaat, Ogos 21, 2009

Salam Ramadan 1430!!

Syukurlah kerana kita masih bernafas untuk menunaikan dan memuliakan bulan Ramadan 1430 Hijrah yang akan bermula esok. Semoga saya diberikan kudrat dan tenaga untuk sama-sama mengimarahkan keberkatan ini. Semoga Ramadan kali ini dapat mengubah keinginan melampau duniawi saya kepada usaha untuk meningkatkan keimanan yang belakangan ini tewas dan kalah oleh hasutan dunia penuh material ini.

Semoga kita diberi hidayah dan rahmat dari-Nya. Semoga diri ini terus diberi nikmat kekuatan, nikmat kesihatan dan kegembiraan untuk menyempurnakan rutin sepanjang bulan Ramadan ini untuk keluargaku dan bonda mentuaku yang aku sering gagal untuk melunaskannya.

Selamat berpuasa dan merebut janji-janji Allah SWT. Salam...

Jumaat, Julai 24, 2009

Merisik khabar teman-teman Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya Sesi Pengajian 1985-1988.


Kemelut dan nasib yang melanda bahasa Melayu menyebabkan hati menjadi rindu akan teman-teman seperjuangan yang pernah sama-sama menuntut dan mendalami ilmu-ilmu bahasa di Universiti Malaya 24 tahun yang lampau. Ke mana mereka?? Adakah tanggapan dan kasih sayang mereka terhadap bahasa Melayu masih lagi utuh seperti dahulu? atau sudah makin berkurangan sebagaimana berkurangnya kasih orang Melayu terhadap bahasa ibunda mereka sendiri?
Semasa menjadi mahasiswa dahulu, kami pelajar-pelajar Rancangan Bahasa Melayu Universiti Malaya berguru dan dididik oleh tokoh-tokoh besar bahasa dan sastera seperti Prof Dr Nik Safiah Karim, Prof Dr Hashim Haji Musa, Dr Abu Hasan Sham, Dr Ismail Husein, Dr Mukhtarudin, Puan Raminah Haji Sabran, Encik Nuwairi Haji Khazaai, En Lutfi Abas(mungkin sekarang sudah bergelar profesor/ profesor madya) dan ramai lagi. Kami dipupuk rasa cinta akan bahasa, mendalami dan menguasai ilmu tentang linguistik dan sistem bahasa termasuklah tatabahasa normatif bahasa Melayu, laras bahasa, linguistik perbandingan, sosiologi dan pelbagai cabang ilmu bahasa yang lain. Dari situ, saya makin kuat berpegang dan berkeyakinan penuh dengan keupayaan bahasa Melayu dalam memperkatakan pelbagai bidang dan ranah ilmu. Dan sampai hari ini, cinta ini masih lagi kekal....

Setelah menyelusuri ruang siber, saya dapat menemukan beberapa maklumat tentang rakan-rakan RBM dan diharapkan kepada sesiapa yang terjumpa blog ini dan mengenali individu di bawah, dapat memberi maklum balas kepada saya. Mungkin melalui ruang siber ini kita dapat bertemu kembali dan mengingati segala nostalgia yang pernah kita lalui dahulu.

1.ABDUL WAHID BIN TAKAT, PENGETUA, SMK TELOK DATOK, BANTING SELANGOR
2.FARIZA NURBAYA BINTI MUHAMMAD – GURU CEMERLANG (BM) SMK PUTRA, JERTEH, TERENGGANU
3.ISMAIL BIN ARSHAD @ MD SAHAD – NAZIR SEKOLAH, JEMAAH NAZIR NEGERI SEMBILAN
4.KATHIRASAN AL/ DORAISAMY – PHd AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA
5.ROS HAPIZAWATI SULONG – GURU SMK LELA SEGARA, MARANG
6.SARUL ZAMAN BIN HAJI MOHD LAZIM- GPK KOKO SMK BANDAR TASIK KESUMA, BERANANG SELANGOR
7.YAHYA BIN AWANG – PENGETUA, SMK JENGKA PUSAT 2, PAHANG
8.ABDUL RAHIM BIN ABDUL RASHID (Mc Gyver)– PENSYARAH INSTITUT AMINUDIN BAKI, CAWANGAN UTARA
9.AHMAD HOURMAIN BIN SULAIMAN, GPK1 SMK PALONG TIMUR, SEGAMAT
10.FARIDAH BINTI HAJI NORDIN – GURU, SMK ENGKU HUSAIN, SEMENYIH, SELANGOR
11.KHUSNAIMAH BINTI HAMDAN – GPK KOKO, SMK METHODIST (ACS) PARIT BUNTAR, PERAK
12.MOHAMMAD AFFANDI BIN ABDUL RAHMAN – macam pernah kukenal nama ini.. hehehe
13.MOHD SABRY BIN MAHMOOD – SMK Melor, kota Bharu Kelantan
14.NORMA BINTI OMAR – GURU SMK CHERANG RUKU, PASIR PUTEH, KELANTAN
15.RAUDAH BINTI MUSTAFA - GPK1 SMK SYED MASYHUR, BATANG KALI, SELANGOR
16.RAZMI BIN ABDUL RAZAK – PENOLONG KANAN AKADEMIK, SM SAINS ALAM SHAH, KUALA LUMPUR
17.RUSINA BINTI ABDULLAH – SMK KOMPLEKS GONG BADAK, KUALA TERENGGANU - al-Fatihah buat Allahyarhamah Rusina yang telah kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 2009.
18.SITI HALIJAH BINTI HAJI LAUNGENG – SMK TAMAN UNIVERSITI, SEKUDAI, JOHOR
19.SITI LATIFAH BINTI MISRI – GPK HEM, SMK DATO’ ABDUL RAHMAN YASSIN, JOHOR BAHRU
20.WAN MAIZATUL AKMAL BT WAN ZAKI – SMKA SHEIKH ABDUL MALIK, KUALA TERENGGANU
21.ZARINA BINTI MD ZAIN – GPK1, SM TEKNIK ARAU, PERLIS
22.ALLAHYARHAM ISMAIL BIN ADAM – telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah...
23. MARHAINI BINTI MULIM - GURU, SMK TELOK DATOK, BANTING SELANGOR
24. ZARINA NORAINI BINTI ISMAIL - GURU, SMK HAMZAH, MACHANG KELANTAN
Dan beberapa orang lagi rakan yang tidak dapat ditemukan maklumatnya iaitu:

25.LIM CHU AIK – Melaka
26.NONG AHMAD BIN MAT YASIN –
27.NOOR AZMAN BIN ZAINAL ABIDIN- GPK1, KE Taiping
28.WEE PANG YEW –
29.RAZALI BIN AYOB – Pensyarah Bahasa Melayu, UPSI (Terima kasih buat pelajarku Rosmaiza Hasan yang memaklumkan perkara ini)
30.ROSMAH BINTI HAMDAN – Batu Gajah,Perak
31.ROSNIAH BINTI ALI – Bukit Mertajam
32.SAHRIR BIN SUKIRMAN – SMK raja Muda Musa K.Kangsar
33.SAIMAH BINTI MOHD SAID –
34.SITI FATIMAH BINTI CHE SAAD –
35.UMMI HANI BINTI MOHAMED ZAID – Petra Jaya, Sarawak
36.V LEELAVATHY A/P M VIRAVAN –

Terima kasih buat sahabatku Ahmad Hourmain atas maklumat-maklumat di atas. Semoga kita semua akan bersua kembali...

Khamis, Julai 16, 2009

8 Julai 2009 : PPSMI dimansuhkan mulai 2012.. kenapa perlu tunggu 3 tahun??

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas Jemaah Menteri, waktu itu Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dimulai dengan Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah.

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 100,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara, didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu merumuskan bahawa dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75% murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dan menganggap PPSMI sebagai dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "Salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Profesor Ungku Aziz pula menyifatkan bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai tindakan gila.

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Sedikit gusar di hati hamba, mengapa perlu menunggu sehingga 3 tahun? Apa sahaja boleh terjadi dalam masa selama itu. Sudah banyak nasib anak-anakku di desa pedalaman ini yang rosak dan musnah termasuk anak-anakku sendiri. Kenapa sekolah jenis kebangsaan Cina diberi izin khas untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Cina sehinggakan prestasi kelulusan UPSR (2008), pangkat A dalam subjek-subjek ini jauh lebih tinggi daripada Sekolah Kebangsaan. Kenapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi keistemewaan, dan siapa yang membenarkannya? Kenapa?? Kenapa PPSMI dilanjutkan untuk pelajar matrikulasi dan tingkatan 6 dan kenapa pengajaran di universiti dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu?