Sabtu, November 29, 2008

Belasungkawa buat keluarga Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran.


PEMERGIAN tokoh pendidik yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, (1949-2008) ke rahmatullah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang secara mengejut kira-kira jam 6.30 petang semalam amat mengejutkan terutama bagi warga pendidik di Terengganu. Saya mula mengenalinya ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu dan kebetulan beliau antara kenalan arwah ayahanda saya. Ketika mengajar di SMK Kuala Besut pada tahun 2002, saya pernah ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan beliau pada ketika itu datang untuk merasmikan majlis tersebut. Selesai majlis, beliau mendekati saya dan berkata, "Sedap suara, boleh pinjam?". Kembang juga hidung apabila dipuji tuan pengarah. Itulah sahaja kenangan peribadi saya terhadap allahyarham kerana selepas itu saya hanya mendengar dari jauh tentang kehebatannya berpidato dan kepintaran bahasanya. Seingat saya, beliaulah satu-satunya pengarah pelajaran di Terengganu yang mampu berwacana dengan sempurna dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku yang baik.

Sesungguhnya, pemergian beliau suatu kehilangan kepada pendidikan negara yang masih teraba-raba mencari hala tuju dan berdepan dengan seribu satu macam masalah dan isu. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. Hidup itu memang, mati itu pasti.

Khamis, November 20, 2008

Meratap nasib bahasa dan bangsa yang lara di negara sendiri....

Musim tengkujuh yang melanda desa dan negeri tercinta sekarang ini menyebabkan hati kerap menjadi sedih dan lara. Hujan menyebabkan rumah burukku terkena tiris dan tempias kerana bumbungnya yang sudah bocor. Dalam seminggu dua ni banyak perkara yang mengejutkan berlaku dalam dunia pendidikan dan politik negara kita. Hari ini, di corong radio dan tayangan berita di dada televisyen juga catatan muka depan akhbar amat meresahkan jiwa saya. Cerita pemilihan dan perebutan kuasa dalam UMNO, keputusan UPSR, cerita nasib Bahasa Melayu dalam situasi pengajaran dan pembelajaran sistem pendidikan negara, nasib mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah masih belum selesai meski kita telah menikmati usia kemerdekaan 51 tahun. Hati bertambah rawan mengenang nasib bahasa yang makin terpinggir di negara sendiri dan isu PPSMI yang tak sudah-sudah.

Bagi meneruskan kelangsungan PPSMI, dengar cerita markah lulus UPSR untuk 3 subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains hanyalah 20% sahaja. Apalah akan jadi kepada nasib anak-anak bangsaku ini. Angkara siapakah ini, bangsaku dan bahasaku hampir hancur lebur dan jadi cacamerba. Ke mana lap top dan wang rakyat berbilion ringgit semata-mata untuk PPSMI? Guru-guru masih mengajar menggunakan bahasa Melayu sedangkan mereka dibayar elaun untuk itu.

Sering sangat fikiran jahatku ini merasuk dan bertanya, apakah yang dikehendaki oleh para jemaah menteri dan pemimpin dan pembesar KPM? Di manakah kredibiliti mereka? Apa yang dibuat oleh mereka? Adakah setakat menghadiri mesyuarat sini dan sana, berseminar yang entah apa-apa tetapi hasilnya masih yang itu-itu juga. Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai. KPM kini berhadapan pula dengan isu sejarah bangsa. Masakan mereka tidak sedar akan sukatan dan nasib mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini? Apabila timbul isu kontrak sosial, makanya sukatan pelajaran itu terpaksa dinilai untuk dirombak semula. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Adakah sejarah yang dipelajari di sekolah hari ini itu satu sejarah yang tidak jujur atau dalam makna ilmiahnya ialah 'pemesongan sejarah' telah atau sedang berleluasa? Siapakah yang perlu dipersalahkan?

Saya teringat pada zaman saya bersekolah rendah dan menengah dahulu. Saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Paduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu. Saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baik dan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka, generasi mat rempit dan minah bohsia...

Sebagai guru bahasa, saya sering mengingatkan anak-anak murid saya bahawa mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya juga sering menyedarkan mereka bahawa mereka juga perlu belajar banyak bahasa, bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Jepun, Arab mahupun Tamil. Apabila saya mengajar mereka tentang sejarah dan asal usul bahasa, saya tegaskan bahawa bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa lingua franca sejak kurun ke-7 lagi dan menjadi wahana ilmu sejak kurun ke-13 lagi. Saya berjaya menimbulkan rasa bangga kepada mereka tentang keupayaan bahasa Melayu dan percaya bahawa bahasa Melayu sudah lama mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa moden dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi malangnya, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba “memartabatkan” bahasa lain. Kepada siapa lagi kita mahu mengadu dan merayu?? Marilah kita segera mengubat kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa dan bahasa Melayu hari ini.

SEBAGAI CATATAN: ISU KONTRAK SOSIAL:
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

klik http://ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_sosial_(Malaysia)

Rabu, November 05, 2008

Musim menulis esei PTK datang lagi

Membaca esei-esei PTK yang ditulis teman-teman guru, aduhai, terasa bergemerlapan dan bercahaya sistem pendidikan kita. Dengan bertugas penuh dedikasi berasaskan Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam, dengan kepelbagaian teknik dan strategi P&P, memanfaatkan kemahiran TMK, melaksanakan program kokurikulum secara berkesan dan terancang, melaksanakan sistem penilaian dan pentaksiran yang sesuai... rasanya sistem pendidikan Malaysia ini sudah lama mencapai tahap bertaraf dunia mengalahkan sistem pendidikan di semua negara maju seperti Amerika Syarikat, UK dan Jepun. Alangkah indahnya jika apa yang ditulis dan apa yang dibincangkan di dalam esei-esei PTK tersebut direalisasikan di alam nyata. Rasanya, jika semua antara kita para guru mampu melaksanakan tugas mendidik anak-anak pelajar generasi masa depan negara dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, hasrat untuk melahirkan modal insan cemerlang bukan lagi satu mimpi dan anganan semata. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti.