Memaparkan catatan dengan label Berita Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Guru. Papar semua catatan

Ahad, Mei 01, 2011

Jangan hanya kerana jawatan!

Kursus Jurulatih Utama Peningkatan Profesionalisme Guru Tingkatan 6 Zon Timur yang diadakan di Kota Bharu pada 26 hingga 28 April menyebabkan saya berfikir banyak perkara. Tetapi, biarlah segala fikiran, perasaan dan tanggapan saya itu saya simpan sahaja dalam hati. Nanti kalau banyak berkata-kata, nanti dikata orang menyangka diri terlebih pandai. Saya sudah lebih 22 tahun bergelumang dengan dunia pendidikan prauniversiti dan sudah masak dengan susur galur perjalanan pelajar aliran ini.

Walaupun saya tidak terlibat dengan perjawatan baharu yang ditawarkan kepada guru-guru tingkatan 6, saya mengharapkan perjawatan ini dapat membawa satu paradigma baharu kepada perkembangan pendidikan khususnya di peringkat prauniversiti. Usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru-guru tingkatan 6 diharapkan tidak dilihat semata-mata untuk mengejar pangkat dan gred tetapi lebih kepada peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran kelas prauniversiti itu sendiri.

Mari kita kejar kecemerlangan sebelum ajal menerpa, saya masih ingat kata-kata mantan ketua nazir berbelas-belas tahun yang lalu.

Sabtu, Julai 24, 2010

Menziarahi Cikgu Rashid

Pagi ini, saya dan AR berkesempatan menziarahi Cikgu Haji Rashid Mohamad, Guru Besar SK Keluang Besut yang terlantar sakit di rumahnya di Kampong Raja sudah lebih 7 bulan. Beliau menderita barah otak. Mungkin ramai yang mengenali beliau kerana sepanjang perkhidmatannya, sebagai Penyelia Peperiksaan di PPD Besut dan Guru Besar di beberapa buah sekolah rendah di daerah ini, beliau terkenal dengan komitmen yang tinggi terhadap tugas.

Mengalir air mata saya apabila melihat susuk tubuh Cikgu Rashid yang lemah dan tidak berdaya terbaring kaku di atas katil. Terbayang dalam fikiran saya begitu jauh sekali keadaannya sekarang dengan yang dahulu kerana Cikgu Rashid seorang yang aktif, lincah dan sentiasa berperawakan kemas dan bergaya. Bertambah sedih apabila melihat dan membayangkan betapa tabah isterinya, Cikgu Fauziah Mohd Yusof dalam menguruskan beliau. Beliau akan bangun seawal 4 pagi untuk memastikan sepeninggalan beliau ke sekolah, suaminya berada dalam keadaan bersih, membantu Cikgu Rasyid menyempurnakan solat Subuh, memberinya makanan dan ubat-ubatan dan barulah beliau akan turun ke sekolah. Pada waktu rehat, beliau akan mengambil kesempatan untuk pulang sekejap ke rumah untuk menyalin napkin suaminya. Sedihnya, terfikir di dalam hati, mampukah aku menjadi sepertinya, tabah, sabar, setia dan penuh dengan rasa cinta. Ohhh...

Saya sedikit sedih dan kesal mendengar cerita tentang manusia yang tidak memahami masalah dan kesulitan orang lain. Bukan untuk sama-sama bersimpati tetapi dalam keadaan rakan yang ditimpa musibah, dia masih berfikir dan bercakap tentang peraturan-peraturan yang dicipta manusia tanpa memikirkan kebajikan dan perasaan orang.

Sabarlah Kak Zi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga apa-apa sahaja dugaan dan cabaran, kita semua akan dapat menempuhnya dengan kuat dan cekal. Saya kagum dan cemburu akan Kak Zi. Mampukah saya menjadi seperti Kak Zi jika ditimpa dugaan seperti ini?

Tazkirah untuk diri sendiri:

Kita memohon kebijaksanaan, dan Tuhan memberikan kita berbagai-bagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.

Kita memohon kemakmuran, dan Tuhan memberikan kita akal dan tenaga untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.

Kita memohon cinta, dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai.

Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati, dan Tuhan memberikan kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

dan, begitulah cara Tuhan membimbing kita.. dan masihkah kita tidak bersyukur atas segala kurnia dan rahmat-Nya? (pertanyaan untuk diri sendiri agar lebih bermuhasabah diri)