Memaparkan catatan dengan label Anak-anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anak-anak. Papar semua catatan

Rabu, Disember 07, 2011

Selamat pagi Kuala Lumpur!

Setelah malam pekat berakhir, dihadiahkan-Nya pagi kepada kita. Selamat pagi Kuala Lumpur. Ohhh, Kuala Lumpur!
Nyenyak betul budak-budak kampung, Husin Ali dan Abu Zar tidur malam tadi bertemankan cahaya daripada menara berkembar itu...

Isnin, Mei 23, 2011

Tahniah Kak Eina

18 Mei 2011, Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam.


Tahniah atas penganugerahan ijazah pertama Kak Eina. Semoga kejayaan kakak akan menjadi pendorong dan pembakar semangat adik-adik.



berkongsi rasa dengan ibu dan babah



Tahun depan konvo lagi. Heee...



dan Kak Eina,
Hidup kita ini

yang memberikan rasa manis, ceria, dan pahit,
yang menentukan wajah bahagia, sengsara, derita;
Kitalah!!
Selamat ulang tahun kelahiran Kak Eina yang ke-23 (23 Mei 2011)

Selamat menjadi dewasa, kakak demuk!

Semoga meniti masa yang mendatang dengan rahmah dan hidayah-Nya.

Sabtu, Januari 01, 2011

malam tahun baharu 2011 dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah

Malam Tahun Baharu 2011 disambut dengan senang hati bersama anak-anak di USJ, lari daripada rutin yang memenatkan. Anak-anak tidak teruja untuk melihat percikan bunga api sempena tahun baharu kerana tarikan filem Hantu Kak Limah lebih menarik kami anak-beranak ke panggung bersebelahan. Entah di mana silapnya, mungkin kesan ubat batuk dan ubat selesema yang ditelan sebelum masuk ke panggung wayang, atau kerana keletihan memandu dari Besut ke USJ, saya tidur dengan enaknya selepas 10 minit cerita bermula dan terjaga sebaik sahaja cerita selesai. Begitulah ibu, selalu tertidur apabila menonton cerita Melayu, rungut anak-anak. Ce cerita, ce cerita.. kata mereka apabila ditanya kesudahan cerita.

Jumaat, Disember 31, 2010

Mengiringi Kak Eina

Seronoklah Kak Eina budak demok tu sebab ibu, babah dan adik-adik mengiringi perjalanannya secara berkonvoi ke Shah Alam kali ini. Tapi, siaplah... sepanjang jalan dari Besut ke Kuala Lumpur, adik-adik pengiring budak demok itu asyik nak mengunyah saja kerja mereka. Sekejap Prosperity Burger, sekejap KFC...

Hujan dan langit mendung sepanjang perjalanan.

Ibu budak demuk memandu dengan penuh hemah dan sopan santun. Co-pilot pula, kalau tak tidur, asyik ber-sms sepanjang perjalanan.

Adik-adik budak demuk ni kalau tak tidur, bergurau saja kerja mereka sampai bergoyang-goyang kereta. Eh, macam kenal je kereta Kancil di depan kita tu! Babah dan budak demuk bawa Kancil mengalahkan Michael Schumacher!

Dah sampai USJ Subang Jaya. Transit dulu di Summit USJ, makan di Restoran Johnny's dan tengok wayang.


Esok ke Shah Alam, hantar budak demuk dan kereta Kancilnya.


Isnin, Disember 13, 2010

Abu Zar dan Nur Salman selamat dijawikan!

Alhamdulillah, hari ini selamatlah sudah Si Bongsu Abu Zar dan sepupunya, Nur Salman Mohammad Fauzi dijawikan. Tidak seperti abang-abangnya sebelum ini yang agak gusar dan takut, si bongsu nampaknya begitu tabah dan ingin benar dikhatankan sebelum dia melangkahkan kaki ke Tahun 6 pada tahun 2011. Mungkin dapatlah dia berbangga dengan rakan-rakannya nanti bahawa dia sudah melangkah ke alam dewasa, meninggalkan zaman anak-anaknya. Dan hari ini, dia dan Salman berjaya melepasi ujian kesakitan dan ujian kesabaran. Dia benar-benar kuat dan tabah. Dan, Si Salman yang lucu dan lugu itu masih sempat mengunyah chewing gum semasa disunatkan. Dan, masih sempat juga dia menenangkan Abu Zar, menyuruhnya beristighfar dan berselawat serta memberikan tips-tips untuk cepat sembuh.

Semoga Abu Zar dan Nur Salman membesar dalam persekitaran yang sihat, menjadi lelaki-lelaki yang baik, beriman, bertanggungjawab, kacak, pintar cerdas dan punya peribadi besar. Amin.

Rabu, Jun 09, 2010

Cuti sekolah dan makan-makan..

Anak-anak time cuti sekolah ni asyik hendak makan saja. Celik mata pagi fikir tentang makan, tengah hari makan, petang makan, lepas maghrib makan lagi. Nak tidurpun asyik nak makan juga. Jangan bercakap tentang diet dan amalan pemakanan yang sihat dengan mereka, pasti ditolak ke tepi. Apabila dibawa makan di luar, bukannya reti mereka nak memilih masakan tempatan, tetapi masakan barat juga yang menjadi pilihan.

Oh, jauhnya beza anak-anak pascamoden dengan zaman kecilku dulu, membesar di kampung, 3 kali sehari dengan makan ruji nasi, sarapan pagi dengan ikan asin yang dibakar mama, makan tengah hari dengan ikan singgang, budu dan ulam-ulaman dan sesekali dengan sambal Pok Mat Jawa (sampai hari ini inilah menu kegemaran kami adik-beradik), dan makan malamnya dengan menu yang sama. Ikan keli, puyu atau haruan yang dibakar atau digoreng sudah cukup menyelerakan. Kami tidak pernah merungut apatah lagi membebel tentang makanan, apa yang ada di depan mata, telan saja walaupun sedap atau tidak. Jika tidak, jelingan mata arwah papa sudah cukup menyebabkan kami diam seribu bahasa dan menikmati makanan tanpa banyak karenah.

Acan, yang asyik lapar saja...

Tok Imam Hasan ni bukan main kuat makan, untuk sarapan pagi, 3 bungkus nasi berlauk disapunya. Kononnya dialah orang yang paling banyak buat kerja kat rumah ini, dari sapu sampah, angkut sampah ke tempat buang sampah, basuh kereta, siram pokok, dan segala macam kerja lagi, katanyalah...hmmm..

Si Pipi Bulat, Kak Eina bukan main naik lagi badan sejak cuti ni. Kononnya nak diet.. Hmmm...


Menu pilihan Si Bongsu Abu Zar dengan Chicken Chop-nya.

Husin Ali dengan lamb chopnya



Kak Eina Si Pipi Bulat memilih beef steak, katanya sesekali tak apa..


Dan yang pasti, apa saja yang ada di depan mata Hasan, pasti licin...

Untuk minum petang ni, mereka mahu menikmati spaghetti istimewa masakan ibu. Resipinya, biarlah rahsia, tapi kata anak-anak, lebih sedap daripada spaghetti di Pizza Hut.