Memaparkan catatan dengan label Ceritera guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ceritera guru. Papar semua catatan

Selasa, September 06, 2016

Cerita tentang Cikgu Fariza Nurbaya...

Tiada yang lebih indah dalam diari kehidupan seorang guru dan rasa terharu apabila namanya menjadi satu watak penting dalam rimbun ingatan anak-anak muridnya. Biar berpuluh-puluh atau berbelas-belas tahun sudah berlalu...
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Petang tadi setelah bersua dengan Cikgu Fariza Nurbaya di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, saya rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang saya pendamkan tentang cikgu.
13 tahun lalu, saya dan kawan-kawan yang lain merupakan kumpulan pertama yang menjadi pelajar STPM di SMK Putra. Saya ketika itu seorang pelajar yang pasif, jarang untuk bangun menjawab soalan yang cikgu utarakan apatah lagi bertanya perkara yang saya tidak faham. Tetapi apabila bersama dengan kawan-kawan, saya bertukar watak menjadi seorang yang aktif.
Sepanjang saya menjadi pelajar cikgu, saya sering perhatikan cara cikgu mengajar. Dari gaya mimik muka sehingga bentuk mulut yang membundar untuk mengajar kami menyebut sesuatu huruf contohnya é taling, é pepet. Semua saya ingat apa yang cikgu ajar. Bahasa kasar, bahasa halus, semualah! Cuma, saya tidak yakin untuk bangun menjawab apabila cikgu utarakan soalan.
Apabila keputusan STPM 2004 diumumkan, saya balik ke rumah sambil menangis. Saya gagal Pengajian Am. Mata pelajaran lain saya dapat CGPA yang bagus lebih-lebih lagi subjek yang cikgu ajar, iaitu BAHASA MELAYU. Kawan-kawan lain sambung pelajaran ke universiti. Saya? Kerja kilang elekronik di Penang. Mak saya pujuk saya untuk ambil balik STPM. Sedikit sebanyak saya rasa tercabar apabila melihat kawan-kawan saya ke universiti dan cikgu beri pujian.
Saya berhenti kerja dan balik ke kampung. Saya mendaftarkan diri di sekolah swasta, dalam sebulan hanya 3-4 kali saya masuk ke kelas. Yang lain, saya ponteng. Saya belajar di rumah sebab saya tiada kawan-kawan yang rapat dengan saya di situ. Apabila menjawab soalan BAHASA MELAYU, saya seolah-olah ternampak-nampak muka cikgu sedang memberi jawapan kepada saya. Soalan yang keluar kebanyakan soalan yang sering cikgu soal di dalam kelas. Laju betul saya menjawab soalan.😁😁
Apabila keputusan STPM keluar, alhamdullilah. Saya lulus dengan CGPA yang bagus dan mendapat tawaran ke universiti. Tetapi saya menolak tawaran tu sebab saya tidak mahu menghampakan mak dan ayah saya yang mahukan saya belajar dalam bidang kejururawatan. Pada waktu itu saya dapat 3 tawaran, universiti, kejururawatan dan juga pertanian. Saya memenuhi permintaan mereka biarpun bidang itu bukanlah bidang yang saya minat.
Sepanjang belajar bidang kejururawatan, saya hanya menjadi 'silent reader' kepada status-status FB cikgu. Nasihat, kata-kata cikgu saya ikut diam-diam. Nak berbalas komen dengan cikgu saya segan. Tips komunikasi cikgu saya sering diam-diam gunakan apabila berurusan dengan peniaga atas talian. Kelakar apabila dikenang.
Sekarang apabila terjebak dalam bidang kesihatan, saya perlu buang perasaan segan, takut-takut sebab saya bekerja dengan masyarakat. Dulu setiap kali balik ke kampung, saya teringin nak ke rumah cikgu untuk bertanya khabar, tapi saya segan. Cemburu tengok kawan-kawan bergambar dengan cikgu setiap kali hari raya.🙈🙈🙈.
Sebab itulah saya melawat cikgu di BUKIT tempoh hari. Banyak perkara saya nak bercerita dengan cikgu tetapi melihat wajah cikgu saya kelu nak bercerita. Risau kalau-kalau perbualan saya menyentuh hal yang sensitif buat cikgu. Saya dapat rasakan duka yang cikgu tanggung apabila melihat ubat-ubatan yang cikgu ambil di farmasi tadi. Saya hanya mampu menyimpan sayu di dalam hati. Segala senyum cikgu, celoteh cikgu tadi sarat dengan duka. Ubat yang cikgu makan itu menunjukkan betapa kesakitan yang cikgu tanggung.
Tabahlah cikgu. Moga Allah selalu melindungi Cikgu Fariza Nurbaya.
Maafkan saya cikgu sekiranya tulisan saya ni terlalu panjang.
Afewa Abdul Rahman
Dermax Superskin Mekwa Matyo

Khamis, April 28, 2016

Guru tua..

Cikgu Timah melihat-lihat jam pada tangannya. Lagi 15 minit kelas bahasa Melayu Tingkatan 4SI4 yang terletak di tingkat 4 blok hujung itu akan bermula. Bahan-bahan pengajaran sudah dimasukkan ke dalam kotak. Dia perlu bergerak sekarang. Dengan lututnya yang bengkak dan usia lebih separuh abad, tidak mungkin dia dapat bergerak dengan pantas seperti zaman mudanya dulu. Dia perlu bergerak lebih awal.

Menapak anak-anak tangga menuju ke tingkat 4 seperti dia membilang hari-hari terakhirnya sebagai guru. Ah, ini pilihannya - menjadi guru hingga bersara. Pekerjaan yang sudah lebih 30 tahun itu sudah menjadi sebati dengan hidupnya. Tugas memanusiakan manusia bukan tugas yang mudah. Kalaulah mereka mesin, boleh dibaiki mana yang rosak, boleh dirawat bahagian yang bermasalah. Tetapi mereka manusia.

"Cikgu, tepi sikit. Kami nak lalu!", kata budak perempuan bersanggul tinggi dan bersuara lantang itu mengejutkan Cikgu Timah. Betapa berbezanya sikap dan tingkah laku murid-murid sekarang berbanding 30 tahun yang lalu. Cakap mereka kuat, mengilai-ngilai seperti hantu Kak Limah dan sedikitpun tidak segan untuk mencarut di depan guru. Cikgu Timah berhenti sekejap, mengurut-ngurut dadanya yang tiba-tiba terasa pedih. Selepas kelas nanti Cikgu Timah akan ke pejabat, mengisi borang pencen.

Isnin, April 25, 2016

Guru hebat...

"Cikgu!!! Tak sabar kami nak beritahu cikgu ni. Tadi kami mengikuti ceramah teknik menjawab soalan selama 2 jam. Huraian guru yang jadi penceramah tu sukar kami fahami. Yang susah jadi lagi rumit. Cakapnya cepat. Kami dah biasa belajar dengan cikgu. Pengajaran dan huraian cikgu lebih jelas dan senang difahami", mengadu Cik X dan kawan-kawannya.

"Awak, ingat tak pesanan saya? Walau bagaimanapun cara guru itu mengajar, jangan merungut. Cuba fahamkan dan beri tumpuan. Setiap guru mempunyai kaedah yang berlainan", pujuk saya.

"Cikgu, untuk dua jam ceramah itu hanya satu jam sahaja dia mengajar. Satu jam lagi dia bercerita tentang kehebatan dia. Dia Guru Cemerlang, Munsyi, pembina modul, penggubal soalan, berceramah sana sini dan banyak lagi. Dia juga penasihat bahasa kepada Menteri Besar, tau", Cik Y pula mengadu.

"Wah, awak semua bertuah dan patut berbangga kerana dapat berguru dengan guru hebat", kata saya.

"Tapi cikgu kan pernah pesan, jika kita hebat janganlah kita bercerita tentang kehebatan kita kepada orang. Biar orang lain yang mengiktiraf kehebatan kita, kan. Cikgu juga pernah berkata, kita tidak akan jatuh hina kerana merendah diri, dan tidak akan tinggi melangit jika membesar diri, kan? Saya ingat sangat tu", kata Cik Z pula.

"Err... hmmm!", saya hanya tersenyum sambil menggumam.

Isnin, April 11, 2016

rindu ibu..

Ketika mengajar di salah sebuah kelas tengah hari tadi, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki sekumpulan pelajar kelas lain yang cuba melarikan diri daripada ditangkap guru disiplin. 

"Pelajar-pelajar, apakah yang sedang dilakukan oleh ibu bapa awak semua sekarang, pada waktu ini?", tanya saya kepada pelajar di dalam kelas saya.

"Mak saya bekerja sebagai tukang sapu di maktab, cikgu", kata salah seorang pelajar lelaki.

"Ayah saya tukang rumah, sekarang sedang menyiapkan rumah orang", kata seorang lagi pelajar.

"Oh, ayah awak mungkin sedang menggaul simen atau sedang mengangkat batu-bata pada waktu panas terik ni, kan?", kata saya.


"Ya, cikgu!"


"Mak saya bekerja di kilang keropok, menyiang ikan. Sehari mak diberi upah sebanyak RM30.00
", kata seorang pelajar perempuan.


"Bayangkan kalaulah ibu bapa pelajar yang ponteng itu tahu bahawa anak-anak mereka sedang berpeluh-peluh kerana melarikan diri daripada ditangkap guru disiplin, tentu luluh hati mereka. Mereka pula berpeluh-peluh menggunakan tulang empat kerat bekerja mencari rezeki untuk menyara anak-anak. Sedih kan?", kata saya.


"Ya, cikgu!", kata pelajar-pelajar itu.


Kelas yang tadinya agak bising tiba-tiba menjadi sunyi. Tiada lagi yang berbual kosong. 

Semuanya tekun menyiapkan tugasan yang diberikan.

Jumaat, April 08, 2016

sedikit tapi memberi makna...

Cerita semalam:

Ketika mahu membayar harga makanan yang dibeli, penjual memberitahu bahawa harga makanan saya telah dibayar oleh seseorang. Saya meninjau sekeliling melihat wajah-wajah pengunjung gerai tersebut mungkin ada yang saya kenali. Seorangpun tidak saya kenali. 

Dari jauh terdengar nama saya seperti disebut-sebut oleh sekumpulan anak muda. Saya berpaling ke arah mereka dan melihat mereka tersenyum memandang saya.

"Cikgu Fariza Nurbaya ke tu?"

Saya mengangguk dan mendekati mereka serta mengucapkan terima kasih kerana membayarkan harga makanan saya. 

"Sikit je tu cikgu berbanding dengan jasa cikgu", kata salah seorang pemuda tersebut. 


"Cikgu mungkin tidak mengenali kami kerana cikgu tidak mengajar kami. Saya bodoh, belajar di kelas belakang. Tapi, saya ingat sangat cikgu walaupun cikgu hanya masuk ke kelas saya sekali untuk jadual relief".


"Oh, saya berleter ke masa tu?"


"Tak. Cikgu bagi tazkirah. Nasihat dan tazkirah yang cikgu bagi tu saya ingat sampai hari ini."


Tersentuh saya. Kata-kata walaupun sedikit boleh memberi makna kepada orang lain dan kekal ingat sampai bila-bila. 


Mari kita bercakap yang baik-baiklah!

Ahad, Mac 09, 2014

Hei bodoh!

Dalam sejam saya berada di dalam bilik saya yang terletak di tepi tandas pelajar perempuan, sudah lebih 100 kali perkataan "bodoh" diungkapkan oleh mereka dengan bangga dan tanpa rasa segan silu. Semua ayat mesti berakhir dengan perkataan ini, contohnya, "Hei bodoh, cepat sikit!", "Mung nak ke mana tu, bodoh? ", "Bodoh, cikgu dah masuk kelaslah, bodoh" dan banyak lagi. 
Saya terasa makin bertambah-tambahlah tahap kebodohan anak-anak Melayuku ini dengan ungkapan yang sudah menjadi seperti doa harian itu...

Sabtu, Julai 20, 2013

Sepuluh sen



Cerita seorang guru.

"Oleh sebab kamu semua dapat menyiapkan kerja dengan baik, saya akan berikan kamu hadiah. Kamu boleh pilih sama ada kamu mahu makanan atau minuman", kata guru itu.

Jawab seorang pelajar, "Guru, saya tidak mahu makanan atau minuman. Kalau guru sudi, berikan saja sedikit wang untuk mencukupkan tambang saya pulang nanti.".

"Berapa ringgit yang kamu perlukan?'

"Hanya 10 sen saja lagi untuk cukupkan tambang pulang saya yang sebanyak RM1.50".

Air mata guru itu meluncur keluar dengan derasnya. Rupa-rupanya nilai 10 sen masih besar nilainya bagi sesetengah insan.

"Guru, tahukah guru? Betapa ruginya saya jika saya datang ke sekolah, tiada guru yang masuk ke kelas saya untuk mengajar. Kalau saya bekerja di kilang kayu pada hari itu, sudah tentu saya akan memperoleh sedikit wang  buat belanja."

Termenung guru itu. Betapa masih ramai insan yang daif hidupnya di dunia ini. 

Tazkirah untuk diri sendiri agar amanah dan bertanggung jawab dalam menjalankan tugas. 
Sekian.

Khamis, Oktober 04, 2012

Bukan semata-mata ikan puyu...



Ikan puyu yang telah siap dilumur garam dan kunyit ini ialah pemberian Kak Nah, pekerja kebersihan sekolah sempena pertukaran saya ke SMK Nasiruddin Shah. Kebanyakan pekerja swasta di sekolah ini cukup saya kenali dan akrabi. Sesekali mendengar desah dan resah mereka tentang gaji yang tidak seberapa sedangkan banyak mulut yang perlu diisi setiap hari, hati menjadi rawan. Terlalu kerap mata ini melihat mereka berkongsi seketul ikan tongkol gulai kuning, dan dimakan bersama-sama dengan nasi yang dibawa daripada rumah. Sesekali apabila dihulurkan wang seringgit dua buat mereka, walaupun mereka menolak tetap juga saya paksakan mereka untuk menerima,  kelihatan mata mereka berkaca. Ada air jernih menitis di tepi kelopak mata. Hati kitapun berkaca juga.

Mereka selalu ringan tulang untuk membantu jika saya memerlukan pertolongan seperti mengelap debu, mengemaskan buku-buku di meja, membersihkan sawang dsb.

Kata Kak Nah, dia tidak mampu untuk membelikan hadiah lain untuk saya sempena pertukaran saya. Jadi, petang semalam katanya,  dia sendiri yang turun ke kali di belakang rumahnya untuk menangkap ikan-ikan puyu ini. Saya sedih, terharu.
Walaupun sekadar ikan puyu, saya menghargainya. Ikan puyu, lambang persahabatan, lambang penghargaan yang tidak dapat diukur dengan apa-apapun.

Selamat tinggal SMK Putra.

4 Oktober 2012

Selasa, Disember 14, 2010

Cepatnya nak habis cuti sekolah!

Cuti sekolah rupa-rupanya dah pun nak berakhir. Anak-anak sibuk bertanya ke mana tempat untuk bercuti. Alahai, bercuti kat rumah sajalah jawabnya mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah ini, membantu ibu abah membersihkan laman, membetulkan bacaan al-Quran, membaca buku, dan lain-lain (maksud lain-lain: main FB, tengok CD, permainan komputer, menghadap TV).

Yang pastinya, waktu cuti sekolah, guru pun turut cuti sekolah juga. Namun begitu, saya tetap juga datang ke sekolah tetapi pada masa mana yang saya suka. Saya tak perlu lagi tergopoh-gapah dan termengah-mengah setiap pagi untuk memastikan saya sampai terlebih dahulu sebelum pengetua saya sampai ke sekolah (isk.. sepatutnya saya sampai sebelum jam 7.30 pagi sebelum waktu kelas P&P bermula!). Saya juga tidak perlu memandu dalam keadaan tertekan kerana terpaksa memandu di belakang pemandu-pemandu lembap seperti siput sedut di jalanan yang bergerak selaju 40km/j. Huh!

Saya tahu walaupun cuti, tidak semua guru dapat bercuti sepenuhnya. Cuti sekolah bukanlah untuk cikgu sebenarnya. Cikgu menumpang saja. Ramai cikgu yang tetap datang ke sekolah, menyiapkan pelbagai tugas terutama guru-guru yang terlibat dengan pengurusan sekolah. Sebahagian besar daripada mereka juga menghabiskan masa cuti mereka dengan bertugas menjadi pengawas peperiksaan-peperiksaan awam SPM dan STPM. Ada yang mengikuti pelbagai kursus peningkatan profesionalisme, mengendalikan bengkel-bengkel dan kursus, membina item dan modul, menjadi pemeriksa kertas dan pelbagai tugas yang tidak semua orang tahu.

Saya kagum akan kesanggupan teman-teman guru yang sanggup dan penuh dedikasi menjadi pengawas-pengawas peperiksaan, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sepanjang 22 tahun menjadi guru. Saya tahu bukan material yang dikejar oleh mereka kerana semua orang maklum bahawa bayaran yang diperoleh bukanlah besar sangat. Tetapi atas dasar komitmen dan tanggungjawab mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka tahu pada masa yang sama rakan-rakan guru sedang bersenang-lenang di rumah atau melawat dan melancong bersama-sama keluarga. Err.. adakah saya juga termasuk dalam kategori guru ini Oh, tidak!, Saya masih lagi guru yang baik rasanya, masih menjenguk sekolah walaupun bukan setiap hari, bertanya khabar murid-murid saya yang sedang bertungkus-lumus membuat persiapan peperiksaan. Dan saya masih sempat lagi mengadakan bengkel teknik menjawab peperiksaan kepada mereka. Kira guru yang baik jugalah saya ni.. masuk bakul sesekali seronok juga ya.

Seperti kanak-kanak riang, saya sebenarnya suka sangat apabila tiba musim cuti atau pada cuti hujung minggu kerana saya dapat melakukan perkara-perkara yang jarang saya dapat lakukan dengan baik dan sempurna, antaranya ialah memasak, meladeni dan membelek pepohon kaktus dan orkid saya di laman agave-grusonii yang makin layu dan tidak begitu sihat itu.

Saya suka sekali apabila dapat mengemas dan menghias anjung tak berseri saya ini. Saya seronok sangat kerana dapat menonton filem bersama anak-anak, dan saya juga mempunyai masa yang lebih untuk membersihkan sesawang pada blog saya yang lebih bersawang daripada syiling di teratak saya!!



Isnin, November 01, 2010

"Nate mano maghi tu?"

Hari ini berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Pelbagai isu dan masalah dibincangkan, program-program terakhir peningkatan prestasi peperiksaan, program pembangunan staf, termasuklah disiplin, dan perihal kelakuan pelajar yang semakin tidak mendengar kata. Mengeluh guru-guru, masing-masing mengadu hal anak-anak murid yang semakin biadab. Seorang guru menceritakan kebiadaban pelajarnya yang mengungkapkan kata-kata "Nate mano maghi tu?" (binatang apa yang datang tu?) ketika dia berjalan ke kelasnya untuk mengajar hari ini. Guru itu terkedu tidak terkata.

Kalau mahu diperincikan satu persatu nistaan dan kebiadaban yang pernah dilontarkan oleh anak-anak pedalaman ini kepada guru-guru mereka, rasanya ramai yang tidak akan percaya bahawa perkara seperti ini boleh berlaku terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar yang kononnya masih tekal dan masih tinggi menjunjung adat budaya pusaka bangsa yang lembut berhemah dan berbudi bahasa. Di manakah silapnya? Ibu bapa? Sekolah? Persekitaran? Atau sistem pendidikan kita?

Inilah realitinya yang harus dihadapi oleh guru-guru di sekolah luar bandar hari ini. Aku yang mendengarnya pula rasa tersentuh dan tersebak seketika, bersimpati dengan masalah yang dialami oleh rakan-rakan. Sebagai guru kelas prauniversiti, saya jarang berdepan dengan perangai pelajar seperti ini.

Mengajar di sekolah luar bandar memerlukan guru-guru yang tabah dan tahan diuji. Mereka datang ke sekolah tanpa matlamat dan hala tuju dan sebahagian daripada mereka mengalami masalah penguasaan asas 2M yang menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti isi pelajaran dengan baik. Malang sungguh, mereka hilang dan rugi dalam banyak perkara, tiada ilmu dunia, kurang ilmu akhirat, miskin budi bahasa, miskin harta benda. Lalu apa lagi yang tinggal untuk mereka? Tidak hairanlah, gejala penyalahgunaan dadah, anak luar nikah, sumbang mahram, pergaulan bebas bukan lagi perkara yang luar biasa berlaku di sini.

Kadang-kadang, kasihan melihat cikgu-cikgu di sini. Mereka kadang-kadang hampir putus asa dalam usaha mengubah haluan dan perubahan hidup pelajar-pelajarnya. Sikap degil, malas, biadab menyebabkan kesabaran dan kekentalan itu menjadi begitu tipis sekali. Sesungguhnya kita hamba Tuhan yang lemah, amat lemah.

Semoga kita semua akan terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk mendidik anak-anak desa ini. Walaupun bukan untuk menghasilkan pelajar yang mampu mendapat sekian banyak A tapi sekurang-kurangnya, walaupun mereka agak kurang cerdik, tapi mempunyai budi pekerti yang baik. Malangnya mereka tiada kedua-duanya!!

Betullah kata Cikgu Jimie:
Jika hari ini kita kehilangan erti SABAR seorang guru dek kenakalan muridnya,
jika hari ini, kita kehilangan SEMANGAT seorang guru dek kemalasan muridnya,
ingatlah, masih ada murid yang ingin berjaya.

Teruskanlah USAHA dan IKHLASkan diri untuk memajukan anak bangsa. Insya-Allah, Allah akan berikan ganjarannya. Guru insan paling bertuah lantaran menaburkan ilmu yang bermanfaat, bakal dituai hasilnya di negeri akhirat kelak. Amin.