Isnin, Januari 31, 2011

Terima kasih...

Terima kasih kepada rakan-rakan Guru Cemerlang yang "sudi" hadir pada Mesyuarat Majlis Guru Cemerlang Besut untuk kali pertama tahun ini di Pejabat Pelajaran Daerah hari ini. Terima kasih kepada yang sudi memaklumkan ketidakhadiran mereka, dan terima kasih juga buat yang tidak menghubungi saya langsung kerana tidak dapat hadir. Majlis ini untuk kita, untuk kerjaya kita, demi kepentingan anak didik kita dan menandakan kesepakatan kita.

Syukur kerana sebahagian daripada buku Strategi Pengajaran Guru Cemerlang dan Diari Harian MGCM 2011 titipan YDP MGC Terengganu dapat diagihkan. Dan, sebahagiannya lagi masih memenuhi bonet kereta saya. Tuan tanah, AR dah membebel! Katanya bonet kereta saya dah jadi stor bergerak yang dibawa ke sana ke mari dan meningkatkan penggunaan minyak. Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 2 peratus. Aduhai!!

Jumaat, Januari 28, 2011

Kisah Sekolah Cap Ayam 1

"Anak encik terpaksa kami buang sekolah kerana tidak hadir ke sekolah melebihi 70 hari tahun lepas, dan tahun ini sahaja sudah lebih 15 hari tidak ke sekolah", kata Cikgu T, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Cap Ayam.

"Kami telahpun menghantar surat amaran pertama kepada pihak ibu bapa, dan diikuti pula oleh surat kedua kerana anak encik masih melakukan kesalahan yang sama. Setelah kami mendapati bahawa anak encik tidak juga hadir ke sekolah, kami telah menghantar satu lagi surat agar pihak ibu bapa datang ke sekolah untuk berbincang dengan pihak kami, tetapi encik tidak juga datang. Kami memberikan peluang beberapa hari lagi sebelum pelajar diambil tindakan dibuang sekolah. Tindakan untuk mengambil tindakan membuang sekolah bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kami terpaksa mengikut prosedur yang telah ditetapkan" jelas Cikgu T dengan panjang lebar.

"Apa yang sekolah dah buat hingga anak saya tidak hadir ke sekolah hingga 70 hari?", tanya Encik Bapak.

"Apa yang ibu bapa buat di rumah hingga anak tak datang ke sekolah hingga 70 hari?" tanya Cikgu T balik.

Encik Bapak diam seribu bahasa.

Rabu, Januari 26, 2011

Akhirnya kaupergi jua...

Ketika menatap wajahnya yang tenang buat kali terakhir malam tadi, dan sempat juga mengucup dahinya yang sejuk, melihat sekujur tubuhnya yang kaku, hati jadi sebak dan sedih yang teramat. Beginilah perasaanku dan adik-adik tatkala menziarahi insan istimewa yang mengajar kami kalamullah semasa zaman kecil. Insan istimewa ini sudah tiada lagi, pergi buat selama-lamanya setelah terlantar sekian lama menghidap penyakit paru-paru berair. Wahai Tuhan, Kautempatkanlah guru al-Quran kami ini dalam golongan orang yang beriman. Tidak mampu kami membalas segala jasa mengajarkan ilmu-ilmu al-Quran kepada kami.

Apabila mati seorang anak Adam, akan terhapuslah segala amalannya kecuali 3 perkara, harta yang disedekahkannya, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapanya. Al-Fatihah buat guru al-Quran kami, Mok Su Jah!

Isnin, Januari 17, 2011

Inilah kehidupan!

Sambil merenung jauh ke tengah sawah, kata Nasrul, pelajar saya di tingkatan 6 atas, "Cikgu, di sinilah saya dan keluarga membanting tulang mencari rezeki setiap hari mencari rezeki yang halal. Tidak ramai anak muda desa yang sanggup turun ke bendang, membajak sawah dan bercucuk tanam. Mereka telah lupa lagu dan nyanyian unggas dan kicau burung. Mereka lebih selesa menghabiskan masa melepak dan merempit di jalanan. Mereka lebih teruja untuk ke kota mencari keriangan dan hiburan. Setiap hari pada masa yang terluang, atau pada hujung minggu saya akan membantu ayah saya yang semakin tua kudratnya untuk mengusahakan tanah sawah yang sekangkang kera ini. Saya tidak malu, cikgu".

Saya jadi sedih mendengarnya. Dan selepas ini, saya mungkin akan lebih memahami sekiranya Nasrul kelihatan letih dan tidak bermaya semasa di dalam kelas. "Saya ingin berjaya, cikgu". Saya mahu mengubah nasib keluarga saya. Adik-beradik saya ramai, dan semuanya masih bersekolah. Saya mahu masuk universiti tahun depan". Hati saya bertambah sayu.

Sabtu, Januari 15, 2011

Panorama desa

Tidak puas rasanya melihat panorama di desa yang indah ini. Pemandangan yang jarang-jarang dapat dilihat oleh manusia yang tinggal di kota. Melihatnya, segala kenangan dan ingatan zaman kecilku bersama adik-adik bergelumang dengan lumpur di bendang menjadi semakin kuat. Turunkan cermin tingkap kereta anda, dan bau lumpur sawah menerobos masuk ke hidung.. ohh, bau desa yang permai!
Dari tingkat 4 bangunan kelas saya mengajar, saya suka sekali melihat pemandangan ini, dan saya lebih suka menatapnya berulang-ulang kali lebih-lebih apabila dilanda rasa sendu. Pemandangan ini menenangkan dan mendamaikan jiwa. Panorama indah yang mengasyikkan, kelihatan dari kejauhan bukit-bukau yang seolah-olah menyapu awan, seperti lukisan!. Itulah lebihnya mengajar di sekolah yang terletak di ceruk desa. Segala resah dan gundah melayani karenah anak-anak yang pelbagai ragam terasa terubat dengan pemandangan seperti ini. Dan, rasanya lebih menenangkan jiwa daripada menatap dinding-dinding bangunan sekolah yang kusam dan lesu itu.

Walaupun mengajar di desa, saya sebenarnya jarang sekali dapat menikmati keindahan suasana ini. Maklumlah setiap kali ke sekolah pada waktu pagi, saya terpaksa berkejar dengan masa untuk sampai ke destinasi tugas setepat yang mungkin. Dan pada waktu pulangnya, terpaksa bergegas pula untuk melunasi tanggungjawab terhadap keluarga tanpa sempat melihat kiri dan kanan, tanpa menyedari bahawa alam di sekeliling saya masih lagi permai dan kekal tidak banyak berubah daripada dahulu. Pandangan yang indah dan membahagia serta jauh daripada kesibukan kota.

Gambar ini terakam ketika melihat dan meninjau anak-anak murid saya menjalankan aktiviti latihan merentas desa pada petang yang permai. Rasanya anak-anak desa ini sendiri tidak menyedari bahawa desa yang dihuni oleh mereka punya pemandangan yang sungguh indah dan menarik.

Isnin, Januari 10, 2011

Hari tanpa beg plastik

Ketika membeli-belah di Pasar Raya Giant Shah Alam minggu lepas, kami tidak dibekalkan dengan beg plastik seperti biasa. Rupa-rupanya hari itu bermula kempen Hari Tanpa Beg Plastik seluruh Malaysia, yang diadakan pada setiap hari Sabtu. Tapi, kenapa hanya berkuat kuasa seminggu sekali sahaja dan tidak pada setiap hari? Sudah lama saya menunggu kempen ini diadakan di Malaysia. Saya suka dan sokong, bukan sahaja saya tidak mahu bumi yang indah ini semakin musnah tetapi juga masalah yang saya hadapi untuk menyimpannya dan melupuskan beg-beg plastik tersebut di rumah saya.

Bumi kita semakin menua dan saya tidak mahu menambahkan beban dengan turut sama memusnahkannya. Sayangilah bumi ini, saya mahu hidup lebih lama dan mahu terus menghirup udara yang segar dan nyaman untuk saya terus berbakti. Ayuh, kita kembali menggunakan beg kertas, atau bawa saja beg mesra alam setiap kali ke pasar raya atau ke kedai runcit. Marilah kita sama-sama melestarikan dunia ini tanpa kemusnahan. Wah, pencinta alam juga saya!

Catatan:
Di daerah saya, beg plastik dipanggil sebagai "supek rok-rak" dan ada juga yang menggelarkannya sebagai "supek gelenyar"! Beg plastik mengambil masa 100 hingga 200 tahun untuk dilupuskan.

Rabu, Januari 05, 2011

Uhuk.. uhuk...

Setelah hampir 2 minggu mengalami batuk yang agak teruk, alhamdulillah hari ni suara saya yang sengau rock sudah hampir kembali asal. Saya cuba mengelakkan diri daripada bergantung pada ubat-ubat moden seperti paracetamol dan antibiotik dan menggantikannya dengan madu yang dicampurkan dengan teh dan lemon tetapi nampaknya kurang berkesan untuk mengurangkannya. Saya masih juga tidak berhenti-henti batuk terutama pada waktu malam, dan hal ini memaksa saya menelan paracetamol dan antibiotik juga akhirnya. Teman rapat saya, Cikgu Fauziah Adam menyarankan saya agar mencuba Hurix's, ubat batuk campuran madu dan gamat. Nampaknya setelah beberapa kali meminumnya, tekak saya rasa lebih lega dan batuk pun sudah agak berkurangan.

Terima kasih Tuhan. Kata teman, sakit dan musibah itu boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Oh, banyaknya dosaku.

Isnin, Januari 03, 2011

Hari pertama persekolahan

Selamat kembali ke sekolah! Semoga sesi persekolahan 2011 berjalan dengan baik, berlangsung dengan baik untuk mendapatkan pengakhiran yang baik harapnya. Tahun ini saya berharap sangat agar kawasan sekolah saya akan menjadi sebuah sekolah yang bebas asap! Entahlah...

Saya telahpun memulakan kelas bahasa saya hari ini. Seperti biasa, pesan saya buat anak-anak pelajar; betulkan niat anda dalam menuntut ilmu. Jangan belajar hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi untuk kehidupan. Belajarlah bahasamu agar kamu mampu berbahasa dengan sebaik-baik bahasa. Bahasa menjadi jambatan pengikat silaturrahim sesama insan.

Gunakanlah bahasa dengan betul, dan jangan sampai memeningkan kepala pendengar atau pembaca. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu-ilmu bahasa yang dipelajari untuk menyampaikan rasa dengan penuh berhemah, santun dan memenuhi ciri-ciri bahasa yang baik.

Sabtu, Januari 01, 2011

Azam 2011

Sudah tahun baharu kita rupanya ya! 2010 berlalu penuh dengan kenangan manis, pahit, indah dan luka. Yang manis dan yang terindah itu kita tinggalkan sebagai kenangan dan menjadi penguat semangat untuk meneruskan kehidupan. Yang pahit, yang luka kita simpan juga walau jauh di lubuk hati, moga boleh dibuat sempadan.

Tahun ini dan tahun yang sudah-sudah, saya jarang lagi berfikir dan bercakap tentang azam kerana azam saya tetap sama, tiada beza. Cuma, tahun 2011 ini saya tekadkan semangat untuk menyempurnakan 4 perkara kecil tapi besar impaknya. Saya ingin menjadi manusia baik yang menyenangkan semua orang, saya mahu menjaga dan menepati masa, saya mahu punya luang dan ruang untuk membaca, dan saya juga mahu bersangka baik.

Saya mahu 2011 berlangsung dengan baik dan moga tiada hati yang terluka.

malam tahun baharu 2011 dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah

Malam Tahun Baharu 2011 disambut dengan senang hati bersama anak-anak di USJ, lari daripada rutin yang memenatkan. Anak-anak tidak teruja untuk melihat percikan bunga api sempena tahun baharu kerana tarikan filem Hantu Kak Limah lebih menarik kami anak-beranak ke panggung bersebelahan. Entah di mana silapnya, mungkin kesan ubat batuk dan ubat selesema yang ditelan sebelum masuk ke panggung wayang, atau kerana keletihan memandu dari Besut ke USJ, saya tidur dengan enaknya selepas 10 minit cerita bermula dan terjaga sebaik sahaja cerita selesai. Begitulah ibu, selalu tertidur apabila menonton cerita Melayu, rungut anak-anak. Ce cerita, ce cerita.. kata mereka apabila ditanya kesudahan cerita.