Memaparkan catatan dengan label Peperiksaan Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peperiksaan Dunia. Papar semua catatan

Rabu, November 20, 2013

Peperiksaan dunia lagi...


SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN BAHASA MELAYU STPM PENGGAL 1 dan juga untuk pelajar mengulang Penggal 1 esok. Sebelum melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan, jangan lupa baca Bismillah dan selawat kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W.  Sebelum mula menjawab, tarik nafas dan bacalah doa penerang hati, agar ingat apa yang telah dibaca dan yang telah diajar

Ingatlah fakta tentang asal usul, rumpun dan kekeluargaan dan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Jangan terkeliru antara bunyi vokal, konsonan dan diftong. Fahamilah juga kaedah pengejaan kata bahasa Melayu sama ada kata asli ataupun ejaan kata pinjaman.

Susun dan olah isi karangan agar menjadi satu wacana yang lengkap, terjalin kemas dan berfokus. 
Tulislah jawapan dengan ayat yang lengkap, ada subjek dan ada predikatnya. Jangan dilupa tanda bacanya juga. Tulisan biar kemas dan tertib, sama besar dan sama condongnya agar senang dibaca dan menenangkan jiwa orang yang membacanya. 

Gunakanlah segala ilmu bahasa yang dipelajari untuk dimanfaatkan sepanjang hidup, bukan terbenam berakhir di dewan peperiksaan semata dan kemudian hancur entah ke mana.

Isnin, November 05, 2012

Peperiksaan dunia...

Hari ini bermulalah peperiksaan dunia, SPM dan Peperiksaan Penggal 1 STPM sistem modular. Bacalah doa penerang hati sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Untuk anak-anak kelas prauniversiti di SMK Putra, ketika menjawab, pilihlah kata yang sesuai, agar menjadi ayat yang persis, tepat, mantap dan matang. Jangan biarkan ayat terbina digantung tanpa tali, biar jelas subjek dan predikatnya. Tulislah dengan menggunakan aksara dan huruf yang terang dan kemas, lengkap aspek mekanisnya moga senang hati orang yang membacanya. 

Sistem pendidikan di negara kita memerlukan siji untuk menentukan kebijaksanaan dan kepandaian kalian. Kalian ialah penerus generasi. Peperiksaan bukanlah satu gerah dan bencana, tetapi suatu perkara yang perlu dihadapi, dihadam dan dimesrai untuk meneruskan kelangsungan hidup. 


Minta ampun daripada Tuhan, ibu, bapa dan guru-guru. Selamat berjuang!