Ahad, Mei 25, 2008


TERIMA KASIH ATAS KIRIMAN UCAPAN SELAMAT HARI GURU TAHUN 2008.

Kata Nazir Husin, JPN Wilayah, Kita adalah GURU bukan bekerja sebagai guru. ..Selamat Hari Guru.. jasamu akan kukenang selalu.. (NIk Ruzaini, Wah Hafifi, Along Hanafizar, UPSI), Selamat Hari Guru, jadikan kerjaya guru ibarat lilin membakar diri meneranginorang lain. Semoga Allah memberkati sumbangan murni para guru (Puan Rodziah, SMS FAris Petra), saya tak akan melupai segala jasa cikgu sehingga hembusan nafas terakhir saya (Hafizam, UPSI).

Kata adinda Rah, Selamat hari guru, guru yang mursyid nabi! (macam pernah kubaca ungkapan ini... al-Fatihah buar arwah ayahandaku yang saban tahun tak lupa mengirimi kami ucapan ini. Mengambil kira catatan teman kat sebelah kanan tu, dan permintaan adinda lah yang hampir merajuk kerana tidak dimasukkan ucapannya yang dikirim lewat SMS, diperturunkan catatannya sebagai kenangan hari guru 2008; kata adinda Lah:
SELAMAT HARI GURU UNTUK KITA. Hati adinda cukup tersentuh pada setiap hari guru kerana kita ada kenangan itu bersama almarhum ayahanda kita yang sentiasa teruja (pertama kali kutemui ungkapan ini dalam alih bahasa cerita cinta bersiri Korea kegemaranku 4 tahun yang lalu) dalam memartabatkan profesion keguruan. Semoga kita menjadi guru yang ikhlas sepanjang zaman.

Kata Roslinis,
Guru, dalam ajarnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam tawa ada mesranya,
dalam diam ada bijaksana,
dalam tangannya kita terbina.
Berbahagialah menjadi guru!

Tak larat rasanya nak menulis semua ucapan. Terima kasih sekali lagi kepada Baini, Norasiah, Asyraf (UMK), rakan lama Sabariah Yaacob (SMK Tun Telanai), Rosnani SMK Putra, Puan Noorlaila Hshfar SMK Renek, Puan Radiah SMKA Sultan Muhammad Melaka, Puan Siti Zunaida, Cikgu Awang Harun, SMK SAUJANA, Adinda Insijam Melaka, Cikgu Haris SMK Ceneh Baru, Puan Che Noraida (SKTM2),Puan Siti Zakiah SMK Sungai Pelek, Sepang, Puan Shahidah Hashim SMK Sultan Ahmad, Mariana (semoga tercapai cita2 anda nak jadi budak u), adinda UNO, Cikgu Rahim SMKNZ, Hafizi 6A1, Azmawati UUM, Ghafar 6A2, Rosmahayu USM, Datin Sabariah, Hajah Hasniah Abas, Puan Fauziah Adam, Puan Rusnah Umar SMKKB, Asyila 6A1, Munyati UKM, Haji Khazali, Boss SMK Putra, Rosmaiza UPSI, Puan Che Faridah SMKNZ (Yang menhadiahkan sebuah TITANIC), sahabat lama Puan Wan Elah (SMK Nasirudin Shah), Puan Ghazani Jengka 18, Puan Marsila SSN, Habibullah 2004, Azemuniza 6A2, Azrakasmawati 2005, Yusuf 2005, Syidah 6A2, Nurul Fatihah 2006, Asyraf UMK, Rizal 2005, Nik Hasmani, Sunita 2008, Puan Norhayati Minal, Hamzah 6A2, Hasfis 6A1 dan ramai lagi. Tak lupa juga terima kasih atas ingatan berpanjangan bekas pelajarku Huda Khan yang sudah berjaya menjadi lawyer (dulu loyar buruk).

Akan adakah lagi sambutan hari guru untukku tahun depan?

Khamis, Mei 15, 2008


SALAM hari guru..
Esok, semua warga pendidik di seluruh negara akan merayakan sambutan Hari Guru. Tema sambutan hari guru tahun ini ialah "GURU CEMERLANG, NEGARA TERBILANG".

Mengajar dan mendidik mungkin mempunyai makna yang sama, tetapi jika diteliti dan didalami kedua-dua ungkapan sangat berbeza sebenarnya. Memang berbeza dan saya saya faham bahawa tugas mengajar, menurunkan ilmu kepada pelajar itu tidaklah sesukar mendidik mereka agar benar-benar menjadi "manusia". Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar mereka. Dengan pelbagai ciptaan alat bantu mengajar, dengan kemudahan ICT dan kelengkapan moden, tugas mengajar pada hari ini lebih mudah berbanding dahulu.

Untuk menjadi seorang pendidik yang benar-benar dapat melahirkan pelajar yang berjiwa "manusia" merupakan satu cabaran yang paling besar buat semua guru pada hari ini. Setelah bergelumang dalam dunia pendidikan dan pengajaran selama lebih 20 tahun, saya memang memahaminya! Bukan mudah! Ditambah pula dengan pelbagai kerenah pelajar serta tiada minat untuk belajar, bebanan tugas guru semakin bertambah. Tambah sukar, guru turut dipersalahkan apabila timbul masalah sosial yang melibatkan pelajar. Bagaimana itu?

Saya pernah menjadi budak sekolah rendah pada tahun-tahun 1970-an, kemudian menjadi murid sekolah menengah agama pada awal 80-an. Dunia pelajar yang telah lama saya tinggalkan hampir 30 tahun lebih yang lalu itu sudah jauh berbeza dengan dunia pelajar yang saya hadapi hari ini. Dahulu, perasaan gerun dan hormat terhadap guru itu sangat mendalam. Setiap patah kata guru diamati dan ditaati sepenuh hati. Siapa yang berani mengangkat muka atau bersuara ketika guru sedang mengajar? Tak ada, seingat saya! Jika dipukul atau didenda guru sekalipun, tidak berani saya menceritakannya kepada ibu atau bapa kerana silap-silap haribulan, dapat 'habuan' yang lebih 'bermakna' lagi.

Berdasarkan data-data disiplin, membaca berita tentang kemelut sosial remaja dan pelajar hari ini, saya menjadi sedih dan gerun dengan tingkah laku pelajar kini. Banyak kepincangannya, terutama apabila melibatkan pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran - datang ke sekolah sekadar memenuhi masa; tiada matlamat; datang sekolah semata-mata kerana ibu bapa yang menyuruh mereka; supaya anak-anak 'diasuh' guru di sekolah untuk menyenangkan mak bapak mereka keluar bekerja! Dan, kelompok pelajar inilah yang paling banyak menimbulkan masalah disiplin di sekolah (ponteng kelas, ponteng sekolah, bergaduh, merokok dalam kawasan sekolah, dan sebagainya. Mungkin masalah yang saya alami tidak dirasai oleh guru-guru yang berkhidmat di kelompok sekolah kluster, sekolah elit, sekolah premier, apatah lagi di SBP dan MRSM. Bukan berputus asa, tetapi sedih kerana tugas mendidik diberikan seratus peratus kepada guru. Apa saja kemelut yang melanda anak-anak, sering kali jari-jari mereka menuding ke arah guru-guru. Guru tetap dipersalahkan. Ibu bapa pula lepas tangan.. Entahlah.. bagaimanalah pula nanti yang akan berlaku dalam sistem pendidikan kita ini yang akan kuharungi dalam tempoh 15 tahun lagi (tambah 2 tahun lagi.

Selamat Hari Guru. Terima kasih diucapkan kepada semua cikgu yang pernah mengajar dan mendidik saya, cikgu-cikgu SK Pusat Jerteh tahun 1973 - 1978, cikgu-cikgu di SM Agama Maarif, Ustazah Ramlah, Cikgu Siti Rahimah, Ustaz Ramli, cikgu-cikgu di KUSZA (1982- 1984), Cikgu Azizah, Cikgu Ramli, Ustaz Dato' Hussin Awang, Ustaz Wahab, Cikgu Abdullah Taufah dan ramai lagi, pensyarah-pensyarah saya di Universiti Malaya (1985- 1988) Prof Emiritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Prof Hashim Haji Musa, Dr Nuwairi Haji Khazaai, Cikgu Raminah Haji Sabran, Dr Abu Hasan Sham, Profesor Ismail Hussein, Prof Raja Mukhtarudin Raja Muhd Dain dan ramai lagi yang telah mendidik saya menjadi manusia! Juga buat emak dan arwah ayahanda yang banyak berkorban demi kelangsungan hidup; buat Cikgu Awang Rajuk, guru segala guru, yang penuh sabar mengajar tanpa berkira harta dan pangkat, dan tidak lupa untuk Yang Maha Pengasih yang telah memberikan kesempatan untuk kita terus menghuni dunia yang indah ini.

Sabtu, Mei 10, 2008


SELAMAT HARI IBU...

Bulan Mei, penuh dengan sambutan Hari... Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru.. hari-hari. Lazimnya Hari Ibu diraikan secara rasmi pada minggu kedua bulan Mei dan tahun ini, tarikhnya jatuh pada Ahad ini (11 Mei).

Begitu pun sambutan Hari Ibu antara sebuah negara dengan negara yang lain adalah berbeza. Masing-masing mempunyai tarikh tertentu bagi menyambut hari istimewa. Di 75 buah negara di dunia seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Itali, Belanda, Singapura, Taiwan dan Hong Kong sendiri, Hari Ibu disambut dengan besar-besaran.

Walau apapun, untuk ibuku, Puan Hajah Hasmah binti Awang, setiap hari adalah Hari Ibu bagiku. Terima kasih kerana cekal hati mendidik, sabar murni melayan kerenah, tiada kedengaran sepatah keluhan, tiada kelihatan setitip kemarahan... selamat hari ibu, terima kasih Tuhan kerana mengurniakan ibu sebaikmu. Akan aku terus ingat melafazkannya sehingga akhir hayat dan aku masih ingat segala yang murni itu…