Memaparkan catatan dengan label Cuti sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cuti sekolah. Papar semua catatan

Ahad, November 11, 2012

November yang lebat..

Lebatnya hujan bulan November seperti berlumba-lumba dengan lebatnya November saya. Dalam sela masa menunggu Si Patah Tangan Ucin yang terlantar di HUSM, saya berjaya menyelesaikan tugas memeriksa kertas ujian akhir tahun pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan terbang ke Kuala Lumpur menyelesaikan tugas menganalisis data Rintis kompetensi Kementerian Pelajaran. Seingat saya, pada tahun lepas, November berlangsung dengan perkara yang hampir sama dan kesibukan yang entah apa-apa. Oh, moga tugas rutin sebagai  ibu dan isteri tidak terjejas dan tidak ada hati yang terluka dan terabai.

Kalau hati suka, susah sikit pun tak apa dan kita akan harungi dengan tabah dan ceria. Insya-Allah.
Siapa kata kerja guru senang dan boleh goyang kaki saja sepanjang cuti akhir tahun ini? Ini antara tugas rasmi saya;

5 - 9 November 2012 - Mesyuarat dan Bengkel Kerja Analisis Data dan Penyediaan Laporan Rintis Kepimpinan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Hotel Radius, Kuala Lumpur.
12 November 2012 - Kelas bimbingan akhir Bahasa Melayu 2
17 - 18 November 2012 - Mesyuarat Penyelarasan Peperiksaan, Kuala Terengganu
19 - 30 November 2012 - Tugas-tugas peperiksaan
18 - 20 November 2012 - Bengkel Kerja Penyediaan Laporan Akhir Kajian Tinjauan Streaming Class Jabatan Pelajaran Terengganu, Genting Highlands, Pahang
26 - 29 November 2012 - Bengkel Kerja Analisis Data dan Penyediaan Laporan Rintis 2, Kementerian Pelajaran Malaysia, Avilion Admiral Cove, Port Dickson
27 - 29 November 2012 - Bertugas sebagai Fasilitator Kursus Pemantapan Peserta Memartabatkan Bahasa Melayu Guru-guru Zon Timur (Program Perluasan MBMMBI), Sutra Beach Resort, Merang Terengganu.
Bertindih-tindan!

Dan, tugas apa akan menanti saya untuk Disember pula?
Senyum!
d(^__________^)b

hujan November
dalam lebat
kusembunyi rintik dalam diri.. lalala..

Khamis, Disember 01, 2011

Cuti dan kerja...

Nampaknya bulan November dan Disember tahun ini tidak banyak masa untuk kuhabiskan di teratak anjung tak berseri ini. Siapa kata kerja guru itu mudah, apabila cuti habiskan masa bercuti, sampai masa dapat gaji. Ini ungkapan klise Makcik Senah kepada saya semasa menyinggahi warung pisang gorengnya.

Sama ada cuti atau tidak, tugas guru sama sahaja.
Ada yang masih bertugas di sekolah menjalankan kelas bimbingan peperiksaan untuk anak-anak,
ada guru yang bermukim di pejabat sekolah untuk menyediakan buku pengurusan, jadual guru, perancangan strategik, menguruskan buku-buku teks,
ada guru yang bertugas mengawasi peperiksaan SPM dan STPM,
ada yang memeriksa kertas peperiksaan dalaman dan awam,
menganalisis keputusan peperiksaan,
menyiapkan fail pengurusan panitia mata pelajaran,
ada guru yang dipanggil untuk menghadiri kursus, mesyuarat, seminar dan pelbagai program peningkatan profesional keguruan,
dan macam-macam lagilah!

Ahh.. memang banyaklah kerja guru!

Ohh.. ini jadual saya;
14 - 19 November - Bengkel kerja analisis data kompetensi di Avillion Admiral Cove, Port Dickson
22 - 23 November
- kelas bimbingan terakhir untuk kertas Bahasa Melayu 2 STPM saya
28 - 29 November - membimbing guru-guru penempatan baharu Terengganu tahun 2011 tentang pengajaran yang berkesan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, Kelantan
29 November - 2 Disember - menyiapkan tugas-tugas penyediaan dokumen kompetensi Kementerian Pelajaran di Seri Chempaka Service Suites Cheras Kuala Lumpur
2 - 5 Disember - Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Guru-guru Selatan Thai di Hatyai, Songkhla Thailand
5 - 9 Disember - menyiapkan modul pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi Kementerian Pelajaran Malaysia
13 - 14 Disember - kelas terakhir Bahasa Melayu Kertas 1 STPM
20 - 24 Disember - Lawatan PPBMM ke Surabaya
29 Disember - Mesyuarat Pengurusan Sekolah/ Mesyuarat Guru Sesi Persekolahan 2012
1 Januari - sesi persekolahan 2012 pun bermula.

Semoga dalam selang tugas,
kita dapat mencari rahmat Allah,
menjana ilham dan berinspirasi,
meneroka makna kehidupan,
memupuk kasih yang terungkai,
membina kekuatan,
untuk mendepani kehidupan
dan kerjaya yang lebih mencabar pada tahun-tahun mendatang
. Amin!

Selasa, Disember 14, 2010

Cepatnya nak habis cuti sekolah!

Cuti sekolah rupa-rupanya dah pun nak berakhir. Anak-anak sibuk bertanya ke mana tempat untuk bercuti. Alahai, bercuti kat rumah sajalah jawabnya mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah ini, membantu ibu abah membersihkan laman, membetulkan bacaan al-Quran, membaca buku, dan lain-lain (maksud lain-lain: main FB, tengok CD, permainan komputer, menghadap TV).

Yang pastinya, waktu cuti sekolah, guru pun turut cuti sekolah juga. Namun begitu, saya tetap juga datang ke sekolah tetapi pada masa mana yang saya suka. Saya tak perlu lagi tergopoh-gapah dan termengah-mengah setiap pagi untuk memastikan saya sampai terlebih dahulu sebelum pengetua saya sampai ke sekolah (isk.. sepatutnya saya sampai sebelum jam 7.30 pagi sebelum waktu kelas P&P bermula!). Saya juga tidak perlu memandu dalam keadaan tertekan kerana terpaksa memandu di belakang pemandu-pemandu lembap seperti siput sedut di jalanan yang bergerak selaju 40km/j. Huh!

Saya tahu walaupun cuti, tidak semua guru dapat bercuti sepenuhnya. Cuti sekolah bukanlah untuk cikgu sebenarnya. Cikgu menumpang saja. Ramai cikgu yang tetap datang ke sekolah, menyiapkan pelbagai tugas terutama guru-guru yang terlibat dengan pengurusan sekolah. Sebahagian besar daripada mereka juga menghabiskan masa cuti mereka dengan bertugas menjadi pengawas peperiksaan-peperiksaan awam SPM dan STPM. Ada yang mengikuti pelbagai kursus peningkatan profesionalisme, mengendalikan bengkel-bengkel dan kursus, membina item dan modul, menjadi pemeriksa kertas dan pelbagai tugas yang tidak semua orang tahu.

Saya kagum akan kesanggupan teman-teman guru yang sanggup dan penuh dedikasi menjadi pengawas-pengawas peperiksaan, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sepanjang 22 tahun menjadi guru. Saya tahu bukan material yang dikejar oleh mereka kerana semua orang maklum bahawa bayaran yang diperoleh bukanlah besar sangat. Tetapi atas dasar komitmen dan tanggungjawab mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka tahu pada masa yang sama rakan-rakan guru sedang bersenang-lenang di rumah atau melawat dan melancong bersama-sama keluarga. Err.. adakah saya juga termasuk dalam kategori guru ini Oh, tidak!, Saya masih lagi guru yang baik rasanya, masih menjenguk sekolah walaupun bukan setiap hari, bertanya khabar murid-murid saya yang sedang bertungkus-lumus membuat persiapan peperiksaan. Dan saya masih sempat lagi mengadakan bengkel teknik menjawab peperiksaan kepada mereka. Kira guru yang baik jugalah saya ni.. masuk bakul sesekali seronok juga ya.

Seperti kanak-kanak riang, saya sebenarnya suka sangat apabila tiba musim cuti atau pada cuti hujung minggu kerana saya dapat melakukan perkara-perkara yang jarang saya dapat lakukan dengan baik dan sempurna, antaranya ialah memasak, meladeni dan membelek pepohon kaktus dan orkid saya di laman agave-grusonii yang makin layu dan tidak begitu sihat itu.

Saya suka sekali apabila dapat mengemas dan menghias anjung tak berseri saya ini. Saya seronok sangat kerana dapat menonton filem bersama anak-anak, dan saya juga mempunyai masa yang lebih untuk membersihkan sesawang pada blog saya yang lebih bersawang daripada syiling di teratak saya!!



Ahad, November 14, 2010

Sesi persekolahan 2010 pun berakhirlah...

Dalam kesibukanku yang entah apa-apa, rupa-rupanya minggu ini merupakan minggu terakhir sesi persekolahan untuk tahun 2010. Banyak lagi tugas yang tidak sempat diselesaikan. Rasanya saya masih belum boleh melepaskan pelajar-pelajar saya untuk memasuki dewan peperiksaan STPM dengan hati yang tenang. Persediaan dan kelengkapan mereka untuk bertarung dalam peperiksaan sebenar rasanya masih belum cukup lengkap, parang dan lembing yang mahu digunakan masih lagi berkarat dan tumpul walaupun hari peperiksaan makin hari makin bertambah dekat. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Ada dalam kalangan mereka yang boleh bersantai dan menghabiskan masa dengan Facebook dan SMS. Insya-Allah, jika ada ruang, saya akan manfaatkan beberapa hari senggang dalam musim peperiksaan ini untuk mengadakan kelas-kelas tambahan dan kelas ganti bagi membantu pelajar pada saat-saat akhir ini.

Oleh sebab sekolah kita sering terdedah dengan bencana banjir, pesan saya, buatlah persediaan awal. Jika terdapat tanda-tanda akan berlaku banjir, segeralah bergerak ke rumah rakan atau sekolah dengan membawa keperluan untuk peperiksaan seperti slip peperiksaan, kad pengenalan, buku-buku rujukan, pakaian seragam sekolah, alat-alat keperluan peribadi, ubat-ubatan dan sedikit makanan. Jangan bimbang, YB ADUN Hulu Besut, Tuan Haji Nawi dan guru-guru bersedia untuk membantu anda pada bila-bila masa sahaja.

Selamat menghadapi peperiksaan. Masih ada ruang dan luang untuk anda, anak-anakku bagi membaiki segala kelemahan. Kesenangan, kejayaan tidak mudah untuk datang bergolek. Sering dan selalu saya mengingatkan mereka, ilmu yang dicurahkan guru-guru bukan semata-mata untuk peperiksaan tetapi, yang lebih penting, dapat dimanfaatkan dan digunakan dalam kehidupan.

Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai dan medium sahaja. Selamat menduduki peperiksaan dunia, yang harapnya akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Semoga berjaya dan mencapai impian ke puncak menara!

Jumaat, Jun 04, 2010

Cuti sekolah dan kerja sekolah..

Hari ini sekolah-sekolah di Pantai Timur mula bercuti pertengahan tahun selama dua minggu. Kak Jah yang jual nasi lemak waktu pagi kat warung depan rumah saya awal-awal lagi membising, "Hai, seronoklah orang jadi cikgu, budak-budak cuti sekolah, cikgu pun boleh cuti, tak kerja, gaji masuk juga".

Alahai, senyum saja saya mendengar omelan Kak Jah. Dalam hati terbayang pelbagai perkara yang hendak dilaksanakan sepanjang cuti sekolah ni. Saya sudahpun berjanji dengan pelajar-pelajar 6 atas untuk mengadakan kelas tambahan kepada mereka. Saya juga teringat timbunan kertas jawapan budak-budak yang perlu diselesaikan sebelum akhir minggu ini.

Menanda kertas jawapan pelajar bukan setakat menconteng kertas dengan dakwat merah, atau terus meletakkan markah pada kertas mereka, tetapi harus disemak dengan teliti, harus ada komen dan penerangan. Itu yang paling dikehendaki oleh pelajar-pelajar setiap kali mereka menerima kertas jawapan mereka. Kadang-kadang seronok juga mereka apabila melihat kertas putih mereka sudah berubah menjadi hampir merah kerana terlalu banyak kesalahan yang dilakukan.

Barulah mereka tahu sebab kesalahan mereka dan memudahkan mereka untuk membuat pembetulan. Selitkan juga kata-kata semangat atau komen yang membina. Mahu 5 batang pen merah habis ni untuk menyemak kertas pelajar-pelajar ni. Teringat juga keadaan kelas 6 bawah yang masih lagi tidak sempurna kelas mereka. Sebelum cuti baru-baru ni mereka menumpang di makmal sains. Kasihan, bayangkan sepanjang hari mereka duduk di atas bangku makmal tanpa penyandar dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang. Kalau kita yang dah tua ni, mahu tak lenguh belikat. Jauhnya beza prasarana yang disediakan di sekolah luar bandar dan sekolah berasrama penuh atau SBT.Kami bercadang untuk datang ke sekolah menghabiskan masa satu atau dua hari mengubah suasana kelas mereka dari begini,
menjadi paling kurang seperti kelas Cikgu Jimie ini;
Dan, nampaknya cuti sekolah ini saya tetap pergi sekolah.

Jumaat, Ogos 15, 2008

Cuti sekolah pun bermula....

Hari ni cuti pertengahan penggal dua bermula. Anak-anak murid sibuk bertanya mana cikgu nak pergi cuti ni. Aikk... depa ni dah lupa ke yang cuti ni cikgu dia ni kena buat kelas kat depa, kena jadi fasilitator lagi untuk kem elit.. nak memenuhi undangan menyampaikan ceramah peperiksaan dan bengkel teknik menjawab soalan lagi... Berkhidmat untuk kerajaan Malaysia nan tercintalah katakan!!!! Awang Rajuk masam mencuka. Katanya, masa cuti ni sepatutnya gunakanlah masa untuk anak-anak. Setiap hari dari jam 7.30 pagi hingga 4 petang sibuk mengasuh anak orang. Masa cuti inilah ruang terbaik untuk bersama anak-anak. Memanglah, kalau difikirkan kasihan anak-anak. Ucin tak sampai sebulan akan menempuh UPSR, Acan pula PMR... aduhai, kalaulah guru-guru mereka seperti aku, rasanya anak2ku tidak lagi perlu kuhantar ke kelas tuisyen atau tutorial yang ratusan ringgit belanjanya saban bulan. Walau apapun, cuti ini pasti akan ada masa untukku bersama anak-anak dan si Awang Rajuk..