Memaparkan catatan dengan label Hari Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Guru. Papar semua catatan

Selasa, Mei 17, 2011

Tahun Ke-23 Menjadi Guru...

Selamat hari guru untuk semua guru.
Selamat hari guru untuk diri sendiri.
Selamat hari guru untuk keluarga guru, keluarga Allahyarham Cikgu Haji Muhammad; Adinda-adinda, Ustazah Jailami, Ustazah Hamilah, Ustazah Insijam, Cikgu Nasirah, Ustazah Rabihah, Cikgu Nuraini, Encik Muhammad Asruf, Cikgu Muhammad Auzan, serta adinda-adinda ipar, Cikgu Wan Abdullah, Ustaz Termizi, Ustaz Amirizal, Cikgu Zainul Abidin, Ustaz Jamiliza, dan Teacher Pazrina Azuriah.

Selamat hari guru buat pendamping paling setia, perajuk paling tegar, Cikgu AR semoga tabah menempuh cabaran dunia pendidikan dan pengurusan pendidikan yang semakin hari semakin racau dan kacau.

Hari guru sepatutnya tidak disambut setahun sekali, tetapi disambut hari-hari dengan memuliakan dan menyanjung tinggi profesionnya. Kita meraikan hari guru dengan menambah ilmu pengetahuan kita pada setiap hari. Dan, tanpa untuk tujuan lulus peperiksaan pun tugas guru perlu terus disanjung tinggi.

Sambutan hari guru bukan diukur dengan hadiah dan cenderamata yang diterima, tetapi ingatan terhadap tugas dan jasa guru dalam mendidik anak bangsa, mengajar mereka daripada yang tidak tahu menjadi tahu, yang tidak mahu menjadi mahu...



Ini hadiah hari guru daripada murid-murid saya. Walaupun tidak semahal hadiah hari guru yang diterima guru-guru di sekolah ibu kota, sudah begitu saya hargai.
Dan, ini hadiah hari guru untuk diri saya sendiri.
Akhir kata, salawat dan salam untuk guru paling mulia, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah mendidik manusia tentang Tuhannya juga mengajar manusia tentang dirinya.

Saya teringat kata-kata Pak Harfan dalam filem Laskar Pelangi, "Mengajar ini bukan sekadar pelengkap kurikulum, ia mesti datang dari hati". Selamat menjadi cikgu yang baik, bukan baik jadi cikgu...

Ahad, Mei 16, 2010

Hari ni hari guru. Terima kasih anak-anak..

16 Mei datang lagi. Tahun ini entah kali keberapa saya menyambut hari guru. Sedar tak sedar tahun ini sudah 22 tahun saya berkhidmat sebagai guru. Rutin sambutan tetap sama dari dulu hingga sekarang. Ada ucapan, ada nyanyian lagu guru, ikrar, ada anugerah guru yang entah apa-apa, persembahan pelajar, main-main, makan-makan, kemudian dapat pulang awal.
Tahun ini acaranya tetap sama, cuma dalam beberapa tahun belakangan ini, sambutan hari guru di sekolah ini dimeriahkan oleh bekas pelajar yang mengambil kesempatan berkunjung ke sekolah beramai-ramai pada hari guru. Meriah betul sekolah dengan kedatangan mereka. Mereka datang dengan membawa pelbagai jenis makanan. Saya paling suka makanan Thai Somtam yang disediakan oleh Asyila dan rakan-rakannya. Tahun ini, bekas pejajar STPM 2009 berarak masuk dengan membawa pulut semangat dengan bunga telur dan nasi kunyit yang dihias indah. Wan Khalifa pula sanggup mengambil cuti dari tugasnya semata-mata untuk menghiburkan guru-guru dengan dikir baratnya. Sesuatu yang rasanya tidak berlaku di sekolah lain. Hmm.. siapakah guru itu yang telah berjaya membudayakan amalan ini?? Hmm...
Bersyukurlah kerana saya terus diberi kesempatan untuk merayakan sambutan hari guru lagi tahun ini. Dan bersyukurlah kerana kita diberi peluang berkhidmat di kampung halaman sendiri, tidak seperti sebahagian besar guru lain yang terpaksa meninggalkan keluarga kerana menabur bakti di pedalaman terpencil Sabah dan Sarawak, atau terpaksa bangun seawal 3 pagi untuk menaiki bot dan kereta api ke sekolah di hulu Gua Musang. Ohh..

Bersyukurlah kerana walaupun saya hanyalah guru biasa di sebuah sekolah biasa, yang pelajar-pelajarnya hanyalah anak orang biasa, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang sesuatu yang hasilnya agak luar biasa. Saya bersyukur kerana dapat membantu anak-anak di kampung ini keluar dari desa ini, membina kejayaan di puncak menara. Walaupun hanyalah seorang guru bahasa Melayu yang sering dianggap tidak berprestij seperti guru Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya saya telah berjaya menegaskan hukum dan peraturan nahu bahasa Melayu dalam penulisan dan lisan mereka. Saya sedarkan mereka tentang amalan kesantunan berbahasa yang telah mula lari dari amalan dan pengucapan mereka, dan yang penting, saya dapat menimbulkan dan menyematkan rasa bangga akan bahasa ibunda kita dalam jiwa anak-anak ini, dan menebarkan amanat bahawa bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa ilmu!!

Selamat hari guru buat semua rakan seperjuangan. Pasti saban tahun akan wujud getar rasa dalam jiwa ini setiap kali menyanyikan bait-bait lirik lagu guru dan setiap kali tangan didepa tika ikrar guru dibaca...

amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... ohh!!!

Buat rakan-rakan guru, tekadkan semangat,

tabahkan hati,

perjuangan kita belum selesai!!

Sabtu, Mei 15, 2010

Guru Pembina Negara Bangsa

Esok 16 Mei, seperti tahun-tahun sudah, semua guru akan meraikan hari ini sebagai hari mereka, iaitu hari yang agak istimewan, tidak seperti hari biasa yang dilalui oleh seseorang guru. Selamat menyambut hari guru buat semua pendidik di seluruh Malaysia.

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA, tema yang sama juga dengan tema hari guru tahun lepas.
Apa hadiah yang akan anda terima esok? Pada saya, tak perlulah hadiah, cukup sekadar ingatan daripada murid-murid terhadap kita, sama ada melalui SMS, Facebook, Friendster, kad ucapan dan sebagainya. Berat hati ni nak menerima hadiah daripada mereka. Mereka bersusah-payah membuat persiapan untuk menyambut hari guru esok itupun merupakan hadiah yang sangat bermakna.
Terima kasih anak-anak...
.