Memaparkan catatan dengan label PTK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PTK. Papar semua catatan

Jumaat, September 24, 2010

Soalan Ramalan Ujian Pemahaman PTK Bilangan 2/2010


Selamat menduduki Ujian Pemahaman Bertulis PTK Bil 2/ 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung esok 25 September 2010. Semoga anda semua akan beroleh kejayaan yang cemerlang untuk tujuan kenaikan gred jawatan dan gaji. Jawablah mengikut format dan teknik yang betul. Setiap soalan, pastikan jawapan anda terdapat perkara-perkara berikut:
1. Pendahuluan beserta takrifan frasa penting
2. Isi - 3 isi beserta huraian fakta, analisis, sintesis atau penilaian
3. Setiap isi mestilah mengandungi kesimpulan kecil.
4. Rumusan keseluruhan.

Saya mencadangkan anda menjawab tidak lebih daripada 5 perenggan, iaitu 1 perenggan pendahuluan, 3 perenggan isi, dan 1 perenggan rumusan. Pastikan tulisan anda boleh dibaca dan tidak memeningkan kepala pemeriksa nanti. Jangan terlalu teruja untuk menulis sepanjang mungkin, kerana jawapan yang panjang tidak semestinya menepati kehendak soalan.

Untuk membantu mengurangkan ketegangan dan kerisauan teman-teman, di bawah saya perturunkan tajuk penting yang perlu diketahui oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran sama ada yang akan menduduki ujian PTK pada tahap TK4, TK5 atau TK6.

Untuk komponen kompetensi generik, cubalah tuan-tuan dan puan-puan mengintai dan membelek tajuk-tajuk berikut:

Tajuk-tajuk untuk Bahagian A (3 soalan dikemukakan, pilih satu dan jawab satu soalan)
1. Etika Perkhidmatan Awam
2. Etika Profesion Keguruan
3. Standard Guru Malaysia
4. Pelan Integriti Nasional
5. Tonggak 12
6. Rukun Negara
7. Piagam Pelanggan
8. Tadbir Urus Terbaik
9. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
10.Protokol dan Etiket Majlis Rasmi.
11. Sistem Saraan Malaysia
12. Perintah Am Bab B (Elaun-elaun dan kemudahan dalam perkhidmatan)
13. Arahan Perbendaharaan (Elaun-elaun dan kemudahan)
14. Peraturan-peraturan Pegawai Awam
15. Bab C- cuti
16. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
17. Bab F - Perubatan
18. Penilaian Prestasi Perkhidmatan (LNPT, PTK)
19. Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan yang berkaitan.

Ahhh... baca semua sekalilah! Ini bukan soalan ramalan namanya. Ini namanya tajuk dalam sukatan PTK le!

Selasa, Ogos 31, 2010

Selamat menulis esei tugasan individu PTK

Musim menulis esei bagi memenuhi penilaian pemahaman PTK sesi 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DGA34, DGA38, DG48, DG52, DG54 dan kumpulan AKS 26 datang lagi. Soalan esei boleh dimuat turun melalui laman web BPPK mulai 20 Ogos 2010 atau klik sahaja di sini. Tempoh penyediaan esei ialah satu (1) bulan, dan calon dikehendaki menjawab hanya satu (1) soalan daripada 6 soalan. Wajaran untuk kertas tugasan individu ialah 50% daripada markah kompetensi fungsional. 50% markah lagi daripada markah penilaian pemahaman bertulis yang akan diduduki di pusat-pusat peperiksaan pada 25 September nanti.

Penilaian PTK dibuat berdasarkan TK seseorang pegawai mengikut gred dan jawatan.
•TK 4 : Tahap Kecekapan Analisis - bagi gred AKS 26, DGA34, dan DG48.
•TK 5 : Tahap Kecekapan Sintesis - bagi gred DG52
•TK 6 : Tahap Kecekapan Penilaian - bagi gred DG54
•TK 4A : Tahap Kecekapan Analisis-Sintesis (antara analisis dan sintesis, tapi lebih kepada sintesis) - bagi gred DGA38.
(Penjawat gred DGA38 adalah Guru Besar Cemerlang)

Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh mendapatkan panduan dan tips-tips PTK daripada blog Pena Bonda.

Sebagai panduan umum, saya perturunkan beberapa panduan asas dalam penyediaan tugasan individu. Bukan bertujuan untuk menunjuk pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman, dan pernah menjadi calon yang menduduki kursus PTK TK4 pada tahun 2004 kemudian menduduki ujian pemahaman TK5 Bil 1/2010. Kalau boleh saya mahu rakan-rakan guru sekalian lulus dengan baik dalam Penilaian Pemahaman PTK, sebaik-baiknya mendapat keputusan Aras Cemerlang IV yang membolehkan tuan-tuan dan puan-puan mendapat anjakan gaji yang walaupun tidaklah banyak tetapi hampir menjangkau RM600 sebulan. Namun begitu, bersyukurlah jika mendapat Aras III kerana sekurang-kurangnya telah melayakkan diri tuan-tuan dan puan-puan untuk naik ke gred jawatan yang lebih tinggi. Janganlah pula keputusan PTK anda berada pada tahap I dan II pula. Nampak sangat kita tidak kompetens.

Langkah-langkah yang perlu anda ambil:
1. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan agar tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’.
2. Pilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan.
3. Rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

Kandungan Tugasan Individu:
1. Ringkasan eksekutif
2. Pengenalan
3. Definisi konsep
4. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi
5. Penutup
6. Rujukan
7. Lampiran

Ringkasan Eksekutif (lebih kurang sinopsis) mestilah ditulis dalam satu halaman diikuti oleh pendahuluan. Ringkasan eksekutif ialah gambaran awal perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam esei. Selepas pendahuluan, jangan lupa membuat interpretasi frasa dan konsep-konsep penting yang terdapat dalam soalan. Untuk bahagian pendahuluan dan tafsiran frasa, seelok-eloknya ditulis tidak melebihi 3 halaman.

Untuk bahagian ISI pula, anda digalakkan untuk menulis 5 isi. Satu isi sebaik-baiknya dihuraikan dalam 3 halaman yang merangkumi fakta, huraian/ analisis/ contoh dan kesimpulan kecil. Kesimpulan kecil ialah rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

Bilangan muka surat bagi tugasan individu mengikut gred anda iaitu;
DG54 dan DG52 : 20 - 25 halaman
DG48 : 15 - 20 halaman

Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 DG48:

1.Gaya penulisan dan pengolahan setiap isi mesti mengikut format analisis.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-saya telah menggubal pelan tindakan...
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


Dalam setiap huraian isi, bagi menggambarkan tahap analisis, saya mencadangkan tuan-tuan dan puan-puan membuat huraian dengan memasukkan unsur-unsur perbandingan, perbezaan, pembuktian hasil, dan cerakin. Contoh:
-saya mendapati berlaku perubahan sikap dalam kalangan pelajar saya.. (impak)
-Hal ini membuktikan bahawa... (pembuktian)

-Jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar sebelum program ini dilaksanakan, saya mendapati bahawa .... (perbezaan)

5.Pastikan kesimpulan kecil ditulis bagi setiap isi. Kesimpulan kecil seharusnya ditulis dalam satu perenggan (6-7 ayat) dan pengakhiran bagi setiap kesimpulan kecil perlu dikaitkan dengan kehendak soalan.

6. Rumusan atau penutup jangan ditulis melebihi 2 muka surat.

7. Senarai bibliografi cukuplah sekadar satu halaman sahaja, jangan sampai 5 hingga 6 halaman pula, nampak sangat direka-reka.

8. Janganlah memasukkan lampiran yang kurang berkaitan dengan tajuk esei anda, contohnya bahan-bahan P&P daripada buku ulang kaji peperiksaan yang difotokopi semata-mata untuk menjadikan esei anda tebal. Ada juga yang melampirkan gambar-gambar peribadi dan pemandangan tempat bertugas yang rasanya tidak berkaitan langsung dengan isi esei.

Akhir kata, selamat menulis esei. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan menjadi panduan kepada kita dalam melaksanakan tugas seharian yang lebih baik, berkualiti dan cemerlang. Bersambung.. kelemahan-kelemahan dalam penulisan esei PTK.

Jumaat, Mac 26, 2010

Penulisan Tugasan Khas PTK: Tulis yang muluk-muluk sahaja!

1. Bagi PPPS Gred DG48 dan ke atas, format penilaian PTK masih mengekalkan 2 bentuk penilaian yang sedia ada, iaitu penulisan Tugasan Khas (Tugasan Individu) dan Penilaian Pemahaman (di pusat-pusat ujian) Bagi penulisan kertas tugasan khas, tuan-tuan dan puan-puan diperuntukkan masa selama 1 bulan untuk menyiapkan sebuah esei (pilih 1 daripada 6 soalan). Markah penuh ialah 100%, tetapi untuk markah kompetensi fungsional, kertas ini mempunyai wajaran 50%.

2. Jumlah halaman kertas TI ini adalah sebagai mana berikut:
DG54/DG52: 20 - 25 halaman
DG48: 15 - 25 halaman

3. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan supaya tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’. Mulakan dengan memilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan, sama ada dalam bidang pengurusan dan pentadbiran atau pengajaran dan pemelajaran. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

4. Susunan kertas Tugasan Individu adalah sebagai mana berikut:

a. Ringkasan eksekutif - 1 halaman
b. Pendahuluan - 1 atau 2 halaman
c. Definisi konsep - 2 halaman
d. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi (1 isi X 5 halaman = 15 halaman)
- Penutup - 1 halaman
e. Rujukan - 1 halaman
f. Lampiran - jika perlu sahaja

(Bilangan halaman: antara 20 - 22 sahaja. Catatan: ini hanyalah cadangan saya sahaja)
5. Untuk huraian konsep, huraikan beberapa konsep utama termasuk 'quotation’ yang dirujuk dalam soalan. Tuan puan boleh menyatakan pandangan terhadap 'quotation’ dan bagaimana mengaplikasikan konsep-konsep tersebut dalam organisasi.

6. Untuk bahagian ISI pula, tulislah 5 isi sahaja. Setiap isi yang dihuraikan mestilah dengan contoh dan dikaitkan dengan dengan organisasi tempat bertugas sama ada di sekolah, IPG, Kolej Matrikulasi, KPM, JPN atau PPD. Setiap huraian mestilah mempunyai kaitan dengan dasar semasa kerajaan, contohnya MBMMBI, LINUS, NKRA, Misi Nasional, dasar pelajaran dan sebagainya. Aplikasi pengetahuan hendaklah diolah dan ditulis pada aras pemikiran tinggi sama ada peringkat analisis (TK4), sintesis (TK5) atau peringkat penilaian (TK6.

7. Setiap isi hendaklah mempunyai kesimpulan kecil, iaitu rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan.

8. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

9. Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 (sesuaikan mengikut tahap kecekapan sama ada TK5/TK6)

1.Gaya penulisan dan pengolahan analisis setiap isi mesti mengikut format analisis/ sintesis/ penilaian.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara, bukan "Guru seharusnya.."
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-daripada program-program yang telah dilaksanakan, saya telah menjalankan "post-mortem" dan mendapati bahawa...
- saya telah menggubal pelan tindakan dan memastikan bahawa setiap tindakan yang dilaksanakan berjalan dengan baik....
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


10. Senarai bibliografi janganlah lebih satu halaman.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG SERING SILAKUKAN:

1. Tidak membuat ringkasan eksekutif
2. Penerangan konsep tidak jelas
3. Huraian konsep terlalu panjang
4. Isi tidak cukup atau kurang jelas
5. Isi / huraian berulang-ulang
6. Tidak merujuk kepada organisasi sendiri/ terlalu umum
7. Tidak ada rumusan bagi setiap isi
8. Tidak mempunyai tajuk-tajuk kecil
9. Susunan kertas tidak mengikut tertib
10. Huraian tidak menepati aras TK
11. Esei calon yang sama atau hampir sama (kesan daripada perbuatan meniru atau mengupah orang menulis esei)
12. Memasukkan lampiran-lampiran dan gambar-gambar yang tidak berkaitan kerana perbuatan ini hanya akan menyebabkan bilangan muka surat esei anda akan lebih daripada bilangan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, tulislah yang baik-baik dan muluk-muluk sahaja. Nyatakan sahaja kita mempunyai kepelbagaian kaedah dalam melaksanakan proses P&P yang berkesan walaupun kaedah "chalk and talk" yang menjadi kaedah wajib kita saban hari. Nyatakan sahaja bahawa sebagai pemimpin pendidikan, kita telah menyediakan infrastruktur dan suasana kerja/ belajar yang kondusif kepada ahli organisasi sebagai memberi motivasi dan perangsang kepada mereka berkhidmat dengan baik dan cemerlang, walaupun hakikatnya guru-guru di sekolah masih lagi bersesak di dalam bilik guru yang panas tanpa alat pendingin hawa. Pelajar pula kepanasan kerana kipas yang rosak bertahun-tahun tidak juga dibaiki!!! Kalau tulis yang sebenar? Lu fikirlah sendiri!!

Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan itu bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti. Selamat menulis, dan, tulislah sendiri!!!

Jangan lupa ziarah laman sesawang Bahagian Pembangunan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut. KLIK DI SINI!
Bersambung lagi.. panduan menjawab soalan penilaian pemahaman (ujian bertulis)

PTK lagi... Oh!..

Oh, musim menulis esei untuk Penilaian Tahap Kecekapan datang lagi! Nampaknya, dalam seminggu dua ni saya dan Awang menjadi insan terpilih yang dikejar dan diintai rakan-rakan, bukan sahaja daripada golongan guru, tetapi juga daripada pegawai-pegawai PPD dan JPN yang perlu menduduki Pusat Penilaian Kecekapan Gred DG48 dan ke atas. Rasanya tidaklah menjadi keberatan bagi saya untuk membantu rakan-rakan memberi dan berkongsi idea tentang isi yang sepatutnya dikupas sekadar yang termampu. Tetapi, saya memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan teman yang merayu agar dapat membantu mereka "menyiapkan" kertas tugasan khas itu.

"Menyiapkan" di sini bermaksud, memulakan proses penulisan dari awal hinggalah kepada proses terakhir iaitu menyerahkan esei yang lengkap kepada mereka untuk dihantar. Jika dirujuk Rujukan Terma dan Syarat Guru Cemerlang, rasanya tiada dalam bidang tugas kami sebagai GC untuk menyediakan kertas-kertas tugasan khas tersebut sebagai satu bentuk sumbangan kepada organisasi. Tambah pula, penilaian PTK ini merupakan syarat untuk kenaikan pangkat dan juga gaji. Jadi, faham-faham sajalah ya..

Untuk rakan-rakan yang termasuk dalam golongan ini, sukacita saya ingin mengingatkan bahawa, PERAKUAN CALON yang mesti ditandatangani mengandungi ayat yang tertulis:

Saya akui bahawa Kertas Tugasan individu ini adalah (sepatutnya "ialah) hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang setiap satunya telah saya jelaskan sumbernya.

Tandatangan:
Nama:
No. Kad Pengenalan:
Tarikh:

Disahkan dan diperaku oleh Ketua Jabatan:

Tandatangan:
Nama:
Cop Jawatan:

Harapnya frasa dan baris-baris kata tersebut difahami dengan jelas serta implikasi-implikasi yang bakal kita hadapi, sama ada di dunia ini, mahupun di alam sana.

Bersambung.. panduan asas penulisan esei

Rabu, November 05, 2008

Musim menulis esei PTK datang lagi

Membaca esei-esei PTK yang ditulis teman-teman guru, aduhai, terasa bergemerlapan dan bercahaya sistem pendidikan kita. Dengan bertugas penuh dedikasi berasaskan Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam, dengan kepelbagaian teknik dan strategi P&P, memanfaatkan kemahiran TMK, melaksanakan program kokurikulum secara berkesan dan terancang, melaksanakan sistem penilaian dan pentaksiran yang sesuai... rasanya sistem pendidikan Malaysia ini sudah lama mencapai tahap bertaraf dunia mengalahkan sistem pendidikan di semua negara maju seperti Amerika Syarikat, UK dan Jepun. Alangkah indahnya jika apa yang ditulis dan apa yang dibincangkan di dalam esei-esei PTK tersebut direalisasikan di alam nyata. Rasanya, jika semua antara kita para guru mampu melaksanakan tugas mendidik anak-anak pelajar generasi masa depan negara dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, hasrat untuk melahirkan modal insan cemerlang bukan lagi satu mimpi dan anganan semata. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti.